Search Islamic Directory
Keyword:

JOM UBAH!!!

JOM UBAH!!!

UBAH SEKARANG

UBAH SEKARANG

Sidang Tergempar: Nizar akan bertemu Sultan

Johari Jaafar
Tue | Mar 03, 09 | 12:37:27 pm MYT

IPOH, 3 Mac (Hrkh) - Menteri Besar Perak, Dato Ir Mohamad Nizar Jamaluddin memberitahu akan bertemu dengan Sultan Perak dalam masa terdekat mengenai keputusan sidang tergempar yang mengesyorkan baginda membubarkan DUN.

Sidang DUN Tergempar yang terpaksa dibuat di bawah pokok kira kira 100 meter dari pintu masuk ke Bangunan Perak Darul Ridzuan setelah Speaker Dewan, V. Sivakumar bersama Adun Adun Pakatan Rakyat dihalang masuk ke bangunan tersebut oleh sekumpulan orang yang tidak dikenali.

Sidang dewan tergempar berjalan dengan lancar bermula jam 10.15 pagi tadi dan telah menjalankan mesyuarat ke empat penggal pertama serta meluluskan dua usul.

Usul pertama dibawa oleh Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim, menyokong mengesyorkan pada dewan Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaludin sebagai Menteri Besar yang sah dan telah diluluskan oleh dewan dengan kesemua Adun Pakatan Rakyat menyokongnya.

Usul kedua dari ADun Teja Chan Lih Kang iaitu mengesyorkan pada dewan usul mengesyorkan pada Tuanku Sultan memperkenankan Dewan Undangan Negeri dibubarkan dan usul berkenaan telah disokong swebulan suara.

Sidang tersebut dihadiri oleh semua 28 ADUN PR termasuk YAB MB dan speaker sendiri.

Ustaz Misbahul Munir yang dilantik sebagai Setiausaha Dewan telah mengendalikan sidang tergempar dengan baik.

Sementara itu Adun Sitiawan, Dato' Ngeh Khoo Ham mengusulkan usul supaya dewan menerima keputusan jawatankuasa hak dan kebebasan menggantung Dato' Zambry Kadir dan enam exconya. Usul diterima sebulat suara.

Adun Pasir Panjang, Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaludin telah mengusulkan dewan ditangguh jam 10.32 pagi pagi tadi. - azm _

Sidang tergempar DUN ditangguhkan, tiga usul diterima sebulat suara

Harakahdaily
Tue | Mar 03, 09 | 11:02:53 am MYT

IPOH, 3 Mac (Hrkh) - Sidang tergempar DUN yang telah diadakan di bawah sepohon pokok berdekatan tempat letak kereta di depan Bangunan Perak Darul Ridzuan telah ditangguhkan setelah tiga usul yang dibawa telah diterima secara sebulat suara ahli Dewan.

Usul pertama yang dibentangkan sebentar tadi menyatakan undi percaya kepada menteri besar Pakatan Rakyat, Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin telah diluluskan dengan sebulat suara.

Usul kedua untuk membubarkan DUN dan menyokong keputusan Speaker menggantung Dato' Zambry Kadir dan enam Exco kerana menghina Dewan telah diterima sebulat suara juga oleh ahli Dewan.

Speaker DUN V Sivakumar telah menangguhkan sidang tersebut dan akan mengadakan siadang medianya sebentar lagi berhubung usul yang dilakukan di Sidang Tergemnpar DUN.

Difahamkan Sivakumar akan memaklumkan perkembangan dan keputusan sidang itu kepada Sultan Perak Raja Azlan Shah dalam jangkamasa terdekat.

Sidang yang diadakan di bawah sepohon pokok, dihadiri semua 27 wakil rakyat Pakatan Rakyat termasuk Menteri Besar Perak Dato' Seri Nizar Jamaluddin hadir dengan dipengerusikan oleh Speaker yang berpakaian rasmi. Tiada kerusi untuk semua 28 ahli DUN tersebut.

Nizar dalam pada itu memaklumkan bahawa sidang itu terpaksa diadakan di bawah pokok akibat larangan yang dilakukan oleh pihak berkuasa dan menyatakan sidang itu sah mengikut prosedur yang telah dijalankan seperti biasa sebelum ini.

Sementera itu, pasukan peguam Sivakumar ditolak Mahkamah Tinggi di sini untuk mewakili Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar bagi mengendalikan kes beliau.

Keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Riduan Ibrahim selepas menemui kedua-dua pasukan pembela dan plaintif kira-kira 30 minit di kamarnya.

