Search Islamic Directory
Keyword:

JOM UBAH!!!

JOM UBAH!!!

UBAH SEKARANG

UBAH SEKARANG

WAN NIK WAN YUSSOF: Lompat tak boleh, melompat boleh

Wan Nik Wan Yussof

Lompat tak boleh, melompat boleh

Persoalan boleh atau tidak boleh seseorang wakil rakyat itu lompat/melompat parti harus dilihat dari segi agama dan moral.

Di sisi agama Islam adalah haram jadah bagi seseorang wakil rakyat itu bertindak lompat keluar parti, lebih-lebih lagi parti yang didukungnya itu memperjuangkan keadilan berteraskan ajaran Islam. Namun, hukumnya halal bagi seseorang wakil rakyat dari parti sekular melompat parti dan menyertai parti lain yang memperjuangkan ajaran Islam.

Dalam konteks, wakil rakyat yang dulunya menang melalui parti yang memperjuangkan prinsip keadilan, tiba-tiba melompat keluar parti dan mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat bebas (tidak menyertai mana-mana parti), maka hukumnya berdosa kerana prinsip bebas adalah telah mengingkari persetujuan dan amanah pengundi yang memilihnya di atas prinsip keadilan.

Meskipun begitu, dari aspek moral yang bebas daripada bayangan agama, sudah pasti menganggap apa bentuk aktiviti wakil rakyat lompat-melompat itu sebagai sah. Ini kerana ukuran yang dipakai adalah prinsip undang-undang, pragmatisme dan prinsip demokrasi sekular. Kesemua prinsip ini tidak mengaitkan soal dosa pahala, etika dan unsur kerohanian masyarakat. Asalkan apa yang dilakukan akan mencapai kepuasan diri dan keegoan politik peribadi. Rujukan agung zaman bagi kes seperti ini adalah peristiwa rampasan kuasa di Perak berlaku diakibatkan oleh tindakan tidak bermoral segi undang-undang, sikap pragmatik dan ego menguasai diri tiga wakil rakyat – Adun Jelapang (DAP), Changkat Jering (KeADILan) dan Behrang (KeADILan) – telah melompat parti dan menyertai bebas lalu menyokong BN.

Sebenarnya huraian di atas adalah realiti timbang tara antara pemikiran politik sekular dengan fikrah perjuangan Islam pegangan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz. Namun, fikrah perjuangan Islam adalah selari dengan prinsip al-Quran dan menjadi landasan perjuangan kepimpinan di dalam Islam. Sedangkan prinsip politik sekularisme adalah kepuasan kebendaan dan menolak agama.

Justeru itu, adalah silap sama sekali jika membaca maksud pengamatan Tuan Guru di dalam isu wakil rakyat yang keluar (lompat/melompat) parti itu dari aspek pemikiran sekular. Ini kerana konteks pengamatan Tuan Guru adalah keagamaan dan perjuangan berlandaskan keadilan sejagat, bukannya demokrasi semata-mata.


Pandangan benar Tuan Guru Nik Abdul Aziz

Huraian dalil-dalil nyata dan articulate (qat’i) berikutnya adalah menjawab kepada isu-isu yang utarakan di atas. Sekali gus memberi jawapan kenapa Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz, Mursyidul Am PAS tidak bersetuju dengan tindakan wakil rakyat lompat keluar parti (seperti kes Datuk Ibrahim Ali dan Datuk Seri Abu Zahrain Mohamed Hashim). Sebaliknya, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bersetuju jika sekiranya wakil rakyat dari parti sekular melompat untuk menyertai parti yang memperjuangkan Islam (contohnya ura-ura wakil rakyat BN menyertai PAS pada 16 September 2008).

Pertama, ciri parti yang direstui sebagai memperjuangkan Islam ialah parti itu hendaklah menerima hakikat pemerintah sebenar di alam raya ini ialah Allah Subhanahu wa taala. Pati sekular sudah tentu tidak akan sama sekali menerima hakikat uluhiyah dan rububiyah Allah Yang Maha Kuasa.

Firman Allah,

أَلَا لَهُ ٱلۡخَلۡقُ وَٱلۡأَمۡرُ‌ۗ تَبَارَكَ ٱللَّهُ رَبُّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ

Maksudnya, “Ingatlah, mencipta dan memerintah hanyalah hak Allah, Maha Suci Allah Yang Mencipta dan Mentadbirkan sekalian alam.”

