SHAH ALAM, 23 Mac: Mereka yang ditawarkan borang permohonan membeli rumah kos rendah lebih tinggi daripada harga sebenar iaitu RM2 disarankan supaya membuat laporan polis atau melaporkannya terus kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata demikian setelah menerima aduan daripada orang ramai bahawa terdapat pihak menawarkan borang tersebut dengan harga setinggi RM300.
Menurutnya, borang permohonan untuk membeli rumah kos rendah di Selangor adalah hanya RM2 sekeping dan borang tersebut boleh didapati dari Lembaga Perumahan atau dari mana-mana pejabat daerah.
"Saya menasihatkan mereka yang ditawarkan borang rumah kos rendah lebih daripada RM2 melaporkan kes kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, Tingkat 5, Podium Utara, Bangunan SUK Selangor, Shah Alam atau menghubungi talian 603-55447537/7170/7199," ujarnya.
Iskandar turut menyangkal dakwaan bahawa ada pihak yang boleh membantu mendapatkan kelulusan untuk membeli rumah kos rendah.
Jelasnya, kerajaan negeri tidak pernah melantik mana-mana agen, baik untuk mengedar borang mahupun memproses sebarang permohonan, sebaliknya semua permohonan diproses oleh Lembaga Perumahan.
"Mereka yang hendak membeli rumah kos rendah mesti mendaftar dengan Lembaga Perumahan dengan menyatakan lokasi yang hendak dibeli," katanya.
Menurut Iskandar lagi, hanya mereka yang berpendapatan isi rumah kurang dari RM2,500 sebulan layak membeli rumah kos rendah.
"Peraturan ini perlu bagi mengelakkan penyelewengan agar hanya mereka yang layak dapat membeli rumah-rumah kos rendah kerana terdapat permintaan yang tinggi bagi rumah-rumah kos rendah terutamanya bagi kawasan-kawasan seperti Ampang dan Petaling Jaya," ujarnya. Kerajaan negeri akan menyediakan borang-borang permohonan rumah kos rendah di pihak berkuasa tempatan dan pejabat Adun bagi memudahkan borang-borang itu diperolehi oleh rakyat dalam masa terdekat. |