Anis Nazri
Sat | Aug 02, 08 | 2:05:31 am MYT
Semalam, 1 Ogos 2008, genaplah usia 48 tahun akta maha zalim ISA bertapak di tanahair kita yang tercinta ini. Jika manusia, ia sudah cukup dewasa, malah beza tiga tahun saja dengan ulang tahun kemerdekaan negara kita. Namun, ia terus dijulang sebagai akta keramat bagi pemerintah yang gentar dengan kebenaran. Iklan
Menjelang sambutan kemerdekaan negara 31 Ogos ini, sambutan yang membuktikan negara kita dikatakan bebas dari sisa-sisa penjajah, rupa-rupanya masih ada lagi akta dan undang-undang penjajah yang digunapakai dalam negara yang diuar-uarkan sebagai negara demokrasi dan berjiwa merdeka.
Merdekakah Malaysia jika masih banyak akta mengarut lagi zalim menghiasi mahkamah keadilan negara? Merdekakah jiwa pemimpin yang memiliki kuasa apabila terus mengangkat dan mengekalkan akta zaman penjajah ini? Adilkah mahkamah kita dengan akta yang jelas tidak adil!
Sebenarnya, banyak lagi akta dan undang-undang lapuk yang perlu dimansuhkan dari negara ini. Namun, sempena ulangtahun ke-48 ini, biarlah ISA menjadi topik utama hari ini.
Dengan adanya ISA, sesiapa pun boleh ditahan oleh polis selama 60 hari berturut-turut tanpa perbicaraan untuk tindak-tanduk yang dijangkakan mengancam keselamatan.
Selepas 60 hari, seseorang tahanan itu boleh ditahan lagi selama tempoh dua tahun jika diluluskan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, dan sekaligus membolehkan penahanan terus tanpa perbicaraan.
Pada tahun 1989, kebolehan mahkamah untuk menyiasat kuasa menteri di bawah peruntukan ini telah dihapuskan dengan beberapa pindaan kepada akta ini. Pada masa kini, mahkamah boleh melihat semula hanya perkara-perkara teknikal sahaja berkenaan sebarang penahanan di bawah ISA.
Beribu-ribu orang termasuk ahli kesatuan sekerja, pemimpin pelajar, aktivis hak buruh, aktivis politik, golongan agama, ahli akademik dan aktivis badan bukan kerajaan telah ditahan di bawah ISA. Ramai aktivis politik pada masa dahulunya telah ditahan untuk lebih daripada sedekad.
Secara jelasnya, ISA digunakan secara konsiten terhadap mereka yang mengkritik kerajaan dan mempertahankan hak asasi manusia.
Akta ini merupakan satu alat yang dikekalkan oleh kerajaan yang berkuasa untuk mengawal kehidupan umum dan masyarakat awam, yang rata-ratanya masih berada di zaman ketakutan - takut menyatakan kebenaran ataupun menyuarakan pandangan.
Sudah 48 tahun hak rakyat yang ditahan di bawah akta ini dicabuli oleh pihak penguasa yang mementingkan survival politik mereka. Namun, selepas mengecapi kemerdekaan 50 tahun, tahun lalu dan 51 tahun, tahun ini, akta yang menzalimi ramai para pejuang masih diteruskan, semata-mata menyelamatkan kepentingan pihak berkuasa.
Masih ramai rakyat Malaysia tidak menyedari kezaliman akta tersebut. Masih ramai yang beranggapan akta itu harus diteruskan bagi kepentingan dan keselamatan negara.
Jelasnya, siapakah yang menentukan mereka itu bersalah? Di mahkamah manakah kesalahan mereka mengancam keselamatan negara dibuktikan? Ada yang berkata ISA bertujuan 'melindungi' mereka yang ditahan dari dihukum jika dibawa ke mahkamah.
Apapun alasannya, penahanan di bawah akta itu sendiri sudah tidak sah. Tidak lain dan tidak bukan kerana penahanan tersebut tidak dibicarakan. Orang kena tuduh (OKT) hanya ditahan di Kamunting dan terpaksa mengikut segala kehendak pihak penguasa.
Dalam tempoh 60 hari ditahan untuk soal-siasat, mereka tidak dibenarkan berhubung dengan dunia luar. Malah, mereka juga tidak dibenarkan bertemu peguam bagi mewakili mereka. Jika pihak polis berpuas hati dengan siasatan, mereka akan dihantar ke Kamunting untuk dua tahun atau dibebaskan terus.
Penyeksaan dan penderaan menjadi mainan para pihak berkuasa di kem tahanan. Berdasarkan kenyataan beberapa tahanan yang ditahan, mereka akan disoalsiasat selama 24 jam, selain dipaksa menanggalkan pakaian, malah diugut diancam keselamatan keluarga mereka.
Penggunaan akta zalim ini mendapat tentangan dari pelbagai pihak, sama ada dari dalam negara dan luar negara. Khususnya badan-badan bukan kerajaan berhubung hak asasi manusia.
Namun, kerajaan sekalipun tidak mendengar apa yang disuarakan rakyat melalui sebuah NGO, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI). Melalui GMI, rakyat Malaysia boleh menyatakan bantahan mereka terhadap kezaliman akta ISA ini.
Cukuplah 48 tahun ISA menzalimi rakyat Malaysia. Cukuplah air mata keluarga tahanan dihamburkan demi menanti kepulangan yang tidak pasti. Sudah sampai masanya akta itu dimansuhkan dan gunalah kebijaksanaan mahkamah untuk menentukan betul salah seseorang itu.- tmj_
Catatan Dhuha april 2019
5 tahun yang lalu