Search Islamic Directory
Keyword:

JOM UBAH!!!

JOM UBAH!!!

UBAH SEKARANG

UBAH SEKARANG

Antara rasuah seks, penganiayaan dan keadilan

Fahri Abdillah al-Masri
Sun | Oct 05, 08 | 11:18:32 am MYT

Oleh kerana kerajaan hari ini, kononnya mahu membanteras rasuah, maka ada kaedah yang digunakan dengan cara menjebak dan menjerat seseorang. Samada ia sah digunakan atau tidak, hal perlu kita bincangkan bersama. Laporan akhbar mutakhir ini dirujuk.

Salah satu laporan itu telah disunting seperti di bawah ini bagi memudahkan bualan.

IPOH 23 Sept. � Seorang ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang pernah ditahan Badan Pencegah Rasuah (BPR) bersama Exco Kerajaan Negeri Perak berhubung satu kes rasuah baru-baru ini mengaku membuat hubungan seks dengan seorang wanita China .

Fairul Azrim Ismail, 30, bagaimanapun mendakwa dia telah diperangkap oleh BPR dan seorang individu yang dikenali sebagai Mohamad Imran Abdullah.

Fairul Azrim mengaku melakukan seks dengan wanita itu tetapi mendakwa dia tidak pernah meminta rasuah atau habuan seks.

Fairul Azrim merupakan salah seorang yang ditahan BPR Ogos lalu berhubung skandal rasuah dan seks membabitkan projek membangunkan tanah seluas 36 hektar bernilai RM180 juta di Seri Iskandar dekat sini.

Dalam surat aduannya, Fairul Azrim mendakwa, pada 14 Ogos lalu, semasa dalam perjalanan ke Permatang Pauh, Pulau Pinang, dia bersama rakannya Zul Hassan dan Ruslan Sahat telah singgah di Hentian Rehat dan Rawat Kuala Kangsar untuk bertemu dengan Mohamad Imran yang membawa bersama tiga wanita yang dikatakan berasal dari China.

"Semasa dalam soal siasat saya telah diberitahu oleh pegawai BPR, perlakuan seks kami bertiga telah dirakam oleh BPR," katanya dalam surat aduan itu.

Dalam surat aduan itu juga, Fairul yang dilepaskan oleh BPR dengan ikat jamin pada 21 Ogos lalu turut meminta JAIP menyiasat dan mengambil tindakan ke atas orang tertentu yang telah memfitnah, menghina dan menganiayainya.

"Saya membuat laporan ini kerana telah difitnah oleh Pengarah BPR Perak, Samsiah Abu Bakar dan pegawai-pegawai agensi itu yang mengatakan saya meminta rasuah wang dan seks.

"Mohamad Imran telah menganjur dan menggalakkan saya berbuat maksiat dengan membekalkan seorang wanita China ," ujarnya.

Ditanya sama ada dia turut melakukan hubungan seks, Zul berkata: "Tidak mengaku tidak boleh, dia (BPR) ada gambar."

Katanya, dakwaan BPR bahawa dia dan dua rakannya meminta perempuan China daripada Mohamad Imran adalah tidak benar.

"Kita tak minta, tak cari, Mohamad Imran yang hantar. Serupa juga kalau orang bagi sedekah, awak tak terima ke sedekah itu?" ujarnya.

Analisis kan dungan laporan
Daripada laporan berita di atas, mungkin kita boleh berbincang sama-sama dalam usaha meleraikan beberapa kekusutan yang timbul kini. Keadilan harus ditegakkan dan jangan ada pihak yang bersalah terlepas bebas daripada jaring hukuman kita.

1. Adakah BPR termasuk dalam pengintip (tajassus) seperti yang dibangkitkan Mufti Perlis dalam isu membantah tangkapan khalwat dahulu?

2. Rasuah dalam bentuk seks ada dua jenis hukuman. Pertamanya, rasuah dan keduanya zina. Tapi, dalam hal ini memadai kita tumpukan hal rasuah dahulu.

3. Dalam kes ini, adakah hanya penerima rasuah yang terkena hukuman? Bagaimanakah dengan pemberi rasuah dan orang yang menjebak seseorang dengan rasuah?

Sedan gkan hadis-hadis di bawah ini telah menunjukkan bahawa pemberi (atau pencadang kepada seseorang agar menerima rasuah) dan penerima rasuah turut dilaknati Tuhan.

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Allah melaknati pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam hukum." (al-Tarmizi, Ahmad & Ibnu Hibban)

Dari Ai'syah: "Rasulullah s.a.w melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah." (al-Bazzar & Abu Ya'la)

Dari Thauban: "Rasulullah s.a.w melaknati pemberi rasuah, penerima rasuah dan perantaranya," (Ahmad & Hakim).

Pemberi rasuah dilupakan?

Berasaskan nas dan dalil yang turut dikembarkan dengan laporan akhbar tersebut, adakah Mohamad Imran (pencadang dan pemberi rasuah) boleh terlepas daripada hukuman?

Juga, yang perlu diberi perhatian di sini, adakah tindakan BPR mengintip serta merakam aksi tertuduh itu boleh dikategorikan sebagai tajassus yang dilarang oleh agama? Apakah pandangan Mufti Perlis dalam hal ini?

Tulisan ini bukanlah bertujuan mahu membela penerima rasuah tetapi mahu mendapatkan kepastian, adakah dalam kes ini, pemberi rasuah (Mohamad Imran) akan terlepas?

Dan, sekali lagi, jika pegawai BPR yang merakam aksi terlarang itu boleh ditafsir sebagai tajassus (mengintip) apakah pendirian Mufti Perlis terhadap sikap BPR ini? - mr _

Jumlah tebusan kepada lanun mesti didedahkan

Abdul Aziz Mustafa
Thu | Oct 02, 08 | 9:23:15 pm MYT

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Hrkh) - Pengerusi Malaysian International Shipping Corporation (MISC), Tan Sri Mohd Hassan Merican diminta mendedahkan jumlah wang tebusan yang dibayar kepada lanun-lanun yang menahan kapal tangki MT Bunga Melati 2 dan MT Bunga Melati 5, kata Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar.

"Sebelum ini, Reuters melaporkan lanun-lanun itu menuntut AS$4.7 juta untuk membebaskan dua kapal MISC yang membawa kira-kira 80 anak kapal itu," katanya.

