Search Islamic Directory
Keyword:

JOM UBAH!!!

JOM UBAH!!!

UBAH SEKARANG

UBAH SEKARANG

Sekat Iran, Najib dicabar saman media antarabangsa

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 19 April: PAS mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyaman media antarabangsa berhubung pendedahan tentang sekatan eksport gas ke Iran oleh Petronas.

Laporan seperti The Wall Street Journal, AFP dan Reuters sebelum ini melaporkan sekatan terhadap Iran itu dibuat sebagai usaha Malaysia untuk menyokong Amerika yang berkempen untuk melakukan sekatan ke atas negara itu.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, walaupun Najib menafikan bahawa Petronas menghentikan bekalan gas ke Iran kerana menyokong kempen Amerika, namun itu tidak dapat menafikan kerjasama Malaysia untuk menekan Iran bersama Amerika.

Media AFP jelasnya turut melaporkan bahawa Najib dalam pertemuannya dengan Barack Obama didalam Nuklear Security Summit, Washington baru-baru ini memberikan amaran kepada Iran bahawa negara itu perlu mendapatkan kepercayaan antarabangsa dan satu-satu cara untuk mendapatkan perkara itu adalah dengan bersikap telus dan membenarkan IAEA membuat siasatan keatas program nuklear di negara itu.

Sebelum ini negara dikejutkan dengan pendedahan bahawa kerajaan Malaysia membayar syarikat perunding yang dikuasai pelobi Israel, APCO dengan bayaran RM 77 juta setahun. Dan APCO yang menjadi sandaran untuk program 1 Malaysia juga merupakan syarikat perunding utama yang banyak mempengaruhi keputusan Amerika dan Britain untuk menyerang Iraq pada 2003.

Syarikat sama juga katanya pernah memainkan peranan memburuk-burukkan negara Islam selepas tragedi 911, dalam usaha mereka melindungi kepentingan kuasa zionis di Timur Tengah.

"Tekanan ke atas Iran juga dipercayai adalah pengaruh dari APCO yang melihat negara itu sebagai ancaman.

"APCO juga telah membawa Najib berjumpa Obama, untuk mengukuhkan pengaruh mereka dinegara ini selepas rakyat mengetahui pembabitan mereka dalam Kerajaan selama ini," katanya dalam satu kenyataan.

Keengganan Najib menyingkirkan APCO dari Putrajaya pula jelasnya membuktikan Kerajaannya dikongkong dan tidak bebas dari pengaruh antarabangsa.

"Malaysia yang selama ini bersuara lantang dalam isu Palestin dan Nuklear menjadi lemah selepas Najib mengambil alih.

"Najib perlu membuktikan identiti Malaysia dalam dirinya dan meneruskan hubungan baik negara ini dengan Iran dan seluruh negara Islam," tegasnya lagi.

Selain itu, Malaysia juga katanya harus mainkan peranan untuk membantu Iraq memerdekakan dirinya dari penjajahan serta menghalang usaha Amerika dan sekutunya yang tekad untuk menyekat ekonomi Iran.

"Rakyat menunggu Najib menyaman media-media barat dan menghalau APCO dari negara ini dengan segera sebagai membuktikan komitmennya dalam membina hubungan baik dengan Iran dan negara Islam lainnya," katanya.

Sumber : Harakahdaily.Net

Tindakan Dr Halili Tak Jejas PRK Hulu Selangor



Oleh Norasikin Samsi

KUALA LUMPUR 19 April - Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff ( gambar ) menyifatkan Bendahari KEADILAN Hulu Selangor, Datuk Dr Halili Rahmat yang bertindak keluar parti hari ini sebagai seorang pakar bedah saraf yang bijak pandai tetapi gagal mendokong dasar yang diperjuangkan parti itu demi mempertahankan sistem demokrasi di Malaysia.

"Saya menghormati keputusan Dr Halili tetapi dalam masa yang sama saya ingin mengatakan bahawa apa yang sebenarnya yang nak dicapai kalau beliau selaku seorang yang berpendidikan tinggi mahu melihat Malaysia sebuah negara yang demokratik sifatnya maka keputusan beliau perlu memberi kebaikan kepada pendokong dan pejuang demokrasi dan keadilan dalam negara ini.

"Dalam hal ini bagi saya Dr Halili perlu tahu bahawa keputusan beliau sebenarnya bukannya memperkuatkan amalan demokrasi dinegara ini tetapi sebaliknya mendokong kelompok yang jelasnya tidak menghayati cita-cita demokrasi untuk rakyat Malaysia dan sebab itulah saya mempertikaikan keputusan beliau," katanya di lobi Parlimen tengahari tadi.

