Search Islamic Directory
Keyword:

JOM UBAH!!!

JOM UBAH!!!

UBAH SEKARANG

UBAH SEKARANG

Mazlan ada asas kuat saman malu pengurus Felda - peguam

Hashim Abdullah & Ismail Hashim

RAUB, 11 Mac: Peguam Mohd Harris Abdullah menyatakan ada asas yang kuat bagi membolehkan saman malu dikenakan terhadap pengurus Felda Lembah Klau berhubung isu menahan Mazlan Aliman daripada mengadakan dailog bersama peneroka.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Akhbar Khas yang diadakan di Pejabat PAS kawasan di sini selepas Mazlan dibebaskan dengan bon polis RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Raub tanpa sebarang pertuduhan.

“Saman malu boleh dkenakan. Ada asas yang kuat untuk berbuat demikian kerana tuduhan terhadap Mazlan menceroboh masuk kawasan Felda tidak tepat. Menceroboh mesti dijelaskan dengan maksud berlakunya unsur jenayah tetapi ia tidak berlaku dalam kes ini.

”Sebagai orang yang mempunyai nama besar dan telah dimalukan, Mazlan ada asas untuk membuat saman malu,” katanya.

Sementara itu Naib Presiden PAS yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Mazlan Aliman sendiri tidak menolak kemungkinan menyaman pihak terbabit.

”Kita akan saman pengurus Felda terbabit. Dia bertindak di luar batasan yang sepatutnya,” kata mereka.

Sementara itu, Mazlan yang juga Pengerusi Persatuan Anak-anak Felda Kebangsaan (Anak) menafikan tangkapan terhadapnya ekoran dakwaan mengeluarkan kenyataan pekerja Felda makan duit haram, merompak duit peneroka dan sebagainya di dalam satu majlis ceramah di Johor.

"Tidak ada kena mengena," tegas Mazlan lagi menafikan dakwaan sebuah persatuan yang difahamkan mempunyai kaitan dengan Felda.

Kenyataan persatuan yang menyebutkan perkara itu disiarkan dalam satu siaran berita radio awal petang tadi.

Dalam perkembangan sama, Mazlan telah dibebaskan setelah ditahan selama dua malam di Ibu Pejabat Polis (IPD) Raub, Pahang.

Mazlan yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat ketika dihubungi baru sebentar berkata, beliau dalam perjalanan pulang ke Johor.

Menurutnya, beliau ditahan selepas menyertai majlis dialog di sebelah petang di Felda Lembah Klau pada 9 Mac lalu.

Katanya, selama dua malam itu, beliau ditahan di bawah Kanun Keseksaan Akta 441 ekoran didakwa kesalahan pencerobohan.

Insiden itu berlaku selepas Mazlan mengadakan satu majlis dialog di rumah sebuah peneroka di Felda berkenaan lalu ada seorang pegawai Felda datang menghalang kerana kononnya tidak mempunyai permit.

Peguam Haris Abdullah berkata, berlaku sedikit kekecohan ekoran tindakan pegawai Felda itu sedangkan tuan rumah telah membenarkan Mazlan berdialog dengan peneroka di situ.

"Mazlan ditahan pada kira-kira jam 11.30 malam selepas membuat satu laporan polis di balai yang sama," katanya lagi.

Haris berkata, Mazlan membuat laporan berhubung satu kekecohan yang berlaku di tempat beliau mengadakan dialog dengan peneroka Felda Lembah Klau.

Beliau yang sudah berbelas tahun bergerak aktif di dalam memperjuangkan nasib peneroka Felda seluruh negara dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Raub sekitar jam 11 pagi tadi dengan bon polis RM3,000 dengan seorang penjamin.

Jawapan Abdul Aziz Bari tentang hak jagaan juvana

Dzulfikar Mashoor

GOMBAK, 11 Mac: Pakar Perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr. Abdul Aziz Bari menganggap ketetapan Mahkamah Tinggi Ipoh menyerahkan hak penjagaan tiga orang anak bagi seorang mualaf, kepada seorang ibu kandung yang bukan beragama Islam adalah tidak begitu jelas.

Menurut beliau, ketidakjelasan tersebut ekoran belum ada lagi penghakiman bertulis dari mahkamah terbabit.

“Kes ini tidak begitu jelas kerana belum ada penghakiman bertulis,” kata beliau, seperti yang dipetik dari emailnya kepada Harakahdaily petang tadi.

Pun begitu, berdasarkan tindakan Hakim Wan Afrah Wan Ibrahim menemui juvana terbabit seperti yang dilaporkan beberapa media, Abdul Aziz yakin ketetapan tersebut sebenarnya dibuat dengan mengambil kira kehendak dan kebajikan juvana-juvana terbabit.

“Dari apa yang dilaporkan, hakim telah bercakap dan menemui kanak-kanak itu dan pastinya memutuskan apa yang sesuai dengan kehendak dan kebajikan mereka,” jelasnya.

Bercakap dari segi kehukuman, sama ada Islam atau sivil, beliau berpendapat berkata, soal kebajikan dan kepentingan anak-anak sebenarnya mengatasi yang lain.

Mengulas tentang kelayakan M Indera Ghani, iaitu ibu kandung kepada ketiga-tiga juvana terbabit, beliau menasihatkan semua pihak supaya tidak memperbesarkan isu ketidak-Islaman ibu terbabit.