Wang yang digunakan itu adalah wang rakyat kerana saham MISC dipegang oleh syarikat-syarikat yang berkaitan dengan wang rakyat, katanya lagi.

"Perlu dinyatakan dengan jelas siapakah yang menanggung bayaran wang tebusan itu? MISC sendiri atau pemegang saham terbesarnya Petronas? Jika bukan wang Petronas sekalipun, ia tetap memerlukan penjelasan kerana syarikat-syarikat awam milik rakyat mempunyai pegangan dalam MISC.

"Pihak kita tidak pernah dan tidak berniat untuk membantah pembayaran wang tebusan itu. Mungkin sudah tidak dapat difikirkan pilihan lain. Tetapi, kita mahu MISC bersikap telus," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Pada 29 Ogos lalu, MT Bunga Melati 5 bersama 41 anak kapal iaitu 36 rakyat Malaysia dan lima warga Filipina ditawan lanun di perairan Teluk Aden, dalam pelayaran dari Singapura ke Yanbu, Arab Saudi.

Sepuluh hari sebelum itu, MT Bunga Melati 2 yang membawa muatan minyak sawit bersama 39 anak kapal, termasuk 29 rakyat Malaysia yang sedang belayar menuju Rotterdam, Belanda dari Dumai, Sumatera, Indonesia turut ditawan lanun di perairan sama. Seorang daripada anak kapal warga Filipina terbunuh akibat terkena sebutir peluru tersasar.

Ketika ditanya mengenai jumlah wang tebusan yang dibayar kepada lanun-lanun itu, Mohd Hassan berkata: �Saya tidak mahu nyatakan jumlah itu. Apa yang penting rundingan berjaya dan anak kapal telahpun dibebaskan".

Mahfuz menolak pendapat dan keengganan Mohd Hassan yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas itu.

"Jika wang tersebut adalah wang kerajaan, ia tidak boleh dirahsiakan. Jika wang tersebut adalah wang MISC atau Petronas, ia juga tidak boleh dirahsiakan kerana ia melibatkan syarikat-syarikat awam milik rakyat.

"Kita tidak bantah pembayaran tebusan itu, yang kita minta hanya ketelusan kerana ia melibatkan kepentingan rakyat," katanya.

Beliau juga membangkitkan keprihatinan pelbagai pihak yang bimbang wang yang dinyatakan untuk membayar tebusan itu sebahagiannya disalurkan kepada pihak lain.

"Kita tidak boleh menuduh. Tetapi, hakikat bahawa pemilihan Umno akan berlansung dari bulan ini hingga ke ke peringkat tertinggi bulan Mac nanti mencetuskan pelbagai tuduhan dan spekulasi," katanya.

Sambil menolak pihaknya percaya dengan tuduhan-tuduhan itu, Mahfuz menekankan MISC perlu bersikap telus tentang jumlah wang tebusan yang dibayar kepada lanun-lanun itu untuk menamatkan pelbagai tuduhan dan spekulasi liar.

"Kita tak mahu dengar lagi tuduhan-tuduhan bahawa wang itu juga disalurkan kepada 'lanun-lanun' lain. Kita juga tak mahu rakyat terpaksa berkasar untuk menuntut maklumat yang sebenarnya," tegas beliau.

62 peratus pegangan daloam MISC dimiliki oleh Cartaban Nominees (Tempatan) Sdn Bhd - Petroliam Nasional Berhad (Strategic INV), 8.92 peratus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), empat peratus Amanah Raya Nominees (Tempatan) Sdn Bhd - Skim Amanah Saham Bumiputera, 2.29 peratus Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), 1.65 peratus State Financial Secretary Sarawak, 1.18 peratus Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, 1.06 peratus Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), 1.03 peratus Valuecap Sdn Bhd, 0.97 peratus Amanah Raya Nominees (Tempatan) Sdn Bhd dan 0.96 peratus Lembaga Tabung Haji._

Gerakan Islam tidak wajar mengkhianati perjanjian

Mohsin Abdullah
Fri | Oct 03, 08 | 11:43:58 am MYT

"Pada hari Kami (Allah) bangkitkan pada setiap ummah seorang saksi ke atas mereka dari kalangan mereka sendiri, dan Kami (Allah) datangkan engkau (ya Muhammad) sebagai saksi ke atas mereka ini, Kami turunkan ke atas engkau al-Kitab (al-Quran) bagi menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah dan Rahmat serta khabar gembira bagi muslimin.

"Sesungguhnya Allah memerentah agar dilaksanakan keadilan serta melakukan kebajikan (ehsan), membantu kaum-karabat , dan menegah daripada kefasadan, kemungkaran dan kezaliman. Dia (Allah) mengajar kamu semoga kamu mendapat peringatan.

"Sempurnakanlah janji Allah, bila kamu berjanji dan jangan kamu merosakkan sumpah sesudah kamu memperkukuhkannya, padahal kamu telah menjadikan Allah sebagai penjamin (bagi sumpah tersebut), sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu lakukan."

"Dan janganlah kamu menjadi seumpama perempuan yang menguraikan tenunan selepas dia selesai memintalnya dengan kukuh, dan kamu menjadikan sumpah kamu sebagai tipu daya (untuk mencabuli perjanjian yang telah dimeterai) di antara kamu, sebabkan adanya kumpulan lain yang lebih ramai daripada kumpulan itu, sesungguhnya Allah hanya mahu menguji kamu dengan yang demikian itu dan Dia sudah tentu akan menerangkan kepada kamu, pada hari Qiyamat, apa yang kamu berselisih padanya." Surah an-Nahl, ayat 89-91

Dalam ayat 89, Allah menjelaskan peranan kita, pendukung Islam, kita berperanan sebagai syahid (saksi) yang menjadi bench-mark yang menjadi rujukan pedoman kepada manusia sezaman dan setempat dengan kita, dan bench-mark yang menjadi pedoman rujukan kita pula adalah Rasulullah s.a.w sendiri.

Kita seakan-akan berperanan sebagai rumah-api (light-house) yang menjadi pedoman rujukan bagi mereka yang mungkin tersasar sesat dalam pelayaran di lautan luas , pada malam yang gelap. Secara prinsipnya kita mesti teguh di atas tapak nilai-nilai baik yang tidak berubah, walaupun gelora perubahan di lautan luas semakin menganas, kita tetap teguh sehingga kerana itulah kita mampu menjadi pedoman rujukan kepada mereka yang dikendung perubahan demi perubahan.

