Mohd Nor Yahya
KOTA BHARU, 4 April: Kerajaan Kelantan tidak pernah mengenakan apa-apa syarat kepada syarikat yang ingin mendapatkan konsesi balak di negeri ini seperti memberi derma kepada kerajaan, kata Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Beliau berkata, bukan menjadi dasar kerajaan meminta mana-mana syarikat yang mendapat konsesi balak memberi derma kepada kerajaan.
“Ini tak ada dalam pengetahuan saya," katanya selepas melakukan pelepasan konvoi 1,300 motosikal berkuasa tinggi di perkarangan Stadium Sultan Mohammad ke-IV di sini, hari ini. (Gambar sebelah)
Sebelum ini sebuah blog mendakwa kononnya setiap pihak yang memohon kawasan balak dan tanah hutan bagi tujuan perladangan perlu menderma kepada PAS.
Menteri Besar menyifatkan penulis blog terbabit sengaja cuba menimbulkan isu bagi mengelirukan orang ramai.
Katanya, penulis blog diibaratkan sebagai kedai kopi bergerak yang membincangkan segala perkara sama ada untuk kebaikan dan keburukan sesuatu pihak.
Berucap sebelum itu katanya, Islam sentiasa menggalakkan umatnya berada dalam keadaan sihat dengan melakukan aktiviti yang boleh memberi manfaat kepada diri sendiri.
“Kita di Kelantan tidak pernah menyekat aktiviti sebegini tetapi ia mestilah berlandas kepada peraturan yang telah ditetapkan,” ujarnya.
Beliau berkata, Kelantan ingin menunjukkan kepada dunia bahawa Islam tidak menganjurkan keganasan atau peperangan.
Menurutnya program bermotosikal sesuai untuk menggambarkan Kelantan sebagai sebuah negeri yang aman damai.
Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi kerjasama kepada mana-mana persatuan yang ingin menjadikan Kelantan sebagai tempat penjelajahan bermotosikal.
“Alhamdulillah setakat ini perhimpunan motosikal berkuasa tinggi dapat diadakan bagi kali keempat di Kelantan.
“Dan ia akan dijadikan sebagai acara tahunan. Perhimpunan kali ini juga berjaya menghimpun peminat motosikal besar dari negara Asean dan asing,” katanya.
Seramai 1,500 peserta dan sebanyak 1,300 motosikal berkuasa tinggi termasuk dari Argentina, Thailand, Brunei, Pakistan dan Singapura menyertai program berkenaan.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shafie Ismail, Yang Dipertua MPKB-BRI, Datuk Ahmad Mahmood dan Pengerusi Bersama Kelantan Bike, Dr Nik Omar Nik Daud.
Sumber : Harakahdaily.Net
Catatan Dhuha april 2019
5 tahun yang lalu