Muhammad Yusri Amin
KOTA BHARU, 10 April: Kerjasama erat ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat iaitu PAS, PKR dan DAP Selangor mampu menumbangkan Barisan Nasional dan memastikan Parlimen Hulu Selangor kekal milik Pakatan Rakyat.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, beliau yakin Pakatan Rakyat mempunyai peluang yang cerah untuk menang dengan penampilan calon berwibawa dari PKR yang akan diumumkan 13 April ini.
“Bagi kami (PAS) di Selangor, tidak ada masalah bekerjasama dengan DAP dan PKR. Ini kerana keadilan itu untuk semua, dan ini adalah antara tuntutan perjuangan dalam Islam," katanya.
“Pakatan Rakyat khususnya PAS adalah ‘tahalul siaasi’ (kerjasama politik), bekerjasama dalam satu Pakatan bagi menggantikan BN (memerintah negara ini), insya Allah,” katanya ketika berucap di majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kota Bharu Kali Ke-43 yang berlangsung di Kelantan Trade Centre (KTC) di sini pagi tadi.
PRK Hulu Selangor akan diadakan pada 25 April manakala penamaan calon pada 17 April ini.
Mengulas Pilihanraya Kecil Parlimen Sibu, beliau pula berkata ianya menjadi titik tolak bagi Pakatan Rakyat dalam usaha menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional di Sarawak.
“Sibu ini akan menjadi sebagai titik permulaan gerak kerja hendak menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional di Sarawak,” katanya lagi.
Turut hadir pada majlis sama Ahli Parlimen Kota Bharu merangkap Yang Dipertua PAS Kota Bharu Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Lama Datuk Anuar Tan Abdullah, Adun Bunut Payung Datuk Takiyuddin Hassan dan Adun Tanjong Mas Rohani Ibrahim.
Parlimen Sibu menjadi kosong ekoran kematian penyandangnya Datuk Robert Lau Hoi Chew baru-baru ini, dipercayai mengidap penyakit barah.
Pilihan raya kecil itu nanti, jika diisytiharkan, adalah yang kedua diadakan di Sarawak selepas pilihan raya kecil Dun Batang Ai.
Pada pilihan raya lalu, Datuk Robert (SUPP) yang mewakili Parlimen Sibu sejak 1990 mengalahkan calon DAP Wong Ho Leng dan calon PKR Lim Chin Chuang dengan mejoriti 3,235.
Pada Pilihan Raya Umum 2008 Datuk Lau memperolehi 19,138 undi, sementara Wong memperolehi 15,903 dan Lim mendapat 812 undi.
Sumber : Harakahdaily.Net