Search Islamic Directory
Keyword:

JOM UBAH!!!

JOM UBAH!!!

UBAH SEKARANG

UBAH SEKARANG

Ceroboh hak peribadi Elizabeth perbuatan tak bermoral

Salmah Mat Husain
Wed | Feb 18, 09 | 5:53:01 pm MYT

KOTA BHARU, 18 Feb (Hrkh) - Pihak tertentu yang menceroboh hak peribadi Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong dianggap sebagai manusia yang tidak bermoral.

Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa juga menyifatkan media yang menyiarkan berita berhubung perkara itu juga sebagai tidak mempunyai moral.

"Ini kerana mereka mendedahkan hak peribadi Adun terbabit," katanya ketika ditemui di pejabatnya semalam.

Akhbar sebelum ini melaporkan ada pihak yang tidak bertanggungjawab merakam secara curi gambar separuh bogel Adun terbabit yang sedang tidur di atas sopa di kediamannya.

Kemudian pihak berkenaan menyerahkan kepada akhbar tertentu sehingga menjadi berita paling hangat sehari dua ini.

Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri Kelantan berkata, dua isu yang perlu diketahui umum iaitu bagaimana penyebaran gambar itu boleh berlaku di internet dan siapa yang menceroboh serta merakamkan gambar tersebut.

Menurutnya tindakan itu tidak dapat ditolak dilakukan bagi tujuan politik khususnya mereka yang tidak ada nilai moral.

"Jadi dalam kes ini Elizabeth lebih berprinsip dan beliau merasakan libiliti kepada perjuangan lebih penting sehingga sanggup melepaskan jawatan. Tindakan itu merupakan langkah yang baik," ujarnya.

Beliau juga mempersoalkan pihak berkuasa yang dianggap masih membisu terhadap aduan bekas Adun Bukit Selambau, V. Arumugam yang membuat laporan polis, beliau dan keluarga diugut pihak tertentu.

"Dalam soal seperti ini wakil rakyat PAS dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat mempunyai standard moralnya yang tersendiri," katanya.

Adun Tanjung Mas, Rohani Ibrahim pula menyifatkan tindakan pihak tertentu menyebarkan gambar peribadi Elizabeth kepada umum sebagai tidak beradab.

Menurutnya, perbuatan itu dilakukan semata-mata untuk memburukkan imej negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat.

Kata beliau pihak terbabit masih tidak berpuas hati terhadap kemenangan Pakatan Rakyat sehingga sanggup mencipta pelbagai isu di luar normal kemanusiaan.

"Kita jangan cepat melatah dengan isu-isu sebegini terutama yang berlaku di negeri Pakatan kerana ia adalah kerja jahat musuh bagi melemahkan kita," ujarnya. - mj _

Zambry dan semua exco Perak digantung hadiri sidang DUN

Harakahdaily
Thu | Feb 19, 09 | 1:01:41 am MYT

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Hrkh) - Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini menggantung Menteri Besar baru, Dato' Dr Zambry Abdul Kadir daripada menghadiri sidang dewan selama 18 bulan, manakala kesemua enam exconya digantung selama 12 bulan.

Menurut laporan Malaysiakini keputusan itu diumumkan oleh Speaker DUN Perak V Sivakumar selepas selesai bersidang semalam.

Perkembangan terbaru ini akan melontarkan Perak ke dalam satu lagi krisis, selepas Barisan Nasional (BN) mengambil alih kerajaan negeri awal bulan ini.

Sebelum itu, Dr Zambry memberi keterangan kepada jawatankuasa tersebut berhubung kenyataannya terhadap Speaker Sivakumar.

Beliau dan enam exconya dirujuk ke jawatankuasa itu berhubung dakwaan mereka telah menghina DUN apabila mengangkat sumpah jawatan Selasa lalu.

Enam exco berkenaan ialah Dato' Ramly Zahari (Manong), Dato' Saarani Mohamad (Kota Tampan), Hamidah Osman (Sungai Rapat), Zainol Fadzi Paharuddin (Sungai Manik), Mohd Zahir Abdul Khalid (Kamunting) dan Dr Mah Hang Soon (Chenderiang).

Siasatan berkenaan dijalankan mengikut Perkara 72(3) Perintah Tetap DUN Perak.

Turut dipanggil memberi keterangan kepada jawatankuasa berkenaan adalah dua wartawan, masing-masing daripada akhbar The Star dan Sin Chew Daily.

Jawatankuasa itu dipengerusikan Sivakumar dan dianggotai enam Adun iaitu Dato' Hasbullah Osman (Temenggor) dari BN manakala lima lagi daripada pakatan pembangkang iaitu Husin Din (Selingsing), Chan Ming Kai (Simpang Pulai), Ong Boon Piow (Tebing Tinggi), Loke Chee Yan (Kepayang) dan Sum Chok Leng (Bercham).

Sivakumar masih menjadi Speaker DUN Perak kerana kerajaan baru BN belum lagi mengadakan sidang dewan untuk menggantikan beliau dengan calon dari BN.

Dengan menggantung tujuh daripada 28 ahli dewan undangan negeri (Adun) BN, maka jumlah wakil rakyat kini kembali memihak kepada Pakatan Rakyat.

Jika dewan bersidang sekarang, BN akan hanya mempunyai 24 Adun di pihaknya - termasuk tiga calon bebas - manakala Pakatan mempunyai 28 Adun.

