Search Islamic Directory
Keyword:

JOM UBAH!!!

JOM UBAH!!!

UBAH SEKARANG

UBAH SEKARANG

Turki tingkat usaha bina pengaruh serantau

Haris Zalkapli
Fri | Sep 18, 09 | 9:30:23 am MYT

ANALISIS: Recep Tayyip Erdogan, Perdana Menteri Turki yang popular meningkatkan lagi popularitinya apabila bertindak berkonfrontasi dengan Shimon Peres, presiden Israel, dalam satu majlis dialog di Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland Januari lalu.

Walaupun tindakan itu dilihat mempunyai kaitan dengan kempen pilihan raya tempatan yang bakal berlangsung tidak lama selepas itu, imej Recep meningkat dalam kalangan negara Islam.

Ketika itu, dunia Islam baharu sahaja menyaksikan wilayah Gaza diserang dengan kejam oleh tentera Zionis, tanpa mendapat pembelaan sewajarnya oleh masyarakat antarabangsa dan dunia Islam sendiri.

Turki yang sedang meningkat kedudukannya sebagai kuasa berpengaruh serantau dan dunia menerima nilai tambahan melalui apa yang dilihat sebagai keberanian untuk bertindak secara bebas di peringkat antarabangsa.

Tindakan Recep itu membawa simbol yang terang berhubung isu Palestin yang merupakan isu sentral dalam politik dunia Islam, dan beliau terus diraikan di Turki dan seluruh dunia Islam sebagai wira.

Tindakan itu bukan sesuatu yang rambang dan berakhir di Davos, tetapi memberi signifikan besar kepada usaha Turki untuk mengambil peranan sebagai kuasa diplomasi serantau di rantau Asia Barat.

Pada 12 dan 13 September lalu, Menteri Luar Turki Ahmet Davutoglu melawat Tehran dalam usaha terbaharu Turki untuk membina pengaruh dalam diplomasi di Asia Barat.

Ankara mahu menjadi orang tengah dalam rundingan negara-negara Barat dengan Iran berhubung isu nuklear yang terus menjadi titik pertembungan Iran dengan Barat terutama Amerika Syarikat.

Lawatan menteri luar Turki itu memperlihatkan keseriusan kedua-dua pihak dan potensi dengan pemimpin-pemimpin tertinggi Iran ditemui Ahmet, termasuk Presiden Mahmoud Ahmadinejad, Menteri Luar Manouchehr Mottaki, Speaker Parlimen Ali Larijani dan ketua perunding nuklear Iran, Saeed Jalili.

Pertemuan peringkat tinggi itu menunjukkan kepentingan besar usaha ini kepada kedua-dua pihak, iaitu Iran yang mahu memperlihatkan sokongan pihak ketiga yang berpengaruh terhadap program nuklearnya dan Turki yang sedang meningkatkan peranan sebagai jambatan antara Timur dan Barat dari semua sudut.

Turki mahu mengambil peranan diplomasi untuk meningkatkan prestij di peringkat antarabangsa, yang boleh membantunya dalam hubungan dengan dunia Barat, terutama hubungan dengan Kesatuan Eropah yang kompleks dan juga dalam dunia Islam yang dikuasai negara-negara Arab seperti Arab Saudi dan Mesir melalui Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Liga Arab.

Turki telahpun berperanan dalam rundingan melibatkan Syria, Iraq dan Israel dan kini meletakkan Iran sebagai matlamat seterusnya.

Kerana peranan besar yang inngin digalas ini, Turki meningkatkan usaha memulihkan hubungan dengan etnik Kurdis dalam negaranya dengan cuba berdamai dengan kumpulan pemberontak Kurdis dan dengan Armenia, yang telah menunjukkan hasil positif sejak beberapa minggu lalu.

Turki berhati-hati dalam melaksanakan usaha ini kerana perlu mengimbangi keperluan mengekalkan kerjasama dengan AS dan Israel dengan keperluan mendapat kepercayaan Tehran.

Iran dilihat menggunakan pertemuan dengan Turki untuk memperlihatkan ia menerima sokongan dan mendapatkan sokongan Turki yang sedang berada dalam Majlis Keselamatan PBB sebagai ahli tidak tetap.

Kedua-dua pihak juga sangat menyedari potensi ekonomi yang boleh ditingkatkan, memandangkan kedua-dua Turki dan Iran saling memerlukan terutama dalam perdagangan tenaga, walaupun terus bersaing dalam mengukuhkan pengaruh dalam kalangan negara Islam rantau Asia Barat dan Tengah.

Pada masa sama, sempadan yang dikongsi Turki dan Iran juga bermakna pemberontakan Kurdis dihadapi kedua-dua negara. Hal ini juga menjadi satu kepentingan yang boleh membuka ruang untuk bekerjasama.

Ankara dan Tehran berkongsi satu kepentingan yang berpotensi menggerakkan kerjasama, iaitu kepentingan perdagangan gas yang mampu meningkatkan pengaruh kedua-dua negara.

Turki sentiasa berusaha meningkatkan peranannya sebagai hab bekalan gas dan minyak kepada Eropah, kedudukan yang membantu Turki dalam hubungannya dengan Eropah dan AS.

Turki kini termasuk dalam perancangan pembinaan saluran tenaga ke Eropah yang dikritik sesetengah pihak sebagai menyediakan saluran gas sebelum mendapat kepastian bekalan.

Iran berpotensi menjadi salah satu pembekal gas untuk saluran yang dirancang membekalkan gas kepada Turki dan Eropah itu, projek yang disokong AS dan Eropah sebagai pelan mengurangkan pengaruh Rusia dengan mengelak daripada melalui wilayah negara itu.

Iran memerlukan pelaburan untuk merealisasikan potensi simpanan tenaganya manakala Turki memerlukan pengaruh sebagai negara kritikal dalam strategi keselamatan tenaga Eropah.

Walau bagaimanapun, potensi ini tertakluk kepada pertimbangan politik lain, termasuk sokongan daripada AS yang masih meneruskan dasar meminggirkan Iran tambahan pula, peningkatan pengaruh Turki dan Iran yang mendadak tidak selari dengan kepentingan AS dan Eropah.

Berakhirnya peminggiran terhadap Turki boleh mendatangkan manfaat kepada Turki sebagai hab bekalan tenaga, dan peranan Ankara dalam mencapai kejayaan itu akan membolehkannya mendapat kepercayaan Tehran.

Walaupun agenda itu agak masih jauh berbanding isu rundingan Barat dengan Iran, langkah itu sudahpun dimulakan dengan lawatan menteri luar Turki itu ke Tehran.

Turki kini berada dalam kedudukan paling bersedia untuk mengambil peranan dalam diplomasi serantau di Asia Barat. Populariti Turki di bawah pimpinan Presiden Recep dan AKP di peringkat global memberi modal untuk Turki meneruskan agenda yang berpotensi meningkatkan lagi pengaruhnya.

Sejauh mana kejayaannya dalam hal ini akan bergantung kepada kemampuannya mengimbangi perbezaan-perbezaan kuasa-kuasa terbabit. - mks._
 

blogger templates | Make Money Online