Dzulfikar Mashoor
HULU SELANGOR, 19 April: Isu malar segar Maika Holding Sdn Bhd yang menyelubungi MIC sejak dua setengah dekad yang lalu dilihat kembali menjadi perhatian dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.
Menurut salah seorang pemegang saham Maika di sini, S. Nadarajah (gambar), pengumuman oleh Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu berhubung pembelian saham Maika bernilai RM106 juta kepada suatu kumpulan sektor swasta India sebenarnya adalah gimik politik semata-mata supaya 1,500 pengundi India mengundi calon BN, Ahad ini.
“Adakah betul dan memberi kepentingan kepada para pemegang saham. Atau ia hanya sekadar gimik?” ujar beliau dalam nada menyindir pada sidang media di Pusat Informasi dan Media PKR pagi tadi.
Ujarnya lagi, para pemegang saham seharusnya diberitahu tentang situasi sebenar yang berlaku di pemilikan Maika.
“Mereka perlu diberitahu tentang keadaan sebenar Maika, sepatutnya pemegang saham dapat kembali pulangan yang lebih baik,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa kecewa dengan kepemimpinan Samy kerana mengancam beliau dalam suatu program rasmi MIC apabila beliau membangkitkan isu Maika.
Mewakili 1,500 pemegang saham Maika di Hulu Selangor, beliau turut membangkitkan beberapa soalan kontroversi untuk dijawab oleh beberapa pihak berwajib.
Antaranya, Bank Negara Malaysia (BNM) serta pihak pengurusan Maika sendiri dipersoal kerana masing-masing tidak mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung status sebenar Maika.
Lebih meragukan, menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seakan terbabit dalam mengelirukan para pemegang saham Maika.
"Sebelum butiran transaksi diumumkan Samy Vellu, beliau awal lagi sudah mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan dalam menyelesaikan isu tersebut,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau turut mempersoal kredibiliti Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional.
“Kenapa sehingga sekarang tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Perdana Menteri atau kerajaan berhubung hal ini?
"Adakah Najib akan ke hadapan membantu menangani isu ini?" soalnya.
Dilaporkan ramai orang India melabur dalam saham-saham Maika pada 1984, termasuk pekerja ladang yang menggadaikan barang kemas keluarga dan mengeluarkan simpanan sepanjang hayat mereka untuk melabur.
Maika ditubuhkan pada 1982 itu demi membolehkan kaum minoriti India untuk turut serta dalam aktiviti pertumbuhan ekonomi nasional.
Bagaimana pun, pengurusan Maika tidak menyaksikan suatu pulangan yang menguntungkan.
Akibatnya, kira-kira 66,000 pemegang saham Maika dilaporkan mula mempertikai pemimpin tertentu MIC sejak dua dekad lalu.
Sumber : Harakahdaily.Net
Catatan Dhuha april 2019
5 tahun yang lalu