Search Islamic Directory
Keyword:

JOM UBAH!!!

JOM UBAH!!!

UBAH SEKARANG

UBAH SEKARANG

Selangor sedia RM5 bilion pulih rumah terbengkalai

Harakahdaily

GOMBAK, 20 Feb: Kerajaan Negeri Selangor menyediakan RM5 bilion bagi memulihkan projek perumahan terbengkalai sebagai salah satu daripada enam fokus utama melalui Pakej Rangsangan Ekonomi negeri yang diumumkan pada 2009.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Ir Iskandar Abdul Samad, berkata pemulihan itu akan dapat membantu rakyat di samping menjana ekonomi negeri.

Menurutnya, langkah memulihkan perumahan terbengkalai dilihat sebagai usaha murni membantu pembeli yang kebanyakannya golongan berpendapatan sederhana dan rendah yang tidak dibela sejak sekian lama, akibat menanggung hutang pinjaman walaupun rumah belian mereka tidak dapat disiapkan.

Pada masa yang sama, katanya, aktiviti pemulihan yang melibatkan kos sebanyak RM5 bilion serta kesan gandaannya dijangka akan dapat merancakkan ekonomi negeri dengan menggerakkan kembali sektor pembinaan, terutamanya di kalangan kontraktor kecil dan sederhana.

“Ini selaras dengan usaha kerajaan negeri mengambil pendekatan merakyatkan ekonomi dengan memastikan aktiviti ekonomi melibatkan golongan terbesar iaitu golongan berpendapatan rendah dan sederhana," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, program pemulihan itu juga merupakan salah satu bukti kejayaan pendekatan kerjasama kerajaan swasta (private finance initiatives) yang diambil oleh kerajaan negeri, yang memainkan peranan memudahkan kelulusan, mengemaskini pantauan dan mengukuhkan pertanggungjawaban di pihak kontraktor, sementara pihak swasta menyumbangkan modal dan kepakaran untuk memulihkan projek perumahan.

Majlis pelancaran Program Pemulihan Perumahan Terbengkalai Negeri Selangor diadakan hari ini di perkarangan perumahan penduduk Taman Ukay Bistari, Hulu Kelang.

Pada majlis itu, Penasihat Ekonomi negeri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyerahkan kunci kepada 300 pembeli unit-unit yang berjaya disiapkan di Ukay Bistari dan Saujana Puchong di bawah skim itu (gambar).

Selain beliau, hadir sama di majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Khas Pemulihan Perumahan Terbengkalai negeri, Saari Sungib, Ahli Parlimen Gombak yang juga Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali dan Adun Lembah Jaya, Haji Khasim Abdul Aziz.

Iskandar yang juga Adun Chempaka berkata, beberapa insentif baru kerajaan negeri dalam usaha mempercepatkan pemulihan perumahan terbengkalai seperti mewujudkan satu jawatankuasa induk yang akan memantau kemajuan setiap projek yang diambil alih dan memastikan semua projek berjalan lancar mengikut jadual.

Menurutnya, perjumpaan mesyuarat bulanan akan dipengerusikan sendiri oleh Anwar yang dianggotai Exco, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Jawatankuasa Khas Pemulihan Perumahan Terbengkalai Kerajaan negeri, majlis-majlis berkuasa tempatan, wakil penduduk dan semua pihak yang terlibat.

“Penubuhan Jawatankuasa Induk akan mempercepatkan keputusan dan kelulusan dalam usaha memulihkan perumahan terbengkalai,” ujarnya.

Katanya, kerajaan negeri juga akan menyuntik bantuan dalam bentuk underwriting atau jaminan bayar balik bagi projek yang tidak dapat dipulihkan oleh pihak swasta dengan melibatkan kontraktor baru melalui tender terbuka.

Tambahnya, kerajaan negeri menyediakan geran bayar balik kepada perunding-perunding perumahan yang berminat untuk menyelamatkan projek perumahan yang terbengkalai.
 

blogger templates | Make Money Online