Alasan yang diberikan Riduan adalah pasukan peguam yang dilantik Sivakumar tidak layak untuk mewakili Speaker tersebut. Perkara itu diumumkan oleh ketua pasukan peguam tersebut, Tommy Thomas. - azm _

Ajar BN-Umno di peti undi - Sasterawan Negara

Harakahdaily
Sun | Mar 01, 09 | 1:18:03 pm MYT

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Hrkh) -Rakyat disaran menggunakan 'bahasa undi' untuk mengajar pimpinan Melayu yang 'membunuh' bahasa ibundanya (Melayu) sendiri demi menyelamat bangsa dan bahasa dari kepupusan.

Sasterawan Negara, Dato' A Samad Said, 76, berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penerangan Isu Pengajaran Pembelajaran Sains & Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di pekarangan Surau Tuan Guru Zainal Abidin, Sura Gate, Dungun, kelmarin.

Katanya, pemimpin Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya boleh diajar dengan kuasa undi dalam pilihan raya.

"Saya menyarankan jika kita (rakyat) sayangkan bahasa kita. Jika mahu bahasa (Melayu) kita dilanjutkan dan dilestarikan. Gunakanlah undi anda (kita), gunakan undi anda.

"Sebab, pemimpin-pemimpin jenis ini hanya tahu 'bahasa undi' (pilihan raya). Dia (pemimpin Umno) tidak tahu bahasa Melayu," tegasnya.

Menurutnya, Umno-BN memperkecilkan golongan muda yang bakal menentukan masa depan negara ini.

Oleh itu, kata beliau golongan muda wajar menggunakan kuasa mengundi (pilihan raya) bagi menentukan pemimpin dan masa depan negara ini.

"Dia (Umno) selalu memperkecilkan angkatan (generasi) muda. Angkatan tua biasanya sudah bersikap jika dia Umno tetap akan Umno, jika syahdunya PAS dia akan tetap dengan PAS.

"Kuasa imbangan yang terbesar sekarang adalah ditangan anak-anak muda dan janganlah lupa menggunakan kuasa (pilihan raya) itu untuk menentukan masa depan bangsa dan bahasa," ujarnya.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Samad mendakwa pemimpin Negara ini telah melakukan satu jenayah kerana melanggar Akta Pendidikan dan Perlembagaan.

Katanya, kemajuan yang mahu dinikmati oleh rakyat dan negara ini bukan dengan cara membunuh bahasa dan bangsa sendiri.

"Kenapakah pemimpin (Umno-BN) kita telah melakukan satu jenayah dengan melanggar Akta Pendidikan dan melanggar Perlembagaan yang mensucikan bahasanya.

"Sekarang tahun 2009, perlanggaran itu berterusan. Apakah orang seperti saya yang membantah PPSMI kerana tidak mahu kemajuan.

"Saya telah berusia 76 tahun dan saya telah menulis sepanjang lebih 50 tahun dan menghasilkan 65 buah buku khazanah untuk bangsa saya,"jelasnya.

Katanya, permasalahan isu PPSMI berlarutan sejak enam tahun lalu kerana negara ditadbir oleh pemimpin yang hanya berfikir lima tahun ke hadapan dan bukan 50 tahun ke hadapan.

"Kita (Melayu) sudah kepupusan huruf (jawi) dan kita sudah hilang Utusan Melayu oleh kerana kepupusan huruf.

"Kita (Melayu) hilang kitab-kitab jawi dan tidak lama lagi dalam lima dekad kita akan hilang bahasa kita (Melayu) sendiri," jelasnya.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Abu Bakar Chik; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sura, Ustaz Wan hassan Ramli dan Timbalan Pengarah Jawatankuasa Pelaksana Gerakan Memansuhkan PPSMI, Suhaizan Kaiat. - mks._

Pengisytiharan Ulama bantah PPSMI


Harakahdaily
Mon | Mar 02, 09 | 10:16:08 am MYT

PENDANG, KEDAH, 2 Mac (Hrkh) - 'Pengisytiharan Muafakat Ulama Membela Martabat Melayu' yang diadakan di Madrasah An-Nur, Pendang, dekat sini baru-baru ini membuktikan bahawa golongan ulama juga turut membantah isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilancar sejak tahun 2002.

Berikut adalah teks penuh Pengisytiharan tersebut:-

Segala puji hanya untuk Allah Rabbul 'Alamin, Yang Maha Pengasih, Yang telah mengajar Al-Quran, Dia menciptakan insan, mengajarnya al bayan, Dia cipta semua dengan segala aturannya agar insan tidak merosakkan keseimbangan, supaya ditegakkan kesimbangan itu dengan adil dan tidak mengurangi keseimbangan yang telah disusun dengan peraturanNya.