Allah juga memperingatkan tentang peranan al-Quran dalam kehidupan kita, kita akan mendapati pertunjuk daripada al-Quran dalam semua perkara, permasalahan dan keadaan. Walaupun ayat al-Quran yang sama, ia akan membawa pancaran intuisi yang sesuai dengan keadaan yang berbeza yang kita sedang hadapi.

Al-Quran memberi kita hidayah dengan suruh dan larang di dalamnya, dengan pengkisahan dan tamsilannya, dengan tafakkur dan limpahan pemahaman terhadap ayat-ayatnya.

Al-Quran membawa berita gembira tentang kemanisan hubungan kita dengan Allah, membawa berita gembira dengan balasan yang berlipat-ganda di atas iman dan amal kebajikan, berita gembira dengan kemenangan kita secara peribadi dan kelompok sekiranya kita bergantung kepada-Nya, berita gembira dengan sentuhan yang memujuk jira daripada jiwa ayat-ayatnya.

Al-Quran yang menjadi rujukan teratas kepada kita dalam semua segi, sebagai firman Allah pada ayat 10 surah as-Shura:

Dan apa juga perkara yang kamu semua berselisih tentangnya, maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah, demikianlah (kekuasaan) Allah, Tuhanku, kepada-Nya aku berserah, dan kepada-Nya lah aku merujuk kembali.

Dalam ayat 90, Allah menjelaskan konsep kebajikan yang perlu kita hayati dan jayakan di dalam kehidupan kita.

Kita perlu menegakkan keadilan, menghayati sifat ehsan dalam semua perkara, membantu kaum-kerabat.

Kita juga perlu berusaha mencegah kefasadan, kemungkaran dan kezaliman dalam semua aspek pada setiap peringkat.

Semua tugasan ini perlu dilaksanakan oleh setiap individu muslim secara perseorangan, dan diusahakan di peringkat yang lebih luas secara berkelompok.

Inilah peranan yang menjadikan ummah pedoman rujukan kepada manusia lain. Kita patut berdiri tinggi dalam menjayakan tugasan-tugasan ini sehingga mampu dijadikan contoh-tauladan kepada manusia yang lain.

Amalan kita sepatutnya lebih lantang dan jelas daripada perkatan-perkataan yang kita tuturkan sebagai polemik semata-mata.

Firman Allah, maksudnya;

Oleh kerana yang demikian, serulah mereka (kepada keimanan), beristiqamah kamu (dalam melaksanakan tanggung-jawab agama) sebagaimana yang kamu telah diperentahkan, dan jangan kamu mengikut kehendak hawa-nafsu mereka, Dan katakanlah : "aku beriman dengan segala kitab apa yang diturunkan oleh Allah, dan aku diperintah supaya bertindak adil di antara kamu, Allah adalah Tuhan kami, dan Tuhan kamu. Bagi kami amalan kami, dan bagi kamu amalan kamu, tida pertengkaran antara kami dan kamu. Allah akan menghimpunkan antara kita bersama (selepas kematian untuk diadili) dan kepada-Nya lah tempat kembali."

(Surah as-Shura. ayat 15).

Konsep dan amalan kebajikan pada tahap perseorangan dan masyarakat sangat-sangat ditekankan.

Di waktu yang sama, kefasadan, kemungkaran dan penzaliman dalam semua rupanya hendaklah ditegah.

Sekiranya dibentuk kerajaan, maka pemerentahan Islam jugalah akan berperanan sebagai Kerajaan Yang Berkebajikan., kerajaan yang menyubur perkara makruf serta mencegah kemungkaran. Allah memperingatkan kita agar kita tidak tergelincir daripada landasan dan tujuan ini.

Dalam ayat 91, Allah menjelaskan kepada kita peri mustahaknya kita berpegang kepada sumpah dan perjanjian yang telah kita capai kesepakatannya. "Perjanjian Allah� ditafsir oleh ulama sebagai sumpah yang dibuat menggunakan nama Allah, nazar dan perjanjian sesama manusia yang seiring dengan kehendak syarak, Kita hendaknya sentiasa sedar yang Allah amat mengetahui segala semua gerak zahir dan gerak hati kita,

Dalam ayat 92, ulama tafsir mengatakan perbuatan perempuan itu adalah perbuatan yang bodoh, dan itulah perumpamaan orang yang ingin merubah sumpah-perjanjian dengan satu pihak kerana pertimbangan berdasarkan 'tawaran' dari pihak yang lain yang mempunyai keanggotaan yang lebih ramai.

Mungkin akan terdapat perselisihan dalam strategi di antara kita tentang kewajaran membatalkan sumpah-perjanjian itu, antara sokongan dan bangkangan, sehingga Allah menyebut yang Dia akan menerangkan perkara yang sebenarnya di Hari Akhirat kelak tentang apa yang diperselisihkan.

Tetapi tindakan membatalkan sumpah-perjanjian kerana terpesona dengan kelebihan angka anggota dan kelebihan kebendaan telah ditempelak oleh Allah, bilangan anggota dan kelebihan kebendaan lain itu adalah sebenarnya ujian kepada kita semada kita akan berjaya berpegang kepada sumpah-perjanjian yang telah kita ungkapkan atau kita akan kecundang kerana godaan-godaan kelebihan kebendaan.

Lihat bagaimana Allah dengan jelas mengajar supaya kita menjujung perjanjian dan kesefahaman yang telah dicapai, kita tidak akan mengkhianati perjanjian dan persefahaman,. Lihatlah firman Allah, maksudnya;

"Orang-orang yang beriman tetapi tidak berhijrah (ke Madinah), tiadalah kamu (Ya Muhammad) bertanggung-jawab mentadbir mereka sedikitpun, sehinggalah mereka berhijrah. Jika mereka (orang Islam yang belum berhijrah itu) memohon bantuan kamu dalam urusan agama, maka kewajiban kamu menolong mereka, kecuali terhadap kumpulan yang telah ada perjanjian antara kamu dengan mereka7, Allah Maha Melihat apa-apa yang kau kerjakan�

(Surah al-Anfal, ayat 72).

