Search Islamic Directory
Keyword:

JOM UBAH!!!

JOM UBAH!!!

UBAH SEKARANG

UBAH SEKARANG

WAN NIK WAN YUSSOF: PR boleh menang PRK Hulu Selangor

WAN NIK WAN YUSSOF: PR boleh menang PRK Hulu Selangor
Wan Nik Wan Yussof
Desas-desus awal tahun 2010 ialah pilihan raya kecil P.094 Hulu Selangor bakal diadakan berikutan keadaan ahli parlimennya, Dato' Dr Zainal Abidin Ahmad (KeADILan) yang menjalani pembedahan di Hospital Pantai. Perkara itu disahkan menerusi blog Dato Seri Anwar Ibrahim (http://anwaribrahimblog.com/, 18 September 2009). Maka, sejak itu timbul sangkaan kemungkinan kekosongan kerusi bagi parlimen Hulu Selangor.

Selepas itu, pada Januari 2010 timbul lagi propaganda BN yang memainkan isu kononnya berlaku peletakan jawatan ahli parlimen Hulu Selangor, Dr. Zainal Abidin Ahmad. Namun perkara itu dibidas oleh pimpinan PKR dalam Majlis Makan Malam anjuran KeADILan Hulu Selangor pada 2 Januari lalu. Tan Sri Khalid Ibrahim menegaskan, tiada kekosongan bagi parlimen itu dan Dr. Zainal akan bertugas seperti biasa.

Menurut Pengarah Strategik PKR, Tian Chua Chang berkata, timbul peletakan jawatan MP Hulu Selangor itu ada kaitannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib akan mengadakan satu program Umno di kawasan itu. Sedangkan sebelum ini, sepanjang menjadi Timbalan Perdana Menteri beliau tidak pernah datang di Hulu Selangor sejak 10 tahun lalu termasuklah di era Abdullah Ahmad Badawi.

Namun, takdir Ilahi siapa yang sangka. Pada jam 9.30 malam Jumaat 25 Mac lalu, ahli parlimen Hulu Selangor, Dr. Zanal Abidin telah kembali ke rahmatullah di rumahnya dekat Jalan Cheras, Kajang selepas mengalami barah otak sejak sekian lama.

Dalam rakaman takziah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (Harakahdaily, 26 Mac) menzahirkan bahawa pemergian Zainal itu bukan sahaja dirasai oleh ahli keluarga Allahyarham dan penduduk Hulu Selangor, tetapi juga merupakan satu kehilangan besar kepada seluruh pejuang keadilan ke arah perubahan politik yang lebih baik di Malaysia. Beliau juga berharap semoga seluruh anggota keluarga beliau bersabar dengan ketentuan dan ujian dari Allah SWT ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim pula dalam rakaman takziahnya (http://anwaribrahimblog. com/, 25 Mac) menyatakan pemergian beliau, seorang sahabat dan rakan seperjuangan, pastinya amat dirasai. Persahabatan kami bermula tatkala di Universiti Malaya lagi.

“Kami bersama-sama bergiat dalam PBMUM memperjuangkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Allahyarham merupakan sosok sederhana dan murah dengan senyuman. Namun ketegasan menentang kezaliman membuatkan beliau memilih wadah Keadilan.

Rakaman takziah parlimen

Sementara pada Isnin lalu (29 Mac), Persidangan Dewan Rakyat menghadiahkan bacaan al-Fatihah dan bertafakur seketika serta mengucapkan takziah atas pemergian Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad itu. Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata anggota Dewan dan pihak Parlimen seluruhnya merakamkan ucapan takziah dan mendoakan semoga tuhan mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan di antara roh orang yang soleh.

Pilihan raya kecil

Ekoran daripada kematian itu, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah bermesyuarat pada hari ini (2 April) bagi mengadakan pilihan raya kecil. Keptusan mesyuarat itu diumumkan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof iaitu tarikh penamaan calon jatuh pada Sabtu 17 April dan pengundian pada Ahad 25 April. Ini bermakna SPR dan parti-parti politik (BN dan Pakatan Rakyat) mempunyai masa 15 hari lagi ke arah persiapan penamaan calon. Sementara tempoh rasmi berkempen adalah tujuh hari bermula sehari selepas pencalonan dan tamat sehari sebelum pengundian. Ini bermakna pihak SPR telah memperuntukkan tempoh kempen paling singkat seperti mana pilihan raya kecil Bagan Pinang (pencalonan 3 Oktober, pengundian 11 Oktober 2009).

Tempoh kempen yang singkat sudah tentu akan memberi kelebihan kepada BN, kerana keupayaan jentera kempen BN akan menggunakan semua aparatus kerajaan Pusat, termasuk penglibatan langsung semua kementerian dan menteri berkaitan. Pun begitu, tempoh kempen singkat dikatakan sesuai dengan keadaan kemelut ekonomi sekarang, dan ia sudah tentu dapat menjimatkan perbelanjaan parti-parti berkempen.

