Search Islamic Directory
Keyword:

JOM UBAH!!!

JOM UBAH!!!

UBAH SEKARANG

UBAH SEKARANG
Memaparkan catatan dengan label PAS. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PAS. Papar semua catatan

RAKYAT MAHU KERAJAAN BARU BUKAN MODEL EKONOMI BARU

OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Pada 30 Mac yang lalu Najib Tun Razak mengumumkankan kepada rakyat kononnya satu reformasi ekonomi Malaysia melalui pengenalan bahagian pertama Model Ekonomi Baru ( MEB). Bahagian kedua MEB akan diumumkan pada bulan Jun nanti.

MEB mengandungi 8 inisiatif perubahan yang dicadangkan oleh Kerajaan BN.Di dalam laporan yang disediakan oleh Majlis Penasihat Ekonomi Kebangsaan ( MPEK ) didedahkan satu penilaian yang agak terbuka tentang apa yang tidak kena dengan ekonomi Malaysia sebelum ini . MPEK juga mendedahkan halangan-halangan yang mengakibatkan pencapaian ekonomi negara yang tidak memberangsangkan.

Kadar pertumbuhan tersebut mula menurun dalam beberapa tahun kebelakangan ini kepada purata 4.5 hingga 5 peratus sahaja.

MEB sepertimana slogan 1 Malaysia adalah slogan-slogan baru yang dicanangkan kepada rakyat negara ini. Menjadi satu trend dalam negara ini setiap kali berlaku pertukaran Perdana Menteri maka bertukar juga slogan-slogan manis yang dicanangkan kepada rakyat. Satu Malaysia ganti Islam Hadhari. MEB ganti DEB.

Bagaimanapun satu perkara yang tidak bertukar adalah sama ada konsep Islam hadhari atau 1 Malaysia atau DEB atau MEB idea-idea ini masih datang dari partai politik yang sama yang menerajui negara ini selama ini- UMNO atau Barisan Nasional ( BN ). Sejarah membuktikan idea-idea seperti DEB meskipun manis dari segi konsep dan niatnya namun bercelaru apabila tiba waktu pelaksanaannya.

DEB yang bertunjangkan idea yang baik iaitu untuk menyusun semula masyarakat dan menbanteras kemiskinan diakui oleh Najib sendiri dalam ucapannya dengan kata-kata berikut “ untuk sekian lama, perlaksanaan dasar affirmative ( DEB ) tidak sampai kepada pihak-pihak yang perlu kepada dasar tersebut”. Secara mudahnya DEB gagal.

Para penganalisa ekonomi meskipun mengambil sikap terbuka menerima konsep MEB ini namun masih ragu-ragu sama ada perlaksanaannya akan benar-benar dapat dilakukan dengan jayanya. Melihat kepada beberapa tulisan di dalam “the edge” seperti tulisan oleh Azam Aris ( “the missing political will” ) dan Anna Taing ( “So much to do and so little time to do it “) adalah jelas mereka percaya dasar ini tidak akan dapat dilaksanakan dengan jayanya selagi mana budaya “rent seeking and patronage” masih terus berleluasa.

Azam menulis “ budaya rent seeking dan sistem patronage adalah faktor besar yang menyumbang kepada ketirisan dan kebocoran dalam ekonomi- sebahagian menyatakan beratus-beratus billion ringgit- yang membawa kepada persekitaran ekonomi yang tidak cekap dan berdaya saing. Budaya ini berkait rapat dengan amalan rasuah”

Secara mudahnya budaya “rent seeking “ berlaku apabila mana-mana individu atau syarikat atau organisasi menggunakan segala sumber yang mereka ada untuk mendapat faedah-faedah ekonomi daripada Kerajaan tanpa mengembalikan semula faedah-faedah yang mereka terima itu kepada masyarakat. Contoh rent seeking adalah apabila syarikat melobi pihak Kerajaan bagi mendapatkan pinjaman, geran atau perlindungan tariff di mana aktiviti-aktiviti ini tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada rakyat bawahan kerana ianya hanya adalah satu pengagihan semula sumber –sumber dari pembayar cukai kepada golongan-golongan yang mempunyai kepentingan tertentu.

