Search Islamic Directory
Keyword:

JOM UBAH!!!

JOM UBAH!!!

UBAH SEKARANG

UBAH SEKARANG

Jual tanah: Tajuddin dicabar buat kenyataan luar dewan

 

Hazayani Zakaria   

KUALA LUMPUR, 13 April: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (PAS-Bukit Gantang) dan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) hari ini mencabar Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman yang menuduh mereka menjual tanah kepada Singapura agar turut membuat tuduhan yang sama di luar dewan agar tindakan boleh diambil terhadapnya.

Nizar dalam satu sidang media bersama Guan Eng di lobi Parlimen berkata, Ahli Parlimen Pasir Salak boleh membuat dakwaan itu di luar dewan jika benar-benar ada bukti mengenainya.

"Kami di sini seolah-olah dijadikan mangsa oleh ahli Parlimen Pasir Salak apabila sewaktu saya tiada di dewan baru-baru ini, Pasir Salak menuduh saya telah terlibat dalam operasi menjual tanah di Perak kepada Singapura.

"Kita mencabar Pasir Salak buat dakwaan yang sama di luar dewan maka kita akan mengambil tindakan supaya kita tunjukkan kebenaran," ujarnya.

Tajuddin dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2009) 2010 di Dewan Rakyat baru-baru ini mendakwa Pakatan Rakyat (PR) diketuai Nizar sewaktu menjadi kerajaan negeri telah terlibat dalam operasi menjual tanah dan pasir kepada Singapura dan kepada tauke-tauke Cina di negeri itu.

Oleh kerana Nizar tiada dalam dewan ketika itu, wakil DAP dari Beruas, Ngeh Koo Ham dan wakil DAP dari Taiping, Nga Ror Ming bangun menafikan dakwaan itu.

Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang turut mencabar Tajuddin mengemukakan bukti mengenai dakwaannya itu kerana menurutnya, ia satu tuduhan yang serius.

"Saya juga dituduh bukan sahaja menjual tanah pasir kepada Singapura malah turut dituduh jual tanah kepada kaum Cina di Perak.

"Buktikan mana tanah yang saya jual kepada Singapura, mana dia tanah yang saya jual kepada tauke Cina. Sampai sekarang mereka tidak juga memberi bukti," katanya.

Justeru, beliau berkata, Ahli Parlimen PR ingin menuntut keadilan di atas tuduhan yang sangat dasyat itu.

"Kami ahli-ahli Parlimen dari PAS, DAP dan PKR ingin menuntut keadilan supaya rakyat sedar kalau inilah mutu ahli Parlimen kita yang membuat tuduhan tanpa bukti, saya rasa ini satu malapetaka kepada rakyat Malaysia," tegasnya.

Sementara itu, Guan Eng yang dituduh menjual maklumat Malaysia kepada Singapura dan Hong Kong senada dengan Nizar mencabar Tajuddin membuat dakwaan sama di luar dewan untuk diambil tindakan.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut menafikan dakwaan itu.

"Memanglah perkara palsu saya ke Singapura dan Hong Kong untuk jual maklumat negara. Saya ke sana atas urusan perniagaan sahaja. Samalah seperti Perdana Menteri ke Singapura dan Hong Kong ke negara tersebut untuk tujuan pelaburan.

"Jadi saya cabar beliau buat tuduhan di luar dewan," katanya.

Beliau juga menyelar tindakan Tajuddin yang menggunakan imuniti sebagai ahli Parlimen untuk membuat tuduhan sewenang-wenangnya.

"Jangan berselindung dalam dewan, berselindung di atas kekebalan undang-undang yang dinikmati oleh ahli Parlimen untuk membuat sebarang tuduhan ," katanya.

