Search Islamic Directory
Keyword:

JOM UBAH!!!

JOM UBAH!!!

UBAH SEKARANG

UBAH SEKARANG

Tegak sunah Rasulullah s.a.w. sepanjang hayat - Presiden PAS

farahsalwa

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamiin. Selawat dan salam buat penghulu para pejuang, Rasul tercinta Muhammad s.a.w., para sahabat dan keluarga baginda, serta mereka yang mengikuti jalannya serta mencontohi perilaku baginda hingga ke hari pembalasan.


Sesungguhnya perasaan kita penuh dengan kerinduan kepada Rasulullah s.a.w. Sebagai seorang yang mencintai baginda, tentu sekali kita senantiasa terkenang akan sirah perjuangan dan lakaran pengorbanan Rasulullah s.a.w. sehingga kita semua dapat menerima cahaya keIslaman dan hidayah dari Allah untuk mengecapi nikmat berharga iman dan Islam.

Namun kita sebagai seorang Muslim perlu sentiasa bermuhasabah sejauh manakah kecintaan yang disebut dan diungkapkan ini benar-benar tertanam dengan kukuh di lubuk hati kita? Sejauh manakah kita melakukan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW dalam lakaran perjuangannya, yang kemudiannya disambung tali-menali hingga ke hari ini?

Marilah kita menghayati firman Allah yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutusmu (Wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai pembawa berita gembira, dan pemberi amaran; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu)”. (Surah Saba’: 28)

Baginda Rasulullah s.a.w. telah pergi meninggalkan kita, dengan sama sekali tidak mewariskan kepada kita harta pusaka kekayaan, tetapi yang diwariskan adalah ilmu yang menjadi panduan hakiki, akhlak yang terpuji, sebuah perjuangan suci dan sebuah cara hidup yang sempurna.

Marilah kita sama-sama menjadikan sambutan ini menguatkan iltizam kita menegakkan sunnah baginda sepanjang tahun dan sepanjang hayat kita. Tidak cukup kita menunjukkan rasa gembira dengan bercuti, mengadakan perarakan dan berslogan mencintai Rasulullah. Akan tetapi gembirakanlah Rasulullah s.a.w. dengan mengamalkan dan menegakkan segala suruhan baginda, serta meninggalkan dan berusaha menghalang segala yang dibenci baginda.

Rasulullah s.a.w. meninggalkan sebuah perjuangan suci sebagai rahmat ke seluruh alam untuk kita sambung dan teruskan. Segala kezaliman, penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa, jenayah, yang berlaku pada hari ini hatta dari seorang yang mengaku Islam, menunjukkan jauhnya si pelakunya dari tinggalan Rasulullah s.a.w. walau dia menyambut kelahiran baginda saban tahun.

Marilah sama-sama kita pasakkan keazaman untuk menyambung perjuangan Rasulullah s.a.w. hingga ke akhir hayat kita. Sebagai seorang individu, marilah pula kita menghayati dan mengamalkan peninggalan Rasulullah s.a.w. Seorang pemimpin meletakkan azam untuk menegakkan sunnah di dalam kepimpinannya. Sebuah kerajaan lebih-lebih lagi berkomited mengamalkan segala suruhan Allah SWT dan Rasul s.a.w. di dalam segala aspek pentadbirannya.

Semoga kita semua bertambah cinta kepada Rasulullah s.a.w. dan beroleh cinta Allah dan Rasul-Nya. Selamat menyambut Maulidur Rasul 1431.

DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
PRESIDEN PAS

Exco Kedah dirombak

Ali Hashim

ALOR SETAR, 25 Feb: Desas-desus yang mengatakan barisan Exco Kerajaan Negeri Kedah akan dirombak sebelum ini sudah pasti menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, beberapa anggota Exco kemungkinan besar akan ditukar dan digugurkan.

"Adalah satu kebiasaan rombakan dibuat bagi memberi peluang kepada Exco yang dilantik untuk mencuba kemahiran dan kepakaran dalam bidang masing-masing. Namun begitu kita akan melihat kepada kesesuaiannya bagi mendapatkan calon yang terbaik,” ujarnya.

Katanya, kuota pelantikan Exco mungkin kekal seperti sedia ada,iaitu tujuh daripada PAS dan selebihnya kepada PKR.

"Sudah dua tahun para Exco berkhidmat,maka eloklah jika diadakan pembaharuan. Apa jua perubahan yang berlaku, akan dimaklumkan kepada Tuanku Sultan terlebih dahulu.

“Manakala istiadat mengangkat sumpah jawatan dijangka akan diadakan pada awal Mac yang akan datang. Ia turut melibatkan beberapa portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri," katanya.

Ketika ini Exco yang mewakili PAS ialah Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi, Datuk Mohd Taulan Mat Rasul, Datuk Ir Amiruddin Hamzah, Dr. Hamdan Mohamed Khalib, Dr Ismail Salleh, Abdullah Jusoh, Ustazah Siti Aishah Ghazali manakala daripada PKR ialah S.Manikumar, Lim Soo Nee dan Tan Wei Shu.

Pemulihan ekonomi retorik politik

Harakahdaily

SHAH ALAM, 23 Feb: Pakar ekomoni, Charles Santiago mempersoal kesahihan kenyataan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kononnya Malaysia telah pulih dari kemelesetan ekonomi.

Kedua-kedua individu itu patut memberikan angka sebenar dan tidak berselindung di sebalik kekaburan fakta yang mengelirukan rakyat. Hakikatnya, Malaysia bukan lagi negara pilihan pelabur.

Semalam Najib dan Zeti dalam sidang media berasingan menyatakan, kononnya Malaysia telah pulih daripada kemelesetan global berikutan prestasi suku keempat 2009 lebih baik daripada jangkaan.

Mereka dilihat cuba memberi gambaran positif mengenai situasi ekonomi negara yang bertujuan meraih sokongan rakyat yang sekian lama terbeban dengan pelbagai kenaikan harga barangan.

“Kedua-dua Tan Sri Zeti dan Perdana Menteri tidak memberikan apa-apa angka pemulihan ini telah berlaku. Apa yang kita baca dari akhbar-akhbar ekonomi bahawa pelabur-pelabur asing tidak begitu minat untuk melabur di Malaysia kerana daya saing telah jatuh dan sekarang bersaing berdasarkan kepada upah rendah dengan Vietnam dan Kemboja, malah Indonesia telah memintas Malaysia.

“Sebenarnya daripada tahun lalu, kita dapati pelabur asing dan dalam negara telah keluarkan pelaburan mereka ke luar negara ini menunjukkan ekonomi parah, sebab itu saya mengatakan bahwa penganalisa dan sebagainya akan tunggu angka yang akan dikeluarkan esok menunjukan benarkah ekonomi Malaysia telah pulih semula,”katanya Charles sebagaimana dilaporkan Selangorkini.com, laman web kerajaan negeri Selangor.

Mengikut Charles, faktor yang mendorong keengganan pelabur asing ke negara ini termasuk masalah kestabilan politik dan guna tenaga kerja. Jadi, kurang bijak untuk mana-mana syarikat menjalankan perniagaan berskala besar.

Beliau yakin Najib menyedari faktor itu tetapi cuba memutar belit isu ekonomi untuk tujuan politik, selain kerap bertemu dan meminta ahli perniagaan Malaysia supaya tidak mengeluarkan pelaburan dari negara ini.

“Mereka tidak datang ke Malaysia kerana keadaan politik dan juga isu berkait agama dan juga kaum, mereka fikir Malaysia tidak stabil seperti dulu. Ketiga Malaysia tidak ada teras pengurusan untuk menjalankan perniagaan mereka.

“Ini menunjukkan kerajaan takut ada trend untuk keluarkan pelaburan peniaga dan pelabur-pelabur Malaysia. Jadi ini tidak menunjukkan sebenarnya ekonomi Malaysia telah pulih balik, bila angka keluar esok oleh Bank Negara dan Kementerian Kewangan kita akan dapati secara terperinci apa sebenarnya berlaku.

Charles menyifatkan Malaysia berdepan isu ketidakkeyakinan pelabur dalam mahupun luar negara. Masalah kepimpinan dan ketidakcekapan pengurusan kementerian bertanggungjawab, antara punca utama.

“Kalau orang luar tidak mahu melabur kita faham, tetapi kalau orang Malaysia sendiri tidak mahu melabur kerana tiada kepercayaan, ini menunjukkan mereka tidak yakin dengan kepimpinan yang ada sekarang dan Kementerian yang menguruskan ekonomi dalam Malaysia atau tidak percaya dengan dasar-dasar Malaysia," katanya.

Royalti minyak RM20 billion, bukan RM20 juta.

Salmah Mat Husain & Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 23 Feb: Kelantan hari ini memperbetulkan kenyataan yang dibuat kerajaan Pusat di mana tunggakan royalti yang perlu dibayar kepada kerajaan negeri sebanyak RM2 bilion dan bukannya RM20 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum Negeri, Datuk Husam Musa berkata, bayaran semasa pula kerajaan negeri patut menerima sebanyak RM600 juta mengikut hasil pengeluaran 2008.

“Royalti sebanyak RM20 juta hanya diperolehi dari telaga Bumi Selatan yang dikeluarkan sejak 2008.

“Yang kita tuntut tunggakan sahaja tidak kurang daripada RM2 bilion dan bayaran semasa tidak kurang RM600 juta.