Pilihan raya umum 2008

Kemenangan Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari KeADILan di parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya umum (PRU) 2008 adalah kemenangan tipis. Allahyarham menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel dengan majoriti tipis hanya198 undi. KeADILan memperoleh 23,177 undi, manakala BN mendapat 22,979 undi. Jadual 1 berikutnya adalah butiran keputusan PRU 2008 bagi parlimen Hulu Selangor.

Jadual 1:

PRU 2008:keputusan P.094 Hulu Selangor

Jumlah Pemilih


63,593

Undi BN


22,979

Undi Pakatan Rakyat (PR)


23,177

% PR


50.21

Majoriti BN/PR


198

Undi tak kembali


223

Undi Rosak


1,466

% Mengundi


75.24

Kemenangan KeADILan adalah mewakili Pakatan Rakyat dan kekalahan MIC adalah kekalahan BN. Menurut demokrasi, keputusan pilihan raya umum lalu adalah satu bukti penolakan rakyat kepada BN. Meskipun keputusan itu pada majoriti tipis, ia cukup untuk mengatakan bahawa rakyat Hulu Selangor sudah menolak BN dan calon MIC.

Analisis keputusan PRU 2008

Berpandukan pemerhatian kepada keputusan PRU 2008 di parlimen Hulu Selangor, menunjukkan Pakatan Rakyat lebih popular berbanding BN. Namun, keputusan di dewan undangan negeri (DUN) untuk ketiga-tiga DUN dalam parlimen Hulu Selangor membuktikan Pakatan Rakyat begitu tercorot berbanding BN. Pakatan Rakyat telah kalah kesemua tiga DUN (N.05 Hulu Bernam, N.06 Kuala Kubu Baharu, dan N.07 Batang Kali). Calon Pakatan Rakyat yang bertanding di DUN adalah diwakili parti PAS di Hulu Bernam, DAP di Kuala Kubu Baharu dan KeADILan di Batang Kali.

Namun, keputusan PRU 2008 itu (seperti dalam Jadual 1) boleh dikatakan sebagai kemenangan terpilih ekoran daripada pengaruh peribadi Allahyarham Dr Zainal Abidin mengatasi Palanivel. Sudut pandangan ini dilihat logik apabila membandingkan keputusan PRU 2008 dengan PRU 2004.

Pada PRU 2004, jelas didapati pengaruh Pakatan Rakyat jauh tercorot berbanding BN, apabila mencapai kemenangan dengan majoriti besar sebanyak 14,483 undi sedangkan PRU 2008 BN tewas hanya 198 undi.

Bandingan populariti pengaruh Pakatan Rakyat dengan BN bagi dua pilihan raya umum tersebut digambarkan dalam Jadual 2 berikut.

Jadual 2:

Bandingan PRU 2004-2008: P.094 Hulu Selangor




PRU2004


PRU2008


BEZA

Jumlah Pemilih


58,533


63,593


5,060

Undi BN


27,807


22,979


-4,828

Undi PR


13,324


23,177


9,853

% PR


32.39


50.21


17.82

Majoriti BN/PR


14,483


198


-14,285

Undi tak kembali


55


223


168

Undi Rosak


1,406


1,466


60

% Mengundi


72.77


75.24


2.47

Secara jelas, undi Pakatan Rakyat dari PRU 2004 ke PRU 2008 melonjak besar sebanyak 9,853 undi dan BN pula merosot 4,828 undi. Sokongan pengundi kepada Dr. Zainal Abidin amat kuat, mungkin kerana Allahyarham adalah bekas Timbalan Menteri Besar ketika Anwar Ibrahim masih dalam Umno. Pencalonan beliau di Hulu Selangor telah mengubah sokongan pengundi yang menolak BN di kubu BN yang diwakili MIC.

Hakikat tersebut dianggap benar apabila membandingkan undi-undi diperoleh calon-calon DUN dalam parlimen Hulu Selangor dari Pakatan Rakyat dalam PRU 2008. Pakatan Rakyat didapati telah kalah di semua DUN dengan purata 2,118 undi. Jadual 3 berikut menjelaskan analisis ini di setiap DUN.