(Surah al-A’raf 7:54)

Kedua, ciri kepimpinan parti hendaklah dipimpin oleh pemimpin yang sedia mematuhi perintah Allah, iaitu seorang yang beriman, beramal dan bertakwa kepada Allah dan Rasul.

Firman Allah,

ٱتَّبِعُواْ مَآ أُنزِلَ إِلَيۡكُم مِّن رَّبِّكُمۡ وَلَا تَتَّبِعُواْ مِن دُونِهِۦۤ أَوۡلِيَآءَ‌ۗ قَلِيلاً۬ مَّا تَذَكَّرُونَ

“(Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad): Turutlah apa yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu dan janganlah kamu menurut pemimpin-pemimpin yang lain dari Allah; (tetapi sayang) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan.”

(Surah al’A’raf 7:3)

Ketiga, pemimpin hendaklah pertama-tamanya yakini dengan janji Allah, lalu ia menjadi seorang yang beragama dan menguruskan kepimpinannya untuk mentadbir kuasa bila diberi kuasa dengan hukum Allah dan sunah Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam.

Firman Allah,

وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِى ٱلۡأَرۡضِ

Maksudnya, “Dan Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi.”

(Surah an-Nur 24:55)

Keempat, parti itu hendaklah mendidik ahlinya dengan asas ketaatan berteraskan aqidah, iaitu mentaati Allah, Rasulullah dan para pemimpin yang diberi kuasa, dan sifat pemimpin itu hendaklah melaksanakan kuasa mengikut panduan al-Quran dan as-sunnah.

Firman Allah.,

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِى ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡ‌ۖ فَإِن تَنَـٰزَعۡتُمۡ فِى شَىۡءٍ۬ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ‌ۚ ذَٲلِكَ خَيۡرٌ۬ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلا

Maksudnya, “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.

(Surah an-Nisa’ 4:59)

Ciri keempat ini disokong lagi dengan hadis Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bermaksud, “Tidak ada ketaatan baginya yang mengingkari Allah.”

(Riwayat Tabrani)

“Dengar dan taat adalah wajib bagi setiap orang Muslim, dalam perkara yang ia suka atau benci, melainkan dia diperintah untuk membuat maksiat – maka hilanglah tanggungjawabnya.”

(Hadis Muttafaq’alaih)

Sehubungan dengan ciri keempat di atas, jika berlaku pengkhianatan oleh pemimpin kepada asas-asas perjuangan yang dinyatakan di dalam ciri-ciri di atas, maka pemimpin tersebut tidak boleh lagi ditaati. Malahan pemimpin tersebut layak untuk ‘dihukum’ oleh rakyat, sama menjatuhkannya atau minta dia berundur/meletak jawatan bagi membolehkan seorang pemimpin lain dipilih.

Justeru itu, rasionalisasi Tuan Guru Nik Abdul Aziz mencadangkan kepada Ibrahim/Abu Zahrain agar meletak jawatan adalah menepati skala perjuangan yang bertunjangkan Islam. Ini kerana mereka itu sebelum ini bersama Pakatan Rakyat yang mengenderai perjuangan rakyat untuk menegakkan keadilan dan menolak kezaliman.

Sementara dalam nada berbeza pula, Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyokong ura-ura wakil rakyat BN untuk melompat parti bagi menyertai Pakatan Rakyat menjelang 16 September 2008. Ini kerana, wajah parti komponen BN semuanya adalah beralaskan dasar sekular, menolak Islam yang anti-keadilan dan banyak melakukan korupsi-koalisi-nepotisme (KKN). Maka, tindakan meninggalkan parti itu adalah menepati hukum Islam.

Rumusan daripada empat ciri bagi parti yang memperjuangkan prinsip ajaran Islam di atas, maka ia adalah berada di landasan yang memenuhi prinsip keadilan sejagat yang diterima dan seharusnya diperjuangkan oleh semua pihak yang menjalani kehidupan berteraskan agama.

Firman Allah,

لَقَدۡ أَرۡسَلۡنَا رُسُلَنَا بِٱلۡبَيِّنَـٰتِ وَأَنزَلۡنَا مَعَهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡمِيزَانَ لِيَقُومَ ٱلنَّاسُ بِٱلۡقِسۡطِ‌ۖ وَأَنزَلۡنَا ٱلۡحَدِيدَ فِيهِ بَأۡسٌ۬

شَدِيدٌ۬ وَمَنَـٰفِعُ لِلنَّاسِ وَلِيَعۡلَمَ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُ ۥ وَرُسُلَهُ ۥ بِٱلۡغَيۡبِ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ قَوِىٌّ عَزِيزٌ۬

Maksudnya, “Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan.”

