Search Islamic Directory
Keyword:

JOM UBAH!!!

JOM UBAH!!!

UBAH SEKARANG

UBAH SEKARANG

Perarakan di London lebih bertamadun - Nik Aziz

Harakahdaily
Tue | Sep 15, 09 | 4:32:58 pm MYT
KOTA BHARU, 15 Sept: Walaupun bimbang adanya dalang di sebalik tunjuk perasaan memperingati tragedi runtuh menara berkembar World Trade Centre (WTC) di London 11 September lalu, PAS menyifatkan ia lebih bertamadun berbanding perarakan kepala lembu di Shah Alam.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, perarakan di Shah Alam tidak bertamadun kerana ia membangkitkan isu perkauman dan penghinaan terhadap agama lain.

Baru-baru ini demonstrasi antiIslam diadakan berdekatan Masjid Utama Harrow, barat laut London dianjurkan Pertubuhan Hentikan Pengislaman Eropah (SIOE).

Seorang anggotanya, Stephen Gash dilaporkan menegaskan tidak mahu sebarang masjid dibina sehingga isu kebencian diselesaikan.

Demontrasi itu mencetuskan kemarahan kira-kira 1,000 pemuda Islam sehingga berlaku ketegangan antara kedua-dua pihak sehingga memaksa polis menahan 10 orang yang terlibat ketika menyuraikan keadaan.

Kebimbangan mengenai keganasan kian meningkat selepas berlaku pergaduhan ketika perarakan menentang fundamentalisme Islam oleh sebuah kumpulan pelampau kanan, Liga Pertahanan England di Birmingham.

Nik Aziz Khuatir kalau-kalau demonstrasi didalangi Yahudi yang mahu melaga-lagakan penganut agama Islam dan Kristian.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, sejarah menunjukkan terdapat seorang rabbi Yahudi mengakui menjadi punca kepada setiap kejahatan yang berlaku.

"Hal ini dicatatkan dalam sejarah pada zaman Rasulullah saw, di mana terdapat seorang paderi Yahudi yang bernama Kaab bin Ashraf pernah memberitahu mengenai perihal pengakuan kejahatan yang dilakukan pihaknya.

"Semua peristiwa itu terakam dalam ayat 51, surah An Nisa'," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Oleh itu Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak menolak kemungkinan penglibatan Yahudi yang cuba untuk melaga-lagakan antara golongan Kristian dan Islam di London.

"Benarlah Yahudi merupakan golongan penghasut untuk mengadu domba dengan menggunakan pelbagai alasan yang remeh-temeh.

"Tunjuk perasaan yang berlaku di London sebenarnya bukan masalah keganasan yang dituduh terhadap umat Islam tetapi ia merupakan dendam kesumat golongan yang tidak suka kepada Islam," katanya.

Beliau juga berkata, keganasan sengaja dibangkitkan pihak tersebut sebagai kerana Islam kini semakin mendapat tempat dalam masyarakat di seluruh dunia.

Menurutnya puak pelampau terbabit sengaja menggunakan alasan memperingati tragedi serangan 11 September untuk menanam kebencian terhadap Islam.

Beliau juga berharap pendakwah-pendakwah Islam di London dan Eropah tidak lagi mengharap pendakwah yang datang daripada luar untuk menyebarkan agama suci itu di tempat mereka.

"Bahkan suatu hari nanti kita akan melihat orang-orang Inggeris menjadi pendakwah sesama mereka, lebih-lebih lagi orang Inggeris memiliki pemikiran yang terbuka," katanya.

Beliau juga mahu perbezaan agama diselesaikan menerusi perbincangan secara ilmiah. _

Tiada sebab untuk undi BN di Bagan Pinang

Mohamad Yusri Amin
Tue | Sep 15, 09 | 4:44:49 pm MYT

KOTA BHARU, 15 Sept: Ketika undang-undang dicabul, negara pula terpaksa berhutang RM95 bilion, tidak ada sebab untuk rakyat mengundi Barisan Nasional di Bagan Pinang, kata AJK PAS Pusat, Datuk Husam Musa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak walaupun sudah lebih lima bulan berada di puncak kuasa, namun pemulihan kedaulatan undang-undang masih belum berlaku.

Husam yang juga Exco kerajaan Kelantan berkata, perdana menteri masih lagi membisu terhadap banyak kes membabitkan pencabulan undang-undang negara.

"Kalau kita lihat dalam kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes Teo Beng Hock sehingga membawa kepada kematiannya.

"Seorang pemuda India pula mendakwa diseksa semasa penyiasatan SPRM. Semuanya itu tidak mendapat apa-apa reaksi daripada Perdana Menteri.

"Ini menunjukkan tidak ada pemulihan dari segi perjalanan kedaulatan undang-undang dalam negara kita. Manakala dari segi ekonomi, negara semakin parah,? katanya selepas menyampaikan sumbangan sempena Hari Raya Aidil Fitri di Masjid Kamil Hassan, Salor dekat sini baru-baru ini.