”Kita berharap kerajaan Malaysia dapat memperbetulkan semula pendirian mereka secepat mungkin supaya tidak menimbulkan kekeliruan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ahad lalu, akhbar harian berbahasa Melayu menyiarkan iklan penjelasan isu tuntutan hasil petroleum yang ditaja Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, iklan terbabit begitu menggelirukan antaranya perkara yang dirujuk tidak ada kena mengena dengan akta atau undang-undang berkaitan petroleum.

Dalam senarai jawapan yang diedarkan kepada wartawan terdapat lapan perkara bagi menjelaskan mengenai tuntutan royalti.

Antaranya, mengikut Akta Pembangunan Petroleum 1974 kesemua 13 perjanjian dan 13 geran penyerahan hak menggunakan istilah bayaran tunai kepada kerajaan negeri berkenaan.

Perkataan yang popular digunakan semua pihak ialah royalti.

Selain itu, semua negeri di Malaysia ditadbir urus mengenai petroleum di bawah akta yang sama termasuk Sabah atau Sarawak.

“Perjanjian tersebut menyebut bahawasanya kerajaan dan Petronas adalah ingin hendak membuat sesuatu perjanjian menurut Seksyen 4 Akta PDA ia tak merujuk kepada Akta Ordinan Darurat 1969 yang telah dimansuhkan,” ujarnya.

Kata Husam, adalah amat memalukan kerajaan menggunakan akta yang telah dimansuhkan.

Seksyen 4 Akta tersebut menjelaskan sebagai balasan bagi penggunaan dan hak-hak kebebasan dan keistimewaan-keistimewaan yang diletakkan hak kepadanya (Petronas).

Mengikut akta itu, Petronas hendaklah membuat bayaran wang tunai sebagaimana yang dipersetujui pihak-pihak berkenaan kepada kerajaan Persekutuan lima peratus kepada kerajaan mana-mana negeri yang berkenaan.

“Jadi akta ini dengan jelasnya menunjukkan pembayaran dibuat oleh Petronas kepada negeri dan bukan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan atau Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri,” katanya.

Beliau juga berkata, perjanjian yang dilaksanakan di antara negeri-negeri dengan Petronas pada 1975/1976 menjelaskan hak negeri di daratan (onshore) dan luar pantai (offshore).

Oleh itu, katanya, tiada dinyatakan sama ada dalam PDA 1974 dan perjanjian di antara negeri, di mana setiap negeri menerima bayaran tunai bagi pengeluaran petroleum di luar pantai.

Ku Li: Iklan isu royalti kelirukan, cetus implikasi baru

The Malaysian Insider

KUALA LUMPUR, 22 Feb: Iklan penjelasan tuntutan wang royalti yang disiarkan kerajaan pusat menerusi akhbar-akhbar Bahasa Malaysia semalam menimbulkan lebih banyak implikasi negatif dan kekeliruan berbanding penjelasan, kata Tengku Razaleigh Hamzah (gambar) hari ini.

Justeru tegas beliau, iklan satu halaman itu sekali gus menunjukkan tiada negeri yang mempunyai hak untuk mendapatkan bayaran tunai ataupun royalti termasuk Sabah dan Sarawak.

Kata beliau, iklan muka penuh yang diambil oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan berhujah Kelantan juga tiada hak kepada bayaran minyak di bawah Akta Kemajuan Petroleum kerana sumber minyak yang menjadi persoalan terletak di kawasan tiga batu nautika, yang menafikan hak kesemua negeri.

“Iklan itu gagal untuk menyatakan bahawa kesemua minyak yang diperoleh di Malaysia ditemui di kawasan pesisir lebih dari tiga batu nautika, dan bagaimanapun Petronas (terus) membuat pembayaran kepada negeri-negeri ini.

“Dengan hujah yang diturunkan dalam iklan (semalam), Terengganu, Sabah dan Sarawak juga tidak layak menerima bayaran tunai lima peratus (biasanya dan dengan kurang tepat dirujuk sebagai royalti minyak).

“Kesemua terletak pada budi bicara kerajaan persekutuan,” kata beliau dalam pandangannya dikeluarkan hari ini.

Pada 28 Jan lalu beliau menegaskan pada satu ceramah perdana bahawa Kelantan layak menerima wang royalti lima peratus.

Pun begitu kata beliau, pada tahun lalu Petronas telah membayar RM6.2 bilion dalam bentuk bayaran tunai dengan RM3 bilion kepada Terengganu, RM2.3 bilion kepada Sarawak dan RM0.9 bilion kepada Sabah.

Ahli Parlimen dan Ketua Umno Bahagian Gua Musang ini menambah, oleh itu ada pihak tertanya-tanya atas dasar apa bayaran itu dibuat memandangkan petroleum hanya ditemui di kawasan luar pesisir tiga batu nautika.

Oleh itu tegas beliau, hujah untuk menafikan hak Kelantan daripada memperoleh bayaran tunai lima peratus atas dasar minyak berada di kawasan tiga batu nautika sebenarnya “satu penghinaan kepada kebijaksanaan” seseorang.

Semalam kerajaan pusat mengiklankan penjelasan isu tersebut dalam akhbar-akhbar Bahasa Malaysia dengan menyasarkan pendirian Tengku Razaleigh dan juga Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam iklan satu halaman yang disiarkan di Berita Minggu, Mingguan Malaysia dan Sinar Harian kerajaan pusat mendakwa kenyataan Tengku Razaleigh berhubung isu bayaran royalti kepada Kelantan hanya perlu dilihat sebagai pendapat peribadi beliau semata-mata.

Oleh itu, kerajaan pusat berkata sebarang keputusan yang diambil berkenaan hak pembayaran royalti perlu dibuat berasaskan peruntukan undang-undang yang berkaitan serta perjanjian-perjanjian yang ditandatangani di antara Petronas dengan kerajaan-kerajaan negeri.

Tengku Razaleigh, bekas pengerusi dan pengasas Petronas, menambah bahawa pembayaran wang tunai lima peratus adalah manfaat dinikmati rakyat tetapi telah dinafikan oleh Umno Kelantan selepas 34 tahun bekas perdana menteri Tun Abdul Razak Hussein meninggal dunia.

Katanya, tiada pihak dengan fikiran waras akan melakukan ini sebagai satu tindakan, yang kononnya akan memanfaatkan kedudukan jangka panjang Umno di Kelantan, malah di mana-mana sahaja orang memerhatikan perbuatan seperti ini.

“Saya dituduh meletakkan kepentingan negeri berbanding kepentingan parti. Bagaimanapun isu ini melangkaui (kepentingan) Kelantan.

“Hujah yang diletakkan dalam iklan semalan mengetepikan hak semua negeri dalam soal sumber alam semula jadi, yang merupakan hak kedaulatan mereka,” katanya.

Ia juga menafikan perjanjian antara Petronas dan negeri-negeri terbabit dan mengetepikan tujuan asal penubuhan syarikat tersebut, kata beliau.

“Salah satu implikasi segera diturunkan dalam iklan penjelasan rasmi oleh Kementerian Penerangan semalam ialah Terengganu juga tidak layak untuk mendapatkan bayaran minyak (tunai).

“Ini bermakna selepas memotong kesemua bayaran apabila Terengganu jatuh ke tangan pembangkang (pada 1999) dan digantikan dengan wang ihsan, tiada asas sama sekali bagi janji kerajaan untuk kembali kepada bayaran tunai.

“Kesemua minyak Terengganu ditemui jauh di kawasan pesisir pantai,” katanya.

Disebabkan itu menurut beliau, apa yang terpakai kepada Kelantan juga diguna pakai ke atas Terengganu.

“Pada akhirnya, ia bukan persoalan politik ataupun personaliti.

“Ia bukannya pasal saya atau sesiapa berkata, ataupun di mana PAS dan Umno berdiri,” kata Tengku Razaleigh sambil menambah, ia sebenarnya berkaitan dengan pematuhan kerajaan dengan perjanjian bertulis yang diluluskan oleh Parlimen dan sama ada menghormati prinsip demokrasi berparlimen.

Tegas beliau, sama ada hak orang ramai dipenuhi ataupun tidak ia bergantung kepada siapa mereka mengundi.

“Melayan Terengganu dan Kelantan dengan cara ini, kita menafikan hak mereka kepada wang yang mereka berhak untuk memiliki, menafikan hak kedaulatan negeri mereka dan mengikis demokrasi berparlimen,” katanya.- The Malaysian Insider.

Royalti: Ku Li sarat hujjah, Tok Pa tong kosong?

Subky Latif



TENGKU Razaleigh Hamzah, pengasas Petronas berpendapat bahawa negeri dan kerajaan Kelantan berhak mendapat royalti minyak yang dihasil di pesisir pantai negeri itu tidak kira berapa jauh ia ke tengah laut.

Kalau pun royalti itu diganti dengan wang ihsan, maka wang itu mesti dimasukkan ke dalam khazanah negeri. Tiada pihak lain yang boleh mentadbirnya.

Datuk Mustafa Mohamad, Menteri Perdagangan Antarabansa dan Industri dan Ketua Perhubungan UMNO Kelantan berkeras mengatakan negeri Kelantan tidak berhak atas royalti itu kerana telaga minyak yang beroperasi adalah di luar kawasan tiga batu nautika dengan pantai negeri itu.

Menteri itu kebetulan anak Kelantan telah menjadi jurucakap kerajaan pusat dan Petronas sedang dia tidak ada kena mengena dengan urusan pengeluaran minyak. Kementeriannya tidak menjaga urusan pengeluaran minyak dan dia tidak ada apa-apa kedudukan dalam Petronas.