(Surah al-Hadid 57:25)

Firman Allah lagi,

وَلَا تُطِعۡ مَنۡ أَغۡفَلۡنَا قَلۡبَهُ ۥ عَن ذِكۡرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَٮٰهُ وَكَانَ أَمۡرُهُ ۥ فُرُطً۬ا

Maksudnya, “Dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.”

(Surah al-Kahfi 18:28)

Semoga Tuhan Yang Esa sedia menolong mana-mana pemimpin yang berjuang di atas ajaran yang benar (Islam) dan menolak kebatilan (sekular).

Saya tak sangka yang selamatkan saya itu Tok Guru - Mangsa lemas



Harakahdaily
MARANG, 19 Feb: “Saya tak sangka yang selamatkan saya Tok Guru (Presiden PAS).” Itulah perkataan yang keluar dari mulut Ahamad Mat Zin, 58, mangsa lemas di pantai Rusila, Ahad, 14 Februari lalu.

Beliau bersyukur kepada Allah dan terima kasih kepada Presiden PAS dan keluarga yang telah berusaha membantunya, lapor akhbar mingguan Siasah dalam keluarannya hari ini.

Katanya, dia tidak mengetahui siapa yang menyelamatkannya dan hanya menyedari Tuan Guru Abdul Hadi beserta anak dan menantu memapahnya setelah berada di tepi pantai.

(GAMBAR: Ahamad menunjukkan kawasan beliau diselamatkan oleh Abdul Hadi dan keluarganya..gambar Siasah)

Dalam kejadian Ahad lepas, ketika Presiden PAS itu bersama keluarga memancing di pantai Rusila, berhampiran rumahnya, tiba-tiba seorang wanita menjerit meminta tolong kerana ada orang lemas di tengah laut.

Melihat itu, Abdul Hadi telah mengarahkan anaknya, Abdul Rahman, 28 tahun, terjun ke laut segera menyelamatkan mangsa itu. Abang Abdul Rahman, Khalil kemudian turut serta membantu menariknya ke tepi.

Ia kemudiannya dibantu Abdul Hadi dan memapah mangsa ke daratan. Seorang penduduk yang melihat kejadian itu kemudiannya mengambil gambar kejadian itu dan memasukkan gambarnya ke dalam facebook beliau.

Kemudian barulah peristiwa itu mula tersebar.

Menurut mangsa itu, Ahamad, pada mulanya dia mandi di kawasan air paras dada, tetapi tiba-tiba dipukul ombak besar dan dihanyutkan ke tempat yang lebih dalam di samping arus berpusar di bahagian bawah.

Beliau yang bergelut kira-kira setengah jam dalam situasi genting itu menjangkakan sekiranya tidak diselamatkan dalam tempoh 10 minit selepas diberikan bantuan oleh keluarga Presiden PAS itu, mungkin sesuatu yang buruk berlaku kepadanya kerana sudah tidak bermaya lagi.

“Kalau tak selamat dalam masa 10 minit lagi, mungkin habislah saya,” ujarnya yang pertama kali mengalami suasana cemas itu.

Walaupun mahir berenang, namun ketika kejadian yang semakin cemas itu, dia hanya bernafas melalui mulut di samping kerap tertelan air laut.

Sementara itru, kejadian ini turut dirakamkan melalui video dan disiarkan oleh laman web PAS Terengganu, www.buletinonline.net.

Ia dirakamkan oleh salah seorang keluarga Abdul Hadi yang datang untuk menyertai majlis aqiqah cucunya pada hari itu.

(GAMBAR: Kronologi bagaimana Abdul Hadi bersama anak dan menantunya menyelamatakan Ahamad yang lemas di Pantai Rusila yang diambil dari video)

Pada awalnya, jurukamera ini mengambil video anak-anaknya yang sedang bermain di pantai.

"Waktu sebelum kejadian Tok Guru sedang memancing kat tepi pantai dengan cucu-cucunya. Selang beberapa minit lepas itu barulah kami sedar kedengaran orang minta tolong memberitahu ada orang lemas," tulisnya dalam ruangan komen video ini.

