Search Islamic Directory
Keyword:

JOM UBAH!!!

JOM UBAH!!!

UBAH SEKARANG

UBAH SEKARANG

Ada GLC Kedah agih keuntungan di kalangan kroni - MB Kedah

Izwan Abdul Halim
Sun Jul 13, 08 2:34:50 pm MYT

KOTA SARANG SEMUT, 13 Julai (Hrkh) - Buat pertama kalinya, Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak mendedahkan penyelewengan yang pernah berlaku di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri terdahulu setelah lebih empat bulan menerajui tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri. -->
Menurut beliau, Syarikat Milik Kerajaan Negeri (GLC) sepatutnya membantu Kerajaan Negeri dalam soal kewangan negeri bahkan syarikat-syarikat itu diberi kemudahan berbanding syarikat lain untuk aktif dalam perniagaan.
"Tetapi malangnya, keuntungan ini diagihkan di kalangan pengarah dan kuncu-kuncu mereka juga ahli-ahli politik mereka. Di sinilah kita dapati wang rakyat telah hilang.
"Satu syarikat mengeluarkan sebanyak RM 340,000 beli dua jam tangan untuk dihadiahkan kepada orang-orang tertentu,"ujarnya mendedahkan perkara tersebut pada majlis ceramah '100 Hari Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah' di Kompleks PAS Kedah di sini semalam.
Beliau turut menyentuh pertemuannya dengan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi pada majlis Perasmian Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan di Dewan Wawasan, Jitra baru-baru ini mengenai perancangan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) di samping turut melontarkan peringatan buat Umno Kedah.
"Banyak yang dibincangkan, alhamdulillah projek-projek yang dirancang di bawah NCER akan diteruskan.
"Umno Kedah jangan fikir projek ini dia akan dapat secara mutlak, dia mesti melalui tender. Setiap tender yang melibatkan Negeri Kedah mesti ada wakil Kerajaan Negeri," tegasnya. - mks. _

Admin : Siapa orangnya ya ? Namanya apa ya ? GLC mana satu ya syarikatnya ya ? Angin saja kot.

Usul: Sokongan Ahli Parlimen dialu-alukan - Wan Azizah

Harakahdaily
Sun Jul 13, 08 7:44:29 am MYT

PULAU PINANG, 13 Julai (Hrkh) - Ketua Pembangkang Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengalu-alukan lebih banyak Anggota Parlimen daripada Barisan Nasional untuk menyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. -->
Bernama melaporkan, Wan Azizah tidak mengharapkan suatu perubahan dalam kerajaan, sebaliknya perwakilan bagi suara rakyat didengar di Parlimen.
"Proses itu tidak akan membabitkan sebarang pengundian dan kami tidak akan memfailkan usul itu buat kali kedua sekiranya Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak memberi kebenaran kali ini," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menerima Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN), yang membawa gelaran "Datuk Seri Utama", sempena sambutan ulang tahun ke-70 Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas di sini semalam.
Dr Wan Azizah berkata beliau menyerahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk menerima usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.
Usul itu disokong oleh dua Anggota Parlimen daripada Parti Maju Sabah (SAPP) iaitu Dato' Eric Enchin Majimbun (Sepanggar) dan Dato' Dr Chua Soon Bui (Tawau).
Khamis lepas, Dr Wan Azizah memfailkan usul tergempar undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Jika diterima, usul itu, yang difailkan mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) and 18(2), akan didengar dan diputuskan Isnin ini.
Tiada pengundian akan dibuat memandangkan usul itu hanya akan dibahaskan. - mks._

Admin : SAPP dah sokong rupanya. Tahniah.

