Search Islamic Directory
Keyword:

JOM UBAH!!!

JOM UBAH!!!

UBAH SEKARANG

UBAH SEKARANG

Hamas lahirkan 15,000 kanak-kanak tahfiz

Azamin Amin
Thu | Feb 12, 09 | 4:48:48 pm MYT

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Hrkh) - "Pemimpin kami mendapat tarbiyah daripada Masjid Al-Aqsa dan kami pula mengajar anak-anak Palestin. Musim luruh lalu, kami berjaya lahirkan 15,000 anak-anak Palestin yang hafaz al-Quran."

Demikian antara petikan kata-kata pemimpin Hamas Sami Abu Zuhri yang menceritakan antara kejayaan perjuangan pertubuhan Islam itu selain membebaskan bumi Anbia itu daripada rejim Zionis Israel.

Beliau dengan tegas mengulangi pendirian Hamas yang tidak akan menerima sebarang syarat yang dikenakan oleh Israel bagi melakukan gencatan senjata di Palestin sedangkan sudah berpuluh tahun rejim itu mengganasi penduduk sehingga orang awam yang tidak berdosa terbunuh.

Katanya Hamas cukup dibenci dan digeruni oleh Israel kerana sentiasa berjuang untuk menegakkan dan mempertahankan Islam sebagai cara hidup.

"Agenda Israel adalah menghancurkan umat Islam di sini daripada segala segi seperti pendidikan, ekonomi dan pentadbiran dan paling utama cuba hancurkan agama Islam itu sendiri," katanya berbahasa Arab.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Rayuan Gaza dan pemberian sumbangan dana Tabung Kemanusiaan Harakah yang dianjurkan Harakah di Hotel Putra, Kuala Lumpur tengah hari tadi. Beliau kini dalam lawatan bertemu pemimpin Islam seperti PAS dan NGO Islam yang lain selain memberi ceramah kepada para mahasiswa di Malaysia.

Turut Hadir dalam Majlis tersebut ialah Naib Presiden PAS Ustaz Ahmad Awang, Pengerusi Harakah, Dato' Mustafa Ali, Pengarah Urusan Harakah Dato' Kamaruddin Jaffar, Ketua Muslimat PAS Ustazah Nuridah Salleh, Ahli Parlimen PAS Dr Hatta Ramli dan Dr Lo' Lo' Ghazali.

Selain itu, majlis turut dihadiri para penyumbang dana terdiri daripada NGO Islam, pemimpin PAS kawasan, Kelab Penyokong PAS, Kijang Care dan individu-individu, tidak terkecuali lapisan masyarakat bukan Islam yang turut bersimpati dengan penderitaan rakyat Palestin.

Sementara itu dalam sidang media selepas majlis itu Sami turut mengulas keputusan pilihan raya Israel diantara tiga parti iaitu 'Kadima', 'Likud' dan 'Yisrael Beitena' yang disifatkan akan terus dengan dasar memusnahkan dan bertindak kejam kepada penduduk Palestin.

Dilaporkan pilihan raya Israel menunjukkan, parti Kadima yang dipimpin oleh Tzipi Livni mengungguli parti Likud, parti yang dipimpin oleh Benjamin Netanyahu manakala Beitena menempati posisi ketiga kemudian disusuli dengan Parti Buruh.

"Bertukar wajah tidak memberi apa-apa makna. Semua Israel adalah penjenayah. (Changes faces does not mean anything. All Israel are criminal)," katanya yang diterjemahkan melalui seorang jurubahasa Hamas, Eman Hassan

Beliau sambil itu menyelar kumpulan Fatah yang sedang mengadakan perbincangan dengan Hamas di Kaherah kerana telah memenjarakan ratusan pejuang-pejuang Hamas di penjara Mahmood Abbas di Palestin yang dianggap tindakan Fatah sebagai mengkhianati perjuangan untuk membebaskan bumi Palestin.

"Mereka mesti membebaskan semua pejuang kami yang telah diseksa dan didera di penjara itu. Semalam salah seorang pejuang kami telah terbunuh di penjara itu kerana diseksa," kata Sami kepada para wartawan yang hadir.

Beliau juga mahu dan menggesa seluruh masyarakat antarabangsa termasuk Malaysia mengheret Isreal kemuka pengadilan dan menghentikan serta merta kezaliman yang dilakukan selama puluhan tahun.

Sungguhpun Hamas tidak begitu optimis dengan pentadbiran Presiden Amerika yang baru Barrack Obama namun berharap pemimpin itu dapat menjernihkan suasana konflik yang berlaku sekaligus menukar polisinya terhadap Palestin. "Hamas bersedia untuk mengadakan dialog dengannya," katanya.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Harakah dan rakyat Malaysia, Sami yang merupakan jurucakap rasmi Hamas menyeru supaya rakyat Malaysia tidak 'tersalah' menyumbang derma kepada pihak-pihak atau agensi yang tidak betul kerana khuatir sumbangan itu tidak sampai kepada penduduk Palestin. Beliau menerima sumbangan Tabung Kemanusiaan Harakah berjumlah RM500,000 manakala daripada pelbagai NGO, individu dan PAS kawasan berjumlah lebih RM400,000.00 yang turut disampaikan dalam majlis yang sama.

"Kami seru supaya serahkan dana kepada agensi yang beramanah dan bertanggungjawab atau anda datang terus ke Gaza, untuk sampaikan sendiri kepada penduduk di sana," katanya yang juga merupakan seorang pensyarah daripada Universiti Islam Palestin.

Beliau sedang menyiapkan tesisnya di Damsyik dalam pengajian sejarah Pejuang Salahuddin Al-Ayubi. Bagaimanapun Universiti tersebut telah musnah akibat serangan jahat Israel baru-baru yang turut mengorbankan lebih 1,3000 penduduk Gaza. - azm _
 

blogger templates | Make Money Online