Menurut beliau, dalam suasana kalut ini, Abdul Hadi sendiri hendak turun ke laut tetapi dihalang oleh keluarganya.

Ekoran itu, anaknya Abdul Rahman, 28 tahun, yang berenang ke laut dan menarik ke tepi. Abdul Hadi bersama anaknya Khalil dan menantunya Zaharudin kemudiannya sama-sama terjun ke laut dan membawa mangsa ke pantai.

"Itupun, dia (Abdul Hadi) tenggelam sekali apabila dipukul ombak besar," katanya.

Utusan Malaysia putar belit kenyataan Presiden PAS

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 19 Feb: Akhbar Umno, Utusan Malaysia telah mengambil kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam konteks yang salah ketika menyiarkan berita bertajuk "Umno mula alami perubahan yang baik - Hadi" dalam keluarannya semalam, 18 Februari.

Jelas ia semacam bertujuan untuk melagakan Abdul Hadi dengan para pemimpin PAS yang lain kononnya Abdul Hadi bersedia untuk bekerjasama dengan Umno termasuk dalam isu perkongsian kuasa dan kerajaan perpaduan.

Jelas, apa yang dimaksudkan oleh Abdul Hadi adalah berbeza.

Berikut adalah kandungan penuh wawancara yang disiarkan dalam akhbar Harakah pada bil 1514, 15-18 Februari 2010 di muka surat N10 yang bertajuk 'Tiada percanggahan dengan MB Kelantan - Presiden PAS'.

S: Datuk Seri, boleh perjelaskan sedikit apa yang dikatakan percanggahan pendapat antara Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz dengan Presiden PAS dalam isu perbincangan PAS dengan Umno?

J: Sebenarnya, tidak ada percanggahan antara saya dengan Tuan Dato’ Nik Abdul Aziz dan tidak ada pemisahan antara agama dengan cara hidup dalam Islam. Agama dengan politik dengan sosial dan sebagainya. Apa sahaja masalah dalam dunia ada kaitan dengan agama. Di mana, Tuan Guru Nik Aziz bercakap dalam konteks ‘ad-deen’ (agama dengan cara yang menyeluruh) dan saya mungkin menyentuh aspek-aspek tertentu. Sebenarnya, tidak ada percanggahan antara saya dengan Tuan Guru Nik Aziz.

S: Ini bermakna, apa yang diperkatakan orang tentang berlaku percanggahan itu jauh sekali berlakunya?

J: Tidak…kita mesti memahami agama mengikut definisi Islam dari perkataan ‘ad-deen’ yang disebut al-Quran oleh Tuhan. Berbeza dengan agama yang diterjemahkan ‘religion’ dalam bahasa Inggeris atau agama dalam bahasa ‘Sanskrit’. Di mana, Islam adalah ‘ad-deen’ bukan sahaja agama, bukan sahaja ‘religion’ termasuk di dalamnya cara hidup ‘way of life’ yang termasuk di dalamnya politik, ekonomi, sosial dan segala perkara yang berkait dalam urusan kehidupan manusia secara individu dan masyarakat, secara bangsa dan antarabangsa, secara globalisasi.

Berkait dengan segala aspek yang menjadi tanggungjawab manusia di atas muka bumi ini. Apa yang disebut oleh Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz ialah tentang surat yang dihantar kepada Perdana Menteri. Surat itu menyatakan PAS sedia berbincang dengan Umno dalam aspek Islam yang diperjuangkan oleh PAS selama ini sebagai satu penyelesaian cara hidup bagi negara kita. Setelah kita melihat kegagalan-kegagalan yang dialami dalam negara kita talu-bertalu.

Kita mengalami masalah politik yang belum selesai. Masalah ekonomi, masalah sosial yang makin hari makin parah. Sepatutnya, dibincang apakah penyelesaiannya. PAS boleh mengemukakan cadangan-cadangan penyelesaian secara Islam. Dalam hal ini, kita mengambil sikap yang terbuka dan boleh berbincang dengan semua pihak termasuk dengan kerajaan sendiri. PAS pernah melibatkan diri dengan forum Islam. Bukan sahaja melalui Parlimen, melalui Dewan Undangan Negeri (Dun).