Orang yang boleh bercakap tentang perkara itu ialah Perdana Menteri dan Timbalannya serta Pengerusi Petronas. Jika ganti royalti itu adalah wang ihsan, maka orang-orang tadi yang layak bercakap dan cara mana wang ihsan itu hendak digunakan.

Cakap orang lain adalah tidak rasmi.

Ada pun Tengku Razaleigh adalah pengasas Petronas dan orang yang bertanggungjawab merangka merangka polisi dan operasinya. Ketika itu mungkin Mustafa Mohamad belum menyambung pelajaran ke Australia.

Ketika Petronas diasaskan sudah ada satu badan ditubuhkan bagi mengendalikan hal ehwal pengeluaran minyak itu di bawah Kementerian Perusahaan Utama yang menjadinya ialah Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak sekarang. Kira-kira Taib Mahmudlah orang yang dikira akan menjadi orang penting pengurusasn minyak.

Ketika itu Indonesia sudah ada badan pengurusan minyak negaranya yang dinamakan Pertamina yang ketuanya ialah Ibnu Sutowo. Ibnu Sutowo ini dikira orang kedua penting di Indonesia selepas Presiden Suharto. Orang minyak yang penting bagi Arab Saudi pula ialah Sheikh Zaki Yamani.

Taib Mahmud telah dibayangkan akan jadi macam Ibnu Sutowo dan Zaki Yamani bagi Malaysia.

Entah bagaimana Perdana Menteri Tun Razak telah menggantung badan yang diasaskan di bawah Taib Mahmud tadi dan menteri itu sendiri ditukarkan menjadi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri. Dia bukan saja hilang peluang untuk menjadi orang penting industri minyak bahkan hilang kementerian. Dia ada kerusi dan beberapa orang pembantu saja di tempat barunya itu.

Dalam suasana itu orang utama Bank Bumiputera itu iaitu Tengku Razaleigh dipilih oleh Tun Razak untuk mengasaskan Petronas sebagai ganti kepada badan yang dimansuhkan yang diketuai oleh Taib Mahmud tadi.

Orang yang masih hidup yang tahu perkembangan pertukaran dari Taib Mahmud itu selain dari Taib Mahmud dan Tengku Razaleigh ialah Tun Abdul Rahman Yaakub, Ketua Menteri Sarawak ketika itu. Dan negeri yang dikenal pasti sudah ada minyak ketika itu ialah Sarawak dan Sabah.

Kemudian barulah dipanggil pegawai kerajaan yang paling penting di Pejabat Peguam Negara Tan Sri Salleh Abbas membantu Pengerusi Petronas merangka Akta Petronas dan perjanjian dengan negeri-negeri tentang pembahagian keuntungan minyak Petronas itu.

Tun Abd. Rahman adalah orang yang cukup rapat dengan Tun Razak dan boleh dikira penasihat paling penting Tun Razak dalam perkara itu. Mungkin beliau tidak duduk dalam Petronas, tetapi dia adalah orang yang tahu tentang permulaan Petronas itu dibentuk selain dari Tengku Razaleigh dan Tun Salleh Abbas.

Tengku Razaleigh adalah orang penting UMNO paling rapat dengan Tun Razak tidak dilantik menjadi menteri tetapi dia kuat dengan kedudukannya sebagai Pengerusi Petronas dan Bank Bumiputera. Kedudukan itu menjadi dia lebih penting dari menteri-menteri selain dari Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Tengku Razaleigh dan Tun Salleh Abbas adalah orang paling tahu tentang dasar asal dan lain-lain selok belok Petronas. Kalau nak tahu apa itu ISA dan pembentukan Malaysia tanyalah kepada Tunku Abdul Rahman Putra dan bila mahu tahu tentang Petronas tanyalah Ku Li dan Tun Salleh Abbas.

Merekalah menjadi saksi paling penting kes yang melibatkan Petronas. Ada pun Tun Dr. Mahathir, Datuk Seri Najib dan Tan Sri Hassan Marican adalah orang yang berpengaruh dalam Petronas setelah Petronas sudah gagah dan perkasa.

Ada pun Datuk Mustapa Mohamad selain dari orang yang tiada apa-apa pengalaman tentang Petronas, pengetahuan tentang Petronas pun amat sikit dan pengaruh dengan badan itu pun hampir tiada.

Maka dia tidak lebih dari jurucakap UMNO Kelantan saja tentang pergelutan tuntutan royalti minyak antara Kelantan di satu pihak dan kerajaan pusat dan Petronas di pihak yang lain.

Dr. Mahathir dan Perdana Menteri Najib adalah orang yang bertanggungjawab menurunkan status royalti minyak Terengganu kepada wang ihsan. Telaga minyak yang pernah memberi royalti kepada Terengganu dulu terletak lebih jauh dari pantai Terengganu dibandingkan dengan telaga yang dituntut haknya oleh Kelantan sekarang.

Sejarah royalti menjadi wang ihsan adalah sejarah baru yang tidak dilakukan atas kehendak undang-undang dan kebenaran, tetapi ia lebih dirangsang oleh serakah hawa nafsu pemimpin UMNO tak bermaruah Terengganu sebagai helah bagi merampas semula Terengganu dari PAS. Sampai akhir mahkamah yang dibelenggu Perdana Menteri itu tidak bersidang atas saman kerajaan Terengganu atas rampasan royaltinya sejak zaman pentadbiran Dr. Mahathir dulu.

Justeru itu Ku Li dilihat dalam memperkatakan isu royalti itu sarat dengan hujah, tetapi Tok Pa dilihat kosong, hanya sarat dengan nafsu dan peluru kosong.

Isteri Adun Pelabuhan Klang tuntut fasakh

Harakahdaily

KLANG, 22 Feb: Selepas meninggalkan Pakatan Rakyat, isterinya pula membuat tuntutan fasakh. Itulah nasib Adun Bebas Perlabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah.

Ramizah Mazlan, isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah memfailkan tuntutan fasakh di Mahkamah Rendah Syariah Klang, hari ini, lapor Selangorkini.com.my

Wanita berusia 31 tahun itu membuat 24 tuntutan terhadap Badrul mengikut Seksyen 53 Enakmen Undang- Undang Keluarga Islam Negeri Selangor tapi hanya lima tuntutan sahaja dipersetujui bersama.

Ramizah diwakili peguam, Norrasyada Osman.

Badrul yang turut hadir di mahkamah, tidak diwakili oleh peguam.

Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Abdul Malik Soleh mengarahkan Badrul melantik peguam bagi mewakilinya untuk meneruskan perbicaraan tuntutan tersebut.

Tuntutan itu ditangguh pada 21 April depan.

Pasangan itu telah mendirikan rumah tangga pada 31 April 1993 dan dikurniakan lima anak tapi tidak lagi tinggal sebumbung.

Badrul sebelum ini dikecam hebat apabila mengisytihar keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi ADUN mesra Barisan Nasional (BN).

Proses kehakiman negara banyak tidak kena

Khairul Azlam

KUALA TERENGGANU, 20 Feb: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menekankan bahawa tentu proses kehakiman dan perundangan dalam negara ini sekarang banyak yang tidak kena sehingga orang luar memprotes.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang semasa bercakap kepada media selepas merasmikan Himpunan Pemuda Islam Kawasan Kuala Terengganu (Pemikat) 2010 di sini, semalam berkata, situasi itu mesti diperbetulkan supaya proses keadilan wujud.

Begitupun, beliau bukan ‘menyelar’ tetapi tidak bersetuju terhadap campur tangan asing dalam sebuah negara berdaulat di atas kaedah secara umum, iaitu atas prinsip hubungan luar dan diplomasi antarabangsa.

Berikut ialah jawaban beliau kepada soalan pihak media.

Wartawan: Dalam isu campur tangan asing, apakah pandangan PAS. Sebab, ada pihak yang membantah campur tangan tersebut?

Abdul Hadi: Pertama, PAS sebagai sebuah parti Islam dari segi dalaman PAS mahu proses kehakiman berlaku dengan adil dan baik, khususnya mengikut konsep Islam itu sendiri yang perlu diberi hak kepada orang yang dituduh, hakim dan yang menuduh. Semua pihak mempunyai perhitungan dosa dan pahala, bukan sahaja undang-undang yang lahir undang-undang Barat. Sekiranya, masalah ini tidak selesai di atas dunia ini dengan betul, Tuhan akan selesai juga di hari kiamat. Saya beri peringatan kepada semua pihaklah. Sebab itulah, dalam Islam ini ada undang-undang hudud yang termasuk di dalamnya undang-undang qazaf, dengan saksi-saksi yang betul, yang cukup jumlahnya empat orang saksi, yang budiman, yang beriman dan berakhlak. Hakim pula mestilah orang yang beriman dan bertaqwa.

Dari segi campur tangan asing, saya sebagai rakyat Malaysia mahu negara kita sebuah negara yang berdaulat dan tidak perlu kepada campur tangan asing, apa lagi dari negara-negara barat, negara yang bukan Islam. Campur tangan ini mungkin kerana ada tempat-tempat yang boleh ditembusi oleh campur tangan asing. Saya merasakan sekiranya kita berlaku dengan adil mengikut konsep yang tepat, ada kehebatan kita dan pihak asing tidak berani hendak campur. Ini mungkin kerana ada kelemahan-kelemahan yang memberi ruang kepada pihak asing hendak campur tangan. Dengan sebab itu, kita perlu memperhebatkan kehakiman kita sendiri dan sistem kita sendiri supaya disegani oleh semua pihak termasuk pihak asing.