Bekas pekerja Nikko tuntut RM7.2 juta

Mohd Sabri Said
Fri Jul 11, 08 10:59:59 am MYT

BUTTERWORTH, 11 Julai (Hrkh) - Pekerja kilang Nikko Electronic Bhd menuntut bekas majikan mereka membayar pampasan sebanyak RM7.2 juta di mahkamah Buruh, Butterworth pada 25 Julai ini kerana memberhentikan pekerja serta merta. -->
Demikian kata jurucakap pekerja berkenaan, Zahir Ismail ketika Harakahdaily menemu bualnya baru-baru ini.
Menurutnya lagi, walaupun pihak kerajaan negeri melalui Penang Invest telah mengadakan temuduga terbuka di Nation Gate baru-baru ini namun ramai yang kecewa kerana bidang kerja yang ditawarkan di kilang lain kebanyakanya melebihi had sijil yang mereka miliki .
"Semasa temu duga tersebut ramai yang merunggut kerana ditawarkan pekerjaan yang memerlukan diploma walaupun sebagai juruteknik tidak sebagaimana di Nikko dulu. Lagi
satu masalah yang mereka hadapi ialah kebanyakan kilang menolak pekerja yang berumur melebihi 35 tahun," terangnya.
Beliau begitu kecewa dengan kelembapan tindakan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Pulau Pinang untuk membantu mangsa pembuangan pekerja seperti yang diperkatakan oleh pegawai Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) kawasan utara, V.Vijaya.
Baginya, apa yang paling penting ialah tawaran kerja mestilah setimpal dengan sijil yang dimiliki serta berdasarkan pengalaman yang ada.
Beliau juga menyokong saranan MTUC supaya Kerajaan Negeri segara masuk campur dengan memberikan RM1,000 satu keluarga untuk membiayai penghidupan mereka setelah dibuang kerja pada 30 Jun lalu menerusi sekeping surat bertarikh 28 Jun 2008 tanpa tanda tangan.
"Jika ada bantuan sebagaimana yang dinyatakan oleh MTUC itu amat bagus kerana kami berada dalam kehimpitan sekarang setelah dibuang kerja tambahan lagi terdapat 30 ibu tunggal dan 10 pasangan yang bekerja sekali," tegas beliau penuh harap.
Setakat berita ini ditulis baru 824 orang pekerja telah mengisi borang di pejabat buruh, Butterworth untuk menuntut pampasan daripada 963 orang pekerja di kilang berkenaan. - mns_

Admin : Dengaq kata kilang ini tiada kesatuan sekerja, betoi ka ? Kalau tiada,kenapa kerajaan Pusat/Negeri tidak menggalak pekerja berpersatuan ? Bagaimana masalah lain selain pemberhentian serta merta iaitu perlaksanaan sistem pekerja kontrak ? Dengaq cerita syarikat yang menawarkan pekerjaan secara kontrak suka menipu ? Di mana ? Di Kawasan Sungai Petani ada ka ? Ada bagi info.

Parlimen ditutup untuk tetamu,Nazri dakwa ada demonstrasi

Harakahdaily
Sat Jul 12, 08 7:12:09 pm MYT
KUALA LUMPUR, 12 Julai (Hrkh) -Kesemua anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat dinasihatkan supaya tidak membawa tetamu mereka ke kawasan Parlimen seperti yang dibenarkan sebelum ini pada persidangan Dewan Rakyat Isnin ini. -->
Menurut laporan Bernama, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri,Dato' Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata langkah keselamatan itu terpaksa diambil selepas beliau mendapat maklumat satu demonstrasi besar-besaran akan diadakan oleh pihak pembangkang sama ada di dalam ataupun di luar kawasan Parlimen, Isnin ini.
Ia ekoran tindakan Ketua Pembangkang Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail mengetuai 14 ahli Parlimen pembangkang mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kepada Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, yang akan memutuskan sama ada menerima atau menolak usul itu, Isnin ini.
"Saya difahamkan, sama ada usul ini akan diterima ataupun ditolak, saya telah mendapat maklumat satu demonstrasi besar-besaran akan dibuat sama ada di dalam atau di luar kawasan Parlimen, Isnin ini,"dakwanya.
Nazri berkata pihak polis akan membuat kawalan yang ketat dan hanya akan membenarkan ahli Parlimen sahaja masuk ke dalam kawasan Parlimen, demikian menurut laporan Bernama.
"Saya telahpun menghubungi Speaker memaklumkan tentang tindakan yang saya ambil ini, semata-mata untuk keselamatan ahli-ahli Parlimen dan juga kawasan Parlimen.
"Keselamatan Anggota-anggota Parlimen dan keselamatan kawasan Parlimen adalah diutamakan dan kita tidak mahu apa-apa perkara yang tidak diingini berlaku dalam kawasan Parlimen," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk di Kampung Ngok, Beluru di Kuala Kangsar hari ini.
Ditanya sama ada pihak media yang membuat liputan akan turut terjejas dengan langkah keselamatan tersebut, Nazri berkata perkara itu adalah terpulang kepada pihak polis.
"Media, memanglah mereka bertugas. Jadi apa juga tindakan yang diambil oleh pihak polis itu terpulang kepada budi bicara mereka kerana akhirnya polis yang bertanggungjawab di atas keselamatan di kawasan itu," katanya.
Beliau berkata orang ramai juga tidak akan dibenarkan memasuki kawasan Parlimen pada Isnin ini kecuali mereka yang perlu hadir kerana bertugas.
Mohamed Nazri berkata sama ada langkah keselamatan tersebut akan dilaksanakan pada Isnin ini ataupun hari-hari berikutnya adalah bergantung kepada maklumat-maklumat yang diperolehi pihaknya mengenai perkara tersebut.
Ditanya sama ada langkah keselamatan itu berkemungkinan akan menyebabkan ahli Parlimen pembangkang memboikot sidang Dewan Rakyat Isnin ini, Mohamed Nazri berkata, "dia nak boikot, boikotlah... itu dia punya hal lah tapi saya nak bagi nasihat kepada mereka supaya jangan membawa lima orang tetamu itu kerana polis akan membuat kawalan ketat," katanya. - mks._