Bahkan, PAS pernah menyertai Majlis Perundingan Ekonomi Negara (Mapen). PAS pernah menyertai apa sahaja forum secara khusus yang diatur oleh kerajaan. Termasuklah yang terkini dalam isu kalimah Allah. Di mana, PAS telah menghantar wakil dalam perbincangan dengan IKIM (Institut Kefahaman Islam Malaysia) dan kita mengemukakan pandangan kita sebagaimana dalam al-Quran dan Hadis Nabi SAW. Sebagaimana yang dinyatakan oleh ulama-ulama dalam kitab yang banyak yang dikarang oleh mereka.

S: Tuan Guru, adakah kaedah bagi penyatuan tersebut kerana isu perbincangan antara Umno-PAS telah lama tetapi tidak pernah menjadi kenyataan?

J: Masalah penyatuan ini kita hendaklah faham. Di sana ada perkara yang manusia wajib bersatu, ada perkara yang harus bersatu dan ada perkara yang haram bersatu dan tidak boleh bersatu sampai bila-bila. Perkara yang haram bersatu antara benar dan salah, adil dan zalim, antara haram dan halal, antara iman dan kufur, antara Islam dan jahiliah.

Perkara yang prinsipal, perkara yang konsep, yang diputuskan oleh al-Quran, yang ada nas. Di mana, dalam hal ini tidak boleh disatukan sama sekali antara perbezaan yang berlaku dengan manusia. Ini tidak boleh kita satu, perkara yang ‘tabie’, perkara yang naluri. Dan di sana, ada perkara yang boleh disatukan. Perkara yang menjadi kepentingan bersama, yang menjadi tujuan bersama, keadilan untuk semua. Hak kebaikan untuk semua, menolak keburukan untuk semua. Walau pun persepsinya berbeza itu boleh dibincangkan. Perkara yang boleh disatukan ada, perkara yang boleh diraikan antara satu sama lain, tolak ansur itu ada dan ini perlu dilihat.

Kita tidak boleh melihat secara menyeluruh sebagai satu prinsip yang beku, yang jumud, yang tidak boleh rungkai. Oleh sebab itu, PAS bersdia untuk mengadakan perbincangan dalam perkara yang boleh dirungkai, yang boleh diselesaikan secara ‘ijtihad’, secara kebijaksanaan yang berpandukan kepada prinsip-prinsip ‘fleksibel’ yang ada dalam al-Quran, yang diajar oleh Nabi kita Muhamad SAW.

S: Dahulunya, PAS pernah kata Umno kafir. Dalam isu penyatuan ini macam mana hendak betulkan keadaannya?

J: Kita (PAS) tidak pernah menentukan si anu bin si anu kafir. Kita (PAS) menyataka batas-batas iman dan kufur. Saya sendiri mengarang sebuah buku tentang Aqidah Muslim. Dan Jabatan Perdana Menteri telah mengeluarkan kitab Mustika Hadis. Jilid yang pertama yang menyatakan batas-batas Iman dan Kufur.

Di sana, ada dinyatakan ada perkara-perkara yang boleh membatalkan iman seseorang, yang membatalkan Islam seseorang dan mungkin mereka yang melakukan secara jahil adalah berdosa. Dan kita (PAS) tidak boleh menentukan siapa-siapa jadi kafir melainkan melalui Badan Kehakiman secara Islam yang sah. Dalam Islam ada hukum dan undang-undang orang yang murtad. Dengan sebab itulah, mesti melalui Badan Kehakiman Islam yang kita (umat Islam) kena faham. Apa yang kita (PAS) sampaikan adalah secara ilmu.

Kita (PAS) tidak menafikan ada di kalangan masyarakat kita yang menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal, yang menghina hukum hudud, yang menghina hukum qisas. Dan ada di kalangan pemimpin kerajaan yang tidak perlu saya sebut namanya yang mengatakan sekiranya dilaksanakan hukum hudud akan jadi huru-hara.

Jika laksanakan hukum Islam ramai orang Islam yang kudung (potong tangan). Ini hukum yang dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran. Mungkin mereka mengatakan demikian kerana jahil dan jika kerana jahil dia berdosa kerana tidak belajar. Tetapi, jika dia kata dengan pengetahuan dia, dengan tahu dia sebagai seorang Islam dan tiba-tiba dia menafikan hukum Allah. Ini boleh merosakkan aqidah (Islam) dia. Dan menjadi tanggungjawab kitalah (PAS) menyampaikan. Alhamdulillah, kita (PAS) telah berjaya menyampaikan mesej kita (Islam) sehingga hari ini Umno tidak boleh mendedahkan kesilapan kita dalam masalah ini.