Jadi, pada pandangan Datuk Seri, campur tangan asing itu tidak bolehlah?

Campur tangan tidak boleh tetapi dari dalaman sendiri mesti perbaiki, mesti ada kehebatan. Ini kerana, apa yang berlaku hari ini timbul krisis ‘keyakinan’ terhadap sistem kehakiman. Dengan sebab itu, selesaikan krisis keyakinan ini dahulu. Barulah kita ada kehebatan. Jika tidak, hilang kehebatan kita.

Jadi, PAS sendiri melihat sistem kehakiman kita tidak berjalan lancar dan dipengaruhi?

Sistem kehakiman kita masih berada di bawah Jabatan Perdana Menteri, di bawah mereka yang ada kepentingan politik dan tidak ada pemisahan kuasa di antara ‘legislatif, eksekutif dan kehakiman’. Pemisahan kuasa itu tidak berlaku, sudah jadi bercelaru dan ini yang menyebabkan hilang keyakinan. Dengan sebab itu, kita mahu pemisahan kuasa itu berlaku dan barulah kehakiman itu ada kewibawaan dan ada kehebatan.

Maksud Dauk Seri, ada campur tangan dalam ‘legislatif, eksekutif dan kehakiman’ dan menyebabkan krisis?

Ya, krisis, krisis keyakinan yang berlaku.

Jadi, maksudnya badan kehakiman mesti jadi badan bebas dan tidak dipengaruhi?

Ya, bebas dan pemisahan kuasa itu ada, dengan sebab itu, kehakiman patut diletak di bawah Parlimen secara langsung atau di bawah Majlis Raja-Raja Melayu, supaya yang disebut Raja Berperlembagaan itu dipraktikkan dengan cara yang tepat.

Datuk Seri, ekoran campur tangan Australia, ada kemungkinan atau tidak PAS mengambil langkah membuat bantahan?

Itu kita belum lagi membuat keputusan dan kita kena kaji dahulu, kita lihatlah. Sebabnya, dalam masa yang sama kita rasa malu nak bantah orang campur tangan jika kita sendiri, tangan, jika kita sendiri ada keaiban. Cara yang lebih berkesan ialah kita memperbaiki diri kelemahan kita sendiri. Itu cara yang tepat. Dan kita kena siasat secara adil terhadap diri kita sendiri. Sebabnya, Islam mengharamkan kita membela kezaliman walau pun dari kalangan puak kita sendiri, negara kita sendiri. Konsep keadilan Islam adalah sejagat.

Datuk Seri, tadi kata kita rasa malu sebab ada keaiban. Apa yang dimaksudkan dengan keaiban itu?

Keaibannya ialah kita melihat tidak ada pemisahan kuasa di antara semua pihak iaitu ‘legislatif, eksekutif dan judiciary’ dan Nabi kita Muhammad s.a.w. sendiri mengajar kita pemisahan kuasa ini dalam kes yang banyak dan dalam yang mengaibkan diri Nabi sendiri. Di mana Nabi s.a.w. tidak menggunakan kuasa dia tetapi dia melantik hakim untuk menyelesaikan masalah dia sendiri. Dan hakim itu diberi hak untuk menghukum jika dia salah.

Peruntukan Maipp: Ketua Menteri sangkal dakwaan liar

Mohd Sabri Said

GEORGETOWN, 21 Feb: Kerajaan Pakatan Rakyat tidak pernah berbohong tentang peruntukan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) pada tahun 2008 di era pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebanyak RM12,548,580 kerana ia disahkan oleh Jabatan Kewangan Negeri, kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Katanya, peruntukan RM7,548,580 dikhaskan untuk pengurusan manakala RM5 juta lagi untuk tujuan pembangunan.

"Saya terpaksa buat kenyaaan ini berikutan terdapat tuduhan liar oleh pihak yang tidak

bertanggugjawab yang mengatakan Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang bercakap tidak

berfakta. Itulah hakikatnya kerana ia disahkan oleh Jabatan Kewangan Negeri," ujarnya dalam kenyataan akhbar semalam.

Pihak yang tidak bertanggungjawab baru-baru ini menyangkal kenyataan Lim bahawa bantuan yang diterima oleh Maipp pada tahun 2008 semuanya perbelanjaan pembangunan.

Pada perbelanjaan kerajaan negeri kali pertama iaitu tahun 2009, Maipp sudah mendapat limpahan bantuan sebanyak RM20.5 juta yang merangkumi pengurusan dan perbelanjaan, manakala pada tahun ini dinaikkan lagi kepada RM24.3 juta.

"Kerajaan Pakatan Rakyat melakukan yang terbaik untuk umat Islam berbanding BN di bawah pentadbiran Tan Sri Koh Tsu Koon. Inilah yang merunsingkan sekutu BN iaitu Umno yang asyik berdendam dengan Pakatan Rakyat ekoran mereka tidak pun bertindak membela orang Melayu sebalikya sanggup menarik balik perkapita kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR)," tegas beliau.

Jesteru itu, beliau menasihatkan pihak yang tidak bertanggungjawab termasuk badan bukan

kerajaan (NGO) jangan membuat tuduhan liar sebaliknya mendokong kerajaan sedia ada demi meningkatkan syariat Islam di negeri ini.

Selangor sedia RM5 bilion pulih rumah terbengkalai

Harakahdaily

GOMBAK, 20 Feb: Kerajaan Negeri Selangor menyediakan RM5 bilion bagi memulihkan projek perumahan terbengkalai sebagai salah satu daripada enam fokus utama melalui Pakej Rangsangan Ekonomi negeri yang diumumkan pada 2009.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Ir Iskandar Abdul Samad, berkata pemulihan itu akan dapat membantu rakyat di samping menjana ekonomi negeri.

Menurutnya, langkah memulihkan perumahan terbengkalai dilihat sebagai usaha murni membantu pembeli yang kebanyakannya golongan berpendapatan sederhana dan rendah yang tidak dibela sejak sekian lama, akibat menanggung hutang pinjaman walaupun rumah belian mereka tidak dapat disiapkan.

Pada masa yang sama, katanya, aktiviti pemulihan yang melibatkan kos sebanyak RM5 bilion serta kesan gandaannya dijangka akan dapat merancakkan ekonomi negeri dengan menggerakkan kembali sektor pembinaan, terutamanya di kalangan kontraktor kecil dan sederhana.

“Ini selaras dengan usaha kerajaan negeri mengambil pendekatan merakyatkan ekonomi dengan memastikan aktiviti ekonomi melibatkan golongan terbesar iaitu golongan berpendapatan rendah dan sederhana," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, program pemulihan itu juga merupakan salah satu bukti kejayaan pendekatan kerjasama kerajaan swasta (private finance initiatives) yang diambil oleh kerajaan negeri, yang memainkan peranan memudahkan kelulusan, mengemaskini pantauan dan mengukuhkan pertanggungjawaban di pihak kontraktor, sementara pihak swasta menyumbangkan modal dan kepakaran untuk memulihkan projek perumahan.

Majlis pelancaran Program Pemulihan Perumahan Terbengkalai Negeri Selangor diadakan hari ini di perkarangan perumahan penduduk Taman Ukay Bistari, Hulu Kelang.

Pada majlis itu, Penasihat Ekonomi negeri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyerahkan kunci kepada 300 pembeli unit-unit yang berjaya disiapkan di Ukay Bistari dan Saujana Puchong di bawah skim itu (gambar).

Selain beliau, hadir sama di majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Khas Pemulihan Perumahan Terbengkalai negeri, Saari Sungib, Ahli Parlimen Gombak yang juga Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali dan Adun Lembah Jaya, Haji Khasim Abdul Aziz.

Iskandar yang juga Adun Chempaka berkata, beberapa insentif baru kerajaan negeri dalam usaha mempercepatkan pemulihan perumahan terbengkalai seperti mewujudkan satu jawatankuasa induk yang akan memantau kemajuan setiap projek yang diambil alih dan memastikan semua projek berjalan lancar mengikut jadual.

Menurutnya, perjumpaan mesyuarat bulanan akan dipengerusikan sendiri oleh Anwar yang dianggotai Exco, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Jawatankuasa Khas Pemulihan Perumahan Terbengkalai Kerajaan negeri, majlis-majlis berkuasa tempatan, wakil penduduk dan semua pihak yang terlibat.

“Penubuhan Jawatankuasa Induk akan mempercepatkan keputusan dan kelulusan dalam usaha memulihkan perumahan terbengkalai,” ujarnya.

Katanya, kerajaan negeri juga akan menyuntik bantuan dalam bentuk underwriting atau jaminan bayar balik bagi projek yang tidak dapat dipulihkan oleh pihak swasta dengan melibatkan kontraktor baru melalui tender terbuka.

Tambahnya, kerajaan negeri menyediakan geran bayar balik kepada perunding-perunding perumahan yang berminat untuk menyelamatkan projek perumahan yang terbengkalai.

WAN NIK WAN YUSSOF: Lompat tak boleh, melompat boleh

Wan Nik Wan Yussof

Lompat tak boleh, melompat boleh

Persoalan boleh atau tidak boleh seseorang wakil rakyat itu lompat/melompat parti harus dilihat dari segi agama dan moral.

Di sisi agama Islam adalah haram jadah bagi seseorang wakil rakyat itu bertindak lompat keluar parti, lebih-lebih lagi parti yang didukungnya itu memperjuangkan keadilan berteraskan ajaran Islam. Namun, hukumnya halal bagi seseorang wakil rakyat dari parti sekular melompat parti dan menyertai parti lain yang memperjuangkan ajaran Islam.

