Search Islamic Directory
Keyword:

JOM UBAH!!!

JOM UBAH!!!

UBAH SEKARANG

UBAH SEKARANG

Israel di PDRM: Jawapan kerajaan makin mengelirukan

 

Abdul Aziz Mustapha   

KUALA LUMPUR, 15 April: Penjelasan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop yang cuba menggambarkan warga Israel tidak begitu terlibat dalam projek Police Reporting System (PRS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan sahaja gagal meyakinkan malah semakin mengelirukan.

Ketika mempertikaikan penjelasan mengelirukan itu, Ahli Parlimen Machang Saifuddin Nasution mempersoalkan dakwaan Abu Seman kononnya siasatan polis pada bulan Jun 2008 mengesahkan tidak ada elemen ataupun penglibatan Israel.

"Saya cuba fahamkan kronologinya berdasarkan kepada penjelasan Timbalan Menteri. Bulan Jun 2008, Timbalan Menteri sebut tadi siasatan polis mengesahkan tidak ada elemen ataupun penglibatan Israel. Itu fakta jawapan tadi.

"Kenyataan muka hadapan Star yang saya rujuk ialah 5 Ogos 2008, yang menyebut bahawa IGP (Ketua Polis Negara - KPN) sebut 'We informthe Home Ministry as soon as we learned about the Israeli involment'. Ini 5 Ogos 2008," kata Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR.

Beliau mempersoalkan, apa yang mendorong KPN mengeluarkan kenyataan mengenai penglibatan Israel dalam PDRM jika benar sebelum itu, iaitu pada bulan Jun 2008, siasatan sudah mengesahkan tidak ada penglibatan Israel dalam PDRM.  

Dakwaan Abu Seman lebih tidak meyakinkan apabila Saifuddin juga membangkitkan pada pada bulan November 2008, Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tan Sri Syed Hamid Albar meminta Masterplan Consulting Sdn. Bhd memberikan penjelasan tentang penglibatan Israel sehingga menyebabkan Masterplan menamatkan kerjasama mereka dengan Asiasoft.

"Kenapa ditamatkan kalau tidak ada penglibatan yang mencurigakan ini melalui ikatan syarikat Asiasoft tadi?" Ahli Parlimen Machang itu mempersoalkan.

Menurut pengakuan Timbalan Menteri Dalam Negeri sendiri, 51 peratus saham Asiasoft Global Pte Ltd "dimiliki oleh Top Image Systems Limited (TIS), yang mana dua daripada anggota lembaga pengarahnya adalah rakyat Israel". 49 peratus lagi dimiliki Toh Kian Hong, rakyat Singapura.

Abu Seman juga menjelaskan, pembangunan sistem PRS ianya dilaksanakan melalui empat fasa mengikut zon.

Setakat ini, katanya lagi, projek tersebut telah dilaksanakan sehingga ke fasa tiga dan jumlah kos bagi ketiga-tiga fasa adalah bernilai lebih kurang RM119 juta bagi tempoh 2001 dan 2007.

Menurut beliau lagi, Masterplan yang memperolehi projek itu  telah melantik subkontraktor iaitu Syarikat Asiasoft Malaysia Sdn. Bhd. bagi melaksanakan sebahagian aplikasi sistem PRS di mana 70 peratus dari saham syarikat itu  daripadanya dimiliki oleh rakyat Malaysia dan bakinya 30% dimiliki oleh Syarikat Asiasoft (Singapore) Pte Ltd.

Selepas Ogos 2007, 100% saham milik Syarikat Asiasoft (Singapore) Pte. Ltd. telah diambil alih oleh syarikat Asiasoft Global Pte Ltd.

Apa yang lebih membimbangkan ialah apabila Saifuddin juga mendedahkan keterlibatan Asiasoft jauh lebih lama dari itu apabila PRS 1, PRS 2 dan PRS 3 kesemua menggunakan perisian (software) Asiasoft.

Abu Seman tidak menafikan pendedahan Saifuddin yang menunjukkan PRS menggunakan perisian syarikat yang turut didominasi Zionis Israel itu.