Apa yang berlaku ialah anjakan paradigma dalam Umno sendiri yang tidak lagi mengatakan politik suku agama suku. Dan tidak lagi menghina hukum-hukum Islam, tidak ada lagi budaya dalam Umno. Ini kejayaan yang dapat kita (PAS) laksanakan. Ini kejayaan dakwah yang kita (PAS) sampaikan bagi menyedarkan umat kita, bangsa kita dalam perkara (batas iman dan kufur) ini. Sepatutnya, kita tidak boleh bertelingkah dalam masalah ini dan PAS sendiri pernah minta diadakan muzakarah secara ilmu.

Dalam PAS ada Majlis Syura Ulama’ PAS dan dalam Umno ada Biro Agama Umno. Dan kerajaan sendiri mempunyai Majlis Fatwa, ada mufti-mufti dalam kerajaan, ada IKIM ada macam-macam. Jika dalam Umno ada mereka yang membawa ijazah PhD dalam bidang Islam. Dalam PAS juga ada dan dengan sebab itu perbincangan secara ilmu adalah penting.

Walau pun demikian, saya melihat telah berlaku anjakan paradigma dalam Umno tidak lagi mengatakan agama berpisah dari politik. Ini satu perubahan yang positif dan apa yang penting kita terjemahkan secara praktikal dan dilaksanakan dengan cara yang baik. Antaranya, sekurang-kurangnya memberi ruang kepada negeri-negeri yang dipimpin oleh PAS dan Pakatan Rakyat.Tidak ada gangguan-gangguan dari segi semangat federalisma.

Apa yang berlaku ialah mereka (Umno-BN) telah melanggar semangat dan konsep federalisma yang diamalkan, tidak menghormati keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) termasuk pilihan raya di Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat.

Bila pakatan Rakyat telah menubuhkan kerajaan, mereka (Umno-BN) mesti menghormati keputusan ini tetapi seolah-olah tidak berlaku penghormatan terhadap keputusan ini. Ini suatu hal yang lain dari prinsip Islam. Dengan sebab itu, perbincangan Islam secara ‘usuli’ secara asas perlu antara PAS dengan Umno yang merupakan ada di kalangan Islam disemua pihak.

Jadi perbincangan secara ilmu sangat penting. Dan PAS telah meneroka, apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menjemput kami (PAS) menghadiri perjumpaan dengan IKIM dan saya sendiri hadir dalam majlis itu bersama dengan wakil PAS dalam persidangan itu dan kita (PAS) telah mengemukakan pandangan- pandangan kita (PAS). Ini suatu perkembangan yang sangat positif dan kita (PAS) bersedia untuk hadir jika dibuka ruang untuk kita (PAS) menghadirinya.

Kerajaan Pakatan cuci ‘kotoran’ BN

Harakahdaily

PULAU PINANG, 19 Feb: Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang menyifatkan segala isu yang dibangkitkan di negeri ini merupakan proses pencucian yang terpaksa dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat setelah dikotori oleh Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Ketua Penerangannya, Aida Yusof Rawa berkata, beberapa isu seperti Kampung Buah Pala, perobohan gerai, pengambilan tanah dan lain-lain semuanya terpaksa ‘dicuci’ oleh pemerintah PR setelah BN yangg memerintah sebelum ini meninggalkan kekotoran itu.

“Amat menyedihkan bagi PR yang terpaksa membersihkan ‘kerja kotor’ yang ditinggalkan pemerintah terdahulu,” ujarnya.

Tambahnya, isu perarakan sambutan Maulidur Rasul telah dipolitikkan sebagai menghina orang Islam.

Soalnya, mana ada dalam perundangan atau suruhan yang menyatakan bahawa majlis sambutan Maulidur Rasul ‘mesti’ dengan perarakan.

Ini, katatanya hanya budaya Melayu Islam di Malaysia sahaja yang dibuat tanpa usul periksa sejak dhulu kala.

“Sedih sekali, mereka tidak dapat membezakan tuntutan agama dengan budaya sedangkan ada negeri di bawah pemerintahan BN seperti Johor dan Pahang mengumumkan tidak akan mengadakan perarakan Mulidur Rasul pada tahun ini.

