Search Islamic Directory
Keyword:

JOM UBAH!!!

JOM UBAH!!!

UBAH SEKARANG

UBAH SEKARANG

Samad Said cabar pemimpin Umno berbahasa Inggeris dalam kempen pilihan raya kecil

Bashir Ishak
Mon | Mar 16, 09 | 8:06:44 pm MYT

ALOR SETAR, 16 Mac (Hrkh) - Sasterawan Negara, Dato' A Samad Said mencabar pemimpin kerajaan Umno-BN untuk turun berkempen dalam pilihan raya kecil yang akan berlangsung tidak lama lagi dengan bercakap dalam bahasa Inggeris.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad berkata, hasil daripada usaha yang dibuat oleh Gerakan Mansuh Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (GMP) baru-baru ini, tidak mustahil isu ini akan dibincangkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Umno, yang dijadual akhir Mac ini.

"Dan dalam perhimpunan itu, oleh kerana pemimpin Umno terlalu mengagungkan bahasa Inggeris, adalah lebih baik mereka, dari peringkat atas hingga ke bawah, berbincang dalam bahasa Inggeris," tegas A Samad.

"Dan juga dalam kempen-kempen mereka pada masa akan datang juga, mereka kena gunakan bahasa Inggeris, jangan guna bahasa Melayu. Kalau nak bermesyuarat pun gunalah bahasa Inggeris kerana bahasa dan minda mereka adalah Inggeris," ujar pejuang bahasa itu lagi.

"Apakah hanya untuk mendapat undi dan kuasa, mereka guna bahasa Melayu, tetapi bila dapat kuasa mereka akan membuang bahasa Melayu. Kalau ada kempen-kempen mereka, kita perlu berani jerit kepada mereka, cakaplah bahasa Inggeris," kata A Samad ketika berucap pada program Gema Rakyat, "Isu PPSMI, Kita Pantang Berundur".

Program tersebut diadakan di Dewan Sri Mentaloon, Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah, di sini, malam tadi.

Ketika memulakan ucapannya, A Samad membuat satu peringatan yang menggamatkan suasana dewan yang dipenuhi kira-kira 1,000 orang hadirin itu. "Ada satu perkara yang saya minta sebelum saya bercakap tentang nasib bahasa kita, iaitu bila ada pilihan raya, saya harap anda semua gunakanlah kuasa undi dan undilah siapa saja tapi jangan undi Umno," ujarnya, seraya mendapat tepukan gemuruh dan teriakan takbir oleh para hadirin.

Dalam ucapannya yang diselang-selikan dengan pendeklamasian puisi itu, A Samad terus membuat penegasan bahawa beliau tidak diperalatkan oleh mana-mana pihak, sebaliknya hanya dimanfaatkan.

"Saya tidak ada parti tapi hanya meminjam pentas parti. Saya bukan diperalatkan tapi dimanfaatkan. Dengan itu, kita berada pada situasi menang-menang. Kalau saya diperalatkan sudah tentu saya akan menjadi mangsa," jelasnya.

Dalam pada itu, belia turut menegaskab bahawa hanya dua buah parti yang mampu menyelamatkan keadaan semasa iaitu PAS dan KeADILan.

"Dalam keadaan semasa saya melihat hanya PAS dan KeADILAN yang boleh menyelamatkan orang Melayu. Sekiranya orang Melayu merasakan teraniya, sokonglah dua parti ini," katanya lagi.

Selain itu, A Samad menjelaskan bahawa beliau akan meneruskan perjuangan untuk menyelamatkan bahasa Melayu dalam program "Kembara Kasih bahasa".

"Saya rasa terpanggil bahawasanya dalam sisa-sisa usia saya inilah untuk saya berlawan dan dengan semangat inilah saya akan menjelajah untuk memperjuangkankan bahasa saya.

"Saya bersedia kembali ke negeri Kedah ini dengan syarat anda semua bekerja untuk menumbangkan pemimpin-pemimpin yang sombong," ujarnya sambil disambut tepukan gemuruh hadirin.

Program berkenaan dianjurkan oleh Teras Pengupayaan Melayu (Teras) dan Jaringan Muafakat Pertubuhan Islam Kedah (Wehdah) dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar Kedah.

Setiausaha Potik Menteri Besar Kedah, Mohd Sanusi Mod Noor telah menyampaikan ucapannya mewakili Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.

Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid dan Setiausaha GMP, Hasni Abas turut menyampaikan ucapan. Majlis juga diselang-selikan dengan bacaan puisi oleh penyajak, Pak Salleh Bakar, tokoh sastera, Azizi Haji Abdullah dan Ahli Parlimen Kuala Kedah, Ahmad Kassim._

Keputusan & Suasana Pertandingan Bolasepak 9’Sebelah Antara Khariah Kawasan Sungai Petani .

Isnin [ 16-03-09 ]
Sungai Petani : Perlawanan yang bermula pada pukul 9.00 pagi,telah dimenangi oleh Kg. Paya Kercut ( Khariah Pulau Sepom ) yang menewaskan pasukan Seraya FC ( Khariah Matang Berangan ) dengan jaringan gol 2-0. Juara pertandingan ini menerima hadiah berupa wang tunai sebanyak RM1000 + Piala + Medal, manakala naib johan menerima RM700 + Piala + Medal untuk pemain. Bagi tempat ke 3 & 4 di menangi dari Khariah Bukit Kechik, Simpor iaitu Sinar FC & Bukit Kechik FC. Kedua-dua pasukan tersebut menerima hadiah wang tunai sebanyak RM300 + Medal.

Hadiah telah disampaikan oleh YB Tuan Haji Abdullah Bin Jusoh (Pengerusi J/Kuasa Sains & Inovasi, Teknologi Maklumat ICT dan Komunikasi, Pembangunan Usahawan )

JuaraNaib JuaraKe-3Ke-4

Urusetia PertandinganPengadil Perlawanan

Hanya 19 peratus Melayu mahu Umno perintah

Abdul Aziz Mustafa
Sat | Mar 14, 09 | 1:52:23 am MYT

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Hrkh) - Hanya 19 peratus dari responden Melayu yang mahu Umno terus memimpin negara, lapor Malaysian Insider dalam berita bertajuk " Umno corrupt, says survey".

Menurut laporan itu, dalam tinjauan Merdeka Centre yang dibuat ke atas 1,031 responden itu, prospek Umno di kalangan masyarakat Cina dan India jelas lebih buruk lagi.

Hanya satu peratus responden berbangsa Cina dan tiga peratus responden berbangsa India yang mahu Umno terus memimpin negara.

Lebih buruk lagi, tidak ada seorang pun responden Cina yang percaya Umno akan melaksana dan menunaikan janjinya walaupun satu peratus di kalangan mereka yang menaruh harapan kepada Umno untuk membangunkan negara ini.

Tinjauan pendapat itu juga jelas memperlihatkan imej Umno semakin buruk.

61 peratus berpendapat rasuah adalah masalah Umno yang paling serius manakala 13 peratus peratus berpendapat masalah kedua Umno yang paling serius ialah kegagalan parti itu memahami masalah rakyat.

Selaras dengan pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini yang menyifatkan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak cekap, lemah dan pengecut, para pengundi juga bimbang dengan "pemimpin yang lemah" dan "pentadbir ekonomi yang lemah" dalam Umno.

Dari 1,031 responden itu, 57 peratus adalah orang-orang Melayu, 31 peratus China and 12 peratus India berdasarkan tinjauan rawak.

Kajian Merdeka Center itu dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Sementara itu, mengulas isu rasuah Umno di dalam blognya, Dr Mahathir tidak percaya ada ahli-ahli parti itu yang akan didapati bersalah kerana terlibat dengan rasuah politik menjelang pemilihan parti itu bulan ini.

"Saya sinis dan tidak percaya barang seorang pun akan didapati bersalah," katanya.

Mengulas pendedahan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen yang mendedahkan bahawa pihaknya menerima 900 aduan yang sebahagiannya berkaitan dengan politik wang, Dr Mahathir berkata: "Orang ramai tertunggu-tunggu untuk mendengar tentang siasatan dan tindakan yang diambil terhadap mereka yang terlibat.

"Sekarang Mesyuarat Agong yang akan memilih ahli-ahli Majlis Tertinggi akan diadakan tidak lama lagi. Tetapi tidak ada apa-apa pun kedengaran berkenaan 900 aduan tersebut.

"Apakah semua 900 aduan ini sudah didapati tidak berasas dan tidak ada salahlaku oleh sesiapa? Apakah pemilihan calon Majlis Tertinggi bersih seperti kain putih?"

Sekarang, kata bekas Presiden Umno itu, "kita dengar pula tentang sogokan kepada perwakilan yang akan hadir di mesyuarat Agong yang akan undi dan tentukan siapa yang akan pegang jawatan apa di dalam parti.