Serangan terhadap pihak bukan Islam yang telah mempunyai perjanjian dengan pihak Islam dilarang walaupun orang-orang Islam di bawah penguasaan mereka itu telah meminta bantuan.

Pihak Islam hendaklah berusaha untuk mengislahkan keadaan dan hubungan di antara pihak penguasa bukan Islam dan orang-orang Islam di bawah penguasaan mereka.

Lihat bagaimana menariknya ulama tafsir memahami kepentingan pengajaran dalam ayat ini.

Lihatlah bagaimana Islam mengajar kita agar berpegang teguh kepada perjanjian selepas kita meterai perjanjian. Bagaimana mungkin pihak Islam mendahului pihak lain dalam mengkhianati kemuafakatan dan perjanjian.

Pihak Islam akan mengabaikan butir-butir sebarang perjanjian dan kesepakatan hanyalah selepas lain telah terlebih dahulu melanggar butir-butir perjanjian itu, sebagaimana perjanjian-perjanjian yang telah dibuat oleh Rasulullah dengan pihak Quraisy dan pengikut yahudi.

Lihatlah pimpinan Islam yang begitu 'principle-centered', yang tidak akan mengabaikan prinsip kesepakatan kerana dorongan perolehan duniawi.

Allah memperingatkan kita tentang peristiwa Nabi Musa dan Nabi Harun, baginda berdua telah berdoa agar diruntuhkan pemerentahan kerajaan Firaun yang zalim.

Allah telah telah menurunkan wahyu yang doa mereka dimakbulkan, walaupun ulama tafsir mengatakan jarak masa baginda berdua berdoa dengan kehancuran kerajaan Firaun itu adalah 40 tahun.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya telah diperkenankan doa kamu berdua, maka beristiqamahlah dan jangan dituruti jalan orang-orang yang tidak berilmu."

(Surah Yunus ayat 89).

Setelah Allah memperkenankan doa baginda berdua dan sebelum keruntuhan kerajaan Firaaun berlaku secara fizikalnya, Allah memperingatkan kedua Nabi ini supaya menghayati dua perkara asas yang sangat penting, iaitu;

1. Istiqamah dalam penghayatan agama dan kerja-kerja dakwah.

2. Jangan dituruti jalan pemikiran, jalan tindakan, jalan kemunasabahan yang didatangkan oleh orang-orang yang tidak berilmu.

Sekurang-kurang syarat ilmu itu ialah mengetahui yang kehidupan akhirat itu lebih utama daripada kehidupan dunia, perkiraan syarak lebih utama daripada jangkaan keuntungan dunia dan mempunyai keyakinan yang Allah lah yang akan menentukan segala sesuatu serta keredaan-Nya yang dicari.

Allah juga memperingatkan kita dalam firman-Nya yang bermaksud;

"Taat (patuh kepada perentah Allah dan Rasul)9 dan perkataan yang makruf (lebih baik bagi mereka). Apabila telah tetap sesuatu urusan, maka jika mereka membenarkan (suruhan) Allah, itu adalah lebih baik bagi mereka.

Apakah kiranya jika kamu menjadi pihak berkuasa, kamu akan berbuat bencana di muka bumi dan kamu akan memutuskan silaturrahim?

(Surah Muhammad, ayat 21-22)

Sepatutnya penguasaan di muka bumi oleh pihak yang mempunyai kesedaran Islam bertujuan, sebagai firman Allah yang bermaksud;

"Orang-orang yang jika Kami (Allah) memberi keteguhan di muka bumi12, mereka mendirikan sembahyang, membayar zakat serta menyuruh yang makruf dan melarang yang mungkar. Dan kepada Allah terserah akibat semua pekerjaan."

(Surah al-Haj, ayat 41).

Allah telah memperingatkan kita dengan kisah Nabi Yusuf yang ketika dilantik menjadi penguasa di Masir, baginda telah berdoa. Doa inilah sepatutnya dibaca oleh setiap muslim yang diangkat menjadi penguasa, sebagaimana lafaz yang disebut Allah dalam firman-Nya yang bermaksud;

"Wahai Tuhan, Sesungguh Tuan Hamba telah menganugerahi kekuasaan kepada hamba dan telah mengajar hamba ilmu mentakwil al-hadis. Tuan Hambalah yang menjadikan langit serta bumi, Tuan Hambalah Penguasa ke atas hamba di dunia dan di akhirat, wafatkan hamba sebagai seorang muslim dan masukkan hamba bersama golongan solihin".

(Surah Yusuf, ayat 101).

Semoga kita mampu menjadi �syuhada� kepada manusia lain kerana keteguhan iman, keikhlasan niat dan kesungguhan penghayatan terhadap agama Islam. - mr_

Islam dasar pengabungan PAS, dasar BN apa pula?

Anual Bakhri Haron
Fri | Oct 03, 08 | 11:24:08 am MYT

Kata-kata yang disuarakan oleh Presiden MIC yang berbunyi, "Cadangan menggabungkan semua parti yang bersifat perkauman ini sesuatu yang sukar dilaksanakan." (Berita Harian 30 September 2008).

Benar sangatlah kata-kata ini. Sampai bila pun cita-cita penggabungan, permuafakatan dan penyatuan akan menjadi kata-kata jinak buat pameran semata-mata. Bertolak dari sentimen perkauman yang taksubkan bangsa; Umno dengan ke-Melayuannya, MCA dengan ke-Cinaannya dan MIC dengan ke-Indiaannya, maka seruan konsep permuafakatan dan tolak ansur BN tidak membawa erti apa-apa.

2. Begitu juga dengan kata-kata Naib Presiden MCA, Dato' Donald Lim dan harapan seorang lagi Naib Presiden MCA, Dato' Ong Tee Keat di hari yang sama dalam akhbar yang sama.

Masing-masing menganggapkan ia idea yang baik tetapi apakah sentimen perkauman yang selama ini dipupuk dan dibajai oleh masing-masing parti komponen parti dalam BN boleh menumbuhkan sikap yang berkompromi dalam semangat persaudaraan yang murni dan tinggi?

PAS meletakkan titik persaudaraan tanpa mengira perbezaan bangsa dan suku kaum.

Teras bicara kita ialah kita semua daripada keturunan yang satu yakni Adam dan Hawa.