Di segi teknikalnya, kerajaan negeri BN masih boleh terus memintah Perak, tetapi ia tidak boleh mengadakan sidang dewan kerana bimbang Pakatan akan mengemukakan usul tidak percaya terhadapnya.

Kesemua tujuh Adun BN itu diberi notis saman supaya tampil di hadapan jawatankuasa itu berikutan aduan Adun Canning (DAP), Wong Kah Woh, bahawa majlis angkat sumpah jawatan mereka bertentangan dengan Undang-undang Tubuh Negeri Perak dan menghina DUN kerana Menteri Besar Ke-10, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, belum meletak jawatan secara rasmi.

Sivakumar berkata, setelah meneliti aduan tersebut, beliau mendapati satu kes prima facie terhadap Zambry dan enam exco berkenaan.

"Keputusan ini diambil selepas mendapati kesemua mereka gagal dan tidak memberikan sebarang penjelasan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang diadakan hari ini.

"Mereka telah gagal menawarkan sebarang penjelasan atas tindakan mereka yang menghina Dewan Undangan Negeri," kata Sivakumar dalam satu kenyataan akhbar empat perenggan di sini lewat petang semalam.

Sebelum itu, kesemua tujuh Adun terbabit telah dipanggil untuk memberi keterangan pada jam 3 petang di Bilik Mesyuarat Bahagian Kewangan, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.

Zambry dan enam Exco itu yang dilihat keluar dari bilik mesyuarat itu pada kira-kira 3.30 petang enggan memberikan sebarang komen kepada pemberita yang menunggu.

Di samping itu, Perak juga dilanda khabar angin bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jelapang, Hee Yit Foong telah meletak jawatan.

Sebelum ini, beliau bertindak keluar dari DAP dan menjadi Adun bebas yang menyokong BN.

Bagaimanapun, seorang pemimpin DAP ketika dihubungi menafikan perkara itu.-azm _

Boleh keluar waran tangkap, Senator Hayati tidak hadir - Peguam

Muhammad Arif Ismail
Wed | Feb 18, 09 | 2:26:04 pm MYT

SHAH ALAM, 18 Feb (Hrkh) - Setelah beberapa kali dipanggil untuk menghadapi perbicaraan, Senator Datin Paduka Norhayati Onn yang juga Timbalan Ketua Wanita Umno Selangor masih tidak hadir dan pihak Mahkamah bakal mengeluarkan waran tangkap.

Sepatutnya keputusan yang tertangguh sekian lama diumumkan hari ini. Namun Norhayati Onn tidak hadir ke Mahkamah Syariah yang terletak di bangunan Umno, Shah Alam.

Menurut Peguam Syarie, Muhamad Burok yang mewakili Mohd Suffian Abd Aziz yang ditemui selepas sidang Mahkamah 16 Februari lalu berkata, kes ini tertunggak selama tiga tahun yang bermula sejak September 2006 lagi.

"Hakim telah menetapkan 23 April ini, sebagai tarikh untuk mendengar keputusan semula. Tetapi beliau tidak datang pada itu, maka Mahkamah berhak untuk mengeluarkan waran tangkap kepada Senator tersebut.

"Namun sekarang ini, seolah-olah sudah ada pengecualian itu dan dia tidak diperintahkan untuk hadir," katanya.

Tambah beliau, pada tarikh yang akan datang iaitu 23 April, kalau dia tidak hadir ke Mahkamah, saya berhak untuk memohon dikeluarkan waran tangkap terhadap Norhayati Onn.

Perkara ini adalah perlu kerana katanya, semua pihak patut menghormati Mahkamah dan jangan memperkotak-katikkannya.

"Kalau Norhayati pergi ke Mahkamah lain, dia tentu akan membuat perkara yang sama dengan Institusi mulia ini.

"Perkara yang menjadi kekecewaan kita ialah mereka yang memohon untuk menuntut fasakah takkan kamu tidak mahu hadir," soalnya.

Muhamad berkata, jika Norhayati memberi alasan mewakilkan peguam maka ianya satu perbuatan yang tidak mencukupi kerana beliau terpaksa hadir ke Mahkamah, lebih-lebih lagi menyandang jawatan Senator Negara.

"Apabila menjadi Ahli Dewan Negara, dia perlu memberi penghormatan kepada institusi mahkamah.

"Kamu menfailkan kes fasakh sebab kamu percaya dan hormat kepada Mahkamah. Ini menjadi bukti kepada rakyat negara ini bahawa ciri-ciri untuk menjadi seorang pemimpin mahu pun senator tidak ada," katanya.

Sementara itu, suami Norhayati, Mohd Suffian Abd Aziz yang juga bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Klang, meluahkan perasaan kecewa kerana sikap dan tindak tanduknya yang tidak menghormati Mahkamah Syariah.

"Sebagai Ahli Dewan Negara sekali pun, beliau patut mendahulukan keluarga. Walaupun beliau sebagai pemimpin, kita perlu mengharungi setiap masalah yang berlaku dalam keluarga pertamanya sebelum kita nak membela rakyat.

"Oleh itu, moral dia sebagai pemimpin adalah terjejas dengan teruk. Saya juga sebagai pemimpin iaitu pemimpin keluarga. Jadi, jika pemimpin tidak menghormati pemimpin, ini adalah satu perbuatan yang buruk," katanya.- azm_
 

blogger templates | Make Money Online