Banyak pihak menganggap langkah Dr Halili keluar KEADILAN pada saat parti menghadapi PRK Hulu Selangor sebagai hasil perasaan kecewa kerana tidak dipilih sebagai calon.

Setiausaha Agung KEADILAN Saifuddin Nasution Ismail menegaskan penyertaan Dr Halili ke dalam Umno ketika kempen pilihanraya berlangsung tidak menjejaskan kekuatan parti untuk terus bekerjan keras bagi menghadapi pilihan raya kecil Hulu Selangor 25 April ini.

"Saya tidak nampak kelemahan ke atas jentera KEADILAN baik mana-mana bahagian dan tidak berlakunya tunggang-langgang pada setiap jentera yang bertugas disebabkan pengumuman beliau keluar parti dan setakat ini keputusan tersebut tidak menjejaskan calon kita," katanya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar pula meletakkan harapan tinggi kepada Datuk Zaid Ibrahim dan menyifatkan beliau calon terbaik yang diputuskan KEADILAN.

"Penyertaan Dr Halili ke dalam Umno memang tidak diduga sebab beliau juga antara calon akhir bagi Hulu Selangor, bagaimanapun Zaid Ibrahim adalah calon yang terbaik dan kita mengharapkan kemenangan berpihak kepada kita," ujar beliau.

Mengulas isu yang sama, Ahli Parlimen Batu Tian Chua pula mengucapkan selamat jalan kepada pakar saraf itu tetapi kecewa kerana calon Barisan Nasional sehingga kini masih belum mengumumkan apa perubahan yang akan dilakukan kepada penduduk di Hulu Selangor.

"Pilihan raya kecil adalah satu pertarungan dari segi dasar dan personaliti calon serta agenda perkhidmatan yang akan disumbangkan oleh wakil rakyat.

"Sehingga sekarang saya merasa kecewa sebab kita masih tidak dengar lagi apa yang calon BN nak buat di Hulu Selangor," katanya lagi.

Dr Halili membuat pengumuman keluar parti di Petaling Jaya dalam satu sidang media pagi tadi.

Anak kelahiran Ulu Yam itu pernah dua kali bertanding dalam pilihan raya umum pada 1999 (Hulu Selangor) dan 2004 (DUN Batang Kali), tetapi tewas kedua-duanya.

Sumber : Suara-Keadilan.Com

1,200 ahli MIC yang bubar parti diajak sokong Zaid

Dzulfikar Mashoor

HULU SELANGOR, 19 April: Firdaus Jaafar, Pengarah Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Pusat merayu kepada lebih 1,200 beliau berbangsa India dari keempat-empat cawangan MIC Hulu Selangor yang baru dibuarkan di Hulu Selangor sejak Sabtu lalu supaya memberi undi protes kepada calon Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim.

Menurut beliau, mereka yang terbabit sewajarnya menyokong Zaid dan Pakatan Rakyat kerana parti-parti yang menganggotai Pakatan Rakyat tidak mengamalkan politik perkauman yang nyata menindas kaum-kaum minoriti di tanah air.

"Penyertaan lebih kurang 1,200 pengundi, khususnya dari kalangan belia di keempat-empat cawangan MIC (iaitu) Batang Kali, Taman Wawasan, Ladang Hulu Tamu dan Ulian Baru sebenarnya tidak merugikan masyarakat India di Malaysia (dan) di Hulu Selangor."

"Undi Datuk Zaid bermakna undi protes (pada) politik perkauman (serta) politik penindasan ke atas kaum minoriti (seperti kaum India) di Malaysia," " jelas beliau ketika dihubungi Harakakahdaily petang tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerai berkata, amalan politik perkauman melampau yang diamalkan oleh segelintir pemimpin tertinggi Umno sebenarnya tidak sesuai dengan masyarakat minoriti India.

Ditambah dengan penolakan Timbalan Presiden MIC G. Palanivel sebagai calon tunggal untuk mewakili BN di P94, menurut Firdaus, ketetapan tersebut menunjukkan bahawa Umno tidak menghargai keberadaan kaum India dalam menentukan konsensus politik dalam BN.

"Timbalan Presiden MIC (Palanivel) sendiri boleh ditolak, P. Kamalanathan adalah calon pilihan Najib, apa lagi toleransi yang Umno ada untuk konsesus bersama MIC dan masyarakat minoriti India seperti di Hulu Selangor," beliau menambah.

Satu sumber memberitahu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri S. Sammy Vellu (Presiden MIC) sejak kelmarin dilaporkan sedang memujuk berbelas-belas pemimpin MIC dari 13 cawangan tempatan supaya terus setia menyokong Kamalathan.