Meng"kualiti"kan anggota PAS

 

 

http://episodeperjuangan.blogspot.com/   

1. Anggota PAS terdiri dari ahli serta pemimpin dan ianya mempunyai peringkat atau marhalah yang berbeza dan pelbagai .

2. Sesuai sebagai anggota kepada sebuah Gerakan Islam , ahli dan pemimpinnya wajar memiliki :

* aqidah perjuangan yang mantap,
* fikrah Islamiyyah yang jelas
* syakhsiyyah [ akhlak ] yang soleh .

Inilah tahap kualiti yang paling minima mesti dimiliki oleh seluruh anggota PAS .

3. Mencapai tahap dan nilai Kualiti anggota PAS yang diperlukan tidak semudah mencari kuantiti . Melalui projek Jom Sertai PAS , PAS For All dan Orang Muda Geng Kita , saya dapati kuantiti cukup mudah untuk dicapai . Setiap bulan pasti ada anggota baru yang akan diluluskan keanggotaan mereka sebagai ahli PAS , malah kini keanggotaan PAS telah mula mencecah sejuta .

4. Apa yang merisaukan saya mutaakhir ini ialah berkait tahap kualiti anggota berdepan dengan kuantiti yang semakin meningkat . Tentu sahaja kemasukan anggota baru adalah dari pelbagai latar belakang dan tidak juga dapat dinafikan betapa kita juga berdepan dengan kemasukan anggota yang mempunyai pelbagai tujuan [ objektif ] yang ingin mereka capai melalui penyertaan mereka dengan PAS .

5. Justeru itu Gerakan Islam membahaskan persoalan intima' [ penggabungan atau penglibatan dan penyertaan ] sebagaimana yang telah dikupas panjang lebar oleh al marhum Ustaz Said Hawwa di dalam kitabnya Jundullah . Intima' yang diterima dan layak untuk sebuah Gerakan Islam seperti PAS ialah intima' al Aqidi iaitu penyertaan berasaskan aqidah perjuangan.

6. Pun begitu sebagaimana yang telah saya katakan tadi bahawa PAS sebagai sebuah pertubuhan yang terbuka kini menerima pelbagai latar belakang penyertaan anggota sekalipun tidaklah berasaskan aqidah . Kemungkinan ..............

Ada yang menyertai PAS kerana terlalu marah dan bencikan UMNO dan BN .
Ada yang menyertai PAS kerana melihat PAS sudah mulai kuat dan menang .
Ada yang menyertai PAS kerana mahu menonjolkan diri sebagai pejuang yang hebat.
Ada yang menyertai PAS kerana nak jadi calon pilihanraya .
Ada yang menyertai PAS kerana kecenderungan hatinya yang minat kepada PAS
Ada yang menyertai PAS tanpa mengetahui apakah sebab dan kerananya .....

7. Maka kualiti yang kita harapkan bahkan kualiti yang Rasulullah saw tuntut ialah anggota yang menyertai Gerakan Perjuangan Islam ini hanya untuk meninggikan kalimah Allah swt sehingga ia mengatasi ideologi yang dicipta oleh manusia . Samaada menang untuk mendaulatkan syariat dan syiar agama Allah swt ataupun mati sebagai syuhada' yang telah mempertaruhkan segala kepentingan diri , darah dan nyawanya untuk Islam .

8. Kita menerima dan mendekati semua orang sesuai dengan slogan kita PAS For All , namun setelah mereka menyertai PAS , kita bertanggungjawab untuk memastikan setiap anggota PAS [ baru atau lama ] menjadi anggota yang berkualiti menepati piawaian sebuah Gerakan Islam dimana anggotanya ialah bertaraf Ansoorullah [ pejuang agama Allah ] . Justeru itu , proses memberi kefahaman , pentarbiyyahan dan pengkaderan menjadi tugas asas dan paling utama bagi PAS di sepanjang perjuangannya .

