Search Islamic Directory
Keyword:

JOM UBAH!!!

JOM UBAH!!!

UBAH SEKARANG

UBAH SEKARANG

Pemuda Wilayah tolak Draf KL2020, campurtangan Gabem diragui

M Khaleel Kas
Sat | Aug 02, 08 | 7:28:28 am MYT

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Hrkh) - Campurtangan dan penglibatan langsung Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) yang juga sayap ekonomi Umno yang dipengerusikan oleh Rahim Tamby Chik dalam Projek Pembangunan Semula Kampung Baru agak diragui.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Herman Samsudeen dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily berkata, beliau memandang serius campurtangan dan penglibatan langsung Gabem.
"Tindakan Pengarah Eksekutif Gabem Consulting Sdn. Bhd., Dato' Mohamed Dahan Abdul Latif mengumumkan cadangan Kerajaan berhubung isu pembangunan Kampung Baru dalam ucapannya di Pameran dan Konvensyen Hartanah Bumiputera 2008 (KHB08) jelas menunjukkan bahawa organisasi ini mempunyai pertalian rapat dengan projek itu nanti.
"Beliau menjelaskan bahawa Pemilik tanah di Kampung Baru dijangka diberi tawaran pampasan sebanyak 20 peratus dalam bentuk wang tunai manakala 80 peratus lagi dalam bentuk saham di dalam projek berkenaan,"jelasnya.
Beliau menambah,pihak Pemuda PAS Wilayah meihat bahawa ada 'hidden agenda' sedang berlegar di dalam hal ini kerana projek ini kini masih lagi tertakluk dalam Draf Pelan Kuala Lumpur 2020 dan belum lagi dipersetujui oleh rakyat, khususnya penduduk di Kampung Baru.
"Isu utama kini adalah tentang status tanah Kampung Baru yang bakal dibangunkan kerana ianya masih tertakluk di bawah undang-undang tanah rizab Malayu dan Kampung Baru terikat di bawah Enakmen Tanah Negeri Selangor bukannya milik persekutuan.
"Gabem berusaha memujuk penduduk untuk menyerahkan tanah mereka dengan menawarkan saham sehingga 80 peratus di mana nilai ini masih lagi menjadi tanda tanya kerana tiada penjelasan terperinci diberikan tentang bentuk pulangan yang akan diterima dan bagaimana status pemilikan tanah itu kelak,"katanya lagi.
Jelasnya, pihak Pemuda PAS wilayah khuatir jika tanah-tanah Kampung Baru akan tergadai dengan sendirinya bila mana projek yang dicadangkan Gabem menjadi gajah putih atau sekadar satu putaran taktikal yang digunakan bagi memastikan tanah-tanah berkenaan jatuh pada pihak tertentu.
"Jika satu lot bernilai satu juta, penduduk hanya terima 200 ribu ringgit sahaja dan baki 800 ribu ringgit dimasukkan dalam saham yang mana nilai pulangannya tidak ditetapkan dan juga pemilik bakal dibebankan dengan akaun untung atau rugi yang pastinya akan terbeban di bahu mereka.
"Gabem adalah sebuah syarikat swasta yang boleh untung dan rugi bila-bila masa dan ianya boleh dibubar atau diistiharkan bankrap jika gagal memulangkan kembali hutang kepada bank.
"Kenapa wujud hutang? Ya! Perkara ini mungkin tidak disedari kerana pihak Gabem akan mengunakan mandat sebagai pengurus projek untuk mendapatkan suntikan dana yang mana pinjaman bank dilakukan bagi pelaburan disetiap inci tanah. Persoalannya, hutang yang dibuat oleh Gabem akan turut ditanggung oleh pemilik tanah tanpa disedari dan sekiranya rugi maka tanah-tanah Kampung Baru akan dirampas,"jelasnya lagi.
Tambahnya pula, selepas sahaja Draf Pelan Kuala Lumpur digazetkan, tanah-tanah Kampung Baru akan ditukarkan statusnya kepada tanah komersial dan status tanah rizab mungkin hilang. Ini akan memudahkan cagaran tanah dilakukan pada bank yang akhirnya membuka peluang yang luas untuk tanah kg baru dimiliki oleh orang-orang berkepentingan melalui Gabem.
Oleh itu katanya,Pemuda PAS wilayah menolak campurtangan Gabem dalam pembangunan semula Kampung Baru dan Draf Pelan yang dicadangkan oleh DBKL haruslah ditolak.
"Sebarang pembangunan dalam Kampung Baru hendaklah dilaksanakan sendiri melalui MAS iaitu badan yang menguruskan Kampung Baru secara sah. Organisasi ini perlulah diberikan sokongan kewangan dan DBKL sewajar menghormati kedudukan MAS dalam segala aspek yang melibatkan Kampung Baru.
"Pengerusi MAS juga hendaklah dikembalikan kepada Menteri Besar Selangor bukannya dipegang oleh Datuk Bandar DBKL yang kini menjadi boneka kepada pihak-pihak berkepentingan di dalam Gabem-Umno,"tegasnya. - mks. _

Admin : Syabas Dewan Pemuda PAS Wilayah.