Dalam konteks, wakil rakyat yang dulunya menang melalui parti yang memperjuangkan prinsip keadilan, tiba-tiba melompat keluar parti dan mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat bebas (tidak menyertai mana-mana parti), maka hukumnya berdosa kerana prinsip bebas adalah telah mengingkari persetujuan dan amanah pengundi yang memilihnya di atas prinsip keadilan.

Meskipun begitu, dari aspek moral yang bebas daripada bayangan agama, sudah pasti menganggap apa bentuk aktiviti wakil rakyat lompat-melompat itu sebagai sah. Ini kerana ukuran yang dipakai adalah prinsip undang-undang, pragmatisme dan prinsip demokrasi sekular. Kesemua prinsip ini tidak mengaitkan soal dosa pahala, etika dan unsur kerohanian masyarakat. Asalkan apa yang dilakukan akan mencapai kepuasan diri dan keegoan politik peribadi. Rujukan agung zaman bagi kes seperti ini adalah peristiwa rampasan kuasa di Perak berlaku diakibatkan oleh tindakan tidak bermoral segi undang-undang, sikap pragmatik dan ego menguasai diri tiga wakil rakyat – Adun Jelapang (DAP), Changkat Jering (KeADILan) dan Behrang (KeADILan) – telah melompat parti dan menyertai bebas lalu menyokong BN.

Sebenarnya huraian di atas adalah realiti timbang tara antara pemikiran politik sekular dengan fikrah perjuangan Islam pegangan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz. Namun, fikrah perjuangan Islam adalah selari dengan prinsip al-Quran dan menjadi landasan perjuangan kepimpinan di dalam Islam. Sedangkan prinsip politik sekularisme adalah kepuasan kebendaan dan menolak agama.

Justeru itu, adalah silap sama sekali jika membaca maksud pengamatan Tuan Guru di dalam isu wakil rakyat yang keluar (lompat/melompat) parti itu dari aspek pemikiran sekular. Ini kerana konteks pengamatan Tuan Guru adalah keagamaan dan perjuangan berlandaskan keadilan sejagat, bukannya demokrasi semata-mata.


Pandangan benar Tuan Guru Nik Abdul Aziz

Huraian dalil-dalil nyata dan articulate (qat’i) berikutnya adalah menjawab kepada isu-isu yang utarakan di atas. Sekali gus memberi jawapan kenapa Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz, Mursyidul Am PAS tidak bersetuju dengan tindakan wakil rakyat lompat keluar parti (seperti kes Datuk Ibrahim Ali dan Datuk Seri Abu Zahrain Mohamed Hashim). Sebaliknya, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bersetuju jika sekiranya wakil rakyat dari parti sekular melompat untuk menyertai parti yang memperjuangkan Islam (contohnya ura-ura wakil rakyat BN menyertai PAS pada 16 September 2008).

Pertama, ciri parti yang direstui sebagai memperjuangkan Islam ialah parti itu hendaklah menerima hakikat pemerintah sebenar di alam raya ini ialah Allah Subhanahu wa taala. Pati sekular sudah tentu tidak akan sama sekali menerima hakikat uluhiyah dan rububiyah Allah Yang Maha Kuasa.

Firman Allah,

أَلَا لَهُ ٱلۡخَلۡقُ وَٱلۡأَمۡرُ‌ۗ تَبَارَكَ ٱللَّهُ رَبُّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ

Maksudnya, “Ingatlah, mencipta dan memerintah hanyalah hak Allah, Maha Suci Allah Yang Mencipta dan Mentadbirkan sekalian alam.”

(Surah al-A’raf 7:54)

Kedua, ciri kepimpinan parti hendaklah dipimpin oleh pemimpin yang sedia mematuhi perintah Allah, iaitu seorang yang beriman, beramal dan bertakwa kepada Allah dan Rasul.

Firman Allah,

ٱتَّبِعُواْ مَآ أُنزِلَ إِلَيۡكُم مِّن رَّبِّكُمۡ وَلَا تَتَّبِعُواْ مِن دُونِهِۦۤ أَوۡلِيَآءَ‌ۗ قَلِيلاً۬ مَّا تَذَكَّرُونَ

“(Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad): Turutlah apa yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu dan janganlah kamu menurut pemimpin-pemimpin yang lain dari Allah; (tetapi sayang) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan.”

(Surah al’A’raf 7:3)

Ketiga, pemimpin hendaklah pertama-tamanya yakini dengan janji Allah, lalu ia menjadi seorang yang beragama dan menguruskan kepimpinannya untuk mentadbir kuasa bila diberi kuasa dengan hukum Allah dan sunah Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam.

Firman Allah,

وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِى ٱلۡأَرۡضِ

Maksudnya, “Dan Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi.”

(Surah an-Nur 24:55)

Keempat, parti itu hendaklah mendidik ahlinya dengan asas ketaatan berteraskan aqidah, iaitu mentaati Allah, Rasulullah dan para pemimpin yang diberi kuasa, dan sifat pemimpin itu hendaklah melaksanakan kuasa mengikut panduan al-Quran dan as-sunnah.

Firman Allah.,

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِى ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡ‌ۖ فَإِن تَنَـٰزَعۡتُمۡ فِى شَىۡءٍ۬ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ‌ۚ ذَٲلِكَ خَيۡرٌ۬ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلا

Maksudnya, “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.

(Surah an-Nisa’ 4:59)

Ciri keempat ini disokong lagi dengan hadis Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bermaksud, “Tidak ada ketaatan baginya yang mengingkari Allah.”

(Riwayat Tabrani)

“Dengar dan taat adalah wajib bagi setiap orang Muslim, dalam perkara yang ia suka atau benci, melainkan dia diperintah untuk membuat maksiat – maka hilanglah tanggungjawabnya.”

(Hadis Muttafaq’alaih)

Sehubungan dengan ciri keempat di atas, jika berlaku pengkhianatan oleh pemimpin kepada asas-asas perjuangan yang dinyatakan di dalam ciri-ciri di atas, maka pemimpin tersebut tidak boleh lagi ditaati. Malahan pemimpin tersebut layak untuk ‘dihukum’ oleh rakyat, sama menjatuhkannya atau minta dia berundur/meletak jawatan bagi membolehkan seorang pemimpin lain dipilih.

Justeru itu, rasionalisasi Tuan Guru Nik Abdul Aziz mencadangkan kepada Ibrahim/Abu Zahrain agar meletak jawatan adalah menepati skala perjuangan yang bertunjangkan Islam. Ini kerana mereka itu sebelum ini bersama Pakatan Rakyat yang mengenderai perjuangan rakyat untuk menegakkan keadilan dan menolak kezaliman.

Sementara dalam nada berbeza pula, Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyokong ura-ura wakil rakyat BN untuk melompat parti bagi menyertai Pakatan Rakyat menjelang 16 September 2008. Ini kerana, wajah parti komponen BN semuanya adalah beralaskan dasar sekular, menolak Islam yang anti-keadilan dan banyak melakukan korupsi-koalisi-nepotisme (KKN). Maka, tindakan meninggalkan parti itu adalah menepati hukum Islam.

Rumusan daripada empat ciri bagi parti yang memperjuangkan prinsip ajaran Islam di atas, maka ia adalah berada di landasan yang memenuhi prinsip keadilan sejagat yang diterima dan seharusnya diperjuangkan oleh semua pihak yang menjalani kehidupan berteraskan agama.

Firman Allah,

لَقَدۡ أَرۡسَلۡنَا رُسُلَنَا بِٱلۡبَيِّنَـٰتِ وَأَنزَلۡنَا مَعَهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡمِيزَانَ لِيَقُومَ ٱلنَّاسُ بِٱلۡقِسۡطِ‌ۖ وَأَنزَلۡنَا ٱلۡحَدِيدَ فِيهِ بَأۡسٌ۬

شَدِيدٌ۬ وَمَنَـٰفِعُ لِلنَّاسِ وَلِيَعۡلَمَ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُ ۥ وَرُسُلَهُ ۥ بِٱلۡغَيۡبِ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ قَوِىٌّ عَزِيزٌ۬

Maksudnya, “Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan.”

(Surah al-Hadid 57:25)

Firman Allah lagi,

وَلَا تُطِعۡ مَنۡ أَغۡفَلۡنَا قَلۡبَهُ ۥ عَن ذِكۡرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَٮٰهُ وَكَانَ أَمۡرُهُ ۥ فُرُطً۬ا

Maksudnya, “Dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.”

(Surah al-Kahfi 18:28)

Semoga Tuhan Yang Esa sedia menolong mana-mana pemimpin yang berjuang di atas ajaran yang benar (Islam) dan menolak kebatilan (sekular).

Saya tak sangka yang selamatkan saya itu Tok Guru - Mangsa lemas



Harakahdaily
MARANG, 19 Feb: “Saya tak sangka yang selamatkan saya Tok Guru (Presiden PAS).” Itulah perkataan yang keluar dari mulut Ahamad Mat Zin, 58, mangsa lemas di pantai Rusila, Ahad, 14 Februari lalu.

Beliau bersyukur kepada Allah dan terima kasih kepada Presiden PAS dan keluarga yang telah berusaha membantunya, lapor akhbar mingguan Siasah dalam keluarannya hari ini.

Katanya, dia tidak mengetahui siapa yang menyelamatkannya dan hanya menyedari Tuan Guru Abdul Hadi beserta anak dan menantu memapahnya setelah berada di tepi pantai.