Admin : Pelik-pelik la lepas PRU 12 nie, awat tak tau...

TV3 lakukan 'jenayah media', sebar fitnah

M Khaleel Kas Sat
Jul 12, 08 8:15:56 am MYT

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Hrkh) -Tindakan dan keghairahan media perdana di negara ini dalam menyiarkan berita-berita yang boleh memgambarkan keburukan pemimpin kerajaan negeri yang diperintah selain daripada Barisan Nasional (BN) amatlah dikesali. -->
Menurut Presiden Teras, Azmi Abdul Hamid dalam proses untuk memenuhi agenda memburukkan lawan politik BN , media perdana sangat ketara cuba menggambarkan pemerintahan Pakatan Rakyat juga turut menyalahgunakan wang rakyat untuk berbelanja mewah.
"Dalam keghairahan untuk mencari apa sahaja isu yang boleh memgambarkan keburukan pemimpin kerajaan negeri yang diperintah selain BN , didapati media perdana nampaknya tidak berhati-hati dalam memilih bahan berita.
"TV3 baru-baru ini telah melakukan 'jenayah media' yang turut melakukan fitnah sedangkan hanya beberapa hari sebelumnya media tersebut telah memaparkan secara khusus isu fitnah yang dikaitkan dengan politik Malaysia.
"Untuk kali pertama TV3 menyiarkan slot khas lengkapkan dengan bacaan ayat-ayat Al Quran yang mendedahkan fitnah yang menjadi gejala politik di negara ini,"jelasnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily pagi ini.
Tambahnya lagi,"akan tetapi hal yang sama jugalah yang dilakukan bila sebuah klip gambar yang membayangkan MB Kedah dikatakan mengguna pesawat khas dalam suatu penerbangan baru-baru ini."
Katanya lagi, padahal yang sebenarnya seperti yang dilaporkan oleh Bernama , ia bukan seperti yang telah cuba digambarkan oleh TV3 dan ia dikatakan ialah sebuah penerbangan rombongan di raja Kedah untuk berlepas ke Brunei bagi mengundang Sultan Brunei hadir di sambutan jubli emas Sultan Kedah.
"Teras kesal kenapa budaya fitnah media ini diamalkan oleh TV3, bukankah dengan cara yang sangat gelojoh ini akan memburukkan lagi keadaan berpolitik di negara ini.
"Menfitnah dengan berita yang salah apatah lagi dengan membabitkan kelompok istana adalah gejala yang tidak dapat diterima oleh rakyat,"ujarnya yang kesal dengan kejadian tersebut.
Beliau juga menegaskan bahawa,ketelanjuran ini tidak boleh dibiarkan berlalu malah untuk tidak memangsakan pihak yang menjadi sasaran, permohonan maaf terbuka perlu dilakukan oleh media yang berkenaan.
"Teras mengesa TV3 jangan terlalu ghairah dengan menyertai dan terlibat dalam politik fitnah yang sering dituduh pihak lawan BN yang melakukannya.
"Pada pendapat Teras, amalan media yang tidak beretika dan tidak dikawal itulah yang menyebabkan budaya fitnah berleluasa di negara ini,"tegasnya. - mks. _

Admin : Cadangan - Lakukan kajian dan ambil tindakan mahkamah.