Selawat dan salam untuk junjungan kekasihNya Rasulullah s.a.w serta ahli keluarga baginda dan seluruh sahabatnya, yang menjadi qudwah hasanah untuk seluruh insan, membawa rahmat untuk sekalian alam, membawa petunjuk dari zulamat kepada nur yang menerangkan, membebaskan perhambaan insan kepada makhluk kepada pengabdiaan hanya kepada Allah, yang mengangkat semua kaum dari Zillah kepada kekecemerlangan 'Izzah Islam.

Memahami bahawa bahasa mempunyai kaitan langsung dengan persoalan falsafah dan pegangan hidup seseorang Muslim,

Memahami bahawa dengan pemisahan agama dari bahasa akan membawa implikasi besar kepada kaum Muslimin dari sudut pandangan hidup Islam yang berasaskan Tauhid,

Menginsafi bahawa kepentingan penggunaan bahasa dalam Islam ada kaitan dengan makna yang boleh memberi kesan kepada nilai dan prinsip asas dalam kehidupan seseorang Muslim,

Meneliti bahawa fungsi bahasa sangat jelas kepentingan dan kedudukannya dalam pengembangan dan penyampaian risalah Islam,

Menginsafi betapa sekularisasi bahasa akan membawa kepada sekularisasi kehidupan kaum Muslimin, lantaran terpisahnya seorang Muslim dari bahasa yang mendidik konsep dan falsafah kehidupan beraqidah akan melunturkan kerangka berfikirnya terhadap tassawur Islam yang benar dan murni,

Menghayati betapa bahasa Melayu telah melalui sejarah Islamisasi yang tersendiri sejak kedatangan Islam di alam Melayu, oleh kerana itu ia telah menjadi bahasa yang terpileh untuk membentuk pegangan hidup Islam dikalangan ratusan juta kaum Melayu di nusantara ini,

Menerima bahawa Bahasa Melayu mempunyai kedudukan yang istimewa dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan sebagai bahasa Kebangsaan Negara ini,

Mengambil perhatian serius bahawa perlaksanaan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) sejak tahun 2002 , telah menjejaskan status dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan Negara,

Menyesali bahawa PPSMI telah dilaksanakan dengan secara tergesa-gesa tanpa penelitian yang lebih terperinci dan tanpa mengambil pandangan balas dari ahli cendekiawan dan ilmuan Islam,

Memandang serius bahawa perlaksanaan PPSMI telah memberi kesan negatif dalam jangka masa pendek mahupun dalam jangka masa panjang kepada tahap prestasi pelajar-pelajar di kawasan luar Bandar,

Memberi perhatian berat kepada perlaksanaan PPSMI yang telah mengenepikan segala usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang berkeupayaan tinggi untuk mendidik anak bangsa khasnya dan warga Negara amnya,

Memahami bahawa perlaksanaan PPSMI oleh pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran tidak mengambilkira segala hujah ilmiah berdasarkan undang-undang, sejarah, kesan sosio-budaya, pembinaan jati-diri dan tamadun bangsa, yang telah dibentang oleh pelbagai ahli pakar dan ahli akademik dalam Negara,

Mengesahkan bahawa beragama Islam dan bertutur dalam bahasa Melayu ada kaitan dengan ta'rif seorang Melayu mengikut Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan dan ini bermakna keserasian Bahasa Melayu dengan KeIslaman bangsa Melayu tidak dapat dipisahkan,

Maka kami sebagai golongan agama yang prihatin terhadap sebarang hal-ehwal yang ada kaitan dengan kedudukan Islam dan kaum Muslimin di Negara ini, berpendirian,

1.MENOLAK perlaksanaan PPSMI dalam sistem pendidikan Negara,

2.MEMBANTAH penerusan perlaksanaan PPSMI kerana ia menjejaskan kedudukan bahasa Melayu yang sudah diangkat martabatnya sebagai bahasa ilmu dan sekaligus bahasa Islam,

3.MENEGASKAN bahawa dalil agama untuk mengembalikan pengajaran sains dan Matematik kepada bahasa Melayu sangat kuat kami sandarkan kepada nas-nas naqli berikut:

-Menggunakan bahasa yang dapat menerangkan dan memahamkan konsep dan falsafah kebenaran adalah matlamat utama kenapa Al-Quran menggunakan bahasa ibunda Arab sebagai pengantar untuk menjelaskan makna dan intisari ajaran Islam kepada bangsa Arab.