Ujarnya lagi, ketidak-Islaman ibu terbabit seharusnya tidak dipandang secara negatif kerana soal keimanan seseorang adalah dalam urusan Allah.

“Soal ibu bukan Islam saya fikir jangan dibesar-besarkan dan dipandang sebagai semestinya negatif. Soal iman ialah soal Allah s.w.t,” ujarnya.

Bagaimana pun, beliau menyuarakan rasa faham dengan sensitiviti dalam kalangan umat Islam di tanah air.

“Saya faham umat Islam kebanyakannya mengandaikan ini satu penghinaan kepada Islam, tak semestinya,” beliau menambah.

Dalam pada itu, sekiranya juvana beragama Islam terbabit ditukar ke agama asal, beliau menegaskan bahawa pihak berwajib bolehlah mengambil tindakan yang dianggap wajar dan sesuai.

Ekoran itu, beliau menasihatkan semua pihak memandang status beragama juvana-juvana terbabit secara matang.

“Pengislaman automatik (yang dihujahkan oleh kebanyakan orang Islam) saya fikir perlu dilihat dengan lebih matang,” jelasnya.

“Memilih agama perlukan kefahaman dan kewarasan, ia tidak boleh dipaksa. Lainlah dalam keadaan kedua-dua ibu dan bapa memang sedia Islam.”

Abdul Aziz berkata, di sisi perlembagaan memang mencukupi seorang sahaja dari ibu atau bapa untuk menentukan agama si anak.

Disebabkan itu, Abdul Aziz berpendapat bahawa menggunakan mahkamah syariah untuk menentukan hak penjagaan kepada kanak-kanak terbabit adalah meragukan.

“Kes ini melibatkan orang bukan Islam jadi kedudukan mahkamah syariah agak meragukan,” jelasnya.

Sebaliknya, menurut beliau, sekiranya kes terbabit dibicarakan di mahkamah sivil seperti sekarang, undang-undang Islam masih boleh dijadikan digunakan dalam proses penghujahan.

“Tetapi kalau ia dibawa ke mahkamah sivil pun undang-undang Islam boleh dihujah dan dipakai.

“Tidak semestinya hanya kerana kes itu di mahkamah sivil undang-undang Islam diketepikan,” jelasnya.

Tuntas dari itu, beliau berkata, peruntukan dalam perlembagaan serta undang-undang tertentu seharusnya memberi ruang kepada kedudukan agama Islam di tanah air.

Dalam perkembangan yang sama, peguambela Mohammad Faizal Che Yusof dilaporkan, memfailkan permohonan di mahkamah supaya pelaksanaan kehakiman Hakim Wan Afrah itu ditangguhkan.

Turut dilaporkan, M Indera Ghandi mendakwa bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah atau K. Pathmanathan telah mengIslamkan anak mereka pada April tahun lalu.

Lanjutan itu, Indera yang juga guru tadika cuba mendapatkan perintah mahkamah syariah bagi hak penjagaan anak-anak kandungnya mereka.

Ummu Salamah, 13, dan Abu Bakar, 12, dilaporkan tinggal bersama-sama Indera di Ipoh, manakala Ummu Habibah, 2, dilaporkan tinggal bersama-sama Mohammad.

Pada 22 Januari lalu, Hakim Wan Afrah dilaporkan menangguhkan perbicaraan kira-kira 10 minit demi meluangkan masa dengan juvana terbabit di kamar hakim.

Hakim Wan Afrah dilaporkan berkata, beliau mahu bercakap sendiri dengan semua juvana terbabit demi memastikan bahawa beliau membuat ketetapan kehakiman yang tepat.

Pun begitu, Muhammad dilaporkan tidak membawa anak bongsu mereka ke mahkamah seperti yang diarahkan oleh hakim.

Kedah ganti dua Exconya

Harakahdaily

ALOR SETAR, 10 Mac: Kerajaan Negeri Kedah melantik dua orang muka baru dalam senarai Exconya yang mengangkat sumpah di hadapan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah pagi tadi.

Mereka adalah Adun Ayer Hitam dari PAS, Abdul Ghani Ahmad (gambar kiri) dan Adun Sidam dari PKR, Tan Chow Kang (gambar bawah, kanan).

Mereka menggantikan dua exco yang digugurkan, iatu Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat negeri, Abdullah Jusoh dan Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Pengangkutan negeri, Tan Wei Shu.

Abdullah adalah Adun PAS Pantai Merdeka manakala Tan pula merupakan Adun PKR Bakar Arang.

Ini adalah pertama kali dalam sejarah Pakatan Rakyat yang mengugurkan exco mereka.

Sebelum ini, khabar angin mengenai beberapa exco yang tidak menunjukan prestasi yang diinginkan akan digugurkan bertiup kencang.

Dua nama yang disebut sebelum ini adalah Dr Hamdan Che Khalib Pengerusi Jawatakuasa Tetap Belia & Sukan, Kesenian, Warisan, Kebudayaan dan Penerangan dan Dr Ismail Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Penerangan, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Insan.

Namun terbukti ia hanya khabar angin dan tidak benar sama sekali.

Barisan exco baru itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah di Istana Anak Bukit, Alor Star, pagi ini.

Upacara mengangkat sumpah ini juga dihadiri oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak (atas, bersongkok).

Semua mereka dilantik untuk tempoh setahun.
 

blogger templates | Make Money Online