(Gambar: Seorang penduduk Cina turut menerima sumbangan hari Raya daripada Husam Musa)

Husam berkata, tahun ini sahaja negara telah berhutang sebanyak RM93 bilion dalam bentuk jualan bon. Ia merupakan satu jumlah yang sangat menakutkan sehingga boleh membawa kepada keruntuhan ekonomi negara.

Oleh itu kata beliau, berdasar kepada perkembangan itu tidak ada sebab rakyat untuk menyokong calon BN di Bagan Pinang pada pilihan raya kecil 11 Oktober ini.

"Kalau kita mengatur strategi yang tepat kita ada peluang untuk menang biar kawasan itu mempunyai lebih 4,500 undi pos.

"BN kini sudah tidak mampu lagi memimpin negara ini. Rakyat harus menyedarkan BN dengan memberikan undi alternatif kepada pihak lain," katanya.

Pada majlis tersebut, sumbangan lebih RM100,000 disampaikan kepada golongan armalah, anak yatim, fakir miskin dan orang tua di Dun Salor.

Penerima sumbangan termasuk juga penduduk bukan Islam. Turut hadir Pegawai Kebajikan Masyarakat Kota Bharu, Ruzaidi Che Soh._

Pemuda mahu calon pilihan raya temui pengundi pos

Hazayani Zakaria
Sat | Sep 12, 09 | 4:05:25 pm MYT

KUALA LUMPUR, 12 Sept: Dewan Pemuda PAS mahu Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) membenarkan calon PAS yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang bertemu dengan pengundi pos di kawasan itu.

Timbalan ketuanya, Azman Shapawi Abdul Rani berkata, calon PAS perlu bertemu dengan pengundi pos yang terdiri daripada anggota tentera bagi memastikan mereka mengenali calon yang bertanding.

Katanya lagi, Pakatan Rakyat juga perlu diberi kebenaran untuk berkempen kepada pengundi pos bagi memastikan segala maklumat sampai kepada pengundi pos yang merupakan kumpulan pengundi terbesar di Dun berkenaan.

"Kalau menteri pertahanan dan jabatan kerajaan lain boleh bertemu mereka, mengapa kami dari Pakatan Rakyat tak boleh bertemu dengan mereka?" soalnya.

Bercakap pada satu sidang media selepas mesyuarat exco pemuda tengahari tadi, Azman berkata, Pemuda akan menghantar tuntutan kepada SPR agar memansuhkan Borang Lampiran 2 yang memuatkan butiran peribadi pengundi pos.

"Borang yang tulis maklumat peribadi pengundi pos itu sendiri yang mungkin menyebabkan mereka takut kedudukan mereka terjejas kalau undi Pakatan Rakyat," tegasnya.

Pada sidang media yang sama, Azman juga memaklumkan Pemuda sedang menyediakan satu cadangan untuk diserahkan kepada negeri-negeri diperintah Pakatan Rakyat berkaitan dengan penjualan arak.

Pemuda dalam masa terdekat ujarnya akan mengadakan seminar atau perbincangan meja bulat untuk membincang dan mengemukakan cadangan berhubung isu berkenaan.

"Pemuda berpandangan isu ini sangat penting bukan sahaja kepada negeri Selangor tetapi juga negeri-negeri Pakatan lain termasuk Perak yang kita anggap masih di bawah Pakatan Rakyat," katanya.

Jelasnya, Pemuda akan menyediakna garis panduan bekenaan penjualan arak di negeri Pakatan, bukan mengharamkannya secara total seperti yang disalaherti oleh banyak pihak.

"Kita akan beri garis panduan dan pandangan daripada Pemuda PAS. Bukan haram secara total kerana orang bukan Islam ada hak untuk minum (arak)."

Selain itu, DPP juga menyokong usaha sayap pemuda anggota Pakatan Rakyat untuk menubuhkan satu sekretariat pemuda Pakatan untuk menyelesaikan segala isu yang timbul secara bersama tanpa berlakunya salah faham.

"Pemuda Pakatan Rakyat memutuskan untuk mengadakan mesyuarat setiap bulan untuk menangani isu-isu yang berlaku dalam negara kerana kita rasa perjumpaan yang kerap paling kurang sekali sebulan dapat menyelesaikan banyak masalah yg berlaku."Katanya.

Pada masa yang sama, pemuda Pakatan Rakyat sedang merancang untuk mengadakan konvesyen pemuda Pakatan Rakyat di seluruh negara untuk menghimpunkan seluruh Pakatan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. _

Teks Ucapan Penangguhan - Ketua Pemuda PAS Pusat Seisi 2009 - 2011

Ucapan Penangguhan
Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat 09/11




بسم الله الرحمن الرحيم
الحمدلله الواحد القهار العزيز الغفار مكوّر الليل على النهار
تذكرة لأولى القلوب و الأبصار تبصيرة لذوى الألباب و الإعتبار
أشهد أن لا إله الا الله البر الكريم الرؤوف الرحيم
و أشهد أن سيدنا محمدا عبده و رسوله و حبيبه و خليله
الهادي إلى صراط مستفيم و الداعي إلى دين قويم
صلوات الله و سلامه عليه و على سائر النبيين و آل كل و سائر الصالحين