Apa yang didedahkan oleh Azam bukan satu omongan kosong. Sejarah Umno mengurus ekonomi negara membuktikan apa yang dikatakan oleh Azam adalah satu realiti. Sebagai satu contoh kita lihat pendedahan yang dilakukan oleh Barry Wain tentang budaya rent seeking dan patronage” di dalam bukunya “Malaysia Maverick Mahathir Mohamed in turbulent times” . Di m/s 186 buku tersebut Barry Wain menulis bagaimana Mantan Presiden Umno itu menberikan kontrak projek empangan Bakun di Sarawak bernilai RM 15 bilion tersebut kepada Ting Pek Khiing yang mempunyai hubungan rapat dengan mantan presiden Umno itu.

Barry Wain menulis “Dr Mahathir memberi keizinan kepada Ekran Bhd ( syarikat milik Ting Pek Khiing ) pada awal tahun 1994 selepas Ting dan Ketua Menteri Sarawak yang amat berpengaruh iaitu Abdul Taib Mahmud secara bersendirian membincangkan projek tersebut hanya dalam beberapa minggu sahaja. Tiada persaingan /tender yang terbuka dibuat , Ekran yang tidak mempunyai apa-apa kepakaran atau pengalaman dalam projek pembinaan empangan tidak mengemukakan apa-apa cadangan kepada Kerajaan Negeri sebelum mendapatkan kontrak tersebut. Ting hanya mengemukakan kajian kesan kepada alam sekitar ( environmental impact study ) hanya setelah 6 bulan beliau mendapatkan kontrak tersebut.”

Barry Wain juga menulis rakan kongsi kepada Ekran iaitu “Swiss Swedish engineering powerhouse Asea Brown Boveri Ltd. iaitu syarikat yang dipilih oleh Kerajaan Malaysia bagi mengetuai Konsortium pembinaan empangan bakun itu telah bertelingkah dengan Ekran apabila Asea Brown Boveri Ltd. membantah pemberian kontrak berjumlah RM 9 bilion kepada empat syarikat yang Ekran mempunyai kepentingan tanpa tender terbuka. Bantahan itu mengakibatkan syarikat asing itu dikeluarkan sebagai rakan kongsi Ekran.

Pendedahan Bary Wain itu satu contoh daripada beberapa contoh yang menunjukkan budaya rent seeking dan patronage boleh merosakkan sebarang dasar atau teori ekonomi meskipun dihiasi dengan kata-kata yang indah. Apa jaminan selagi Umno memerintah budaya tidak sihat sepertimana dalam kes Bakun itu tidak akan berlaku dan merosakkan kata-kata indah yang mendasari MEB yang dicanangkan oleh Najib.

Sepertimana yang dikatakan meskipun MEB adalah idea baru namun ianya datang dari pemimpin Umno- parti yang sama memperkenalkan DEB dan dalam masa yang sama menggagalkan DEB kerana perlaksanaannya yang penuh dengan ketirisan, kronisme , nepotisme dan juga rasuah di mana-mana.

Apa yang lebih malang di zaman Umno memerintah krisis keyakinan melanda institusi –institusi penting negara ini . Keyakinan para pelabur terhadap integriti institusi kehakiman sebagai contoh sehingga kini masih belum pulih sekaligus ia merencat iklim pelaburan. Bukan menjadi rahsia lagi para pelabur asing lebih rela dan yakin kes –kes mereka dibicarakan oleh timbangtara yang dikendalikan di luar negara daripada dibicarakan oleh Mahkamah di negara ini. Atas dasar itu semasa menandatangani mana-mana kontrak di negara ini para pelabur ini akan mengarahkan para peguam mereka meletakkan klausa di dalam perjanjian bahawa sebarang pertikaian yang berlaku hendaklah diputuskan oleh timbangtara dan bukannya oleh Mahkamah di Malaysia. Lihatlah betapa hinanya institusi kehakiman setelah dirosakkan oleh Umno.

Atas dasar itu rakyat mempunyai alasan yang kukuh untuk meragui konsep MEB meskipun dasar itu dihiasai dengan pelbagai kata-kata yang enak dan manis didengar. Najib mengatakan bahawa MEB masih mengekalkan dasar affirmative tetapi ianya kini berdasarkan empat prinsip – prinsip mesra pasaran ( market friendly ), prinsip berdasarkan merit ( merit based ), prinsip berdasarkan keperluan ( need based ) dan prinsip ketelusan ( transperancy ). Ya memang sedap didengar tetapi dengan trek rekod yang buruk BN mengurus ekonomi negara ini adakah kata-kata yang indah itu yang diperlukan oleh rakyat pada ketika ini ?