Merdeka dan demokrasikah Malaysia dengan peraturan rimba ISA!

Anis Nazri
Sat | Aug 02, 08 | 2:05:31 am MYT

Semalam, 1 Ogos 2008, genaplah usia 48 tahun akta maha zalim ISA bertapak di tanahair kita yang tercinta ini. Jika manusia, ia sudah cukup dewasa, malah beza tiga tahun saja dengan ulang tahun kemerdekaan negara kita. Namun, ia terus dijulang sebagai akta keramat bagi pemerintah yang gentar dengan kebenaran. Iklan
Menjelang sambutan kemerdekaan negara 31 Ogos ini, sambutan yang membuktikan negara kita dikatakan bebas dari sisa-sisa penjajah, rupa-rupanya masih ada lagi akta dan undang-undang penjajah yang digunapakai dalam negara yang diuar-uarkan sebagai negara demokrasi dan berjiwa merdeka.
Merdekakah Malaysia jika masih banyak akta mengarut lagi zalim menghiasi mahkamah keadilan negara? Merdekakah jiwa pemimpin yang memiliki kuasa apabila terus mengangkat dan mengekalkan akta zaman penjajah ini? Adilkah mahkamah kita dengan akta yang jelas tidak adil!
Sebenarnya, banyak lagi akta dan undang-undang lapuk yang perlu dimansuhkan dari negara ini. Namun, sempena ulangtahun ke-48 ini, biarlah ISA menjadi topik utama hari ini.
Dengan adanya ISA, sesiapa pun boleh ditahan oleh polis selama 60 hari berturut-turut tanpa perbicaraan untuk tindak-tanduk yang dijangkakan mengancam keselamatan.
Selepas 60 hari, seseorang tahanan itu boleh ditahan lagi selama tempoh dua tahun jika diluluskan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, dan sekaligus membolehkan penahanan terus tanpa perbicaraan.
Pada tahun 1989, kebolehan mahkamah untuk menyiasat kuasa menteri di bawah peruntukan ini telah dihapuskan dengan beberapa pindaan kepada akta ini. Pada masa kini, mahkamah boleh melihat semula hanya perkara-perkara teknikal sahaja berkenaan sebarang penahanan di bawah ISA.
Beribu-ribu orang termasuk ahli kesatuan sekerja, pemimpin pelajar, aktivis hak buruh, aktivis politik, golongan agama, ahli akademik dan aktivis badan bukan kerajaan telah ditahan di bawah ISA. Ramai aktivis politik pada masa dahulunya telah ditahan untuk lebih daripada sedekad.
Secara jelasnya, ISA digunakan secara konsiten terhadap mereka yang mengkritik kerajaan dan mempertahankan hak asasi manusia.
Akta ini merupakan satu alat yang dikekalkan oleh kerajaan yang berkuasa untuk mengawal kehidupan umum dan masyarakat awam, yang rata-ratanya masih berada di zaman ketakutan - takut menyatakan kebenaran ataupun menyuarakan pandangan.
Sudah 48 tahun hak rakyat yang ditahan di bawah akta ini dicabuli oleh pihak penguasa yang mementingkan survival politik mereka. Namun, selepas mengecapi kemerdekaan 50 tahun, tahun lalu dan 51 tahun, tahun ini, akta yang menzalimi ramai para pejuang masih diteruskan, semata-mata menyelamatkan kepentingan pihak berkuasa.
Masih ramai rakyat Malaysia tidak menyedari kezaliman akta tersebut. Masih ramai yang beranggapan akta itu harus diteruskan bagi kepentingan dan keselamatan negara.
Jelasnya, siapakah yang menentukan mereka itu bersalah? Di mahkamah manakah kesalahan mereka mengancam keselamatan negara dibuktikan? Ada yang berkata ISA bertujuan 'melindungi' mereka yang ditahan dari dihukum jika dibawa ke mahkamah.
Apapun alasannya, penahanan di bawah akta itu sendiri sudah tidak sah. Tidak lain dan tidak bukan kerana penahanan tersebut tidak dibicarakan. Orang kena tuduh (OKT) hanya ditahan di Kamunting dan terpaksa mengikut segala kehendak pihak penguasa.
Dalam tempoh 60 hari ditahan untuk soal-siasat, mereka tidak dibenarkan berhubung dengan dunia luar. Malah, mereka juga tidak dibenarkan bertemu peguam bagi mewakili mereka. Jika pihak polis berpuas hati dengan siasatan, mereka akan dihantar ke Kamunting untuk dua tahun atau dibebaskan terus.
Penyeksaan dan penderaan menjadi mainan para pihak berkuasa di kem tahanan. Berdasarkan kenyataan beberapa tahanan yang ditahan, mereka akan disoalsiasat selama 24 jam, selain dipaksa menanggalkan pakaian, malah diugut diancam keselamatan keluarga mereka.
Penggunaan akta zalim ini mendapat tentangan dari pelbagai pihak, sama ada dari dalam negara dan luar negara. Khususnya badan-badan bukan kerajaan berhubung hak asasi manusia.
Namun, kerajaan sekalipun tidak mendengar apa yang disuarakan rakyat melalui sebuah NGO, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI). Melalui GMI, rakyat Malaysia boleh menyatakan bantahan mereka terhadap kezaliman akta ISA ini.
Cukuplah 48 tahun ISA menzalimi rakyat Malaysia. Cukuplah air mata keluarga tahanan dihamburkan demi menanti kepulangan yang tidak pasti. Sudah sampai masanya akta itu dimansuhkan dan gunalah kebijaksanaan mahkamah untuk menentukan betul salah seseorang itu.- tmj_