"Katanya ratusan ribu diberi kepada perwakilan. Benarkah? Takkanlah semua cerita yang didengar tidak berasas?"

Menurut Dr Mahathir, wakil-wakil ke perhimpunan agong Umno bulan ini "boleh disogok dan mereka boleh beri kemenangan kepada orang yang sogok mereka.

"Tetapi ingat. Rakyat sedang memerhati tingkahlaku Umno dan pemilihan yang akan dilakukan," katanya.

Dr Mahathir mengingatkan, jika pada bulan Mac tahun lalu ramai rakyat termasuk juga ahli-ahli Umno yang kecewa telah mengundi parti lawan, dalam Pilihanraya Umum ke-13 mereka ini akan mengundi parti lawan sekali lagi jika mereka lihat Umno sudah diambilalih oleh perasuah._

Gaji Pengerusi Syabas RM425,000 sebulan, mampu tampung bil air rakyat

Azamin Amin
Fri | Mar 13, 09 | 2:58:08 pm MYT

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Hrkh) - Dewan Rakyat kelmarin menjadi sedikit 'riuh' apabila diberitahu bahawa gaji Pengerusi Syabas Tan Sri Razali Ismail sejumlah RM5.1 juta setahun.

Perkara ini diungkap kembali oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh Dato' Seri Anwar Ibrahim ketika membahaskan rang undang-undang perbekalan tambahan 2009 yang dalam masa yang sama menjawab soalan Ahli Parlimen Titiwangsa Dr. Lo' Lo' Ghazali berhubung gaji dan elaun pengurus atau pengarah GLC.

"Apa dan mengapa nak dirahsiakan gaji GLC ini? Gaji syarikat boleh dibuka. Oleh sebab itu seperti mana yang saya sebutkan tadi, keadaan di Syarikat Bekalan Air Selangor bila tanggungan begitu bila sudah naikkan beban bagi rakyat, baru kita tahu rupa-rupanya pengurusnya RM5.1 juta.

"Itu basic belum lagi elaun-elaun tambahan. Ini keterlaluan kalau dibiarkan keadaan begitu," kata Anwar.

Sementara itu turut menarik perhatian ahli-ahli dewan ialah Zulkifli Noordin(KeADILan -Kulim Bandar Baharu) yang membuat pecahan kiraan gaji pengerusi syarikat air itu yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat.

"Saya buat 'simple calculation' ini. Pada gaji RM5.1 juta setahun, bermakna gaji beliau RM425,000 sebulan. Satu hari, gaji dia RM14,166... Satu jam gaji dia RM1,770. Satu minit, dia dibayar RM29.51...

Kata Zulkifli gaji beliau itu boleh membayar gaji 34 Ahli Parlimen sebulan ataupun boleh membayar 425 anggota polis dengan gaji RM1,000 sebulan.

"Bermakna lima unit FRU boleh ditanggung dengan gaji beliau... ataupun kalau bil air... RM100 sebulan, boleh membayar 4,250 rumah atau kalau bil air itu RM50, boleh bayar 8,500 sebulan," katanya yang menyebabkan ramai ahli parlimen ketawa dan cuba mencelah. - azm_

Kerajaan tidak cadang salur bantuan kepada Hamas

Azamin Amin
Fri | Mar 13, 09 | 3:48:38 pm MYT

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Hrkh) - Walaupun Kerajaan Hamas adalah kerajaan yang sah di sisi undang-undang dan dipilih oleh rakyat namun kerajaan Malaysia tidak bercadang untuk menyalurkan bantuan kepada Hamas.

Ini termasuklah tidak menyalurkan bantuan kepada PLO dan Palestinian Authority kerana bimbang disalahgunakan.

Demikian dijelaskan Timbalan Menteri Luar Dato' Abdul Rahim Bakri di Dewan Rakyat baru-baru ini berhubung dengan agihan bantuan kepada penduduk Gaza yang diganasi rejim zionis Israel.

"Sebenarnya, setakat ini kita mengambil keputusan bahawa bantuan-bantuan atau pun sumbangan-sumbangan yang diberikan oleh sama ada orang awam atau pun kerajaan disalurkan kepada NGO-NGO kita. Ini kerana kita tidak mahu perkara serta bantuan-bantuan ini, kita mahu ianya benar-benar digunakan bagi menolong mereka yang telah cedera dan juga mengalami pelbagai masalah akibat daripada serangan tersebut.