Sumber : Peguam PAS

Pertandingan Laman Web 2010 - JITP



Pertandingan Laman Web 2010

1.0 Pertandingan Web 2010

* Kategori 1 : Organisasi (Laman Web Negeri / Kawasan / Dewan)

* Kategori 2 : Individu (YB/Pimpinan PAS Negeri/Pimpinan PAS Kawasan)

2.0 Objektif

Untuk menilai laman web daripada sudut pandangan rakyat dan ahli PAS dalam kebolehcapaian, mudah digunakan dan sebagai media alternatif dan platform untuk penyebaran maklumat yang relevan.

Program ini juga akan memperkenalkan dan menggalakkan dari segi etika perkongsian maklumat, yang mana akan meliputi kesahihan maklumat, kredit kepada sumber maklumat, dan kerahsiaan maklumat strategik.

3.0 Syarat-syarat penyertaan

* Ahli PAS;
* Bagi kategori 1, peserta digalakkan menggunakan domain pas.org.my;
* Hendaklah memasukkan "web counter" yang telah disediakan oleh penganjur;
* AJK Jabatan IT PAS Pusat (JITP), AJK Jabatan IT Muslimat Pusat (JITM) dan AJK Lajnah ICT PAS dikecualikan untuk menyertai pertandingan ini.

4.0 Tarikh-tarikh penting

* Pendaftaran dibuka: 15/01/2010

* Pendaftaran ditutup: 31/03/2010

* Tempoh penilaian : 01/04/2010 - 31/8/2010

* Keputusan akhir: 15/09/2010

* Pengumuman & majlis pemberian hadiah: Oktober 2010

5.0 Hadiah-hadiah

* Kategori 1 : Organisasi (Laman Web Negeri / Kawasan / Dewan)

Tempat Pertama: Notebook bernilai RM2500

Tempat Kedua: Projektor bernilai RM1500

Tempat Ketiga: Kamera digital bernilai RM1000



* Kategori 2 : Individu (YB/Pimpinan PAS Negeri/Pimpinan PAS Kawasan)

Tempat Pertama: Notebook bernilai RM2500

Tempat Kedua: Blackberry / Projector bernilai RM1500

Tempat Ketiga: Kamera digital bernilai RM1000

6.0 Penajaan

Kepada mereka yang ingin menaja pertandingan ini, sila hubungi sekretariat di web-competition@pas.org.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya

Logo penaja akan dipaparkan di laman web www.pas.org.my sepanjang tempoh pertandingan.

7.0 Borang pendaftaran

Sila isikan borang pendaftaran secara online di sini [BORANG PENDAFTARAN]

7.1 Yuran Penyertaan

Yuran bagi setiap penyertaan adalah RM50 .

Pembayaran bolehlah dibuat melalui akaun bank: Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) , No akaun 14041010048667 atas nama Unitit Management .

Resit/bukti pembayaran hendaklah di emailkan ke web-competition@pas.org.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya

7.2 Misi dan pengguna

Sila jelaskan objektif dan sasaran pengguna laman web tidak lebih daripada 200 perkataan.

7.3 Keperluan teknikal untuk melihat kemasukan input

Sila senaraikan browser yang minimum dan keperluan plug-in untuk memaparkan halaman (Contoh: Memerlukan IE 5.x atau lebih, Flash 3.0 dll), dalam borang penyertaan online sekiranya relevan

8.0 Kriteria Penilaian

1. Antaramuka

* Kebolehancapaian maklumat
* Mudah mengemudi laman
* Ciri-ciri “Remember me”
* Kemudahan carian

2. Kandungan

* Frequently asked question
* Maklumat Perhubungan
* Berita / Kemasikini
* Arkib
* Tentang kami
* Originality kandungan

3. Polisi

* Penafian & Terma dan syarat
* Polisi keselamatan/Kenyataan
* Etika

4. Kemudahan

* RSS feeds
* SMS
* Feedback
* Link to corporate site - www.pas.org.my
* Tiada pautan rosak / bloken link
* Masa download