Beliau juga menyeru pemimpin Umno dan Perkasa yang membuat tuduhan melulu terhadap kerajaan negeri supaya berhenti seketika untuk cermin dan menilai diri sama ada benar-benar ingin memperjuangkan hak rakyat yang berbilang kaum dan bangsa atau hanya memikirkan ‘survival’ politik.

Katanya, perjuangan untuk bangsa Melayu sahaja sudah tidak relevan dengan slogan 1Malaysia yang dicipta sendiri oleh ketua mereka.

Tambahnya, Perkasa yang sibuk hendak menjuarai isu-isu Melayu sejagat kononnya sudah ketinggalan kerana semua hak-hak orang Melayu telah jelas termaktub di dalam Perlembagaan.

“Jadi kerja buat mereka ini seolah-olah ‘anjing menyalak bukit’, apa faedahnya,” ujarnya.

Tegasnya, Muslimat PAS negeri berdiri teguh bersama Perhubungan PAS negeri menyokong kerajaan PR di negeri ini.

Jangan terperangkap hukuman sebat wanita

Dr Dzulkefly Ahmad

PAS tidak terperangkap dengan isu hukuman sebat yang sedang dimainkan Umno Barisan Nasional untuk menunjukkan mereka lebih ke hadapan dalam menonjolkan agenda Islam.

Ini ekoran hukuman sebat yang dikenakan terhadap tiga wanita dan empat lelaki yang melakukan kesalahan jenayah syariah pada 9 Februari lepas.

Umno ketika ini sangat tertekan untuk meraih sokongan rakyat menggunakan isu ini untuk menunjukkan bahawa mereka komited dengan Islam. Malaysia ditanggapi umum, khususnya media Barat, sedang mengalami proses Islaminisasi yang serius.

Saya melihat ada semacam politik di sebalik penonjolan perkara (hukuman sebat) ini. Kita jangan terperangkap dalam kerangka pemikiran mereka (Umno-BN) ini.

Negara ini ada undang-undang, mengamalkan apa yang dikatakan pelaksanaan undang-undang yang selari iaitu mahkamah sivil dan mahkamah syariah. Yang dikatakan sebagai kedaulatan undang-undang ialah apabila kedua-dua mahkamah sivil dan mahkamah syariah yang dibina melalui proses legislatif iaitu penggubalan undang-undang yang tertakluk kepada perbahasan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Ketika semua ini sudah termaktub, maka inilah undang-undang yang menjadi undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sebaliknya PAS berpendirian bahawa segala bentuk undang-undang syariah dan sistem perundangan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia mesti dilaksanakan secara telus dan adil terhadap sesiapa jua yang melakukan kesalahan, tanpa mengira kedudukan dan jantina.

PAS tetap mengatakan bahawa apa jua undang-undang syariah walaupun sedikit dalam sistem perundangan yang ada di Malaysia ini hendaklah dilaksanakan secara adil dan telus.

Dalam pada itu, pelaksanaan undang-undang jenayah Islam perlu didahului oleh suasana sosio politik yang baik dan adil di mana keadilan, kemakmuran, dan kesejahteraan dikecapi oleh rakyat seluruhnya.

Dalam konteks negara ini, kerajaan haruslah memastikan kebajikan dari segi kos sara hidup, pekerjaan, taraf pendidikan rakyat terpelihara.

Sebelum datangnya sesuatu hukuman itu, kerajaan harus menitik beratkan semua aspek dalam kehidupan rakyat.

Sebelum seorang pesalah itu dijatuhi hukuman menurut undang-undang Islam, ia harus melalui proses pengadilan yang benar-benar adil dan telus bagi mengelakkan kesilapan dalam menjatuhkan hukuman.

Orang yang dibicarakan itu mesti mendapat keadilan yang sewajarnya. Biar cukup bukti, baru boleh kenakan hukuman sebat. Jangan terus jatuhkan hukuman begitu sahaja. Diam-diam, tiba-tiba jatuhkan hukuman.

Namun apa yang lebih penting, PAS bersama Pakatan Rakyat menuntut agar kerajaan tegas dalam membasmi segala perbuatan jenayah yang melanggar prinsip Islam seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang semakin berleluasa.