(GAMBAR: Ahamad menunjukkan kawasan beliau diselamatkan oleh Abdul Hadi dan keluarganya..gambar Siasah)

Dalam kejadian Ahad lepas, ketika Presiden PAS itu bersama keluarga memancing di pantai Rusila, berhampiran rumahnya, tiba-tiba seorang wanita menjerit meminta tolong kerana ada orang lemas di tengah laut.

Melihat itu, Abdul Hadi telah mengarahkan anaknya, Abdul Rahman, 28 tahun, terjun ke laut segera menyelamatkan mangsa itu. Abang Abdul Rahman, Khalil kemudian turut serta membantu menariknya ke tepi.

Ia kemudiannya dibantu Abdul Hadi dan memapah mangsa ke daratan. Seorang penduduk yang melihat kejadian itu kemudiannya mengambil gambar kejadian itu dan memasukkan gambarnya ke dalam facebook beliau.

Kemudian barulah peristiwa itu mula tersebar.

Menurut mangsa itu, Ahamad, pada mulanya dia mandi di kawasan air paras dada, tetapi tiba-tiba dipukul ombak besar dan dihanyutkan ke tempat yang lebih dalam di samping arus berpusar di bahagian bawah.

Beliau yang bergelut kira-kira setengah jam dalam situasi genting itu menjangkakan sekiranya tidak diselamatkan dalam tempoh 10 minit selepas diberikan bantuan oleh keluarga Presiden PAS itu, mungkin sesuatu yang buruk berlaku kepadanya kerana sudah tidak bermaya lagi.

“Kalau tak selamat dalam masa 10 minit lagi, mungkin habislah saya,” ujarnya yang pertama kali mengalami suasana cemas itu.

Walaupun mahir berenang, namun ketika kejadian yang semakin cemas itu, dia hanya bernafas melalui mulut di samping kerap tertelan air laut.

Sementara itru, kejadian ini turut dirakamkan melalui video dan disiarkan oleh laman web PAS Terengganu, www.buletinonline.net.

Ia dirakamkan oleh salah seorang keluarga Abdul Hadi yang datang untuk menyertai majlis aqiqah cucunya pada hari itu.

(GAMBAR: Kronologi bagaimana Abdul Hadi bersama anak dan menantunya menyelamatakan Ahamad yang lemas di Pantai Rusila yang diambil dari video)

Pada awalnya, jurukamera ini mengambil video anak-anaknya yang sedang bermain di pantai.

"Waktu sebelum kejadian Tok Guru sedang memancing kat tepi pantai dengan cucu-cucunya. Selang beberapa minit lepas itu barulah kami sedar kedengaran orang minta tolong memberitahu ada orang lemas," tulisnya dalam ruangan komen video ini.

Menurut beliau, dalam suasana kalut ini, Abdul Hadi sendiri hendak turun ke laut tetapi dihalang oleh keluarganya.

Ekoran itu, anaknya Abdul Rahman, 28 tahun, yang berenang ke laut dan menarik ke tepi. Abdul Hadi bersama anaknya Khalil dan menantunya Zaharudin kemudiannya sama-sama terjun ke laut dan membawa mangsa ke pantai.

"Itupun, dia (Abdul Hadi) tenggelam sekali apabila dipukul ombak besar," katanya.

Utusan Malaysia putar belit kenyataan Presiden PAS

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 19 Feb: Akhbar Umno, Utusan Malaysia telah mengambil kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam konteks yang salah ketika menyiarkan berita bertajuk "Umno mula alami perubahan yang baik - Hadi" dalam keluarannya semalam, 18 Februari.

Jelas ia semacam bertujuan untuk melagakan Abdul Hadi dengan para pemimpin PAS yang lain kononnya Abdul Hadi bersedia untuk bekerjasama dengan Umno termasuk dalam isu perkongsian kuasa dan kerajaan perpaduan.

Jelas, apa yang dimaksudkan oleh Abdul Hadi adalah berbeza.

Berikut adalah kandungan penuh wawancara yang disiarkan dalam akhbar Harakah pada bil 1514, 15-18 Februari 2010 di muka surat N10 yang bertajuk 'Tiada percanggahan dengan MB Kelantan - Presiden PAS'.

S: Datuk Seri, boleh perjelaskan sedikit apa yang dikatakan percanggahan pendapat antara Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz dengan Presiden PAS dalam isu perbincangan PAS dengan Umno?

J: Sebenarnya, tidak ada percanggahan antara saya dengan Tuan Dato’ Nik Abdul Aziz dan tidak ada pemisahan antara agama dengan cara hidup dalam Islam. Agama dengan politik dengan sosial dan sebagainya. Apa sahaja masalah dalam dunia ada kaitan dengan agama. Di mana, Tuan Guru Nik Aziz bercakap dalam konteks ‘ad-deen’ (agama dengan cara yang menyeluruh) dan saya mungkin menyentuh aspek-aspek tertentu. Sebenarnya, tidak ada percanggahan antara saya dengan Tuan Guru Nik Aziz.

S: Ini bermakna, apa yang diperkatakan orang tentang berlaku percanggahan itu jauh sekali berlakunya?

J: Tidak…kita mesti memahami agama mengikut definisi Islam dari perkataan ‘ad-deen’ yang disebut al-Quran oleh Tuhan. Berbeza dengan agama yang diterjemahkan ‘religion’ dalam bahasa Inggeris atau agama dalam bahasa ‘Sanskrit’. Di mana, Islam adalah ‘ad-deen’ bukan sahaja agama, bukan sahaja ‘religion’ termasuk di dalamnya cara hidup ‘way of life’ yang termasuk di dalamnya politik, ekonomi, sosial dan segala perkara yang berkait dalam urusan kehidupan manusia secara individu dan masyarakat, secara bangsa dan antarabangsa, secara globalisasi.

Berkait dengan segala aspek yang menjadi tanggungjawab manusia di atas muka bumi ini. Apa yang disebut oleh Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz ialah tentang surat yang dihantar kepada Perdana Menteri. Surat itu menyatakan PAS sedia berbincang dengan Umno dalam aspek Islam yang diperjuangkan oleh PAS selama ini sebagai satu penyelesaian cara hidup bagi negara kita. Setelah kita melihat kegagalan-kegagalan yang dialami dalam negara kita talu-bertalu.

Kita mengalami masalah politik yang belum selesai. Masalah ekonomi, masalah sosial yang makin hari makin parah. Sepatutnya, dibincang apakah penyelesaiannya. PAS boleh mengemukakan cadangan-cadangan penyelesaian secara Islam. Dalam hal ini, kita mengambil sikap yang terbuka dan boleh berbincang dengan semua pihak termasuk dengan kerajaan sendiri. PAS pernah melibatkan diri dengan forum Islam. Bukan sahaja melalui Parlimen, melalui Dewan Undangan Negeri (Dun).

Bahkan, PAS pernah menyertai Majlis Perundingan Ekonomi Negara (Mapen). PAS pernah menyertai apa sahaja forum secara khusus yang diatur oleh kerajaan. Termasuklah yang terkini dalam isu kalimah Allah. Di mana, PAS telah menghantar wakil dalam perbincangan dengan IKIM (Institut Kefahaman Islam Malaysia) dan kita mengemukakan pandangan kita sebagaimana dalam al-Quran dan Hadis Nabi SAW. Sebagaimana yang dinyatakan oleh ulama-ulama dalam kitab yang banyak yang dikarang oleh mereka.

S: Tuan Guru, adakah kaedah bagi penyatuan tersebut kerana isu perbincangan antara Umno-PAS telah lama tetapi tidak pernah menjadi kenyataan?

J: Masalah penyatuan ini kita hendaklah faham. Di sana ada perkara yang manusia wajib bersatu, ada perkara yang harus bersatu dan ada perkara yang haram bersatu dan tidak boleh bersatu sampai bila-bila. Perkara yang haram bersatu antara benar dan salah, adil dan zalim, antara haram dan halal, antara iman dan kufur, antara Islam dan jahiliah.

Perkara yang prinsipal, perkara yang konsep, yang diputuskan oleh al-Quran, yang ada nas. Di mana, dalam hal ini tidak boleh disatukan sama sekali antara perbezaan yang berlaku dengan manusia. Ini tidak boleh kita satu, perkara yang ‘tabie’, perkara yang naluri. Dan di sana, ada perkara yang boleh disatukan. Perkara yang menjadi kepentingan bersama, yang menjadi tujuan bersama, keadilan untuk semua. Hak kebaikan untuk semua, menolak keburukan untuk semua. Walau pun persepsinya berbeza itu boleh dibincangkan. Perkara yang boleh disatukan ada, perkara yang boleh diraikan antara satu sama lain, tolak ansur itu ada dan ini perlu dilihat.

Kita tidak boleh melihat secara menyeluruh sebagai satu prinsip yang beku, yang jumud, yang tidak boleh rungkai. Oleh sebab itu, PAS bersdia untuk mengadakan perbincangan dalam perkara yang boleh dirungkai, yang boleh diselesaikan secara ‘ijtihad’, secara kebijaksanaan yang berpandukan kepada prinsip-prinsip ‘fleksibel’ yang ada dalam al-Quran, yang diajar oleh Nabi kita Muhamad SAW.

S: Dahulunya, PAS pernah kata Umno kafir. Dalam isu penyatuan ini macam mana hendak betulkan keadaannya?