9.0 Contoh laman web peserta kategori individu yang berpotensi menyertai pertandingan ini

* http://presiden.pas.org.my
* http://www.blogtokguru.com/
* http://drsitimariah.blogspot.com/
* http://sitizailah.blogspot.com/

Sumber : Parti Islam SeMalaysia ( PAS )

Halang Umno BN capai majoriti 2/3 Dewan Rakyat

Ditulis oleh Wan Nik Wan Yussof
WEDNESDAY, 03 MARCH 2010 07:14



Sebelum ini, ruang ini telah dimuatkan pandangan Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan,Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung isu wakil rakyat melompat parti. Ia memberi natijah bahawa lompat tak boleh, melompat boleh yang bermaksud sebarang tindakan keluar dari perjuangan Pakatan Rakyat adalah tidak boleh, kerana dianggap meninggalkan perjuangan berteraskan prinsip kebenaran dan keadilan yang selari dengan Islam.

Sementara tindakan melompat masuk dibolehkan kerana ia merujuk kepada tindakan untuk meninggalkan perjuangan sekular yang palsu dan zalim, dan kemudian menyertai perjuangan berteraskan kebenaran dan keadilan Islam.


Berikutan itu pula, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah memberi kata dua (Bernama, 23 januari 2010) kepada parti-parti dalam Pakatan Rakyat bahawa mereka akan dipulaukan oleh rakyat jika mengamalkan gejala tidak sihat.

Mungkin maksud gejala tidak sihat itu boleh dikaitkan dengan langkah lompat parti atau membiarkan wakil rakyat bertindak sendirian sehingga berlaku lompat parti. Penting dilihat agar gejala tidak sihat itu tidak berterusan berlaku dalam Pakatan Rakyat. Jika tidak, Pakatan Rakyat akan berdepan dengan perangkap dipasang BN.


Agenda BN

Walau apa pun, perkembangan politik mutakhir ini adalah disyaki sebagai suatu perencanaan perangkap BN. Ia berkaitan dengan percubaan menjayakan agenda BN bagi meraih semula kuasa dua pertiga di parlimen. Maka berlakulah pendekatan membebaskan ahli parlimen Pakatan Rakyat untuk menyokong BN. Ia selari dengan kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang menganggap tindakan keluar parti dan menjadi bebas adalah untuk menyempurnakan agenda Umno dan BN.


Agenda itu turut disokong media massa, apabila beberapa media cetak dan televisyen serta internet telah bertindak sebagai pemutar gelora kepanasan beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat untuk reaktif bertembung dengan beberapa orator utama. Terbaru ialah ahli parlimen Nibong Tebal yang mengiringi ahli parlimen Bayan Lepas.


Lebih awal daripada itu adalah ahli parlimen Pasir Mas dan dijangka mengiringi lagi adalah beberapa ahli parlimen yang bermasalah dengan parti masing-masing. Antaranya, ahli parlimen yang berdepan dengan jawatankuasa disiplin parti masing-masing seperti Kulim Bandar Baru dan Shah Alam.


Namun, ahli parlimen Shah Alam mungkin tidak bertindak membebaskan diri kerana dia dari PAS dan persoalan yang dihadapinya pula adalah persimpangan pandangan peribadi bukannya parti. Pengalaman wakil PAS Kelantan era penggal pilihan raya 2004 pernah disogok pihak tertentu agar menyertai BN, tetapi gagal. Mereka semua tidak bertindak membebaskan diri. Ia satu bukti kukuh betapa wakil rakyat PAS begitu kental menghadapi ombak perjuangan parti berteraskan Islam.


Tindakan membebaskan diri

Namun kemungkinan tindakan membebaskan diri boleh berlaku kepada mana-mana ahli parlimen yang longgar keyakinannya kepada dasar perjuangan dan prinsip parti masing-masing. Sebagai mana berlaku sebelum ini, kejatuhan kuasa Pakatan Rakyat memerintah Perak dek kerana tiga Adun – Behrang, Changkat Jering dan Jelapang – bertindak membebaskan daripada parti masing-masing lalu menjadi penyokong BN.