Semua orang adalah sama melainkan perbezaan maqam dan nilai mulia atau hinanya seseorang itu terletaklah diatas ukuran taqwa.

Dengan menggunakan "parameters" ini, PAS mempunyai seluruh potensi dan kekuatan yang ada untuk bertindak sebagai parti penyatuan rakyat.

Di atas pentas Islam inilah juga PAS sedang diterima dengan baik sebagai pilihan kepada Umno/BN.

Jika mahu dilihat masih relevan, inilah saat yang memerlukan Melayu dalam Umno datang dan memasuki PAS.

Dalam "mood" penggabungan yang sedang ghairah diterima oleh pemimpin komponen di dalam BN, tentu sekali langkah untuk memartabatkan ketuanan Islam adalah suatu yang amat menepati masa.

3. Pemimpin Umno perlu ingat bahawa bila Umno kekal dengan ketuanan Melayunya, pemimpin MCA pun boleh bercakap tentang ketuanan Cinanya.

Begitulah juga dengan MIC dan Gerakan dengan khayalan ketuanan masing-masing.

Dalam keadaan begini, perkataan penggabungan dan permuafakatan ke arah Integrasi Nasional hanyalah gimik dan fatamorgana.

Ia retorik dan sapuan gincu yang tidak mempunyai nilai apa-apa.

Sepatutnya inilah saat Umno meninggalkan ketuanan Melayu. Tidak sudah dengan terus berpegang kepada faham kebangsaan lapuk kerana ia hanya menganjurkan perkauman.

Di akhirat nanti, tiada harga berupa pahala untuk dinikmati oleh mana-mana pejuang bangsa. Di sinilah Islam meletakkan hujah bahawa ia agama penyatuan.

Ia agama yang tidak mementingkan bangsa dan semangat kebangsaan. Bahkan ia suatu agama yang menerima prinsip kewarganegaraan berasaskan semangat keantarabangsaan.

Ia agama sejagat yang menyatukan anugerah bangsa yang berbeza-beza dan bukan memecah belahkan orang diatas jalur-jalur kebangsaan.

Menjadi umat Islam ialah menjadi hamba Allah yang menjadi hamba kepada "tuan punya" kepada langit dan bumi ini terlebih dahulu.

4). Lantaran itu Islam sangat mementingkan hujah. Firman Allah S.W.T yang bermaksud,

"Katakanlah: "Allah", dan sesungguhnya kami atau kamu (orang-orang musyrik), pasti berada dalam kebenaran atau dalam kesesatan yang nyata. (Surah Saba' : Ayat 24).

Di sini, roh kebenaran Islam cukup jelas iaitu setiap sesuatu itu wajib disandarkan kepada fakta dan hujah.

Jika Umno mempunyai hujah untuk mempertahankan kebangsaan Melayu sebagai asas penyatuan, maka mereka bolehlah mengemukakan segala fakta dan segala alasan.

Akan tetapi, setakat yang dapat disaksikan, perjuangan Umno yang hujahnya kebanyakannya dibina di hujung keris dan tombak Melayu itu tidak memberi bekas dan membawa faedah kepada sejarah dan masa depan bangsa dan negara. Tiada signifikan apa-apa.

Apa yang jelas dapat disaksi rakyat hanyalah perpecahan, disintegrasi, korupsi, curiga, dengki, benci dan dendam. Cinta,rindu dan simpati antara kaum semakin tandus dari takung kalbu kehidupan.

4. Sudah sepanjang 50 tahun sikap curiga antara kaum semakin tajam. Jika sedikit masa dahulu masyarakat Cina pernah melahirkan Dato' Lee Kim Sai, kini Umno pula melahirkan Dato' Ahmad bin Ismail.

Ini menunjukkan jalan ke hadapan untuk Malaysia cukup buntu selagi Umno tidak berubah.

Maksud saya di sini ialah Umno perlu berubah dan kembali kepada Islam.

Bukan PAS lagi yang masuk Umno tetapi Umno yang mencari dan memasuki PAS.

Bermukabalah ke arah kembali kepada Islam - hanya inilah penyelesaian yang ada di hadapan kita. Jika tidak, Umno cuma mahu mengelirukan keadaan.

Umno hanya mementingkan survival dengan memainkan sentimen perkauman yang sensitif ini demi menyelamat dan menyambung kelangsungan hayat pemimpin mereka. Begitulah terkini dan trend Umno selama-lamanya.

Sesungguhnya, hampir semua orang tahu yang dia kini sedang bernafas dalam nyawa-nyawa ikan. Ada orang kata, lagi dua minggu dan ada pula yang lebih yakin bahawa sesuatu akan berlaku pada 13 haribulan.

Sayapun tidak sangat mahu ambil tahu tentang tarikh-tarikh ini. Apapun,sambil melihat budak-budak bermain bunga api, elok juga kita sama-sama saksikan. Ah, sepanjang-panjang tali; masakan tidak berhujung? - mr_

Guan Eng harap Islam jadi teras rapatkan silaturrahim

Abdul Aziz Mustafa
Thu | Oct 02, 08 | 11:03:05 pm MYT

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Hrkh) - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berharap Islam akan menjadi teras kepada usaha merapatkan silaturahim antara kaum di negara ini.

"Seperti mana yang saya faham, Islam sebagai agama yang syumul atau universal adalah Ad-Din atau cara hidup menyeluruh yang mencakupi semua aspek kehidupan manusia sama ada ekonomi, politik mahupun sosial.

"Ia tidak bersifat perkauman kerana Ad-Din adalah berteraskan sistem keadilan tanpa mengira kaum dan agama.

"Sememangnya, saya amat menghormatinya dan berharap ia akan menjadi teras kepada usaha merapatkan silaturahim antara kaum di negara ini," kata Setiausaha Agung DAP itu dalam perutusan Eidulfitrinya.

Beliau percaya bahawa semua agama di dunia ini turut mengajak para umatnya melakukan kebaikan termasuk agama Islam itu sendiri.

"Melalui kitab suci Al-Quran ada disebut mengenai Amar Ma�ruf Nahi Mungkar, iaitu menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah melakukan kejahatan. Ia merupakan puncak tertinggi dalam agama Islam itu sendiri.