J: Kita (PAS) tidak pernah menentukan si anu bin si anu kafir. Kita (PAS) menyataka batas-batas iman dan kufur. Saya sendiri mengarang sebuah buku tentang Aqidah Muslim. Dan Jabatan Perdana Menteri telah mengeluarkan kitab Mustika Hadis. Jilid yang pertama yang menyatakan batas-batas Iman dan Kufur.

Di sana, ada dinyatakan ada perkara-perkara yang boleh membatalkan iman seseorang, yang membatalkan Islam seseorang dan mungkin mereka yang melakukan secara jahil adalah berdosa. Dan kita (PAS) tidak boleh menentukan siapa-siapa jadi kafir melainkan melalui Badan Kehakiman secara Islam yang sah. Dalam Islam ada hukum dan undang-undang orang yang murtad. Dengan sebab itulah, mesti melalui Badan Kehakiman Islam yang kita (umat Islam) kena faham. Apa yang kita (PAS) sampaikan adalah secara ilmu.

Kita (PAS) tidak menafikan ada di kalangan masyarakat kita yang menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal, yang menghina hukum hudud, yang menghina hukum qisas. Dan ada di kalangan pemimpin kerajaan yang tidak perlu saya sebut namanya yang mengatakan sekiranya dilaksanakan hukum hudud akan jadi huru-hara.

Jika laksanakan hukum Islam ramai orang Islam yang kudung (potong tangan). Ini hukum yang dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran. Mungkin mereka mengatakan demikian kerana jahil dan jika kerana jahil dia berdosa kerana tidak belajar. Tetapi, jika dia kata dengan pengetahuan dia, dengan tahu dia sebagai seorang Islam dan tiba-tiba dia menafikan hukum Allah. Ini boleh merosakkan aqidah (Islam) dia. Dan menjadi tanggungjawab kitalah (PAS) menyampaikan. Alhamdulillah, kita (PAS) telah berjaya menyampaikan mesej kita (Islam) sehingga hari ini Umno tidak boleh mendedahkan kesilapan kita dalam masalah ini.

Apa yang berlaku ialah anjakan paradigma dalam Umno sendiri yang tidak lagi mengatakan politik suku agama suku. Dan tidak lagi menghina hukum-hukum Islam, tidak ada lagi budaya dalam Umno. Ini kejayaan yang dapat kita (PAS) laksanakan. Ini kejayaan dakwah yang kita (PAS) sampaikan bagi menyedarkan umat kita, bangsa kita dalam perkara (batas iman dan kufur) ini. Sepatutnya, kita tidak boleh bertelingkah dalam masalah ini dan PAS sendiri pernah minta diadakan muzakarah secara ilmu.

Dalam PAS ada Majlis Syura Ulama’ PAS dan dalam Umno ada Biro Agama Umno. Dan kerajaan sendiri mempunyai Majlis Fatwa, ada mufti-mufti dalam kerajaan, ada IKIM ada macam-macam. Jika dalam Umno ada mereka yang membawa ijazah PhD dalam bidang Islam. Dalam PAS juga ada dan dengan sebab itu perbincangan secara ilmu adalah penting.

Walau pun demikian, saya melihat telah berlaku anjakan paradigma dalam Umno tidak lagi mengatakan agama berpisah dari politik. Ini satu perubahan yang positif dan apa yang penting kita terjemahkan secara praktikal dan dilaksanakan dengan cara yang baik. Antaranya, sekurang-kurangnya memberi ruang kepada negeri-negeri yang dipimpin oleh PAS dan Pakatan Rakyat.Tidak ada gangguan-gangguan dari segi semangat federalisma.

Apa yang berlaku ialah mereka (Umno-BN) telah melanggar semangat dan konsep federalisma yang diamalkan, tidak menghormati keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) termasuk pilihan raya di Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat.

Bila pakatan Rakyat telah menubuhkan kerajaan, mereka (Umno-BN) mesti menghormati keputusan ini tetapi seolah-olah tidak berlaku penghormatan terhadap keputusan ini. Ini suatu hal yang lain dari prinsip Islam. Dengan sebab itu, perbincangan Islam secara ‘usuli’ secara asas perlu antara PAS dengan Umno yang merupakan ada di kalangan Islam disemua pihak.

Jadi perbincangan secara ilmu sangat penting. Dan PAS telah meneroka, apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menjemput kami (PAS) menghadiri perjumpaan dengan IKIM dan saya sendiri hadir dalam majlis itu bersama dengan wakil PAS dalam persidangan itu dan kita (PAS) telah mengemukakan pandangan- pandangan kita (PAS). Ini suatu perkembangan yang sangat positif dan kita (PAS) bersedia untuk hadir jika dibuka ruang untuk kita (PAS) menghadirinya.

Kerajaan Pakatan cuci ‘kotoran’ BN

Harakahdaily

PULAU PINANG, 19 Feb: Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang menyifatkan segala isu yang dibangkitkan di negeri ini merupakan proses pencucian yang terpaksa dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat setelah dikotori oleh Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Ketua Penerangannya, Aida Yusof Rawa berkata, beberapa isu seperti Kampung Buah Pala, perobohan gerai, pengambilan tanah dan lain-lain semuanya terpaksa ‘dicuci’ oleh pemerintah PR setelah BN yangg memerintah sebelum ini meninggalkan kekotoran itu.

“Amat menyedihkan bagi PR yang terpaksa membersihkan ‘kerja kotor’ yang ditinggalkan pemerintah terdahulu,” ujarnya.

Tambahnya, isu perarakan sambutan Maulidur Rasul telah dipolitikkan sebagai menghina orang Islam.

Soalnya, mana ada dalam perundangan atau suruhan yang menyatakan bahawa majlis sambutan Maulidur Rasul ‘mesti’ dengan perarakan.

Ini, katatanya hanya budaya Melayu Islam di Malaysia sahaja yang dibuat tanpa usul periksa sejak dhulu kala.

“Sedih sekali, mereka tidak dapat membezakan tuntutan agama dengan budaya sedangkan ada negeri di bawah pemerintahan BN seperti Johor dan Pahang mengumumkan tidak akan mengadakan perarakan Mulidur Rasul pada tahun ini.

Beliau juga menyeru pemimpin Umno dan Perkasa yang membuat tuduhan melulu terhadap kerajaan negeri supaya berhenti seketika untuk cermin dan menilai diri sama ada benar-benar ingin memperjuangkan hak rakyat yang berbilang kaum dan bangsa atau hanya memikirkan ‘survival’ politik.

Katanya, perjuangan untuk bangsa Melayu sahaja sudah tidak relevan dengan slogan 1Malaysia yang dicipta sendiri oleh ketua mereka.

Tambahnya, Perkasa yang sibuk hendak menjuarai isu-isu Melayu sejagat kononnya sudah ketinggalan kerana semua hak-hak orang Melayu telah jelas termaktub di dalam Perlembagaan.

“Jadi kerja buat mereka ini seolah-olah ‘anjing menyalak bukit’, apa faedahnya,” ujarnya.

Tegasnya, Muslimat PAS negeri berdiri teguh bersama Perhubungan PAS negeri menyokong kerajaan PR di negeri ini.

Jangan terperangkap hukuman sebat wanita

Dr Dzulkefly Ahmad

PAS tidak terperangkap dengan isu hukuman sebat yang sedang dimainkan Umno Barisan Nasional untuk menunjukkan mereka lebih ke hadapan dalam menonjolkan agenda Islam.

Ini ekoran hukuman sebat yang dikenakan terhadap tiga wanita dan empat lelaki yang melakukan kesalahan jenayah syariah pada 9 Februari lepas.

Umno ketika ini sangat tertekan untuk meraih sokongan rakyat menggunakan isu ini untuk menunjukkan bahawa mereka komited dengan Islam. Malaysia ditanggapi umum, khususnya media Barat, sedang mengalami proses Islaminisasi yang serius.

Saya melihat ada semacam politik di sebalik penonjolan perkara (hukuman sebat) ini. Kita jangan terperangkap dalam kerangka pemikiran mereka (Umno-BN) ini.

Negara ini ada undang-undang, mengamalkan apa yang dikatakan pelaksanaan undang-undang yang selari iaitu mahkamah sivil dan mahkamah syariah. Yang dikatakan sebagai kedaulatan undang-undang ialah apabila kedua-dua mahkamah sivil dan mahkamah syariah yang dibina melalui proses legislatif iaitu penggubalan undang-undang yang tertakluk kepada perbahasan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Ketika semua ini sudah termaktub, maka inilah undang-undang yang menjadi undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sebaliknya PAS berpendirian bahawa segala bentuk undang-undang syariah dan sistem perundangan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia mesti dilaksanakan secara telus dan adil terhadap sesiapa jua yang melakukan kesalahan, tanpa mengira kedudukan dan jantina.

PAS tetap mengatakan bahawa apa jua undang-undang syariah walaupun sedikit dalam sistem perundangan yang ada di Malaysia ini hendaklah dilaksanakan secara adil dan telus.

Dalam pada itu, pelaksanaan undang-undang jenayah Islam perlu didahului oleh suasana sosio politik yang baik dan adil di mana keadilan, kemakmuran, dan kesejahteraan dikecapi oleh rakyat seluruhnya.

Dalam konteks negara ini, kerajaan haruslah memastikan kebajikan dari segi kos sara hidup, pekerjaan, taraf pendidikan rakyat terpelihara.

Sebelum datangnya sesuatu hukuman itu, kerajaan harus menitik beratkan semua aspek dalam kehidupan rakyat.

