Hazayani Zakaria |
PETALING JAYA, 28 April: Calon Pakatan Rakyat daripada PKR dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim akan mengemukakan petisyen membantah keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam pilihan raya itu. Bercakap pada sidang media di kediamannya di Tropicana Golf and Country Resort, di sini, hari ini, beliau berkata, keputusan itu dibuat apabila mengambil kira pelanggaran undang-undang pilihan raya yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) sepanjang kempen berlangsung. "Saya membuat keputusan untuk mengemukakan petisyen untuk mengisytiharkan bahawa keputusan hari itu tidak sah. Peguam saya akan merangka asas-asasnya minggu depan," katanya. Kesalahan yang nyata dakwanya, tindakan BN memberi rasuah kepada pengundi-pengundi di kawasan berkenaan selain tindakan SPR mengubah tempat pengundian tanpa pengetahuan mereka. "Ada sesetengah mereka namanya tidak ada dalam daftar pemilih, sesetengahnya diubah tempat memilih tanpa pengetahuan mereka dan mereka juga diberi rasuah yang besar, dijanjikan macam-macam janji yang semua ini menyalahi undang-undang pilihan raya dan ini dilakukan bukan sahaja oleh jentera BN tapi oleh pucuk pimpinan BN sendiri," katanya. Justeru, beliau yang juga anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) menyeru mana-mana pihak khususnya pengundi-pengundi di Hulu Selangor sendiri yang mempunyai maklumat agar mengemukakannya kepada mana-mana pejabat parti-parti Pakatan Rakyat. "Jika ada lagi ada maklumat penting dan jika ada pengundi yang ada maklumat boleh kemukakan bukti ke pejabat mana-mana parti dalam Pakatan," katanya. Selain itu, beliau juga akan memfailkan saman terhadap SPR yang didakwa gagal menjalankan tugas dengan adil dan telus. "Selagi SPR tidak menjalankan tugas dengan adil seperti di negara-negara lain, selagi itulah suara rakyat tidak dapat didengari. Sebab itu saya juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap SPR," jelasnya. Zaid juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar Utusan Malaysia kerana melabelnya sebagai kaki botol. "Saya dicop kaki botol dan ini dibiarkan sahaja, dalam Utusan Malaysia sendiri melabel demikian dan tidak ada sesiapa pun ambil tindakan. "Saya bukan kaki botol. Saya minum tidak lebih daripada apa yang diminum oleh Mahathir dan pimimpin-pemimpin Umno yang lain," katanya. Bagi memastikan desakan terhadap SPR agar berlaku adil kepada semua parti pada mana-mana pilihan raya, beliau memberitahu Kumpulan Penyokong Pakatan di peringkat antarabangsa akan dilancarkan di London pada Julai ini. "Ini bagi mendapatkan sokongan antarabangsa untuk mendapatkan pilihan raya yang bersih dan adil di Malaysia," katanya. Beliau turut menafikan segala kenyataan dan tindakan yang dibuat adalah atas dasar kecewa dengan kekalahannya. "Tidaklah, kalau saya tidak buat apa-apa pun, mereka akan kata macam-macam juga. Tapi hasrat saya mencerminkan pendapat ramai. Kalau kita biarkan kerja-kerja yang tidak betul ini, mereka akan terus berkuasa," katanya. |
Catatan Dhuha april 2019
5 tahun yang lalu