"Saya yakin umat Islam yang beriman dan bertakwa pastinya menerima prinsip keadilan tulen untuk semua," kata beliau.

Bagi pihak DAP, beliau percaya kepelbagaian kaum, agama, adat, budaya dan bahasa, tidak pernah menjadi penghalang atau membatasi kemajuan Malaysia.

Aspek kepelbagaian tersebut harus menjadi kekuatan rakyat Malaysia untuk berganding bahu serta saling percaya antara satu sama lain, kata beliau.

"Tuhan tidak membezakan kita di antara warna kulit ataupun fahaman politik malah kepercayaan agama terjamin di kalangan semua agama, termasuk Islam.

"Oleh itu adalah tidak betul dan tidak patut insan dalam parti politik tertentu cuba memecah belahkan rakyat dan menggugat perpaduan nasional dengan menggunakan isu perkauman, menabur fitnah dan menggalakkan penggunaan kekerasan.

"Namun kumpulan ekstremis ini cuba menggunakan isu bahasa sungguhpun semua bahasa di dunia baik Inggeris, Melayu, Mandarin, Tamil, Hindi, Urdu, Thai dicipta oleh Tuhan," kata Guan Eng.

Beliau mengajak rakyat Malaysia menolak politik jahat tersebut yang hanya mementingkan golongan kecil yang amalkan kemungkaran.

Sebaliknya, kata beliau, semua mestilah besatu di bawah panji nilai-nilai teras universal yang diterima semua iaitu, kebebasan, keadilan, kebenaran, keluhuran undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan dan ketakwaan kepada Tuhan.

"Barulah kita boleh dirikan sebuah kerajaan bercorak demokrasi, ketuanan rakyat dan kepimpinan beretika mencontohi pemimpin agung Islam Khalifah Umar Abdul Aziz," katanya.

Rakyat Malaysia, kata beliau, tidak patut benci-membenci semata-mata kerana warna kulit atau fahaman agama yang berbeza.

"Jangan jadikan kepelbagaian kaum dan agama sebagai alasan untuk bertindak ganas atau menuju ke arah jenayah. Yang penting, tali silaturahim antara kita harus diikat erat.

"Jangan kita biar pihak tertentu mengadu domba persahabatan kita sesama kaum semata-mata kepentingan politik perkauman sempit mereka.

"Semoga hari lebaran ini disambut dengan penuh keinsafan, kesyukuran dan kegembiraan. Amar Ma�ruf Nahi Mungkar . Maaf zahir batin," kata beliau mengakhiri perutusannya._

KETEGASAN BERSAMA HUJJAH SYARIA’H ( KETERBUKAAN & KETEGASAN DI DALAM MENGHADAPI IDEALISME MASA KINI )


Islam adalah Minhajul Hayah ( Way Of Life ) . Ia juga adalah Deen As Samawi yang diutus turun oleh Allah swt. sebagai agama yang benar , maka ia diutus bersama “ Dustur ” atau undang – undang yang mengandungi enakmen atau akta wajib patuh.

Firman Allah swt :

ثم جعلناك على شريعة من الأمر فاتبعها و لا تتبع أهوآء الذين لا يعلمون

Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad ) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar)

( Surah Al Jathiyah . Ayat : 18 ).

Tiada satu bangsa pun di atas muka bumi ini hidup tanpa dustur ( undang – undang atau peraturan ), malah binatang juga mempunyai dustur dan tabiat tersendiri . Seorang Muslim dusturnya dinamakan Syariat .

Saudara & Saudari sekelian :

Islam telah menempa sejarah keagongannya . Suatu keagongan yang telah meninggalkan “ dendam kesumat ” di dalam dada musuh – musuhnya . Allah swt. telah mendedahkan :

و لن ترضى عنك اليهود و لا النصارى حتى تتبع ملتهم . قل إن هدى الله هو الهدى و لئن اتبعت أهوآءهم بعد الذي جآءك من العلم ما لك من الله من ولى و لا نصير

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.

( Surah Al Baqarah . Ayat : 120 )

Bermula di sinilah , “ mata telinga ” musuh tak pernah lalai , bahkan senantiasa memasang jerangkap serta mengarahkan “ algojonya ” untuk memusnahkan insan yang menganut ajaran Islam setelah mereka tak pernah mampu untuk memusnahkan Syariat Allah swt .

يريدون ليطفؤا نور الله بأفواههم و الله متم نوره ولو كره الكافرين

Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).

( Surah As Saaf . Ayat : 8 )

Justeru itu , untuk memastikan Ummat Islam selamat , maka muslimin dan muslimat mesti “ berpegang kejap ” dengan Syariat Allah swt .

APAKAH SYARIAH ?

Definisi Syariah dapat difahami dengan mudah dan jelas melalui dialog rasmi seorang Ketua Negara bertaraf Rasul dengan Gabenornya Saiyidina Muaz ibnu Jabal rha. sebelum dihantar bertugas ke negara Yaman .

قال بِماَ تَقْضِى قال بِكِتَابِ اللهِ قال فإنْ لَمْ تَجِدْ قال بِسُنَّةِ رَسُوْلِ اللهِ قال فإنْ لم تجدْ قال أَجْتَهِدُ رَأْيِى وَ لاَ آلوُ ( أي لا أقصر ) فَضَرَبَ في صَدْرِهِ وَ قال الْحَمْدُ للهِ الذِّي وَفَقَ رَسُوْلَ رَسُوْلِ الله لما يرَضى رسولُ الله .

Rasulullah saw. bertanya : Dengan apakah kelak kamu akan berhukum , maka jawabnya : Aku berhukum dengan kitab Allah swt .Rasulullah saw. bertanya lagi : Jika sekiranya kamu tidak dapati nasnya di dalam Al Quraan ? Lalu Muaz menjawab: Aku berhukum dengan Sunnah Rasulullah saw. Rasulullah saw. bertanya lagi : Jika tidak juga kamu dapati nasnya di dalam Sunnah ? Lalu Muaz menjawab : Aku akan berijtihad berasaskan ilmu tanpa menyeleweng . Maka Rasulullah saw. menepuk dadanya lalu berkata : Segala puji bagi Allah yang memberi taufiq kepada utusan Rasulullah saw. dengan apa yang diredhoi oleh Rasulullah saw.

