Ditulis oleh Wan Nik Wan Yussof
WEDNESDAY, 03 MARCH 2010 07:14
Sebelum ini, ruang ini telah dimuatkan pandangan Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan,Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung isu wakil rakyat melompat parti. Ia memberi natijah bahawa lompat tak boleh, melompat boleh yang bermaksud sebarang tindakan keluar dari perjuangan Pakatan Rakyat adalah tidak boleh, kerana dianggap meninggalkan perjuangan berteraskan prinsip kebenaran dan keadilan yang selari dengan Islam.
Sementara tindakan melompat masuk dibolehkan kerana ia merujuk kepada tindakan untuk meninggalkan perjuangan sekular yang palsu dan zalim, dan kemudian menyertai perjuangan berteraskan kebenaran dan keadilan Islam.
Berikutan itu pula, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah memberi kata dua (Bernama, 23 januari 2010) kepada parti-parti dalam Pakatan Rakyat bahawa mereka akan dipulaukan oleh rakyat jika mengamalkan gejala tidak sihat.
Mungkin maksud gejala tidak sihat itu boleh dikaitkan dengan langkah lompat parti atau membiarkan wakil rakyat bertindak sendirian sehingga berlaku lompat parti. Penting dilihat agar gejala tidak sihat itu tidak berterusan berlaku dalam Pakatan Rakyat. Jika tidak, Pakatan Rakyat akan berdepan dengan perangkap dipasang BN.
Agenda BN
Walau apa pun, perkembangan politik mutakhir ini adalah disyaki sebagai suatu perencanaan perangkap BN. Ia berkaitan dengan percubaan menjayakan agenda BN bagi meraih semula kuasa dua pertiga di parlimen. Maka berlakulah pendekatan membebaskan ahli parlimen Pakatan Rakyat untuk menyokong BN. Ia selari dengan kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang menganggap tindakan keluar parti dan menjadi bebas adalah untuk menyempurnakan agenda Umno dan BN.
Agenda itu turut disokong media massa, apabila beberapa media cetak dan televisyen serta internet telah bertindak sebagai pemutar gelora kepanasan beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat untuk reaktif bertembung dengan beberapa orator utama. Terbaru ialah ahli parlimen Nibong Tebal yang mengiringi ahli parlimen Bayan Lepas.
Lebih awal daripada itu adalah ahli parlimen Pasir Mas dan dijangka mengiringi lagi adalah beberapa ahli parlimen yang bermasalah dengan parti masing-masing. Antaranya, ahli parlimen yang berdepan dengan jawatankuasa disiplin parti masing-masing seperti Kulim Bandar Baru dan Shah Alam.
Namun, ahli parlimen Shah Alam mungkin tidak bertindak membebaskan diri kerana dia dari PAS dan persoalan yang dihadapinya pula adalah persimpangan pandangan peribadi bukannya parti. Pengalaman wakil PAS Kelantan era penggal pilihan raya 2004 pernah disogok pihak tertentu agar menyertai BN, tetapi gagal. Mereka semua tidak bertindak membebaskan diri. Ia satu bukti kukuh betapa wakil rakyat PAS begitu kental menghadapi ombak perjuangan parti berteraskan Islam.
Tindakan membebaskan diri
Namun kemungkinan tindakan membebaskan diri boleh berlaku kepada mana-mana ahli parlimen yang longgar keyakinannya kepada dasar perjuangan dan prinsip parti masing-masing. Sebagai mana berlaku sebelum ini, kejatuhan kuasa Pakatan Rakyat memerintah Perak dek kerana tiga Adun – Behrang, Changkat Jering dan Jelapang – bertindak membebaskan daripada parti masing-masing lalu menjadi penyokong BN.
Sekiranya pihak BN bertekad untuk meraih dua pertiga dalam tempoh terdekat, maka mana-mana wakil rakyat dari Pakatan Rakyat pasti akan dijadikan fokus operasi membebaskan untuk menyokong BN. Agen BN boleh meneliti senarai ahli parlimen Pakatan Rakyat di setiap negeri yang mencium dan memanaskan masalah dihadapi agar tertarik keluar menjadi ahli parlimen bebas.
