MUAR, 29 Mac: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Muar menafikan dan mengutuk sekeras-kerasnya berita penghijrahan 50 anggota AMK Muar sedangkan hanya tiga orang yang bermasalah sahaja bertindak melompat. Ini ekoran media-media dan blog-blog semalam dengan bangga memaparkan berita pengisytiharan Naib Ketua AMK Muar dan 50 orang anggota AMK Muar telah pun keluar parti dan menyertai Umno/Barisan Nasional dalam satu majlis Jamuan Nasi Ambang Raksasa yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri di Parit Tengah, Air Hitam, Bakri, Muar pada Sabtu, 27 Mac. Pemangku Ketua Angkatan Muda Keadilan Muar, Ahmad Anwar Asyraf Ismail memberitahu, perkara itu merupakan satu bentuk fitnah jahat yang bertujuan untuk menjatuhkan kredibiliti dan kekuatan AMK Muar yang semakin hari semakin mantap dan dipercayai oleh rakyat Muar untuk memimpin harapan mereka. "Angkatan Muda Keadilan Cabang Muar menegaskan bahawa ini adalah satu lagi usaha terdesak danbacul Umno/Barisan Nasional Muar. Tiada perkara seperti ini berlaku di dalam organisasi kami," ujarnya kepada Harakahdaily. Jelasnya, hanya tiga orang anggota AMK Muar yang bermasalah melompat bukan 50 orang seperti yang digembar-gemburkan oleh media iaitu Razali Jaafar atau lebih dikenali oleh pengusaha kedai menjual kereta sebagai 'Zali Allright' atau 'Zali Confirm', Bekas Naib Ketua 1 AMK Muar dan 2 lagi anggota.
Berikut adalah penjelasan beliau seterusnya. Daripada sumber-sumber yang dekat dengan Razali Jaafar mengesahkan bahawa 50 orang lagi itu adalah merupakan ahli baru Umno dan bukannya anggota Angkatan Muda Keadilan Cabang Muar. Juga, Razali ini memang telahpun giat mengedar borang keahlian Umno kepada penduduk sekitar yang bukan ahli Parti Keadilan Rakyat Cabang Muar mahupun AMK Muar. Ini adalah merupakan satu bentuk pembohongan dan publisiti murahan Umno/Barisan Nasional Muar. AMK Muar dengan tegas mencabar Saudara Razali Jaafar untuk memberikan bukti atau nombor keahlian 50 orang ini. Jangan hanya bercakap tanpa diiringi bukti sahih.
Saudara Razali Jaafar bukanlah anggota yang aktif. Juga, beliau bukanlah seorang Naib Ketua yang baik dan bertanggungjawab malahan kehadiran beliau ke majlis-majlis atau program-program anjuran parti atau AMK Muar juga boleh dihitung. Ramai anggota AMK Muar dan PKR Cabang Muar tidak mengenali beliau. Jadi, mana mungkin AMK Muar menjadi tempang tau lumpuh oleh kerana pembelotan 3 orang anggota yang tidak pernah aktif, tidak pernah melaksanakan tanggungjawab dan berjuang untuk parti dan rakyat.
Angkatan Muda Keadilan Cabang Muar tidak sesekali terjejas dengan perbuatan tidak bermaruah 3 orang katak ini sebaliknya AMK Muar semakin kukuh dan mantap oleh kerana berlakunya proses pemutihan keanggotaan yang sedang berlaku di dalam kepimpinan dan keanggotaan AMK Muar.
Ini merupakan usaha terdesak Umno/Barisan Nasional Muar yang semakin hari semakin ditolak rakyat. Sewaktu mereka semakin ditolak rakyat, AMK Muar telah pun menjadi pemangkin wadah perjuangan rakyat yang menjadi harapan masyarakat Muar. Juga, ini adalah bukti ataupun dalil bahawa Angkatan Muda Keadilan Cabang Muar semakin digeruni Umno/Barisan Nasional Muar. Walaupun jumlah anggota kami tidak seramai mereka, tetapi usaha dan suara kami benar-benar menyusahkan mereka. Apa yang dapat disimpulkan dari peristiwa ini adalah langkah-langkah dan usaha berterusan Angkatan Muda Keadilan Cabang Muar telah menjadi igauan ngeri Umno/Barisan Nasional Muar, Muhyiddin Yassin dan Razali Ibrahim.
Ini juga membuktikan mereka telah ketandusan idea untuk berhadapan dengan kemaraan Angkatan Muda Keadilan Cabang Muar yang semakin diterima oleh rakyat Muar tidak kira golongan muda ataupun veteran sehingga mewajarkan tindakan bebal membeli 3 anggota AMK Muar yang bermasalah, tiada kredibiliti, lemah semangat perjuangan dan ditolak oleh AMK Muar dan rakyat Muar.
Jadi, Angkatan Muda Keadilan Cabang Muar sekali lagi dengan tegas mencabar Saudara Razali Jaafar untuk membuktikan bahawa 50 orang yang didakwa anggota AMK Muar itu sememangnya anggota berdaftar. Sila serahkan nombor keahlian mereka. Umno/Barisan Nasional Muar, kalau benar mahu bertempur, bertempur seperti pejuang sejati bukan dengan gaya sumbang dan lembik seperti ini.
Di kesempatan ini juga, Angkatan Muda Keadilan Cabang Muar mengecam dan membidas usaha-usaha beberapa pihak untuk menghalang dan mengagalkan majlis Mesyuarat Agung Tahunan Parti Keadilan Rakyat Cabang Muar daripada diadakan pada 27 Mac 2010 dengan mensabotaj dan memulangkan semula notis jemputan mesyuarat pada hari Jumaat yang lepas. Ini sekaligus membuktikan betapa keupayaan PKR Muar dalam meraih restu dan sokongan masyarakat Muar. Juga, ini merupakan petanda jelas betapa tempoh hayat Umno/Barisan Nasional untuk menguasai kerusi Parlimen P146 Muar semakin pendek dan malap.
Angkatan Muda Keadilan Cabang Muar dengan ini menegaskan bahawa sebarang usaha-usaha bebal ini tidak akan mematahkan semangat kami untuk membebaskan rakyat Muar daripada pemerintah zalim, korup dan rakus. Angkatan Muda Keadilan Cabang Muar tidak akan dan tidak pernah gentar dengan permainan politik sakai dan murahan Umno/Barisan Nasional. Hari ini kamu merompak 3 anggota Angkatan Muda Keadilan Cabang Muar yang bermasalah tetapi kami sedikitpun tidak merasa tergugat malahan kami amat yakin bahawa akan muncul lagi 300 anak muda Muar yang kukuh semangat perjuangan menentang Umno/Barisan Nasional. Kalau benar perjuangkan rakyat, Angkatan Muda Keadilan Cabang Muar mencabar Razali Jaafar atau Razali Ibrahim, Ahli Parlimen Muar untuk turun berdebat di mana-mana pada bila-bila masa. Kami Angkatan Muda Keadilan tidak pernah gentar dan takut menentang kezaliman dan kerakusan penguasa. |