Tarmizi Mohd Jam
Wed | Aug 06, 08 | 5:08:20 pm MYT
KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Hrkh) - Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh mengesahkan Timbalan Ketua Wanita Umno, Dato Seri Shahrizat Abdul Jalil ada menghubungi beliau melalui telefon bimbit untuk mempelawa ahli jawatan kuasa dewan itu membincangkan isu-isu bersama wanita Islam.
Ketika mendedahkan perkara ini dalam satu interbiu Harakah, Nuridah memberitahu terdapat tiga perkara yang diminta oleh Shahrizat dalam perbualan ringkas itu. Pertama, kirim salam kepada Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang.
Kedua, ujar Nuridah, Shahrizat meminta agar beliau (Nuridah) mendapatkan keizinan Presiden PAS terlebih dahulu tentang pertemuan antara wanita Umno dan muslimat PAS dan ketiga, Shahrizat mohon bergambar berdua (Shahrizat dan Nuridah).
Katanya, bekas Menteri Hal Ehwal Wanita dan Pembangunan Keluarga itu menghubunghi beliau pada malam Israk Mikraj yang baru lalu, selepas Isyak.
Bagaimanapun, kata Nuridah, setelah perkara itu dibawa kepengetahuan Presiden PAS, beliau dinasihati agar tidak mengadakan pertemuan itu atas nama Dewan Muslimat memandang beberapa perkara yang belum dapat di selesaikan di peringkat Pusat ketika itu.
Nuridah dalam responnya mahu Wanita Umno mengemukakan surat rasmi berkenaan hasrat itu bagi membolehkan Dewan Muslimat membuat keputusan. Dengan surat tersebut, tegas beliau, PAS secara umumnya tahu objektif pertemuan itu dan ia lebih mudah untuk dirujuk diperingkat Dewan Harian Muslimat PAS Pusat.
"Kita nak surat rasmi dari Wanita Umno. Biar orang tahu apa benda yang kita hendak buat. Tidak mahu nanti jadi fitnah. Setakat ini bab Umno memang sensitif. Jadi Muslimat kena berhati-hati," tegasnya lagi.
Dalam interbiu itu, Nuridah yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan menolak sebarang bentuk kerjasama dalam bentuk perkongsian kuasa kerana PAS Pusat sudah memutuskan tiada kerjasama dan perkongsian kuasa dengan Umno dan BN.
Katanya, Dewan Muslimat hanya bersetuju untuk bekerjasama dalam memperjuangkan nasib wanita semua kaum di negara ini kerana itu adalah tanggungjawab sosial yang patut ditangani bersama.
Apabila ditanya tentang respon Ketua Pergerakan Wanita Umno, Dato' Seri Rafidah Aziz yang menyifatkan PAS tidak ikhlas untuk bermuzakarah, dengan nada yang tegas Nuridah mempersoalkan sudah lebih 20 tahun PAS membuka pintu muzakarah tetapi tidak dilayan oleh parti itu.
Beliau menyifatkan Wanita Umno sekarang berada dalam keadaan terdesak, setelah pengaruh parti itu runtuh di lima negeri. Katanya, baru sekarang mereka mahu bermuzakarah kerana langkah ini akan memulihkan pengaruh mereka di semua peringkat parti.
"Apa yang kita lihat, kalau Umno dipucuk pimpinan itu sendiri sudah "nazak", semua pihak daripada Pemuda, Wanita dan Puteri, akan cuba membantu induk mereka daripada tenggelam. Mungkin Wanita Umno juga berada dalam keadaan terdesak? Kita (Muslimat PAS) tidak akan datang "serah leher" kepada Umno. Itu cara yang tidak betul," tegas beliau lagi.
Nuridah menyimpulkan interbiu tersebut yang diadakan di rumahnya di Taman Melewar, Kuala Lumpur bersama wartawan kanan Harakah, Saidah Hairan. Ikuti pandangan penuh beliau berkenaan isu ini dalam terbitan Harakah cetak, Khamis ini. - tmj _
Admin : Hebat & Tahniah
Catatan Dhuha april 2019
5 tahun yang lalu