Oleh: AMELIA HASHIM
SUNGAI PETANI: Yang Teramat Mulia Tunku Panglima Besar Dato’ Seri Tunku Puteri Intan Safinaz akan merasmikan Seminar Warisan Kerajaan Melayu Lembah Bujang di Kelab Cinta Sayang, di sini. Seminar ini anjuran bersama Institut Alam Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi dengan Pusat Warisan Seni Melayu Fakulti Senibina Perancangan dan & Ukur , Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada 31 Mac hingga 1 April.
Seperti yang umum maklumi Lembah Bujang merangkumi Kawasan cerun Gunung Jerai ke Seberang Perai hinggalah ke Cherok Tok Kun di Selatan dan di Utara Gunung Jerai ialah Bukit Choras. Dalam kawasan Lembah Bujang terdapat dua buah sungai utama iaitu Sungai Merbok dengan anak sungainya Sungai Bujang dan Sungai Muda serta anak sungainya Sungai Mas dan Sungai Terus. Dalam Lembah Bujang terdapat beberapa buah bukit kecil antaranya Bukit Pendiat, Bukit Meriam, Bukit Kecil dan Bukit Batu Pahat.
Penyelidikan arkeologi sama ada dalam bentuk kegiatan purbawanism atau arkeologi bermula sejak 1840an melalui kegiatan Kol. James Low. Kegiatan arkeologi itu berterusan sehingga hari ini. Antara penyelidikan utama ialah I.H.N Evans (1920an),H.G Quaritch Wales (1930an dan 194an), Alastair Lamb (1950an dan 1960an), Prof Dato’ Dr Nik Hassan Suhaimi (1970an hingga kini) dan Dr Adi Taha (1977). Hasil penyelidikan membuahkan penemuan tapak-tapak arkeologi dan artifak warisan kerajaan Kataha dalam bentuk warisan agama Buddha dan Hindu.
H.G Quarich Wales menemui lebih 30 peninggalan monumen candi dalam tahun 1030an dan pasukan penyelidik jabatan Muzium Malaysia (SERU) dalam tahun 1960an menambah bilangan tersebut kepada 80an. Penyelidikan tahun 1070an mengesahkan Kawasan Sungai Mas adalah pusat awal kerajaan Kataha dan dalam 1970an juga Dr Adi Taha berjaya mengeksvasi tapak 17,21 dan 22 awal tahun 2000 fokus penyelidikan arkeologi di dua tempat iaitu Pengkalan Bujang dan Sungai Mas. Penyelidikan di dua kawasan ini diteruskan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia sehingga kini.
Objektif seminar ini ialah untuk mengumpul penyelidik dan pengkaji warisan Lembah Bujang dalam pelbagai disiplin. Untuk menyediakan pentas supaya penyelidik dan pengkaji dapat berbincang mengenai isu-isu arkeologi Lembah Bujang bagi menyedarkan masyarakat Malaysia dan dunia tentang kewujudan sebuah kerajaan Melayu tertua di Malaysia dengan nama Kataha /Chieh Cha/Kadaram/Kidaram dan warisannya.
Selain itu untuk menyebarkan pengetahuan terkini tentang perkembangan penyelidikan arkeologi di Lembah Bujang dan menunjukkan peta taburan tapak-tapak arkeologi di situ. Juga untuk menyediakan sebuah “blue-print” bagi pembangunan warisan Lembah Bujang dalam aspek penyelidikan, pemeliharaan, pemuliharaan dan pelancongan budaya.
Pada seminar itu Dato’ Dr Affifudin Haji Omar akan menyampaikan ucaptama yang bertajuk Pembangunan Warisan Lembah Bujang. Manakala Tan Sri Ahmad Sarji dan Tan Sri Omar Hashim juga akan memberi ucaptama dengan tajuk masing-masing.
Seminar selama dua hari itu akan dipenuhi dengan kertas kerja oleh pakar dan sarjana sejarah universiti tempatan termasuklah Prof Madya Dr Mokhtar Saidin (USM) Peranan Sains Dalam Penyelidikan Arkeologi di Lembah Bujang, Dr Asyaari Muhamad (UKM) Penemuan Seramik Perdagangan di Lembah Bujang, Encik Zuliskandar Ramli (UKM), Penemuan Manik di Lembah Bujang Encik Supian Sabtu (UM) Candi Lembah Bujang- Satu Penilaian, Encik Ipoi Datan (Muzium Sarawak) Protosejarah di Sabah dan Sarawak dan Prof Dato’ Dr Othman Yatim (UM) Makam Bersejarah Di Lembah Bujang.
Lain-lain pembentang kertas kerja ialah Encik Ahmad Hakimi Khairuddin (UM) Hikayat Merong Maha Wangsa dari Perpektif Arkeologi, Prof Madya Amran Abdul Rahman & Prof Madya Nakiah Md Md Amin (UiTM) Menyelusuri Jejak-Jejak Warisan Pelayaran Sungai, Prof Madya Syed Mohd Hassan Syed Subli & Cik Ezlina Mohd Ahnuar (UT Mara) Perancangan & Pembangunan Perkampungan Budaya Lembah Bujang, Dr Noraini Othman (UT Mara) Pengalaman Pembangunan Pelancongan Berteraskan Arkeologi Luar Negara, Prof Madya Abd Azis Abd Majid (UT Mara) Mewujudkan Pelan Pelancongan Arkeologi Lembah Bujang, Encik Yahya Abu Bakar (UKM) Asal Usul Agama Islam Lembah Bujang dan Cik Norsam Lebai Itam (UT Mara) dengan tajuk kertas kerja Asimilasi Agama Hindu & Buddha Dalam Budaya & Senibina Melayu.
Sementara sesi pleno pula oleh Prof Dato’ Dr Nik Hassan Suhaimi Nik Abd Rahman (UKM) Penemuan Arkeologi dan Cabaran Untuk Memperkasakan Penyelidikan Warisan Lembah Bujang, Prof Dr Jamaludin Md Jahi (UKM) Geomofologi, Flora dan fauna Lembah Bujang, Dato’ Dr Adi Taha (UKM) Sejarah Penyelidikan Arkeologi Lembah Bujang dan Prof Madya Dr Wan Salleh Wan Ibrahim (UT Mara) Pelestarian Taman Sejarah Lembah Bujang.
Catatan Dhuha april 2019
5 tahun yang lalu