"Dan demikianlah Kami wahyukan Al Quran kepadamu dalam bahasa Arab , agar engkau memberi peringatan kepada penduduk ibukota (Mekah) dan penduduk (negeri-negeri) di sekelilingnya serta memberi peringatan tentang Hari berkumpul (Qiamat) yang tidak diragukan adanya . Segolongan masuk syurga dan segolongan masuk neraka ". (Asy-Syura: 7)

-Bahawa bahasa yang tidak tercemar dengan makna dan faham yang terlepas dari konsep ketauhidan Allah dan membolehkan mesej asas Islam mengenai Ketuhanan disampaikan adalah punca kenapa Al Quran memileh bahasa Arab sebagai bahasa pengantar. Lantaran itu Bahasa Melayu yang telah sarat melalui proses Islamisasi adalah bahasa yang paling wajar dijadikan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan Negara untuk menjayakan proses pembinaan tamadun islam dalam masyarakat Malaysia.

"Sesungguhnya Kami menurunkannya berupa Al Quran berbahasa Arab , agar kamu mengerti" (Surah Yusuf: 2)

"Dan demikian Kami menurunkan Al Quran dalam bahasa Arab dan Kami telah menjelaskan berulang-ulang didalamnya sebahagian dari ancaman agar mereka bertaqwa atau agar (Al Quran) itu memberi pengajaran bagi mereka"(Surah Toha: 113)

"Dan sungguh te;lah Kami buatkan dalam Al Quran ini segala macam perumpamaan bagi manusia agar mereka dapat pengajaran, iaitu Al Quran dalam bahasa Arab, tiada ada kebengkokan (di dalamnya) agar mereka bertaqwa" (Surah Az Zumar :27- 28)

"(Al Quran ini) diturunkan dari Tuhan Yang Maha Pengasih , Maha Penyayang , Kitab yang ayat-ayatnya dijelaskan bacaan dalam bahasa Arab untuk kaum yang mengetahui" (Surah Fussilat : 2-3)

"Demi kitab (Al quran) yang jelas . Kami jadikan Al Quran dalam bahasa arab agar kamu mengerti� (Surah Al Zukh�ruf :3) Semua ayat-ayat ini menjelaskan betapa bahasa ada kaitan dengan mesej risalah Islam yang disampaikan kepada manusia.

Manakala bahasa Melayu yang sarat dengan konsep Islam dari Al Quran diketepikan penggunaannya dalam pengembangan ilmu ,maka kesan sekularisasi bahasa yang telah berlaku dalam sejarah pengembangan bahasa inggeris yang sangat dipengaruhi oleh sejarah sekularisasi agama Kristian akan mempunyai impak kepada masyarakat Melayu islam di Negara ini.

4.MENDESAK supaya perlaksanaan PPSMI hendaklah diberhentikan dan penggunaan bahasa Melayu kembali digunakan sebagai bahasa pengantar dalam semua matapelajaran kecuali dalam pengajaran bahasa yang lain , di seluruh institusi pendidikan di semua peringkat .

5.MENUNTUT agar kerajaan mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu untuk membentuk tamadun tinggi dalam masyarakat, sementara memberi ruang untuk pelajar mempelajari pelbagai bahasa lain untuk meningkatkan keupayaan menguasai pelbagai ilmu dari sumber bahasa yang lain,

6.MENDESAK agar tulisan jawi kembali diperkasakan dalam sistem pendidikan Negara termasuk mengalakkan urusan rasmi menggunakan tulisan jawi sebagai identiti negara,

7.MENEGASKAN bahawa pengajaran bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan kaedah dan pendekatannya, namun bukan dengan cara mengenepikan bahasa Melayu sebagai pengantar matapelajaran seperti yang dilaksanakan dalam PPSMI masakini,

8.MENGGESA supaya penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar hendaklah diperundangkan dan dikuatkuasakan dalam semua sektor Negara semada awam mahupun swasta.

9.MENEGASKAN bahawa pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran tidak boleh berdaleh dengan alasan pencapaiaan UPSR , PMR mahupun SPM untuk menjadi asas untuk meneruskan atau memberhentikan perlaksanaan PPSMI,

10.MENDESAK supaya pihak kerajaan tidak menggunakan dalil mencapai kemajuan bertaraf dunia sebagai alasan untuk meneruskan PPSMI kerana hujah ini sudah muktamad ditolak oleh perbandingan dan bukti dengan pelbagai Negara lain yang tidak mengutamakan bahasa Inggeris untuk mencapai kemajuan sesuata bangsa dan Negara.