"Setakat ini, kita tidak bercadang untuk menyalurkan sama ada kepada PLO atau pun Palestinian Authority atau pun kepada Kerajaan Hamas. Ini kerana kita ingin supaya bantuan ini benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan dan tidak disalahgunakan oleh sesiapa juga," katanya menjawab soalan tambahan daripada Ibrahim Ali (Bebas- Pasir Mas)

Sebelum itu beliau memberitahu bahawa Kementerian Luar Negeri memang bercadang untuk mengagihkan bantuan yang telah terkumpul sebanyak RM12.4 juta kepada beberapa NGO-NGO yang telah dikenal pasti yang akan bertanggungjawab untuk mengagihkan bantuan ini kepada rakyat Palestin khususnya di Gaza yang telah mengalami serangan baru-baru ini.

Antara NGO-NGO yang telah dikenal pasti katanya ialah MERCY, Yayasan Salam, Yayasan Aman Palestin, Coalition Malaysian NGOs Against Persecution of Palestinian, Muslim Care, Haluan Palestin Peace Malaysia, Yayasan Wanita Islam, Mawaddah, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Malaysian Social Research Institute, dan Dewan Pemuda Masjid Malaysia.

Katanya kerajaan telah mengaktifkan akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin dan setiap sumbangan orang awam ke tabung ini akan dikawal selia oleh Jawatankuasa Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Malaysia.

Katanya setakat 10 Mac 2009 jumlah dana orang awam yang diterima dan terkumpul di dalam akaun tersebut ialah berjumlah sekitar RM12,741,000.

Namun katanya bagi tabung-tabung lain yang diusulkan oleh badan-badan bukan kerajaan dan tidak menyerahkan kepada tabung amanah, dimaklumkan bahawa kerajaan tidak mempunyai peruntukan undang-undang khas untuk mengawal selia tabung-tabung berkenaan. - azm _

"Kita datang bukan untuk berperang..." - Ustaz Hadi

Ekmal Yusoff
Tue | Mar 10, 09 | 9:58:44 am MYT

TAIPING, 10 Mac (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mengaku telah terkena beberapa kali gas pemedih mata dan pancutan 'water cannon' ketika menyertai "Himpunan Aman 100,000 Mansuhkan PPSMI" disekitar Masjid Negara, 7 Mac lalu.
"Padahal, kita datang beramai-ramai bukan untuk berperang, tetapi sekadar menunjukkan benci pada tindakan Umno-Barisan Nasional masih menggunakan bahasa penghantar Inggeris dalam Sains dan Matematik,"jelasnya ketika berceramah di Simpang Empat dekat sini baru-baru ini

Kata Ustaz Hadi protes PPSMI itu melibat puluhan ribu rakyat terdiri dari pakar akademik, ilmuan, pelajar-pelajar universiti, pejuang-pejuang Bahasa Melayu dan pegawai-pegawai kerajaan turut hadir membantah sikap kerajaan benak hati itu.

Tegas Dato� Seri, sepatutnya setelah negara merdeka sejak 51 tahun lalu semakin bertambah dan kukuh penggunaanya Bahasa Melayu itu malah diperluaskan kegunaanya ke segenap sudut dan masyarakat.

"Tapi nampaknya semakin tahun Bahasa Melayu hendak dicampakkan dengan digantikan kepada Bahasa Inggeris. Oh! Sungguh sangat-sangat dikesali sikap pemimpin Umno,"runggutnya.

Tegas Abdul Hadi, semua negara di dunia ini menggunakan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa penghantar dalam mata pembelajaran di sekolah-sekolah dan dalam masyarakat seperti di Jepun, China, Hongkong, Perancis dan negara-negara maju lainnya.

"Tidak salah menambahkan pengetahuan dengan mempelajari bahasa-bahasa lain. Tetapi, untuk mengilmukan rakyat di negara ini juga bagi ikatan perpaduan majmuk haruslah menggunakan bahasa penghantar bagi sosial dan ilmuannya dalam Bahasa Melayu," tegas Hadi Awang.

Sebagai contoh, jelasnya, sembahayang menggunakan Bahasa Arab tapi bagi mempelajarinya perlu menggunakan bahasa ibunda Bahasa Melayu termasuk mengerjakan fardhu Haji harus dalam Bahasa Arab, namun untuk mempelajarinya mesti dalam bahasa mudah difahami iaitu Bahasa Melayu.

"Juga yang terpenting kata perbidalan Melayu �Bahasa itu menunjukkan Bangsa," tegas Ustaz Hadi. - azm _
 

blogger templates | Make Money Online