Search Islamic Directory
Keyword:

JOM UBAH!!!

JOM UBAH!!!

UBAH SEKARANG

UBAH SEKARANG

Zaid kemuka petisyen, saman Utusan

 

Hazayani Zakaria   

PETALING JAYA, 28 April: Calon Pakatan Rakyat daripada PKR dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim akan mengemukakan petisyen membantah keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam pilihan raya itu.

Bercakap pada sidang media di kediamannya di Tropicana Golf and Country Resort, di sini, hari ini, beliau berkata, keputusan itu dibuat apabila mengambil kira pelanggaran undang-undang pilihan raya yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) sepanjang kempen berlangsung.

"Saya membuat keputusan untuk mengemukakan petisyen untuk mengisytiharkan bahawa keputusan hari itu tidak sah. Peguam saya akan merangka asas-asasnya minggu depan," katanya.

Kesalahan yang nyata dakwanya, tindakan BN memberi rasuah kepada pengundi-pengundi di kawasan berkenaan selain tindakan SPR mengubah tempat pengundian tanpa pengetahuan mereka.

"Ada sesetengah mereka namanya tidak ada dalam daftar pemilih, sesetengahnya diubah tempat memilih tanpa pengetahuan mereka dan mereka juga diberi rasuah yang besar, dijanjikan macam-macam janji yang semua ini menyalahi undang-undang pilihan raya dan ini dilakukan bukan sahaja oleh jentera BN tapi oleh pucuk pimpinan BN sendiri," katanya.

Justeru, beliau yang juga anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) menyeru mana-mana pihak khususnya pengundi-pengundi di Hulu Selangor sendiri yang mempunyai maklumat agar mengemukakannya kepada mana-mana pejabat parti-parti Pakatan Rakyat.

"Jika ada lagi ada maklumat penting dan jika ada pengundi yang ada maklumat boleh kemukakan bukti ke pejabat mana-mana parti dalam Pakatan," katanya.

Selain itu, beliau juga akan memfailkan saman terhadap SPR yang didakwa gagal menjalankan tugas dengan adil dan telus.

"Selagi SPR tidak menjalankan tugas dengan adil seperti di negara-negara lain, selagi itulah suara rakyat tidak dapat didengari. Sebab itu saya juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap SPR," jelasnya.

Zaid juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar Utusan Malaysia kerana melabelnya sebagai kaki botol.

"Saya dicop kaki botol dan ini dibiarkan sahaja, dalam Utusan Malaysia sendiri melabel demikian dan tidak ada sesiapa pun ambil tindakan.

"Saya bukan kaki botol. Saya minum tidak lebih daripada apa yang diminum oleh Mahathir dan pimimpin-pemimpin Umno yang lain," katanya.

Bagi memastikan desakan terhadap SPR agar berlaku adil kepada semua parti pada mana-mana pilihan raya, beliau memberitahu Kumpulan Penyokong Pakatan di peringkat antarabangsa akan dilancarkan di London pada Julai ini.

"Ini bagi mendapatkan sokongan antarabangsa untuk mendapatkan pilihan raya yang bersih dan adil di Malaysia," katanya.

Beliau turut menafikan segala kenyataan dan tindakan yang dibuat adalah atas dasar kecewa dengan kekalahannya.

"Tidaklah, kalau saya tidak buat apa-apa pun, mereka akan kata macam-macam juga. Tapi hasrat saya mencerminkan pendapat ramai. Kalau kita biarkan kerja-kerja yang tidak betul ini, mereka akan terus berkuasa," katanya.

BN lulus dengan 'meniru' di Hulu Selangor

 

Abdul Aziz Mustafa   

KUALA LUMPUR, 28 April: Kemenangan Barisan Nasional (BN) di Hulu Selangor kerana rasuah tidak ubah seperti murid sekolah yang lulus peperiksaan tapi dengan cara meniru, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar).

"Begitulah juga kemenangan dengan cara menipu dan merasuah dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor.

"Lulus periksa tapi tiru, menang pilihan raya tapi tipu. Menang pilihan raya tapi rasuah," katanya.

Kekuatan kuasa rasuah yang menggunakan wang negara dan rakyat untuk kepentingan politik mereka adalah faktor yang memenangkan BN, kata Mahfuz.

"Hakikatnya Umno dan BN hanya mampu mendapat kemenangan berasaskan kepada penipuan yang dikongsi bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seperti pembuangan lokaliti mengundi yang berjumlah 200 orang pemilih dikeluarkan dari senarai yang sepatutnya membuang undi di Hulu Selangor, pemindahan nama pemilih dari tempat mengundi sebelum ini yang berjumlah 13,000 orang adalah contoh penipuan yang terancang yang dikongsi bersama SPR," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Beliau menyifatkan kemenangan BN itu langsung tidak menggugat Pakatan Rakyat (PR) khususnya PKR.

"Sepatutnya dengan pengumuman keluar parti oleh pimpinan dan ahli PKR dan dengan operasi beli undi serta RM165 juta yang ditabur serta dijanjikan oleh BN, tiada undi yang patut diperolehi oleh PKR.Sebaliknya PKR terus mendapat jumlah undi yang lebih dari keputusan Pilihan Raya Umum yang ke-12," kata Mahfuz.

Namun, katanya, pemimpin Umno dan BN mendabik dada mengatakan rakyat mula beralih kembali menyokong mereka.

