Search Islamic Directory
Keyword:

JOM UBAH!!!

JOM UBAH!!!

UBAH SEKARANG

UBAH SEKARANG

Zambry dan semua exco Perak digantung hadiri sidang DUN

Harakahdaily
Thu | Feb 19, 09 | 1:01:41 am MYT

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Hrkh) - Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini menggantung Menteri Besar baru, Dato' Dr Zambry Abdul Kadir daripada menghadiri sidang dewan selama 18 bulan, manakala kesemua enam exconya digantung selama 12 bulan.

Menurut laporan Malaysiakini keputusan itu diumumkan oleh Speaker DUN Perak V Sivakumar selepas selesai bersidang semalam.

Perkembangan terbaru ini akan melontarkan Perak ke dalam satu lagi krisis, selepas Barisan Nasional (BN) mengambil alih kerajaan negeri awal bulan ini.

Sebelum itu, Dr Zambry memberi keterangan kepada jawatankuasa tersebut berhubung kenyataannya terhadap Speaker Sivakumar.

Beliau dan enam exconya dirujuk ke jawatankuasa itu berhubung dakwaan mereka telah menghina DUN apabila mengangkat sumpah jawatan Selasa lalu.

Enam exco berkenaan ialah Dato' Ramly Zahari (Manong), Dato' Saarani Mohamad (Kota Tampan), Hamidah Osman (Sungai Rapat), Zainol Fadzi Paharuddin (Sungai Manik), Mohd Zahir Abdul Khalid (Kamunting) dan Dr Mah Hang Soon (Chenderiang).

Siasatan berkenaan dijalankan mengikut Perkara 72(3) Perintah Tetap DUN Perak.

Turut dipanggil memberi keterangan kepada jawatankuasa berkenaan adalah dua wartawan, masing-masing daripada akhbar The Star dan Sin Chew Daily.

Jawatankuasa itu dipengerusikan Sivakumar dan dianggotai enam Adun iaitu Dato' Hasbullah Osman (Temenggor) dari BN manakala lima lagi daripada pakatan pembangkang iaitu Husin Din (Selingsing), Chan Ming Kai (Simpang Pulai), Ong Boon Piow (Tebing Tinggi), Loke Chee Yan (Kepayang) dan Sum Chok Leng (Bercham).

Sivakumar masih menjadi Speaker DUN Perak kerana kerajaan baru BN belum lagi mengadakan sidang dewan untuk menggantikan beliau dengan calon dari BN.

Dengan menggantung tujuh daripada 28 ahli dewan undangan negeri (Adun) BN, maka jumlah wakil rakyat kini kembali memihak kepada Pakatan Rakyat.

Jika dewan bersidang sekarang, BN akan hanya mempunyai 24 Adun di pihaknya - termasuk tiga calon bebas - manakala Pakatan mempunyai 28 Adun.

Di segi teknikalnya, kerajaan negeri BN masih boleh terus memintah Perak, tetapi ia tidak boleh mengadakan sidang dewan kerana bimbang Pakatan akan mengemukakan usul tidak percaya terhadapnya.

Kesemua tujuh Adun BN itu diberi notis saman supaya tampil di hadapan jawatankuasa itu berikutan aduan Adun Canning (DAP), Wong Kah Woh, bahawa majlis angkat sumpah jawatan mereka bertentangan dengan Undang-undang Tubuh Negeri Perak dan menghina DUN kerana Menteri Besar Ke-10, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, belum meletak jawatan secara rasmi.

Sivakumar berkata, setelah meneliti aduan tersebut, beliau mendapati satu kes prima facie terhadap Zambry dan enam exco berkenaan.

"Keputusan ini diambil selepas mendapati kesemua mereka gagal dan tidak memberikan sebarang penjelasan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang diadakan hari ini.

"Mereka telah gagal menawarkan sebarang penjelasan atas tindakan mereka yang menghina Dewan Undangan Negeri," kata Sivakumar dalam satu kenyataan akhbar empat perenggan di sini lewat petang semalam.

Sebelum itu, kesemua tujuh Adun terbabit telah dipanggil untuk memberi keterangan pada jam 3 petang di Bilik Mesyuarat Bahagian Kewangan, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.

Zambry dan enam Exco itu yang dilihat keluar dari bilik mesyuarat itu pada kira-kira 3.30 petang enggan memberikan sebarang komen kepada pemberita yang menunggu.

Di samping itu, Perak juga dilanda khabar angin bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jelapang, Hee Yit Foong telah meletak jawatan.

Sebelum ini, beliau bertindak keluar dari DAP dan menjadi Adun bebas yang menyokong BN.

Bagaimanapun, seorang pemimpin DAP ketika dihubungi menafikan perkara itu.-azm _
 

blogger templates | Make Money Online