9. Lajnah Tarbiyyah , Lajnah Pemerkasaan Parti , Akademi Kepimpinan Pemuda dan seluruh lajnah serta jabatan yang wujud dalam PAS sewajarnya sibuk mengatur aktiviti masing - masing guna menepati objektif perjuangan suci ini serta melahirkan anggota yang berkualiti . Melahirkan anggota yang berkualiti tinggi adalah keutamaan kita berbanding meningkatkan rating kuantiti tanpa menafikan bahawa kita juga perlukan keanggotaan yang ramai .

10. Satu mekanisme yang boleh saya cadangkan di sini untuk memastikan usaha melahirkan anggota yang berkualiti dalam sistem keahlian terbuka ini bermula dengan mengemaskini sistem penyerahan sijil keanggotaan setelah ianya diluluskan oleh parti .

11. Sijil itu hendaklah dihantar kepada PAS kawasan dimana ia berdaftar dan pihak PAS kawasan pula hendaklah menganjurkan satu kursus induksi untuk menyerahkan sijil keanggotaan tersebut kepada yang berkenaan bersama stater kit yang mengandungi perlembagaan parti dan kertas - kertas dasar yang menjelaskan prisip perjuangan Islam yang didokong oleh PAS .

12. Kursus induksi tersebut pula bertujuan memahamkan anggota baru mengenai PAS dan risalah perjuangannya . Kursus seperti ini perlu ada lanjutan dan kesinambungannya walaupun anggota itu telah bergelar ahli lama mahupun pimpinan . Nokhtah inilah sewajarnya menjadi titik bermula tugas besar lajnah Tarbiyyah dan lainnya .

13. Kebimbangan saya berasaskan realiti masakini dan belum terlambat untuk kita semua lakukan sesuatu yang positif dan berkesan di semua peringkat di mana kita berada . Kita semua pastinya tidak mahu anggota PAS [ ahli dan pimpinannya ] rendah wibawa , hilang thiqah [ kepercayaan ] korupsi dan tidak ada beza akhlaknya dengan musuh - musuh Allah swt.

14. Sebagaimana kita tidak mahu ada ......

* anggota bergelar pimpinan mendedahkan rahsia parti ,
* ahli yang hilang taat serta thiqahnya pada jamaah dan pimpinan ,
* wartawan lidah rasmi parti menghina pimpinan jamaah sendiri ,
* ruang untuk musuh akses maklumat parti dari dalam ,
* persaudaraan [ ukhuwwah ] antara kita retak dan belah ,
* pimpinan yang mengabaikan tanggungjawab / amanah parti dan ummah,

lantaran itu semua tidak melambangkan kualiti Ansoorullah yang diinginkan .

15. Perlu dilihat juga kepada kesediaan anggota parti [ ahli atau pimpinan ] untuk merelakan diri mereka ditarbiyyah oleh PAS ke arah membina prestasi anggota yang baik dan berkualiti . Selayaknya keadaan diri mereka selepas menganggotai PAS menjadi jauh lebih baik dari sebelumnya .


Nasrudin Hassan at Tantawi,
Ketua Dewan Pemuda PAS.

Jual tanah: Tajuddin dicabar buat kenyataan luar dewan

 

Hazayani Zakaria   

KUALA LUMPUR, 13 April: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (PAS-Bukit Gantang) dan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) hari ini mencabar Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman yang menuduh mereka menjual tanah kepada Singapura agar turut membuat tuduhan yang sama di luar dewan agar tindakan boleh diambil terhadapnya.

Nizar dalam satu sidang media bersama Guan Eng di lobi Parlimen berkata, Ahli Parlimen Pasir Salak boleh membuat dakwaan itu di luar dewan jika benar-benar ada bukti mengenainya.

"Kami di sini seolah-olah dijadikan mangsa oleh ahli Parlimen Pasir Salak apabila sewaktu saya tiada di dewan baru-baru ini, Pasir Salak menuduh saya telah terlibat dalam operasi menjual tanah di Perak kepada Singapura.