Tolak APCO, tolak BN di Hulu Selangor

 

Hashim Abdullah   

TEMERLOH, 13 April: Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang, Ustaz Suhaimi Saad menggesa pengundi di kawasan Parlimen Hulu Selangor menolak Umno/BN dalam pilihan raya kecil yang akan diadakan pada 25 April ini sebagai bantahan terhadap tindakan kerajaan membenarkan agen Israel terlibat dalam isu yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Pemuda PAS Pahang di Pejabat Badan Perhubungan Negeri, di sini, Suhaimi berkata tindakan pemimpin Umno menggunakan khidmat APCO Worldwide  yang ada kaitan dengan agen zionis Yahudi adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab kepada keselamatan negara.

Tambahnya, PAS sangat bimbang dengan tindakan pemimpin Umno/BN yang tidak sensitif dengan isu keselamatan negara yang akan menyebabkan negara terdedah kepada bahaya pembocoran maklumat strategik.

"Cara pemimpin Umno mengurus negara sangat buruk sehingga sanggup mendedahkan keselamatan negara dalam bahaya. Tindakan mereka menggunakan khidmat APCO Worldwide sebagaimana yang didedahkan kepada umum perlu diajar oleh rakyat dengan menolak mereka pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor," katanya.

Semalam, ketika bercakap di Lobi Parlimen, Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang akan mengemukakan usul menangguhkan mesyuarat Dewan Rakyat bagi membincangkan isu kemasukan ejen perisikan Israel di ibu pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman. 

Notis kepada Yang Dipertua dihantar hari ini mengikut Peraturan Mesyuarat 18(2). 

Kemasukan dua ejen perisik Israel di Bukit Aman menurutnya adalah perkara serius, berkepentingan umum dan perlu disegerakan. 

Sementara itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perbahasan di Dewan Rakyat minggu lalu memberitahu, beliau mempunyai dokumen bahawa perisik Israel mempunyai akses kepada maklumat strategik negara melalui Asiasoft (M) Sdn Bhd, yang merupakan subkontraktor bagi projek menaik taraf sistem komunikasi dan teknologi PDRM.

PAS mahu SPRM siasat Palanivel lulus projek RM354,000

 

Harakahdaily   

KUALA LUMPUR, 13 April: PAS mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pengakuan Ketua Kampung Sungai Buaya di Hulu Selangor, Mustafa Talib bahawa Datuk G Palanivel telah meluluskan tiga projek bernilai RM354,000 di kampung itu.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad (gambar) tidak mempersoalkan keperluan perbelanjaan itu dikeluarkan oleh pihak kerajaan, tetapi mempersoalkan kelayakan dan kredibiliti Palanivel yang tidak mempunyai jawatan dan kuasa dalam kerajaan masih boleh memberi kelulusan projek.

"PAS mahu SPRM menyiasat perkara ini kerana beliau bukanlah anggota kabinet atau penjawat awam yang mempunyai kuasa bagi menentukan perbelanjaan wang negara," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, adalah tidak releven seorang bekas wakil rakyat yang kini dilantik sebagai penyelaras sebuah parti politik boleh mengeluarkan duit kerajaan sesuka hati untuk projek yang ada kepentingan dengan Pilihan raya Kecil Parlimen Hulu Selangor.

Menurutnya, selama dua tahun allahyarham Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad menjadi Ahli Parlimen Hulu Selangor, Kerajaan Persekutuan enggan memberikan sebarang peruntukan kepada beliau bagi memajukan kawasan itu.

"Tetapi, selepas beliau meninggal dunia Kerajaan Persekutuan tiba-tiba sahaja melantik 'wakil rakyat haram' untuk membelanjakan duit kerajaan.

"PAS menuntut SPRM tidak bermain wayang dan menutup mata terhadap apa yang berlaku di Hulu Selangor sekarang," tegasnya.

APCO: Laporan polis serentak seluruh negara esok

 

Nazri Abdullah   

KUALA LUMPUR, 13 April: Pemuda Pakatan Rakyat akan membuat laporan polis serentak jam 3 petang esok di semua ibu pejabat kontinjen Polis seluruh negara berhubung isu APCO.

