10 Amalan Yang Dituntut Ketika Dan Semasa Menyambut
Hari Raya Aidilfitri
Selamat Hari Raya Aidilfitri
Al-Imam As-Shafie membahaskan dalam kitabnya, Al-Umm (Ibu) menceritakan amalan-amalan baik yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan golongan-golongan ulama serta para solihin, diringkaskan bahawa terdapat 10 amalan iaitu persediaan ketika dan semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri. Amalan-amalan ini adalah seperti berikut:-
1)Kita digalakkan berdoa ketika malam raya, ambillah kesempatan dan doalah sepanjang malam raya supaya diterima amalan-amalan kita sepanjang bulan puasa yg baru sahaja berlalu. Lupakan persiapan raya kerana sepatutnya kita mesti bersedia lebih awal bukan menunggu saat-saat malam raya kerana waktu doa mustajab salah satunya ialah pada malam Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Haji. Subhanallah.
2)Takbir raya. Memuji kebesaran Allah SWT setelah memberi nikmat dan ganjaran yang terlalu besar sepanjang Bulan Ramadhan dengan datangnya Lailatul Qadar. Takbir raya lah semampu mungkin sebagai tanda kesyukuran kepada nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT.
3)Mandi sunat hari raya Aidilfitri. Kita digalakkan mandi solat sunat Hari Raya Aidilfitri dan disunatkan bercukur (bulu ketiak, ari-ari, kemaskan misai dsb) supaya kita kelihatan cantik, kemas dan bersih menghadap Allah SWT.
4)Memakai wangi-wangian. Rasulullah SAW memakai wangi-wangian ketika menunaikan solat sunat Hari Raya dan digalakkan memakai pakaian yang cantik-cantik jika kurang mampu eloklah sekadar ianya bersih dan cantik dipandang.
5)Makan sedikit dalam angka yang ganjil. Rasulullah SAW memakan sedikit buah tamar (atau kurma) sebelum keluar ke masjid dan diriwayatkan dalam angka yang ganjil iaitu 3 biji. ianya sebagai syarat kita sudah tidak berpuasa lagi pada hari raya. Jika tiada, minumlah sedikit air.
6)Mengucapkan salam dan selamat kepada orang islam sepanjang perjalanan ke masjid dan sepanjang hari raya. Ucaplah "Taqabbalallah huminna waminkum" Semoga Allah menerima doa aku dan kamu, supaya Allah menerima doa-doa kita sepanjang bulan Ramadhan.
7)Pergi dan pulang dari masjid menggunakan jalan yang berbeza. Ianya supaya dapat mengeratkan silaturrahim sesama Islam kerana kita dapat bertemu dengan rakan-rakan dan saudara-saudara lain jika kita menggunakan jalan yang berbeza, maka bertambah ramai lagilah yang kita berjumpa dan ucap salam dihari mulia itu.
8)Menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri. Bawalah bersama ahli keluarga untuk sama-sama menunaikan solat ini, alangkah ruginya bagi mereka yang menunaikan solat sunat ini namun meninggalkan khutbah Hari Raya seolah-seolah tergantung solatnya antara langit dan bumi. Apa salahnya menunggu seketika demi merebut ganjaran yang dikurniakan Allah SWT.
9)Ziarah menziarahi. Kunjungilah ahli kelurga, jiran tetangga, sanak-saudara, kaum kerabat, sahabat handai dan sesiapa saja samada kawan mahupun lawan. Keberkatan pada Hari Raya insyaAllah yang lawan menjadi lawan, yang keras menjadi lembut, yang tertutup menjadi buka. Pohonlah kemaafan sesama manusia kerana Allah tidak akan mengampunkan kesalahan yang dilakukan sesama manusia walaupun Allah sentiasa memaafkan dosa-dosa hambanya yang zalim jika mereka memohon keampunanNya.
10)Puasa 6 dibulan Syawal. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud sesiapa yang berpuasa sebulan di bulan Ramadhan dan diikuti puasa 6 hari dibulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun. Subhanallah. Timbul pula persoalan bolehkah dilakukan puasa ganti (wajib) dengan puasa sunat? Jawapan yang paling tepat, wajib dan sunat adalah 2 perkara yang berbeza. Lakukan secara berasingan.
Semoga ringkasan kitab mengenai 10 amalan iaitu persediaan ketika dan semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri memberi manfaat kepada kita semua sebagai persediaan kita menghadapi dan menyambut Hari Raya Aidilfitri. InsyaAllah. Sebar-sebarkanlah demi melahirkan umat islam yang berpegang teguh pada Allah dan beramal dengan sunnah Rasulullah SAW. Wassalam