Jadual 3:

PRU 2008:keputusan setiap DUN di Hulu Selangor

Keputusan PRU 2008


Pemilih


Keluar


% Keluar


Undi

PR


Undi

BN


Majoriti

PR


Undi

Rosak


Undi Tak Dikembali

N.05 HULU BERNAM


17549


12,932


73.69


4,456


7,985


-3,529


318


193

N.06 K KUBU BAHARU


18212


13,332


73.20


6,107


6,555


-448


549


121

N.07 BATANG KALI


27832


21,673


77.87


9,545


11,724


-2,179


404


0

Jumlah tiga DUN


63,593


47,937


75.38


20,108


26,264


-6,156


1,271


314

Daripada Jadual 3, menunjukkan kekalahan terbesar Pakatan Rakyat berlaku di DUN Hulu Bernam, diikuti Batang Kali dan Kuala Kubu Baharu. PAS bertanding Hulu Bernam mungkin kalah teruk kerana kira-kira 1,000 pengundi Orang Asli dan Melayu luar bandar tidak bersedia melakukan perubahan. Sementara DAP kalah tipis di Kuala Kubu Baharu, dikaitkan dengan sokongan agak baik kalangan pengundi Cina dan India kerana di situ komposisi pengundi melebihi 50 peratus bukan Melayu. Di DUN Batang Kali pula adalah DUN campuran kaum yang ditandingi calon KeADILan, namun pengaruh BN khususnya Umno agak kuat di kalangan orang Melayu. Mungkin kerana DUN ini adalah tapak politik asal bagi bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Mohd Taib.

Justeru itu, kemenangan Pakatan Rakyat pada PRU 2008 lalu adalah kuat dipengaruhi oleh faktor peribadi Allahyarham Dr Zainal Abidin yang merupakan tokoh politik lama berkecimpung dalam Umno (sebelum menyertai KeADILan) dan banyak berjasa kepada rakyat.

Peluang Pakatan rakyat di Hulu Selangor

Secara bandingan undi Pakatan Rakyat yang diperoleh di DUN dengan parlimen didapati perbezaannya agak besar, kira-kira 3,069 undi lebih besar di parlimen. Jadual 4 berikut menerangkan fakta ini.

Jadual 4:

PRU 2008: bandingan undi DUN-DUN dengan parlimen Huku Selangor

Keputusan

PRU 2008


Pemilih


Keluar


% Keluar


Undi PR


Undi BN


Majoriti

PR


Undi Rosak


Undi Tak Dikembali

Di Parlimen


63,593


47,845


75.24


23,177


22,979


198


1,466


223

Di DUN-DUN


63,593


47,937


75.38


20,108


26,264


-6,156


1,271


314

Beza


NA


92


0.14


-3,069


3,285


-6,354


-195


91

Tanggapan umum, sudah pasti rahsia besar Pakatan Rakyat boleh menang di parlimen pada PRU 2008 lalu adalah kombinasi isu-isu politik ketika itu dan disokong kuat oleh pengaruh peribadi calon Pakatan Rakyat, Dr. Zainal Abidin. Sebenarnya pengaruh isu politik hanya berupaya melonjak sokongan kira-kira 9,000 undi sahaja. Namun, sokongan peribadi kepada Allahyarham Dr. Zainal Abidin mampu menarik kira-kira 800 undi lagi. Atas jumlah undi inilah, Pakatan Rakyat menang di parlimen Hulu Selangor.

Sehubungan itu, peluang Pakatan Rakyat untuk menang pada pilihan raya kecil nanti amat kuat bergantung pada siapa calon yang boleh mengatasi pengaruh peribadi calon BN. Atas hujah ini, rasanya Pakatan Rakyat tidak ketandusan tokoh untuk diberi mandat bertanding. Mungkin ia terletak kepada keputusan parti KeADILan yang memiliki status-quo bertanding di kerusi Hulu Selangor untuk menentukan calon nanti.

Apa yang penting Pakatan Rakyat sewajarnya rasional dan membuat pertimbangan tepat bagi memenangi hati pengundi. Keutamaannya hendaklah kepada calon yang terbaik pada perkiraan pengundi tempatan yang bersifat campuran kaum. Masa yang ada kurang lebih 15 hari lagi adalah masa yang sesuai untuk meninjau pandangan pelbagai pihak bagi memilih seorang calon yang terbaik.

Di samping, faktor pelengkap ke arah kemenangan pilihan raya kecil nanti adalah bergantung pada sejauh mana Pakatan Rakyat sebagai sebuah kerjasama politik yang menyaingi BN mampu mengolah gaya persembahan di pentas politik baru ini.

Bagi memenuhi nilai-nilai politik baru tersebut, medan pilihan raya kecil Hulu Selangor ini adalah peluang bagi Pakatan Rakyat membina keutuhan dan perpaduan dalaman, mempamerkan keupayaan jentera parti dan kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat hendaklah cepat menangani isu-isu rakyat. Sekali gus berlakunya kebersamaan pemimpin dengan rakyat bagi memenangi pilihan raya kecil ke-10 ini. Selamat berjuang memenangi hati nurani rakyat. Semoga kemenangan berpihak kepada Pakatan Rakyat.

Penulis adalah Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan
 

blogger templates | Make Money Online