Sasaran BN hanya perlu meraih empat orang sahaja lagi untuk membolehkan BN mencapai majoriti dua pertiga, iaitu mencukupkan bilangan 148. Kerusi BN di dewan rakyat asalnya sebanyak 140 kerusi, tetapi dua ahli parlimen BN dari Sabah telah keluar BN menjadikan 138 kerusi. Maknanya BN memerlukan 10 orang lagi menyokong BN.
Berdasarkan perkembangan itu, ahli parlimen yang membebaskan diri setakat ini sudah ada tiga orang di Semenanjung – Pasir Mas (simbol PAS), Bayan Lepas (KeADILan) dan Nibong Tebal (KeADILan), dua dari Sabah dan seorang yang memang asalnya menang atas tiket Bebas. Menjadikan semuanya 6 bertaraf bebas.
Namun, sikap mutakhir ahli parlimen Kulim Bandar Baru boleh jadi beliau akan mirip menyokong BN kerana sikap songsangnya jelas menyanggah prinsip dan fizikal kepartian.
Begitu juga sebelum ini, Ahli Parlimen Indera Mahkota turut menjadi sasaran pembujukan pihak Umno agar keluar KeADILan berikutan sikapnya yang tidak berpuas hati dengan pengurusan kewangan parti.
Bagaimana pula dengan beberapa orang lagi ahli parlimen Pakatan Rakyat di serata negeri termasuk di Sabah dan Sarawak?
Tekad BN raih dua pertiga
Walau apa pun, jika benar tekad BN untuk meraih sokongan dua pertiga, mungkin akan berulang pendekatan curang BN dengan menggunakan apa sahaja aparatus bagi meraih sasaran. Sebagaimana kes Adun Behrang dan Changkat Jering pernah disabitkan dengan penyiasatan kes rasuah. Lalu mereka itu keluar parti.
Sabitan yang sama berlaku ke atas seorang Exco Kedah (KeADILan) yang kemudiannya keluar parti. Begitu pula, sejarah lampau dalam kisah turn-about dan about-turn di Kelantan dan penggulingan kerajaan PAS Terengganu pada tahun 1966. Mereka berjaya di Terengganu, tetapi gagal di Kelantan.
Kesemua senario dan jangkaan tersebut adalah landaan krisis yang mungkin dihadapi pihak Pakatan Rakyat.
Mungkin BN tidak akan terkecuali menggunakan isu untuk menambahkan bilangan kerusi Melayu dalam kajian persempadanan baru bahagian pilihan raya bagi menarik lebih sokongan beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat menyokongnya.
Mungkin akan ada kalangan ahli parlimen Melayu yang tertarik “demi masa depan Melayu” akan keluar dan menyertai Umno dalam sentimen ke arah menambahkan lagi bilangan kerusi Melayu di parlimen mahupun dewan negeri.
Sehubungan itu, kepada parti KeADILan, PAS dan DAP jangan merasai selesa sehingga wujud complacency dengan memandang kecil atau remeh dengan kemungkinan wujud gerakan membebaskan beberapa orang ahli parlimen pada saat ini.
Persidangan wakil rakyat
Di atas peringatan ini, sewajar pihak sakretariat Pakatan Rakyat peringkat pusat hendaklah mengambil langkah menangani krisis itu dengan bijak dan segera. Antara langkah menangani kemungkinan krisis itu ialah mengadakan cegahan secara kolektif melalui suatu persidangan wakil rakyat dan pimpinan parti-parti Pakatan Rakyat.
Melalui persidangan itu, masing-masing parti hendaklah melaksanakan persegaran perjuangan, pemantapan dasar dan penelitian prinsip perjuangan serta mengambil langkah-langkah penyelesaian krisis keyakinan kalangan wakil rakyat agar wakil rakyat dapat mengunci nafsu daripada terjebak dengan pancingan BN.
Wan Nik Wan Yusoff
Setiausaha Politik,
Menteri Besar Kelantan
Catatan Dhuha april 2019
5 tahun yang lalu