"Kita mencabar Pasir Salak buat dakwaan yang sama di luar dewan maka kita akan mengambil tindakan supaya kita tunjukkan kebenaran," ujarnya.

Tajuddin dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2009) 2010 di Dewan Rakyat baru-baru ini mendakwa Pakatan Rakyat (PR) diketuai Nizar sewaktu menjadi kerajaan negeri telah terlibat dalam operasi menjual tanah dan pasir kepada Singapura dan kepada tauke-tauke Cina di negeri itu.

Oleh kerana Nizar tiada dalam dewan ketika itu, wakil DAP dari Beruas, Ngeh Koo Ham dan wakil DAP dari Taiping, Nga Ror Ming bangun menafikan dakwaan itu.

Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang turut mencabar Tajuddin mengemukakan bukti mengenai dakwaannya itu kerana menurutnya, ia satu tuduhan yang serius.

"Saya juga dituduh bukan sahaja menjual tanah pasir kepada Singapura malah turut dituduh jual tanah kepada kaum Cina di Perak.

"Buktikan mana tanah yang saya jual kepada Singapura, mana dia tanah yang saya jual kepada tauke Cina. Sampai sekarang mereka tidak juga memberi bukti," katanya.

Justeru, beliau berkata, Ahli Parlimen PR ingin menuntut keadilan di atas tuduhan yang sangat dasyat itu.

"Kami ahli-ahli Parlimen dari PAS, DAP dan PKR ingin menuntut keadilan supaya rakyat sedar kalau inilah mutu ahli Parlimen kita yang membuat tuduhan tanpa bukti, saya rasa ini satu malapetaka kepada rakyat Malaysia," tegasnya.

Sementara itu, Guan Eng yang dituduh menjual maklumat Malaysia kepada Singapura dan Hong Kong senada dengan Nizar mencabar Tajuddin membuat dakwaan sama di luar dewan untuk diambil tindakan.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut menafikan dakwaan itu.

"Memanglah perkara palsu saya ke Singapura dan Hong Kong untuk jual maklumat negara. Saya ke sana atas urusan perniagaan sahaja. Samalah seperti Perdana Menteri ke Singapura dan Hong Kong ke negara tersebut untuk tujuan pelaburan.

"Jadi saya cabar beliau buat tuduhan di luar dewan," katanya.

Beliau juga menyelar tindakan Tajuddin yang menggunakan imuniti sebagai ahli Parlimen untuk membuat tuduhan sewenang-wenangnya.

"Jangan berselindung dalam dewan, berselindung di atas kekebalan undang-undang yang dinikmati oleh ahli Parlimen untuk membuat sebarang tuduhan ," katanya.

Tolak APCO, tolak BN di Hulu Selangor

 

Hashim Abdullah   

TEMERLOH, 13 April: Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang, Ustaz Suhaimi Saad menggesa pengundi di kawasan Parlimen Hulu Selangor menolak Umno/BN dalam pilihan raya kecil yang akan diadakan pada 25 April ini sebagai bantahan terhadap tindakan kerajaan membenarkan agen Israel terlibat dalam isu yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Pemuda PAS Pahang di Pejabat Badan Perhubungan Negeri, di sini, Suhaimi berkata tindakan pemimpin Umno menggunakan khidmat APCO Worldwide  yang ada kaitan dengan agen zionis Yahudi adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab kepada keselamatan negara.

Tambahnya, PAS sangat bimbang dengan tindakan pemimpin Umno/BN yang tidak sensitif dengan isu keselamatan negara yang akan menyebabkan negara terdedah kepada bahaya pembocoran maklumat strategik.

"Cara pemimpin Umno mengurus negara sangat buruk sehingga sanggup mendedahkan keselamatan negara dalam bahaya. Tindakan mereka menggunakan khidmat APCO Worldwide sebagaimana yang didedahkan kepada umum perlu diajar oleh rakyat dengan menolak mereka pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor," katanya.

Semalam, ketika bercakap di Lobi Parlimen, Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang akan mengemukakan usul menangguhkan mesyuarat Dewan Rakyat bagi membincangkan isu kemasukan ejen perisikan Israel di ibu pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman. 