Mereka daripada Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP), Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) akan meminta siasatan dijalankan terhadap firma perunding APCO Worldwide dan pembabitannya dengan kerajaan Malaysia kerana bimbangkan pembocoran maklumat negara kepada pihak asing.

"Penglibatan APCO bagi kita memberi ancaman kepada kedaulatan negara.

"Kita akan minta pihak polis siasat dan mengambil tindakan segera agar keselamatan dan kedaulatan negara terjamin," kata ketua DPP, Nasruddin Hassan (gambar) ketika dihubungi Harakahdaily.

Selain itu, satu himpunan aman akan diadakan di masjid-masjid negeri di seluruh negara pada hari jumaat ini bagi menyatakan bantahan terhadap penglibatan firma perunding yang didakwa ada kaitan langsung dengan Zionis Israel itu.

"Kita juga akan adakan demonstrasi serentak di masjid-masjid negeri 16 April ini sejurus solat Jumaat," tambahnya lagi.

Sebelum ini beberapa laporan polis telah dibuat berkait isu sama di seluruh negara.

Antaranya dibuat Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Ghazali, Nasir Zakaria (Padang Terap), Dr. Mariah Mahmood (Kota Raja) dan Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

PRK Hulu Selangor: Kerjasama erat PAS, PKR dan DAP Selangor mampu tumbangkan BN

Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 10 April: Kerjasama erat ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat iaitu PAS, PKR dan DAP Selangor mampu menumbangkan Barisan Nasional dan memastikan Parlimen Hulu Selangor kekal milik Pakatan Rakyat.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, beliau yakin Pakatan Rakyat mempunyai peluang yang cerah untuk menang dengan penampilan calon berwibawa dari PKR yang akan diumumkan 13 April ini.

“Bagi kami (PAS) di Selangor, tidak ada masalah bekerjasama dengan DAP dan PKR. Ini kerana keadilan itu untuk semua, dan ini adalah antara tuntutan perjuangan dalam Islam," katanya.

“Pakatan Rakyat khususnya PAS adalah ‘tahalul siaasi’ (kerjasama politik), bekerjasama dalam satu Pakatan bagi menggantikan BN (memerintah negara ini), insya Allah,” katanya ketika berucap di majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kota Bharu Kali Ke-43 yang berlangsung di Kelantan Trade Centre (KTC) di sini pagi tadi.

PRK Hulu Selangor akan diadakan pada 25 April manakala penamaan calon pada 17 April ini.

Mengulas Pilihanraya Kecil Parlimen Sibu, beliau pula berkata ianya menjadi titik tolak bagi Pakatan Rakyat dalam usaha menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional di Sarawak.

“Sibu ini akan menjadi sebagai titik permulaan gerak kerja hendak menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional di Sarawak,” katanya lagi.

Turut hadir pada majlis sama Ahli Parlimen Kota Bharu merangkap Yang Dipertua PAS Kota Bharu Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Lama Datuk Anuar Tan Abdullah, Adun Bunut Payung Datuk Takiyuddin Hassan dan Adun Tanjong Mas Rohani Ibrahim.

Parlimen Sibu menjadi kosong ekoran kematian penyandangnya Datuk Robert Lau Hoi Chew baru-baru ini, dipercayai mengidap penyakit barah.

Pilihan raya kecil itu nanti, jika diisytiharkan, adalah yang kedua diadakan di Sarawak selepas pilihan raya kecil Dun Batang Ai.

Pada pilihan raya lalu, Datuk Robert (SUPP) yang mewakili Parlimen Sibu sejak 1990 mengalahkan calon DAP Wong Ho Leng dan calon PKR Lim Chin Chuang dengan mejoriti 3,235.

Pada Pilihan Raya Umum 2008 Datuk Lau memperolehi 19,138 undi, sementara Wong memperolehi 15,903 dan Lim mendapat 812 undi.