Sejak Rabu lepas, dilaporkan lebih 18 Ketua Cawangan MIC mengugut kepemimpinan BN untuk membubarkan cawangan masing-masing sekiranya Palanivel tidak dinamakan sebagai calon.

Ugutan dari akar umbi MIC itu, menurut suatu sumber dalaman MIC sendiri, turut disuarakan oleh Ketua Penerangan MIC Hulu Selangor, Raily Muniandy.

Pun begitu, Sammy sendiri dilihat sedaya upaya menunjukkan bahawa beliau ikhlas merestui calon pilihan Najib, iaitu Kamalanathan, walaupun beliau sebelum ini merupakan pemimpin BN paling awal membuat pengumuman bahawa Palanivel sebagai calon MIC di Hulu Selangor.

Sumber : Harakahdaily.Net

Malaysia membelakangkan Mufti

http://episodeperjuangan.blogspot.com/

1.Seketika negara kita dihebohkan oleh satu keputusan kabinet untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Antara Agama dimana ianya dipengerusikan bersama oleh Dr Koh Tsu Koon dan Hajjah Illani Ishaq .

2. Objektif yang diberikan sebagai alasan penubuhan Jawatankuasa ini ialah untuk menjadikannya ia sebagai satu wadah yang boleh menyelesaikan apa jua permasaalah dan kekeliruan yang timbul antara agama dalam negara ini .

3. Turut dijelaskan bahawa Jawatankuasa ini tiada komitmen peraturan atau undang - undang yang mengikat melainkan ia hanya satu jawatankuasa yang berupa forum atau dialog untuk mencari titik penyelesaian antara agama .

4. Baru - baru ini pula kita saksikan bagaimana mufti - mufti membantah tindakan kabinet terhadap penubuhan jawatankuasa tersebut . Akhirnya kerajaan bercadang untuk memberi penjelasan kepada mufti - mufti kenapa jawatankuasa ini perlu ditubuhkan . Apa yang menarik , jelas kita lihat sikap UMNO yang seringkali membelakangkan mufti dalam mengambil keputusan terutama dalam perkara yang melibatkan kepentingan agama Islam dan ummatnya .

5. Pihak mufti telah mencadangkan agar nama Jawatankuasa ini ditukar kepada suatu nama yang lain agar ia tidak memberi maksud yang mengelirukan ekoran sebelum ini telah wujud satu pertubuhan yang hampir sama dengan jawatankuasa antara agama sekalipun mempunyai matlamat yang berbeza iaitu IFC .

6. IFC sebelum ini dengan segala tindakan dan tuntutan mereka telah menimbulkan rasa tidak selesa dari kalangan ummat Islam terutama berkait dengan isu murtad dan menyamaratakan agama . Kini Jawatankuasa antara agama ditubuhkan oleh pihak kabinet dan sedikit sebanyak ia menimbulkan kekeliruan dikalangan ummat Islam .

7. Asasnya saya bersetuju dengan cadangan pihak mufti agar nama jawatankuasa tersebut ditukar kepada satu nama lain yang lebih jelas membawa matlamat dan objektif yang mahu dicapai sebalik penubuhan jawatankuasa tersebut . Mungkin Majlis Dialog Antara Agama atau Majlis Dialog Peradaban dan sebagainya lebih mengelak kekeliruan yang timbul .

8. Saya dan rakan - rakan pemuda PAS yang lain tidak bermasaalah dengan sebarang dialog dan perbincangan silang budaya , silang agama dan peradaban dalam usaha mengatasi segala salah faham dan kekeliruan timbul serta menamatkan segala prasangka yang hanya meletakkan kedudukan penganut pelbagai agama dalam negara ini dalam keadaan tegang dan bermusuh .

9. Malah agama Islam sendiri menggalakkan penganutnya berbincang , berdialog dan elakkan permusuhan bahkan apa yang diajar ialah membina kesejahteraan , keadilan dan kedamaian khasnya dalam masyarakat majmuk disamping kesucian agama Islam terus diperlihara dan tidak dipersenda .

10. Segala kekeliruan dan rasa sengketa antara satu sama lain hanya dapat diatasi apabila semua pihak mengambil langkah penyelesaian dengan :

* tenang tanpa gopoh dalam tindakan ,
* tindakan berasaskan kebenaran hujjah ,
* saling hormat menghormati ,
* jauhkan diri dari sebarang provokasi ,
* berbincang dalam menyingkap kekeliruan .


Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi,
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.
 

blogger templates | Make Money Online