Saudara & Saudari sekelian :
Jelas kepada kita , bahawa Syaria’t Islam ialah Kitab Allah , Sunnah Rasulullah saw. , Ijma’ dan Qias . Inilah Hujjah Syari’e . Lain dari empat perkara ini , ia bukan hujjah Syari’e .

Suatu hal yang harus kita sedar , bahawa kini kita ditaqdirkan hidup di suatu zaman yang banyak perselisihan atau penyelewengan . Suatu zaman berlakunya huru – hara ideology . Zaman yang perlu kepada kod penyelesaian yang agong sebagaimana yang telah diisyaratkan oleh baginda Rasul saw. :

أُوْصِيْكُمْ بِتَقْوَى اللهِ عَزَّ وَ جَلَّ وَ السَّمْعِ وَ الطَّاعَةِ وَ إِنْ تَأَمَّرَ عَلَيْكُمْ عَبْدٌ فإَنِهَّ ُمَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ فَسَيَرَى اخْتِلاَفاً كَثِيْرًا فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَ سُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ الْمَهْدِييِّنَ عَضُّوْا عَلَيْهَا باِلنَّوَاجِذِ وَ إِيَّاكُمْ وَ مُحْدَثَاتِ اْلأُمُوْرِ فَإِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ .

Aku berwasiat kepada kamu supaya bertaqwa kepada Allah Azza Wa Jalla dan dengar serta taat sekalipun pemimpin yang dilantik dikalangan kamu hanyalah seorang hamba . Sesiapa yang masih hidup dikalangan kamu suatu masa kelak, ia akan menyaksikan perselisihan yang begitu ketara , maka wajib ke atas kamu di kala itu berpegang kepada Sunnah ku dan Sunnah Khulafa’ Ar Rasyidin yang mendapat petunjuk , genggamlah seerat-eratnya dengan geraham kamu . Waspadalah terhadap perkara baru yang direka maka sesungguhnya perkara baru yang direka ( bida’ah ) adalah sesat .

( Hadis riwayat Abu Daud dan Tarmizi )

Saudara & saudari sekelian :

Inilah zamannya . Zaman yang tersepit antara dua keadaan . Antara ummat yang jahil dan pemerintah yang Faajir ( jahat ) . Syariat Allah swt. dijadikan bahan persendaan dan mainan , akhirnya ummat menderita menghidap penyakit “ kurang daya tahan Aqidah ” . Aqidah ummah kian tipis , senipis kulit bawang .

Aqidah mereka boleh diperjual beli dipasaran gelap dan terbuka dengan harga yang murah . Kabus kejahilan terus meliputi mereka . Kini mereka kehilangan arah dan keliru antara “ Tindakan lawan dan Rayuan kawan.”

Dunia mempamerkan nasib ummat kini , Saudara mara kita di Pattani dihalau ke hutan belantara , dinafikan hak mereka sebagai seorang muslim . Saudara mara kita di Moro , menerima nasib yang sama .

Sebelum ini kalau kita masih ingat bagaimana Masjid Babri dirobohkan di hadapan mata ummat Islam . maruah ibu , kakak dan adik kita di Bosnia dicabul ganas .

Ummat Islam di Kashmir , turut menderita . Kaum lelaki disembelih disiksa , kuku mereka dicabut kejam , tubuh badan mereka dikelar , kemaluan mereka dikenakan kejutan elektrik dan mereka dikurung tanpa makanan . kaum wanita diperkosa beramai – ramai , pula mereka mengajar anjing – anjing garang untuk merogol wanita – wanita muslimah . Mereka dimandikan dengan air dingin diwaktu subuh yang dingin di musim dingin .

Ya Rabbi Ya Allah . Inilah yang berlaku ke atas ummat Islam !!

Ummat Islam di Palestin tidak kurang penderitaan yang mereka hadapi , angkara tindakan zalim dan kejam regim Yahudi Alaihi Laknatullah . Aktivis Islam ditangkap dan dikurung dalam bilik yang sangat sempit . Tidak boleh bangun dan tidak pula boleh duduk . Dalam ruang sedemikian mereka dikurung belasan tahun malah puluhan tahun lamanya . Kanak – kanak yang tidak berdosa dibedil tanpa simpati . Umat Islam yang sedang khusyu’ sujud kepada Allah turut menjadi sasaran peluru liar mereka. Tanah ummat Islam dirampas dan dijajah .

Ummat Islam di Afghanistan jua berhadapan dengan situasi yang sama . Mereka menjadi mangsa kerakusan nafsu kuasa besar dunia . Rumah kediaman mereka diletupkan dan kampung halaman mereka dimusnahkan. Mereka dibunuh tanpa belas kasihan .

Negara kita turut menjadi saksi ke atas penderitaan yang di alami oleh ummat Islam . Apabila Ummat Islam yang menggabungkan diri mereka dengan gerakan Islam diburu , diugut , difitnah , ditangkap malah ada yang telah dibunuh seperti peristiwa yang berlaku di Lubuk Merbau dan Memali Kedah .

Saudara & saudari sekelian :

Ummat Islam kini sedang tenat lantaran syariat Allah di “tongsampah”kan oleh ummat Islam sendiri . Mereka menjadi lemah dalam jumlah mereka yang ramai , mereka menjadi bangsat di tanahair sendiri dan mereka menjadi hina ditengah kaum bangsa sendiri . Mereka kini bagai “termakan” sumpah Saiyidina Omar Al Khattab rha. Apabila Omar al Khattab Rha. pernah berkata :

نحنُ قومٌ أَعزَّنا اللهُ بالإسلامِ فَمَهْمَا نَبْتَغِ عِزَّ بِغَيْرِ ما أَعَزَّنا اللهُ أَذَلَّنا الله

Kita adalah suatu kaum yang diberi kekuatan oleh Allah dengan Islam , maka barangsiapa yang mencari kekuatan lain , selain dari apa yang telah dianugerahkan oleh Allah , maka tunggulah bala kehinaan daripada Allah swt .

Muqaddimah Ibnu Khaldun

Kita tidak mempunyai pilihan lain untuk mengangkat semula martabat ummah melainkan bertindak pantas mengembalikan perlaksanaan Syariat Islam dikalangan ummat Islam . Mereka mesti dibangkitkan dari tidur yang terlalu lama . Bawalah ummah kembali menghayati Syariah Islam justeru syariatlah satu - satunya jalan keluar dari belenggu yang berpanjangan . Syariatlah menjadi petunjuk agar ummah menemui jalan keagongan yang pernah diraih oleh golongan terdahulu .