Sumber : Harakahdaily.Net

Laporan polis isu Umno-APCO juga dibuat di Kuala Nerang



Harakahdaily

KUALA NERANG, 10 April: Laporan polis demi laporan polis dibuat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung dengan tindakan kerajaan mengadakan perjanjian dengan sebuah syarikat yang ada kaitan dengan Yahudi, APCO Worlwide.

Terkini, anggota Parlimen Padang Terap, Mohamad Nasir Zakaria dengan diiringi oleh para pemimpin PAS kawasan membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Nerang pagi tadi.

Sebelum itu, Nasir juga mengedarkan risalah mengenainya kepada penjual dan pengunjung pasar Kuala Nerang.

Dalam laporannya, Nasir meminta agar pihak polis dapat melakukan satu siasatan terperinci terhadap Najib dan Ketua Pemuda Uumno, Khairy Jamaludin mengenai satu perjanjian dengan APCO itu.


Nasir dalam laporannya berkata, perjanjian antara kerajaan Malaysia itu telah dimeterai dengan APCO pada 4 Ogos 2009 lalu. Beliau telah mengemukakan satu salinan perjanjian itu kepada polis di samping sesalinan Letter Of Acceptance yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri bertarikh 15 Julai 2009.

"Saya percaya bahawa Syarikat APCO Worldwide seperti yang tersebut di atas mempunyai kaitan dengan Kerajaan Haram Israel," kata Nasir.

Nasir turut mengemukakan asas bantahan beliau iaitu:

1. Kerajaan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Negara Haram Israel. Sudah tentu berurusan dengan syarikat dari negara tersebut yang lembaga pengarahnya terdiri daripada tokoh-tokoh besar negara Israel akan mendedahkan banyak rahsia negara.

2. Negara tersebut diketahui telah menindas rakyat Palestin termasuklah membuat kepungan besar kepada Bandar Gaza dengan menyekat kemasukan makanan dan ubatan. Parlimen Malaysia telah mengadakan Sidang Khas Parlimen mengutuk pengepungan tersebut. Justeru seolah-olah kerajaan melanggar keputusan sendiri apabila mengadakan hubungan dengan syarikat dari negara tersebut.

3. Syarikat APCO diketahui mempunyai rekod perjanjian dengan Negara Haram Israel. Bersama ini saya sertakan sesalinan perjanjian yang membuktikan hubungan Kerajaan Israel dan APCO sebagai rujukan.

"Saya selaku rakyat Malaysia amat bimbangkan hubungan secara kontrak dengan Syarikat APCO Worldwide Sdn Bhd tersebut mendedahkan maklumat sulit negara dan boleh mengancam keselamatan negara.

"Saya sebagai seorang Muslim juga amat terasa sedih apabila hubungan dengan syarikat ini dilakukan dalam keadaan Umat Islam dan bukan Islam ditindas oleh rejim yang ganas tersebut," lapor Nasir.

Sehubungan itu, beliau memohon supaya satu siasatan terperinci di adakan terhadap Najib dan Khairy di atas tindakan mereka bermati-matian mempertahankan perjanjian di antara Kerajaan Malaysia dan syarikat APCO Worldwide Sdn. Bhd. seperti di salinan perjanjian yang dikemukakan itu.

"Ia menggambarkan seolah-olah isu keselamatan negara tidak begitu penting sedangkan maklumat keselamatan negara akan diperolehi secara mudah oleh Kerajaan haram Israel.

"Saya juga memohon supaya satu siasatan dibuat bagi memastikan apakah tujuan sebenar kedua-dua individu terbabit di dalam mempertahankan kontrak yang dimeterai dan apakah “interest” kedua-dua individu tersebut di dalam perjanjian yang telah dimeterai," kata Nasir dalam laporannya.

Sumber : Harakahdaily.Net

Berkaitan : Dr Mariah turut buat laporan polis isu APCO
 

blogger templates | Make Money Online