11.MENGESA agar seluruh warga pendidik dan waris pelajar-pelajar disemua institusi pendidikan Negara agar bersama bersatu untuk membantah perlaksanaan PPSMI.-azm _

Keputusan SMS NTV7: 97 peratus undi sokong sidang DUN

Harakahdaily
Mon | Mar 02, 09 | 9:53:47 am MYT

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Hrkh) - Keputusan Undian SMS yang dikendalikan oleh NTV7 melalui berita '7 Edition' baru-baru ini bertajuk "Apakah Sidang Tergempar SAH?" mendapat respon yang begitu mengejutkan.

Dalam undian terbabit hasilnya secara keseluruhan, 97 peratus rakyat Malaysia menyatakan bahawa sidang tergempar DUN itu sah diadakan esok sungguhpun Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak menyanggah keputusan Speaker DUN Speaker DUN Perak, V.Sivakumar.

Kata Najib ianya tidak boleh memanggil sidang tergempar kerana mahkamah belum membuat keputusan berhubung status kerajaan negeri itu sedangkan sebelum ini tanpa menunggu keputusan mahkamah, beliau menyokong dan bersetuju melantik Dato' Dr Zambry sebagai menteri besar yang baru.

Difahamkan terdapat tiga faktor untuk Speaker memanggil Sidang DUN tergempar ini tanpa memerlukan perkenan Sultan.

Pertama, beliau telah mendapat dua notis usul daripada dua ADUN Perak untuk dibincangkan segera iaitu Usul pertama oleh Khalil Idham Lim Abdullah (ADUN Titi Serong) yang mahu ahli dewan memberikan sokongan kepada Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Muhammad Nizar Jamaluddin.

Manakala usul kedua oleh Chang Lih Kang (ADUN Teja) yang mahu DUN dibubarkan bagi memberikan laluan kepada rakyat memilih melalui pilihanraya.

Kedua, sidang DUN yang lepas hanya ditangguhkan dan boleh disambung semula tanpa perlu lagi perkenan sultan maka speaker berhak untuk memanggil sidang tergempar sebagaimana Sidang Parlimen berhubung isu Palestin yang diadakan baru-baru ini tidak pun perlu mendapat perkenan Agong terlebih dahulu.

Ketiga, sidang DUN tergempar ini tidak perlu diberikan notis 14 hari seperti yang diperuntukkan di bawah Peraturan Tetap 27 (3) Peraturan Peraturan Tetap DUN Perak kerana notis itu hanya untuk persidangan biasa bukan tergempar. - azm _

PKWR bertindak segera tangani ribut di Pantai Merdeka

Oleh: AZMAN AHMAD

Sungai Petani – Sebanyak sebelas buah rumah musnah atau hampir musnah akibat dipukul ribut yang berlaku di kampung Bukit Kecil, Simpor hari ini. Ribut yang melanda sekitar jam 4.30 petang bersama hujan lebat menyebabkan beberapa keluarga hilang tempat berlindung.


Rosli Darus, Pembantu Khas Wakil Rakyat Pantai Merdeka yang ditemui selepas melawat tempat kejadian memaklumkan, bancian awal mendapati sekitar sebelas buah rumah rosak dan empat daripada rosak teruk. Antara kerosakan yang dialami adalah bumbung diterbangkan angin dan bumbung pecah.

Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Tikam Batu bersama sebuah jentera membantu kerja-kerja membersihkan kawasan yang terlibat setelah memastikan tiada mangsa yang cedera.

Seorang mangsa, Long Teh menceritakan kejadian cemas apabila terlihat sebatang pokok pinang menimpa rumah jirannya lantas menjerit memberitahu jirannya. ”Dalam waktu yang sama, tanpa disedari bumbung rumah saya sendiri telah ’hilang’ akibat diterbangkan angin,” ujarnya.

Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Pantai Merdeka yang dimaklumkan tentang kejadian tersebut terus mengunjungi kawasan terbabit dan menyelaras kerja-kerja pembersihan serta membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat membuat bancian kerosakan.

Rosli berharap penduduk yang terlibat supaya bersabar menempuh ujian dari Allah ini. Beliau turut merakamkan ucapan syabas kepada dua orang MKK, Haji Darus Haji Md Isa dan Haji Mohd Taib Ahmad yang turut sama memainkan peranan membantu mangsa.

Rosli berharap JKM akan segera menghulurkan bantuan dan berharap kepada mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan agar dapat menyalurkan kepada Pusat Khidmat Wakil Rakyat di talian 04-438 0595 bagi memudahkan penyelarasan barangan keperluan.


 

blogger templates | Make Money Online