"Yang aneh mereka mendakwa kemenangan itu kerana kejayaan Najib membawa perubahan yang meyakinkan. Najib kononnya dianggap lulus ujian. Pada hal kemenangan ini ibarat seperti murid sekolah yang lulus pepereksaan tapi dengan cara meniru," katanya.

Kemenangan yang disambut dengan gah oleh pemimpin BN itu, katanya lagi, bukan sahaja tidak mencapai sasaran majoriti 6,000 seperti dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malah BN hilang penguasaan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Kubu Baru.

Tawaran RM50,000 kepada peneroka rasuah

 

Harakahdaily   

KUALA LUMPUR, 27 April: Timbalan Presiden Keadilan Rakyat, Senator Dr Syed Husin Ali (gambar) menempelak Umno-BN yang menjanjikan RM50,000 kepada penduduk di Felda Sungai Buaya jika mereka mengundi untuk memenangkan parti itu pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, Ahad lepas.

Sambil menganggapnya sebagai suatu bentuk rasuah, beliau mempertikaikan tindakan yang telah dan akan dilakukan Umno-BN bagi mengotakan janji mereka kepada peneroka di Felda tersebut.

"Ia satu kes rasuah yang perlu ditekankan iaitu tawaran RM50,000 kepada peneroka-peneroka di Sungai Buaya, kerana tanah di kawasan tersebut telah dibeli oleh Syarikat Etika yang telah ditutup," katanya pada sidang media Pakatan Rakyat di lobi Dewan Negara hari ini.

Jelasnya, dalam hampir 20 tahun peneroka Felda itu tidak dibayar apa-apa dan kini mereka dijanjikan RM50,000 dengan RM1,000 telah dibayar tunai walaupun pada ketika membeli tanah tersebut dahulu, syarikat Etika telah membayar RM1,000.

"Jadi kira-kira RM850,000 masih belum dibayar. Persoalannya sekarang ini siapakah yang akan membayar RM50,000 itu dan siapa akan tanggung RM850,000 yang belum dibayar?

"Walaupun Najib berjanji akan bayar, daripada mana punca wang diperolehi sama ada wang parti atau kerajaan atau pihak yang lain," tegasnya.

Ujarnya, apa yang nyata ia adalah tawaran tersebut adalah berupa korupsi kerana ada yang ditawarkan dengan wang RM250, RM500 dan RM1,000 kepada keluarga Melayu dan India dan kesemuanya itu menjadi bukti.

Pada 23 April lalu, Najib mengumumkan pembayaran pampasan tanah atas pembelian tanah sebanyak RM50,000 kepada 100 bekas peneroka Felda Sungai Buaya, yang membawa kepada jumlah RM5 juta. Setiap daripada mereka memperolehi RM1,000 pada peringkat awal yang merupakan hasil penantian 15 tahun.

Pada sidang media yang sama, beliau turut menyenaraikan beberapa faktor kekalahan parti itu.

"Kita percaya, kekalahan disebabkan beberapa faktor iaitu rasuah dan dalam kenyataan terbaru selepas pilihan raya kecil berakhir, Najib menafikan terdapat unsur rasuah dengan memberikan contoh pembinaan jejambat," katanya lagi.

Selanjutnya, Syed Husin berkata pihaknya kini dalam proses mengambil tindakan undang-udang dengan melaporkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Ini adalah satu perkara yang sangat-sangat serius sehingga calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim bersama peguam-peguam Pakatan Rakyat untuk menyelidik dan mengambil tindakan undang-undang terhadap rasuah yang berlaku dan perkara ini akan dilaporkan kepada SPRM walaupun kurang percaya kepada keberkesanannya," katanya lagi.

Mengulas mengenai pencapaian dalam pilihan raya kecil tersebut, beliau menganggapnya sebagai baik.

"Di kawasan Felda, undi Pakatan telah meningkat menyebabkan majoriti Umno-BN di Hulu Bernam dapat dikurangkan iaitu Pakatan mendapat 5,400 dan BN 7,200. Di Batang Kali jurang perbezaan majoriti semakin dikurangkan dengan Pakatan kira-kira 10,600 dan dan Umno-BN mendapat 11,600 undi.

"Umumnya prestasi Pakatan adalah baik, walaupun kami kalah, kami akan bekerja dengan keras lagi untuk memastikan kemenangan," ujarnya lagi.

Sementara itu, Senator Ir Zamri Yusuf berkata bagi kawasan yang mengalami penurunan iaitu di Felda Sungai Buaya yang melibatkan pemberian rasuah (janji RM50,000) dan ugutan kerana yang dibayar itu hanya RM1,000 setelah syarikat yang sepatutnya membayar RM49,000 itu muflis, hanya akan dapat jika memberi kemenangan kepada BN.

"Bila kita pertikaikan hal ini Najib mengalih isu kepada pelan transformasi sedangkan ianya perkara yang berasingan kerana isu ini adalah membabitkan ugutan dan paksaan," katanya.

Trend itu jelas dapat disaksikan Zamri sendiri semasa dua hari terakhir kempen apabila terdapat seorang penduduk di kampung terbabit keluar dengan membawa sebilah parang yang diletak di dalam raga motosikalnya bagi menghalang penyokong Pakatan Rakyat melaksanakan tugasan kempen kerana bimbang akan kehilangan RM49,000 yang dijanjikan Umno-BN.

"Ini merupakan salah satu kesalahan besar pada pilihan raya kali ini," ujarnya.

 

blogger templates | Make Money Online