Khairul Azlam
KUALA TERENGGANU, 20 Feb: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menekankan bahawa tentu proses kehakiman dan perundangan dalam negara ini sekarang banyak yang tidak kena sehingga orang luar memprotes.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang semasa bercakap kepada media selepas merasmikan Himpunan Pemuda Islam Kawasan Kuala Terengganu (Pemikat) 2010 di sini, semalam berkata, situasi itu mesti diperbetulkan supaya proses keadilan wujud.
Begitupun, beliau bukan ‘menyelar’ tetapi tidak bersetuju terhadap campur tangan asing dalam sebuah negara berdaulat di atas kaedah secara umum, iaitu atas prinsip hubungan luar dan diplomasi antarabangsa.
Berikut ialah jawaban beliau kepada soalan pihak media.
Wartawan: Dalam isu campur tangan asing, apakah pandangan PAS. Sebab, ada pihak yang membantah campur tangan tersebut?
Abdul Hadi: Pertama, PAS sebagai sebuah parti Islam dari segi dalaman PAS mahu proses kehakiman berlaku dengan adil dan baik, khususnya mengikut konsep Islam itu sendiri yang perlu diberi hak kepada orang yang dituduh, hakim dan yang menuduh. Semua pihak mempunyai perhitungan dosa dan pahala, bukan sahaja undang-undang yang lahir undang-undang Barat. Sekiranya, masalah ini tidak selesai di atas dunia ini dengan betul, Tuhan akan selesai juga di hari kiamat. Saya beri peringatan kepada semua pihaklah. Sebab itulah, dalam Islam ini ada undang-undang hudud yang termasuk di dalamnya undang-undang qazaf, dengan saksi-saksi yang betul, yang cukup jumlahnya empat orang saksi, yang budiman, yang beriman dan berakhlak. Hakim pula mestilah orang yang beriman dan bertaqwa.
Dari segi campur tangan asing, saya sebagai rakyat Malaysia mahu negara kita sebuah negara yang berdaulat dan tidak perlu kepada campur tangan asing, apa lagi dari negara-negara barat, negara yang bukan Islam. Campur tangan ini mungkin kerana ada tempat-tempat yang boleh ditembusi oleh campur tangan asing. Saya merasakan sekiranya kita berlaku dengan adil mengikut konsep yang tepat, ada kehebatan kita dan pihak asing tidak berani hendak campur. Ini mungkin kerana ada kelemahan-kelemahan yang memberi ruang kepada pihak asing hendak campur tangan. Dengan sebab itu, kita perlu memperhebatkan kehakiman kita sendiri dan sistem kita sendiri supaya disegani oleh semua pihak termasuk pihak asing.
Jadi, pada pandangan Datuk Seri, campur tangan asing itu tidak bolehlah?
Campur tangan tidak boleh tetapi dari dalaman sendiri mesti perbaiki, mesti ada kehebatan. Ini kerana, apa yang berlaku hari ini timbul krisis ‘keyakinan’ terhadap sistem kehakiman. Dengan sebab itu, selesaikan krisis keyakinan ini dahulu. Barulah kita ada kehebatan. Jika tidak, hilang kehebatan kita.
Jadi, PAS sendiri melihat sistem kehakiman kita tidak berjalan lancar dan dipengaruhi?
Sistem kehakiman kita masih berada di bawah Jabatan Perdana Menteri, di bawah mereka yang ada kepentingan politik dan tidak ada pemisahan kuasa di antara ‘legislatif, eksekutif dan kehakiman’. Pemisahan kuasa itu tidak berlaku, sudah jadi bercelaru dan ini yang menyebabkan hilang keyakinan. Dengan sebab itu, kita mahu pemisahan kuasa itu berlaku dan barulah kehakiman itu ada kewibawaan dan ada kehebatan.
Maksud Dauk Seri, ada campur tangan dalam ‘legislatif, eksekutif dan kehakiman’ dan menyebabkan krisis?
Ya, krisis, krisis keyakinan yang berlaku.
Jadi, maksudnya badan kehakiman mesti jadi badan bebas dan tidak dipengaruhi?
Ya, bebas dan pemisahan kuasa itu ada, dengan sebab itu, kehakiman patut diletak di bawah Parlimen secara langsung atau di bawah Majlis Raja-Raja Melayu, supaya yang disebut Raja Berperlembagaan itu dipraktikkan dengan cara yang tepat.
Datuk Seri, ekoran campur tangan Australia, ada kemungkinan atau tidak PAS mengambil langkah membuat bantahan?
Itu kita belum lagi membuat keputusan dan kita kena kaji dahulu, kita lihatlah. Sebabnya, dalam masa yang sama kita rasa malu nak bantah orang campur tangan jika kita sendiri, tangan, jika kita sendiri ada keaiban. Cara yang lebih berkesan ialah kita memperbaiki diri kelemahan kita sendiri. Itu cara yang tepat. Dan kita kena siasat secara adil terhadap diri kita sendiri. Sebabnya, Islam mengharamkan kita membela kezaliman walau pun dari kalangan puak kita sendiri, negara kita sendiri. Konsep keadilan Islam adalah sejagat.
Datuk Seri, tadi kata kita rasa malu sebab ada keaiban. Apa yang dimaksudkan dengan keaiban itu?
Keaibannya ialah kita melihat tidak ada pemisahan kuasa di antara semua pihak iaitu ‘legislatif, eksekutif dan judiciary’ dan Nabi kita Muhammad s.a.w. sendiri mengajar kita pemisahan kuasa ini dalam kes yang banyak dan dalam yang mengaibkan diri Nabi sendiri. Di mana Nabi s.a.w. tidak menggunakan kuasa dia tetapi dia melantik hakim untuk menyelesaikan masalah dia sendiri. Dan hakim itu diberi hak untuk menghukum jika dia salah.
Catatan Dhuha april 2019
5 tahun yang lalu