Subky Latif
SEORANG Mufti kanan dan beberapa ulama yang pernah dan sedang berkhidmat dengan kerajaan Barisan Nasional menegur cadangan bekas Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang yang sedia menganjur solat hajat terhadap AP Bagan Serai yang keluar dari PKR.
Kiranya Anggota Parliman yang khianat pada partinya dan pengundinya yang memenangkannya dalam pilihan raya umum 8 Mac 2008 tidak rojok kepada partinya atau tidak mengosongkan kerusinya dalam masa tujuh hari, Ahmad Awang mahu menganjurkan solat hajat tujuh hari atau tujuh malam.
Maka beberapa ulama rasmi memberi ingatan keras kepada anjuran solat hajat itu. Seolah-olah solat hajat itu berhajat buruk. Tidak boleh solat hajat yang berhajat buruk.
Ada benar hukumnya, solat hajat tidak boleh untuk tujuan buruk.
Apakah Ustaz Ahmad Awang tidak tahu hukum itu?
Adalah wajar mufti dan sekalian ulama mengingatkan hukum itu. Apabila ulama rasmi mengeluarkan ingatan keras itu, tentunya mereka tidak menujukannya terhadap orang jahil tetapi ia ditujukan kepada Ahmad Awang, seorang ahli ilmu Islam yang ada kelayakan juga untuk menjadi mufti.
Tidakkah amat rendah pandangan mereka itu terhadap ilmu dan wibawa Ust. Ahmad Awang?
Sebagai manusia Ahmad Awang ada kelemahan dan ada kekuatannya. Tetapi beliau bukan orang jahil yang layak diberi amaran oleh mufti dan ahli-ahli ilmu yang lain.
Adalah benar dalam usia lanjutnya beliau seorang pemimpin tinggi PAS, tetapi beliau sebelumnya adalah Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia sekitar 30 tahun.
Persatuan Ulama itu diasaskan oleh Almarhum Ustaz Mahyudin Musa, seorang ulama yang dihormati yang berkhidmat dengan kerajaan Malaysia. Jawatan terakhirnya dalam kerajaan ialah pegawai kanan agama di Kementerian Pelajaran.
Ustaz Mahyuddinlah Yang Dipertuanya yang pertama dan pertubuhan itu adalah bagi menyatukan para ulama Malaysia tidak kira yang berkhidmat dengan kerajaan dan di luar kerajaan.
Ulama adalah orang yang tahu akan keperluan bersatu, maka itu tempat mereka patut bersatu. Mufti dan apa jua kedudukan tinggi dalam kerajaan dan masyarakat wajar bersatu dan itulah tempatnya.
Kalau ulama termasuk mufti menyeru umat Islam supaya bersatu, maka mereka perlu dulu bersatu dan tempatnya yang paling baik ialah Persatuan Ulama yang diasaskan oleh Ustaz Mahyuddin itu dan tokoh itu adalah orang yang cukup dekat dengan pemimpin-pemimpin kerajaan – Perdana Menteri dan menteri-menterinya.
Apabila Ustaz Mahyuddin meninggal awal tahun 70an, Ustaz Ahmad Awanglah gantinya baik sebagai ketua PUM bahkan jawatan yang disandangnya di kementerian pelajaran.
Ustaz Mahyudin Musa pernah menjadi tenaga pengajar di Kolej Islam Kelang dan Ahmad Awang adalah antara pelajar pertama di Kolej Islam itu.
Adakah mufti dan ulama yang memberi ingatan keras kepada Ust.Ahmad Awang tentang solat hajat itu pernah menyertai dan menyokong PUM tidak diketahui.
Tetapi itu pertubuhan penting bagi para ulama dan ulama wajar menyokong pertubuhan yang mahu mendaulat dan memartabadkan para ulama dan institusi ulama.
Ulama di seluruh dunia telah ditekan dan ditindas oleh penjajah hingga ulama itu dilihat kecil dan tidak berwibawa. Itu jugalah nasib dan imej ulama di Tanah Melayu setelah dijajah dan selepas dijajah. Tiada orang yang lebih tahu bagaimana ulama perlu didaulatkan selain dari ulama sendiri.
Ustaz Mahyudin telah membuka medan itu dan ia disambung oleh Ustaz Ahmad Awang. Apakah Ustaz Ahmad Awang berjaya dengan PUM tidaklah ditentukan oleh pimpinannya saja tetapi sejauh mana ia didukung oleh para ulama termasuk mufti yang dipandang tinggi oleh masyarakat.
Tanggungjawab mufti bukan sekadar kerja-kerja rasmi jawatannya dalam kerajaan dan di samping menasihatkan sultan, tetapi membuat kerja-kerja Islam di tengah masyarakat dan medannya sudah disediakan iaitu PUM.
Tiada pengecualian bagi berbelas mufti di Malaysia dari menjadi anggota pertubuhan itu kiranya mereka tahu apa tanggungjawab seorang ahli ilmu dan berkedudukan tinggi dalam masyarakat dan kerajaan.
Dalam apa keadaan, sama ada mufti dan ulama rasmi yang lain menyertai PUM atau tidak, Ustaz Ahmad Awang adalah juru cakap para ulama Malaysia seluruhnya. Sama ada mereka mengakuinya atau tidak, Ahmad Awang adalah amir mereka.
Kiranya beliau ada kelemahan, sekalian para ulama mesti membantunya. Kiranya beliau tiada kelayakan, maka para ulama antaranya para mufti yang ramai itu wajar tampil kedepan menggantikannya. Mungkin ulama tidak mengejar kedudukan. Tetapi mufti wajar tahu kewajaran ulama itu memimpin umat.
Tiada mufti dan ulama rasmi dan tidak rasmi mencabar Ahmad Awang semasa pimpinannya dalam Persatuan Ulama dalam tempohnya yang panjang itu. Beliau melepaskan pimpinan PUM itu kerana mahu bergiat dalam politik. Beliau mahu kebebasan PUM terpelihara.
Mungkin pimpinannya boleh dinilai, akan kelemahan dan kekuatannya. Tetapi tidak terdengar adalah mempertikai ilmu dan keupayaanya menguasai ilmu Islam.
Dengan ilmunya belum pernah beliau membuat pendapat yang ganjil seperti biawak itu halal dimakan atau untung lotri boleh digunakan bagi memajukan Islam atau sekular itu tidak salah.
Apa lagi tentang kewajaran solat hajat bagi mengadili orang yang khianat.
Justeru itu tidak wajar menyamakan beliau dengan ahli-ahli politik yang jahil.
Catatan Dhuha april 2019
5 tahun yang lalu