PAS menekankan bahawa yang lebih penting sekarang ini,perjuangan PAS bersama Pakatan Rakyat, khususnya PAS yang memperjuangkan islam adalah menuntut supaya negara negara ini bebas dan serentak membanteras segala perbuatan jenayah yang melanggar perinsip islam iaitu rasuah, kezaliman, penyalahgunaan kuasa dan membolot kekayaan negara dengan mengagihkan kekayaan kepada suku sakat dalam amalan kronisme dan pelbagai keruntuhan akhlak.

Sehubungan itu, PAS tetap dengan pendiriannya untuk membersihkan negara dan menentang segala amalan kerajaan yang melanggar syariah dan menentang kehendak rakyat yang mahukan kerajaan yang bersih dan adil.

Saya sekali lagi menegaskan bahawa yang paling mustahak bagi pandangan PAS adalah terus membersihkan negara dan menentang segala amalan kerajaan selama ini khususnya kezaliman yang bertentangan dengan syariah, dengan dasar-dasar Pakatan Rakyat dan bertentangan dengan kehendak rakyat yang mahukan kerajaan yang bersih adil dan telus.

Selepas 48 jam sah MB, 15 hektar kebun musnah

Bashir Ishak

IPOH, 17 Feb: Lajnah Pekerja Dan Peneroka Bandar PAS Pusat membantah keras tindakan kerajaan Perak melalui Pejabat Tanah Larut Matang dan Selama yang merobohkan kawasan ladang yang telah diusahakan selama 12 tahun di Air Kuning, Perak.

Kawasan tersebut yang terletak berhampiran Taiping berada dalam Dewan Undangan Negeri Changkat Jering dalam Parlimen Bukit Gantang.

Insiden ini berlaku kira-kira 48 jam selepas Dr Zamry Abd Kadir diisytiharkan sebagai Menteri Besar Perak yang sah baru-baru ini.

Kawasan seluas kia-kira 15 hektar itu telah dibangunkan bersama oleh sekumpulan 10 orang pengusaha dengan tanaman sayur-sayuran, ternakan lembu dan kambing, ternakan ikan dalam kolam serta pokon buah-buahan.


"Kami membangunkan tanah tersebut yan tidak didiami bagi memenuhi hasrat kerajaan yang mahu memajukan sektor pertanian dan penternakan," kata Mohd Salleh Ariffin, jurucakap kumpulan peneroka tersebut.

Pasukan perobohan tersebut dari Pejabat Tanah Larut Matang dan Selama, dibantu Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), polis dari Taiping, JKR Taiping dan jentera dari syarikat Gamuda mengambil masa kira-kira tiga jam untuk memusnahkan segala yang telah diusahakan selama 12 tahun.

"Mereka datang seolah-olah hendak menangkap penjenayah besar. Kami telah membuat permohonan untuk mendapat hak milik tanah termasuk menghantar surat ke Jabatan Perdana Menteri tetapi tidak mendapat respon sehingga kini.

"Mereka memusnahkan semuanya yang kami usahakan termasuk menebang pokok buah-buahan. Adakah ini slogan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan"?," kata Mohd Salleh yang turut ditangkap dan digari kerana didakwa cuba menghalang kerja-kerja perobohan tersebut.

Kerugian dianggarkan sekitar RM500,000.00.

Mengulas kejadian ini, Pengerusi Lajnah Pekerja Dan Peneroka Bandar PAS Pusat, Mohd Anuar Tahir melahirkan rasa dukacita, kesal dan menyampah dengan apa yang telah dilakukan oleh kerajaan Dr Zamry ke atas rakyatnya sendiri di Perak.

Katanya, tindakan meroboh dengan jentolak dengan bantuan pasukan polis dan FRU ini seolah-olah menyerupai tindakan yang diambil oleh rejim Zionis Israel ke atas penduduk Palestine.

"Sepatutnya pihak kerajaan perlu menggunakan kaedah perundingan untuk mendengar permasalahan rakyat dahulu. Saya juga nak ulangi apakah ini dia slogan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan"?

"Kita membantah keras tindakan ini dan menuntut kerajaan Dr Zamry memohon maaf dengan pihak yang terbabit dan membayar ganti rugi kepada mereka.

"Kita juga menuntut kerajaan Perak tidak memandang remeh perkara ini dan tidak menjadikan ini sebagai tindakan balas dendam atau sebagainya kerana baru-baru ini mereka juga telah mengeluarkan hak milik kepada pekebun limau bali di Tambun sedangkan di sebaliknya pula ada segolongan lagi rakyat yang telah dizalimi," ujarnya.
 

blogger templates | Make Money Online