Sebelum seorang pesalah itu dijatuhi hukuman menurut undang-undang Islam, ia harus melalui proses pengadilan yang benar-benar adil dan telus bagi mengelakkan kesilapan dalam menjatuhkan hukuman.

Orang yang dibicarakan itu mesti mendapat keadilan yang sewajarnya. Biar cukup bukti, baru boleh kenakan hukuman sebat. Jangan terus jatuhkan hukuman begitu sahaja. Diam-diam, tiba-tiba jatuhkan hukuman.

Namun apa yang lebih penting, PAS bersama Pakatan Rakyat menuntut agar kerajaan tegas dalam membasmi segala perbuatan jenayah yang melanggar prinsip Islam seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang semakin berleluasa.

PAS menekankan bahawa yang lebih penting sekarang ini,perjuangan PAS bersama Pakatan Rakyat, khususnya PAS yang memperjuangkan islam adalah menuntut supaya negara negara ini bebas dan serentak membanteras segala perbuatan jenayah yang melanggar perinsip islam iaitu rasuah, kezaliman, penyalahgunaan kuasa dan membolot kekayaan negara dengan mengagihkan kekayaan kepada suku sakat dalam amalan kronisme dan pelbagai keruntuhan akhlak.

Sehubungan itu, PAS tetap dengan pendiriannya untuk membersihkan negara dan menentang segala amalan kerajaan yang melanggar syariah dan menentang kehendak rakyat yang mahukan kerajaan yang bersih dan adil.

Saya sekali lagi menegaskan bahawa yang paling mustahak bagi pandangan PAS adalah terus membersihkan negara dan menentang segala amalan kerajaan selama ini khususnya kezaliman yang bertentangan dengan syariah, dengan dasar-dasar Pakatan Rakyat dan bertentangan dengan kehendak rakyat yang mahukan kerajaan yang bersih adil dan telus.

Selepas 48 jam sah MB, 15 hektar kebun musnah

Bashir Ishak

IPOH, 17 Feb: Lajnah Pekerja Dan Peneroka Bandar PAS Pusat membantah keras tindakan kerajaan Perak melalui Pejabat Tanah Larut Matang dan Selama yang merobohkan kawasan ladang yang telah diusahakan selama 12 tahun di Air Kuning, Perak.

Kawasan tersebut yang terletak berhampiran Taiping berada dalam Dewan Undangan Negeri Changkat Jering dalam Parlimen Bukit Gantang.

Insiden ini berlaku kira-kira 48 jam selepas Dr Zamry Abd Kadir diisytiharkan sebagai Menteri Besar Perak yang sah baru-baru ini.

Kawasan seluas kia-kira 15 hektar itu telah dibangunkan bersama oleh sekumpulan 10 orang pengusaha dengan tanaman sayur-sayuran, ternakan lembu dan kambing, ternakan ikan dalam kolam serta pokon buah-buahan.


"Kami membangunkan tanah tersebut yan tidak didiami bagi memenuhi hasrat kerajaan yang mahu memajukan sektor pertanian dan penternakan," kata Mohd Salleh Ariffin, jurucakap kumpulan peneroka tersebut.

Pasukan perobohan tersebut dari Pejabat Tanah Larut Matang dan Selama, dibantu Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), polis dari Taiping, JKR Taiping dan jentera dari syarikat Gamuda mengambil masa kira-kira tiga jam untuk memusnahkan segala yang telah diusahakan selama 12 tahun.

"Mereka datang seolah-olah hendak menangkap penjenayah besar. Kami telah membuat permohonan untuk mendapat hak milik tanah termasuk menghantar surat ke Jabatan Perdana Menteri tetapi tidak mendapat respon sehingga kini.

"Mereka memusnahkan semuanya yang kami usahakan termasuk menebang pokok buah-buahan. Adakah ini slogan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan"?," kata Mohd Salleh yang turut ditangkap dan digari kerana didakwa cuba menghalang kerja-kerja perobohan tersebut.

Kerugian dianggarkan sekitar RM500,000.00.

Mengulas kejadian ini, Pengerusi Lajnah Pekerja Dan Peneroka Bandar PAS Pusat, Mohd Anuar Tahir melahirkan rasa dukacita, kesal dan menyampah dengan apa yang telah dilakukan oleh kerajaan Dr Zamry ke atas rakyatnya sendiri di Perak.

Katanya, tindakan meroboh dengan jentolak dengan bantuan pasukan polis dan FRU ini seolah-olah menyerupai tindakan yang diambil oleh rejim Zionis Israel ke atas penduduk Palestine.

"Sepatutnya pihak kerajaan perlu menggunakan kaedah perundingan untuk mendengar permasalahan rakyat dahulu. Saya juga nak ulangi apakah ini dia slogan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan"?

"Kita membantah keras tindakan ini dan menuntut kerajaan Dr Zamry memohon maaf dengan pihak yang terbabit dan membayar ganti rugi kepada mereka.

"Kita juga menuntut kerajaan Perak tidak memandang remeh perkara ini dan tidak menjadikan ini sebagai tindakan balas dendam atau sebagainya kerana baru-baru ini mereka juga telah mengeluarkan hak milik kepada pekebun limau bali di Tambun sedangkan di sebaliknya pula ada segolongan lagi rakyat yang telah dizalimi," ujarnya.

Zulkifli Noordin gemar publisiti murahan

Rizal Tahir
KOTA BHARU, 17 Feb: Anggota Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Noordin dianggap gemar mendapat publisiti murahan bagi mengalih perhatian rakyat terhadap masalah peribadinya.

Malah tindak tanduknya tambah keterlaluan apabila menyifatkan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai lupa sejarah.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Hisham Fauzi berkata, kenyataan yang dibuat Zulkifli hanya ingin menarik perhatian masyarakat terhadapnya.

Oleh itu, beliau menasihatkan agar Zulkifli berhenti bermain wayang dan memberi tumpuan kepada tugas asas.

Tambahnya, dengan mengeluar kenyataan berkenaan, menunjukan keangkuhan Zulkifli, di mana beliau sahaja betul dan orang lain dianggap salah.

“Sepatutnya beliau lebih menumpukan kepada bagaimana boleh membantu rakyat yang diwakili di kawasannya.

“Beliau juga seharusnya melihat fakta bahawa beliau hanyalah seorang ahli Parlimen yang baru dan belum banyak pengalaman sebagai wakil rakyat,” katanya pada kenyataan media di sini, hari ini.

Semalam, anggota Parlimen Kulim Bandar Baru itu membidas kenyataan Mursyidul Am PAS kerana menyifatkan wakil rakyat yang keluar atau melompat parti sebagai pengkhianat rakyat dan negara.

Hisham berkata, Tuan Guru Nik Abdul Aziz seorang ahli politik yang lama dan sangat berpengalaman luas mengenai sepak terajang politik.

“Berbanding dengan Zulkifli, tidak mungkin beliau lebih memahami apa yang berlaku semasa kerajaan campuran BN-PAS dahulu,” ujarnya.

Fakta Pulau Pinang membela Melayu

Harakahdaily

PULAU PINANG, 16 Feb: Umno melalui para pekakasnya telah menyerang kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang kononnya negeri pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng itu anti Melayu dan Islam.

Namun ramai tidak sedar bahawa apa yang dibuat oleh kerajaan itu untuk orang Melayu Pulau Pinang adalah yang terbaik berbanding dengan apa yang dibuat kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Berikut adalah bukti-buktinya:-




Adik PM Melayu ke empat terkaya di Malaysia

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 16 Feb: Majalah Malaysian Business menamakan Adik Perdana Menteri, Datuk Seri Nazir Razak (Gambar) sebagai orang Melayu yang ke empat terkaya di Malaysia melalui senarai 40 orang terkaya di Malaysia.

Orang Melayu terkaya di Malaysia adalah Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary (Yayasan Albukhary) yang memiliki harta sebanyak RM6.01 bilion, kedua dan ketiga adalah anak-anak Allahyarham Tan Sri Shamsuddin iaitu pemilik syarikat Sapura Holding.

Mereka adalah Datuk Shahril Shamsuddin dan Shahriman Shamsuddin.

Baru-baru ini, Malaysian Busines mendedahkan senarai 40 orang terkaya di Malaysia melalui kajiselidik yang dibuat oleh majalah perniagaan itu.

Orang terkaya di Malaysia, menurut majalah itu adalah Raja Gula iaitu Tan Sri Robert Kuok yang dinyatakan memiliki harta sejumlah RM42.76 bilion meningkat RM16.1 bilion daripada RM26.6 bilion, setahun lalu.

Berikut adalah 14 dari 40 orang terkaya di Malaysia menurut Malaysian Business.

1) Tan Sri Robert Kuok (Raja Gula) - RM42.76 bilion
2) Ananda Krishnan (Maxis) - RM27 bilion
3) Tan Sri Lee Shin Chen ( IOI) - RM11.92 bilion
4) Tan Sri Lim Kok Thay (Genting) - RM10.38 bilion
5) Tan Sri Quek Leng Chan (Hong Leong) - RM7.09 bilion
6) Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary (Yayasan Albukhary) - RM6.01 bilion
7) Puan Sri Lee Kim Hua (Genting)
8) Tan Sri Tiong Hiew King (Rimbunan Hijau)
9) Tan Sri Vincent Tan (Berjaya)
10) Lee Swee Eng (KNM Group)
11) Datuk Shahril Shamsuddin (Sapura)
12) Shahriman Shamsuddin (Sapura)
13) Datuk Seri Nazir Razak (CIMB)
14) Ong Leong Huat (OSK)
 

blogger templates | Make Money Online