و يوم نبعث في كل أمة شهيدا عليهم من أنفسهم و جئنا بك شهيدا على هؤلاء و نزلنا عليك الكتاب تبيانا لكل شئ وهدى و رحمة و بشرى للمسلمين

Dan (ingatkanlah tentang) hari Kami bangkitkan dalam kalangan tiap-tiap umat, seorang saksi terhadap mereka, dari golongan mereka sendiri; dan Kami datangkanmu (wahai Muhammad) untuk menjadi saksi terhadap mereka ini (ummatmu); dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah (petunjuk) , serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.

( Surah An Nahl . Ayat : 89 )

Demikianlah syariat diturunkan untuk menyelamatkan manusia ( muslim atau non muslim ) dan memandu mereka ke jalan yang benar .

Saudara/i sekelian :

Ketegasan berpandukan hujjah syariah antara usaha untuk memastikan ummah kembali menatang syariah sebagai pedoman hidup mereka. Setiap tindak tanduk , lagak gaya hidup seharian mestilah dirujuk kepada hujjah – hujjah syari’e demi keberkesanan tindakan kita sebagai hamba Allah swt .

Penggunaan nafsu atau aqal yang terpisah dari hujjah – hujjah syari’e , menjadi nokhtah bermulanya rosak binasa ummah didunia ini . Firman Allah swt.

ولو اتبع الحق أهواءهم لفسدت السماوات و الأرض و من فيهن بل أتيناهم بذكرهم فهم عن ذكرهم معرضون

Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang adanya. (Bukan sahaja Kami memberikan ugama yang tetap benar) bahkan Kami memberi kepada mereka Al-Quran yang menjadi sebutan baik dan mendatangkan kemuliaan kepada mereka; maka Al-Quran yang demikian keadaannya, mereka tidak juga mahu menerimanya;

( Surah Al Mukminun . Ayat : 71 )

Dunia hancur dan manusia menjadi bangsa yang sesat tanpa pegangan .

Firman Allah swt :

فإن لم يستجيبوا لك فاعلم أنما يتبعون أهوآءهم و من أضل ممن اتبع هواه بغير هدى من الله إن الله لا يهدى القوم الظالمين

Kemudian, kalau mereka tidak dapat menerima cabaranmu (wahai Muhammad), maka ketahuilah, sesungguhnya mereka hanyalah menurut hawa nafsu mereka; dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsunya dengan tidak berdasarkan hidayah petunjuk dari Allah. Sesungguhnya Allah tidak memberi pimpinan kepada kaum yang zalim (yang berdegil dalam keingkarannya).

( Surah Al Qasas . Ayat : 50 )

MADRASAH AQLANIYYAH VS HUJJAH – HUJJAH SYARIYYAH

Saudara/i sekelian :

Antara tugas utama kita ialah merobohkan “Madrasah Aqlaniyyah” yang wujud dikalangan ummat Islam hari ini , khasnya di negara kita. Kita dapat mengesan wujudnya “buruh kasar” yang sedang giat membina ‘madrasah aqlaniyyah’ ini . Sebuah ‘madrasah’ yang mendidik ‘pelajar’nya menganut ideology ciptaan manusia dan membebaskan diri dari ikatan hujjah – hujjah syari’e yang diturunkan oleh Allah swt .

‘Madrasah’ ini melahirkan mereka yang berjiwa nasionalis , pragmatis, sosialis , sekularis dan sebagainya yang bercakap mengikut rentak Islam dan kadangkala ber‘irama’ gerakan Islam .

Sebagaimana yang berlaku sekarang , gerakan yang ‘perdu’nya dipelopori oleh sebahagian mereka yang pulang dari barat . Mereka memperkenalkan Islam kononnya Islam baru . cara baru dan sebagainya , padahal segalanya tidak lebih dari putar belit yang memualkan dari pihak orientalis untuk memesongkan hujjah dan fakta syariah .

Mereka memperkenalkan medernis Islam . Perlu diperingatkan , walau apa pun yang diperkenalkan oleh mereka , yang menjadi lampu ‘fluorescence’ untuk mengesan kepalsuan dan ketulenannya ialah Hujjah – hujjah Syariah yang termaktub di dalam Al Quranul Karim dan Sunnah Nabinya saw.

Kita sewajarnya bertindak teliti kerana di sana ada orang yang sedap bercakap dengan menggunakan istilah – istilah Islam dan mempergunakan Islam untuk kepentingan peribadi dan kelompok mereka .

Saudara/i sekelian :

Pelbagai ideology yang timbul adalah implikasi daripada tiadanya ketegasan berpandukan hujjah – hujjah syariah . Ideology ini adalah merupakan bidaah yang paling keji disisi Allah swt .

Sebab berlakunya bidaah ini .

· Jahil mengenai sumber hukum syariah
· Istinbat ( mengambil ) hukum berasaskan nafsu dan aqal yang terpisah dari wahyu .
· Mendahului aqal dalam mengambil syariat.

Justeru itu , dalam menangani perkembangan ideology yang bercanggah ini , kita mesti tegas memeranginya . Kita terbuka dalam menerima pandangan dan apa jua corak idea yang dikemukakan , tetapi kita mesti insaf bahawa prinsip kita ialah hujjah – hujjah syariah dalam menilai semua bentuk pemikiran yang dikemukakan .

Kita jangan terpedaya dengan pandangan individu atau kelompok sehingga membelakangkan syariah Allah swt .

Ingatlah utusan rasmi dari hadhrat ilahi :

و ما كان لمؤمن و لا مؤمنة إذا قضى الله و رسوله أمرا أن يكون لهم الخيرة من أمرهم و من يعص الله و رسوله فقد ضل ضلالا مبينا

Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.

Sumber : http://ustaznasrudin-tantawi.blogspot.com/

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI 1429H

Dewan Pemuda PAS Kawasan Sungai Petani, Kedah mengucapkan selamat Hari Raya Aidil Fitri 1429H kepada semua muslimin dan muslimat diseluruh dunia. Maafkan Segalanya & Utamakan Keselamatan.
 

blogger templates | Make Money Online