Sekiranya pihak BN bertekad untuk meraih dua pertiga dalam tempoh terdekat, maka mana-mana wakil rakyat dari Pakatan Rakyat pasti akan dijadikan fokus operasi membebaskan untuk menyokong BN. Agen BN boleh meneliti senarai ahli parlimen Pakatan Rakyat di setiap negeri yang mencium dan memanaskan masalah dihadapi agar tertarik keluar menjadi ahli parlimen bebas.


Sasaran BN hanya perlu meraih empat orang sahaja lagi untuk membolehkan BN mencapai majoriti dua pertiga, iaitu mencukupkan bilangan 148. Kerusi BN di dewan rakyat asalnya sebanyak 140 kerusi, tetapi dua ahli parlimen BN dari Sabah telah keluar BN menjadikan 138 kerusi. Maknanya BN memerlukan 10 orang lagi menyokong BN.


Berdasarkan perkembangan itu, ahli parlimen yang membebaskan diri setakat ini sudah ada tiga orang di Semenanjung – Pasir Mas (simbol PAS), Bayan Lepas (KeADILan) dan Nibong Tebal (KeADILan), dua dari Sabah dan seorang yang memang asalnya menang atas tiket Bebas. Menjadikan semuanya 6 bertaraf bebas.


Namun, sikap mutakhir ahli parlimen Kulim Bandar Baru boleh jadi beliau akan mirip menyokong BN kerana sikap songsangnya jelas menyanggah prinsip dan fizikal kepartian.


Begitu juga sebelum ini, Ahli Parlimen Indera Mahkota turut menjadi sasaran pembujukan pihak Umno agar keluar KeADILan berikutan sikapnya yang tidak berpuas hati dengan pengurusan kewangan parti.


Bagaimana pula dengan beberapa orang lagi ahli parlimen Pakatan Rakyat di serata negeri termasuk di Sabah dan Sarawak?


Tekad BN raih dua pertiga

Walau apa pun, jika benar tekad BN untuk meraih sokongan dua pertiga, mungkin akan berulang pendekatan curang BN dengan menggunakan apa sahaja aparatus bagi meraih sasaran. Sebagaimana kes Adun Behrang dan Changkat Jering pernah disabitkan dengan penyiasatan kes rasuah. Lalu mereka itu keluar parti.


Sabitan yang sama berlaku ke atas seorang Exco Kedah (KeADILan) yang kemudiannya keluar parti. Begitu pula, sejarah lampau dalam kisah turn-about dan about-turn di Kelantan dan penggulingan kerajaan PAS Terengganu pada tahun 1966. Mereka berjaya di Terengganu, tetapi gagal di Kelantan.


Kesemua senario dan jangkaan tersebut adalah landaan krisis yang mungkin dihadapi pihak Pakatan Rakyat.


Mungkin BN tidak akan terkecuali menggunakan isu untuk menambahkan bilangan kerusi Melayu dalam kajian persempadanan baru bahagian pilihan raya bagi menarik lebih sokongan beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat menyokongnya.


Mungkin akan ada kalangan ahli parlimen Melayu yang tertarik “demi masa depan Melayu” akan keluar dan menyertai Umno dalam sentimen ke arah menambahkan lagi bilangan kerusi Melayu di parlimen mahupun dewan negeri.


Sehubungan itu, kepada parti KeADILan, PAS dan DAP jangan merasai selesa sehingga wujud complacency dengan memandang kecil atau remeh dengan kemungkinan wujud gerakan membebaskan beberapa orang ahli parlimen pada saat ini.


Persidangan wakil rakyat

Di atas peringatan ini, sewajar pihak sakretariat Pakatan Rakyat peringkat pusat hendaklah mengambil langkah menangani krisis itu dengan bijak dan segera. Antara langkah menangani kemungkinan krisis itu ialah mengadakan cegahan secara kolektif melalui suatu persidangan wakil rakyat dan pimpinan parti-parti Pakatan Rakyat.


Melalui persidangan itu, masing-masing parti hendaklah melaksanakan persegaran perjuangan, pemantapan dasar dan penelitian prinsip perjuangan serta mengambil langkah-langkah penyelesaian krisis keyakinan kalangan wakil rakyat agar wakil rakyat dapat mengunci nafsu daripada terjebak dengan pancingan BN.


Wan Nik Wan Yusoff
Setiausaha Politik,
Menteri Besar Kelantan
 

blogger templates | Make Money Online