Notis kepada Yang Dipertua dihantar hari ini mengikut Peraturan Mesyuarat 18(2). 

Kemasukan dua ejen perisik Israel di Bukit Aman menurutnya adalah perkara serius, berkepentingan umum dan perlu disegerakan. 

Sementara itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perbahasan di Dewan Rakyat minggu lalu memberitahu, beliau mempunyai dokumen bahawa perisik Israel mempunyai akses kepada maklumat strategik negara melalui Asiasoft (M) Sdn Bhd, yang merupakan subkontraktor bagi projek menaik taraf sistem komunikasi dan teknologi PDRM.

PAS mahu SPRM siasat Palanivel lulus projek RM354,000

 

Harakahdaily   

KUALA LUMPUR, 13 April: PAS mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pengakuan Ketua Kampung Sungai Buaya di Hulu Selangor, Mustafa Talib bahawa Datuk G Palanivel telah meluluskan tiga projek bernilai RM354,000 di kampung itu.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad (gambar) tidak mempersoalkan keperluan perbelanjaan itu dikeluarkan oleh pihak kerajaan, tetapi mempersoalkan kelayakan dan kredibiliti Palanivel yang tidak mempunyai jawatan dan kuasa dalam kerajaan masih boleh memberi kelulusan projek.

"PAS mahu SPRM menyiasat perkara ini kerana beliau bukanlah anggota kabinet atau penjawat awam yang mempunyai kuasa bagi menentukan perbelanjaan wang negara," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, adalah tidak releven seorang bekas wakil rakyat yang kini dilantik sebagai penyelaras sebuah parti politik boleh mengeluarkan duit kerajaan sesuka hati untuk projek yang ada kepentingan dengan Pilihan raya Kecil Parlimen Hulu Selangor.

Menurutnya, selama dua tahun allahyarham Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad menjadi Ahli Parlimen Hulu Selangor, Kerajaan Persekutuan enggan memberikan sebarang peruntukan kepada beliau bagi memajukan kawasan itu.

"Tetapi, selepas beliau meninggal dunia Kerajaan Persekutuan tiba-tiba sahaja melantik 'wakil rakyat haram' untuk membelanjakan duit kerajaan.

"PAS menuntut SPRM tidak bermain wayang dan menutup mata terhadap apa yang berlaku di Hulu Selangor sekarang," tegasnya.

APCO: Laporan polis serentak seluruh negara esok

 

Nazri Abdullah   

KUALA LUMPUR, 13 April: Pemuda Pakatan Rakyat akan membuat laporan polis serentak jam 3 petang esok di semua ibu pejabat kontinjen Polis seluruh negara berhubung isu APCO.

Mereka daripada Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP), Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) akan meminta siasatan dijalankan terhadap firma perunding APCO Worldwide dan pembabitannya dengan kerajaan Malaysia kerana bimbangkan pembocoran maklumat negara kepada pihak asing.

"Penglibatan APCO bagi kita memberi ancaman kepada kedaulatan negara.

"Kita akan minta pihak polis siasat dan mengambil tindakan segera agar keselamatan dan kedaulatan negara terjamin," kata ketua DPP, Nasruddin Hassan (gambar) ketika dihubungi Harakahdaily.

Selain itu, satu himpunan aman akan diadakan di masjid-masjid negeri di seluruh negara pada hari jumaat ini bagi menyatakan bantahan terhadap penglibatan firma perunding yang didakwa ada kaitan langsung dengan Zionis Israel itu.

"Kita juga akan adakan demonstrasi serentak di masjid-masjid negeri 16 April ini sejurus solat Jumaat," tambahnya lagi.

Sebelum ini beberapa laporan polis telah dibuat berkait isu sama di seluruh negara.

Antaranya dibuat Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Ghazali, Nasir Zakaria (Padang Terap), Dr. Mariah Mahmood (Kota Raja) dan Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

 

blogger templates | Make Money Online