Pertemuan PAS Terengganu dan Ahmad Said, 15 Julai

Suhaimi Taib Thu
Jul 10, 08
2:50:17 pm MYT

Menteri Besar Terengganu Dato' Ahmad Said, nampaknya bersedia menerima kunjungan anggota Dewan Harian PAS negeri itu bagi membincangkan isu royalti petroleum dan gas yang dikembalikan semula ke negeri itu baru-baru ini. -->
Serentak itu PAS negeri menyambut baik usaha berkenaan yang dijangka akan diadakan 15 Julai ini, lapor Buletin Online.
Bagaimanapun tiada laporan mengenai tempat pertemuan itu diadakan.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali berkata tujuan PAS mengajak kerajaan negeri Terengganu 'duduk semeja' dan berbincang adalah kerana PAS menganggap pimpinan kerajaan negeri khususnya Menteri Besar, setaraf dengan pimpinan PAS.
Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri itu, Haji Yahaya Ali pula berkata, parti itu menyambut baik 'respons' Dato' Ahmad dan sikap terbuka untuk duduk semeja membincangkan isu tersebut demi kebaikan rakyat negeri berkenaan.
Justeru beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Besar itu atas kesudiannya menemui pemimpin PAS negeri berkenaan.
Sebelum itu Dato' Ahmad mengakui beliau bersedia menemui pemimpin PAS Terengganu untuk tujuan murni itu.
"Kita akan adakan pertemuan dengan Dewan Harian PAS dan perbincangan demi kepentingan rakyat, Kita akan jelaskan untuk kebaikan bersama dalam keadaan kegawatan ekonomi sekarang,
"Pertemuan itu antara Dewan Harian PAS dengan Menteri Besar dan bukan antara parti PAS dengan Umno...tidaklah," Dato' Ahmad Said berkata kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman, semalam.
Beliau berkata pertemuan tersebut dijangkakan akan diadakan pada 15 Julai ini antara Dewan Harian Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) dengan Menteri Besar Terengganu.
Keputusan Ahmad mengejutkan kerana sebelum ini, beliau pernah menolak tawaran PAS Terengganu untuk bersama 'duduk semeja' dan berbincang dengan kerajaan negeri Terengganu berkaitan perkembangan semasa yang berlaku sekarang.
Ketika itu Ahmad bukan sahaja menolak tawaran ikhlas pemimpin PAS Terengganu, bahkan menuduh PAS cuba bermain politik.
Bahkan Ahmad Said seolah-olah memperkecil-kecilkan saranan yang dikemukakan oleh PAS bagi menyelesaikan masalah kenaikan harga minyak dan tekanan yang sedang dialami oleh rakyat sekarang.
Persoalan timbul ialah sejauh mana keberkesanan pertemaun itu belum dipastikan lagi khususnya untuk melihat royalti itu dimanfaatkan kepada rakyat tanpa mengira kaum dan parti.
Sikap kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini agak bias dalam pembahagian kekayaan negeri cukup jelas apabila rakyat yang menyokong pembangkang agak terpinggir untuk mengecapi hasil tersebut.
Dengan sikap terbuka sedemikian rupa soal meminggirkan pihak pembangkang dalam apa jua pengagihan kekayaan negeri tidak lagi menjadi masalah utama.
Yang penting ketelusan dan keadilan perlu mewarnai semua kepentingan rakyat termasuk dalam soal pemerolehan kontrak kerajaan dan peluang-peluang perniagaan terbuka luas kepada rakyat negeri itu tanpa mengira parti.
Jika ada lagi benteng (wall) ini, selepas pertemuan tersebut, sudah pasti ia tidak mencapai matlamat yang dikehendaki.
Konsep tender terbuka dengan mengikut terma dan kondisi yang ditetapkan adalah satu konsep yang telus tanpa ditokok tambah dengan syarat yang tidak dinyatakan secara tersurat termasuk perlu meminta kelulusan wakil rakyat BN atau tertentu terlebih dahulu, barulah permohonan tersebut boleh dibuat.
Ataupun latar belakang parti pemohon perlu diketahui terlebih dahulu oleh Exco Kerajaan berkenaan untuk meluluskan projek. Jika diketahui pemohon ternyata penyokong pembangkang, bukan berdasarkan kelayakan dan pengalaman dan rekod kerjanya, permohonan tersebut ditolak mentah-mentah.
Ini satu lagi tindakan yang tidak memberi apa-apa erti walaupun rundingan diadakan di antara pihak-pihak terbabit beberapa kali.
Dasar kerajaan Terengganu perlulah benar-benar terbuka atau bukan kerana sebab-sebab politik tertentu pertemuan itu diadakan tetapi ianya ikhlas untuk kebaikan rakyat negeri itu seluruhnya.
Bagaimanapun pertemuan itu perlu disokong dan penghasilannya perlu diketahui umum jika untuk kepentingan umum dan mungkin ada sesuatu yang rahsia dibincangkan, terserah kepada kebijaksanaan pemimpin PAS dan Menteri Besar untuk memutuskan sesuatu yang bermakna untuk rakyat negeri itu.
Yang penting hak rakyat negeri Terengganu perlu dimanfaatkan untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan parti. - mns_

Admin : Teringat email yang diterima . MB yang sopan.




 

blogger templates | Make Money Online