Akibat tiada mekanisme efisyen, PM gagal turunkan harga minyak

Intan Abdullah
Sat | Aug 02, 08 | 12:26:25 am MYT

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Hrkh) - Sehingga kini kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi, masih tidak mempunyai sebarang mekanisme terbaik yang efisyen untuk menurunkan harga minyak yang kian membebankan rakyat.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menegaskan kerajaan perlu menunaikan tanggungjawab mereka bagi memastikan harga minyak negara berada dalam keadaan yang stabil dan berpatutan.
"Kita lihat kerajaan gagal membentuk suatu mekanisme berkesan bagi membela rakyat yang teruk menderita dengan kenaikan harga minyak tanpa satu formula penyelesaian," ujarnya kepada Harakahdaily.
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, menempelak tindakan kerajaan yang mengambil masa terlalu lama untuk mengumumkan penurunan harga minyak sedangkan dibeberapa buah negara harga minyak sudah diturunkan mengikut penurunan harga minyak di peringkat antarabangsa.
"Bila nak naik dulu, tiada kajian dibuat. Cepat sahaja kenaikan tersebut berlaku. Tapi bila nak turun lambat pula tindakan diambil," katanya sambil menyifatkan ia sebagai tindakan tidak prihatin kerajaan Barisan Nasional.
Khalid menyifatkan tindakan kerajaan khususnya Abdullah yang melengah-lengahkan penurunan harga minyak tersebut sebagai tidak bertanggungjawab. Beliau berpendapat, kenaikan dan penurunan ini disebabkan oleh faktor spekulasi isu semasa.
"Perubahan yang berlaku adalah disebabkan oleh spekulasi semasa dan bukan akibat keadaan pasaran, yakni bukan isu bekalan tidak cukup ataupun peningkatan permintaan," ujarnya.
Tegasnya, kerajaan sebagai penentu harga minyak pasaran di negara ini perlu lebih bijak dengan tidak membiarkan ianya dikuasai spekulator.
"Kena ada mekanisme yang bijak dan tidak boleh membenarkan spekulator berkuasa," katanya lagi.
Kelmarin, PAS melalui Bendaharinya, Dr. Mohd Hatta Ramli mendesak kerajaan agar harga minyak diturunkan ekoran penurunan harga minyak mentah dunia.
Dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily, Mohd Hatta meminta kerajaan agar bersikap lebih serius malah mengotakan janji mereka yang sebelum ini akan menurunkan harga minyak selari dengan perubahan harga minyak di peringkat antarabangsa.
"Kerajaan perlu mengotakan janji mereka, kerana sebelum ini Dato' Shahrir Samad sendiri pernah berjanji akan menurunkan harga minyak berdasarkan harga minyak dunia," ujarnya.
Mengulas perkembangan semasa, Mohd Hatta berkata harga minyak di Singapura telah pun diturunkan beberapa kali dalam tahun ini namun, Malaysia yang berstatus negara pengeluar minyak atau negara Opec masih tidak mampu melaksanakannya.
Beliau menyelar sikap kerajaan Malaysia yang masih tidak menunjukkan tanda-tanda bahawa mereka serius membela masalah dan kebajikan rakyat akibat kenaikan harga minyak yang begitu drastik selama ini.
"Ia merupakan suatu tamparan hebat kepada Malaysia kerana Singapura merupakan negara pengimport pun berusaha untuk menangani masalah rakyat mereka sedangkan kita sebagai negara pengeluar minyak tidak mempunyai apa-apa inisiatif bagi menjaga kepentingan rakyat," katanya.
Mohd Hatta berkeyakinan bahawa harga minyak negara ini berpotensi untuk kembali kepada harga asalnya selari dengan penurunan harga minyak dunia yang semakin giat berlaku.- tmj_

Admin : Harga minyak Malaysia akan turun jika Pak Lah turut letak jawatannya.
 

blogger templates | Make Money Online