Jazaakallah Khairan Jaza’ saya rangkapkan buat al Fadhil Sdr Pengerusi Tetap

Kekanda saya Al Fadhil
Yb. Tuan Hj. Salahudin Ayyub

Al Fadhil Ustaz Azman Syafawi Abd Rani
[ Timbalan Ketua DPPP ]

Al Fadhil Sdr Sabki Yusuf [ Naib Ketua DPPP ]
Yang berbahagia seluruh saff EXCO DPPP
Yang berbahagia wakil PAS Pusat ke muktamar DPPP & tetamu
Yang dihormati seluruh sidang muktamrin
Para pemerhati , wartawan dan semua yang hadhir
سلام الله عليكم و رحمته و بركاته dan salam sejahtera .

Ikhwah yang dirahmati Allah sekelian .

Hari ini kita menyaksikan satu lagi sejarah peralihan kepimpinan DPPP dan saya di taklif untuk menerajui amanah kepimpinan ini. Ianya berurutan dengan pengunduran bekas Ketua DPPP Yb. Tuan Hj. Salahudin Ayyub setelah tiga sessi menerajui kepimpinan DPPP dengan penuh dedikasi dan berjaya melonjak prestasi DPPP ke suatu tahap yang tinggi kualiti dan hebat identity . [ berprestij ]

Hari ini beliau secara rasminya berundur dari DPPP untuk meneruskan ‘ pengembaraan ’ ke satu marhalah yang lebih tinggi dan penting demi menabur bakti buat perjuangan suci ini.

DPPP merakamkan setinggi – tinggi nilai penghargaan dan sebesar – besar tanda kebersamaan buat Yb. Tuan Hj. Salahudin Ayyub yang telah memimpin dan membimbing kita semua sepanjang 3 sessi kepimpinan beliau . Semoga jasa budi beliau menjadi amal soleh yang diganjari Allah swt pahala berlipat ganda .

Ikhwah yang dihormati sekelian .

Taklif [ beban amanah ] ini bukan satu tasyrif [ kemuliaan ] , malah saya bukan yang terbaik . Bahkan telah sampai kepengetahuan saya kritikan yang mempertikai kemampuan saya untuk memimpin .

Mereka berhak untuk meragui keupayaan saya . Namun apa yang boleh saya sebut di sini , bahawa kita DPPP laksana sebuah bahtera penyelamat yang sedang menjalankan operasi menyelamat di tengah – tengah laut dalam lagi bergelombang .

Saudara ! jika dibiar saya keseorangan , usahkan belayar jauh , hanya untuk menaikan sauhnya sahaja , saya pasti tidak akan mampu .

Ikhwah yang dikasihi sekelian .

Sebagai ucapan sulung , di saat saya memikul taklif yang sangat berat ini , izinkanlah saya mengingatkan diri saya sendiri dan semua rakan – rakan EXCO DPPP serta tidak ketinggalan para perwakilan yang rata – ratanya adalah pemimpin di negeri , kawasan dan cawangan .

….. dengan ucapan yang pernah diungkapkan oleh Saidina Abu Bakar as – Siddiq rha .

أيها الناس ! فإني قد وليت عليكم و لست بخيركم فإن أحسنت فأعينوني و إن أسأت فقوموني الصدق أمانة و الكذب خيانة

Ucapan Umar bin Abdul Aziz rhm


أما بعد، فإنه ليس بعد نبيكم صلى الله عليه وسلم نبي، ولابعد الكتاب الذي أنزله كتاب، ألا ما أحل الله عزوجل حلال إلى يوم القيامة وما حرمه الله حرام إلى يوم القيامة ألا لست بقاض ولكني منفذ، ألا لست بمبتدع ولكني متبع، ألا إنه ليس لأحد أن يطاع في معصية الله عز وجل، ألا إني لست بخيركم ولكني رجل منكم غير أن الله جعلني أثقلكم حملا.


“Adapun selepas itu, maka sesungguhnya tiada lagi Nabi selepas Nabi kamu saw, dan tiada kitab lagi selepas kitab (al-Quran) yang telah diturunkan kepadanya. Ingatlah! Apa-apa yang telah dihalalkan oleh ALlah Azzawajal tetap halal sehingga hari kiamat. Dan apa yang telah diharamkan oleh ALLah tetap haram sehingga hari kiamat. Ingatlah! Aku bukan seorang hakim (penghukum) tetapi pelaksana, Ketahuilah sesungguhnya aku bukan orang yang mereka-reka (mencipta) ajaran baru, tetapi hanyalah seorang pengikut ajaran ALlah dan RasuluLlah saw. Ketahuilah! Sesungguhnya aku bukanlah orang yang paling baik di antara kamu tetapi ALlah telah menjadikan aku orang yang paling berat memikul tugas.”

Sahabat yang dihormati sekelian .

Perlu diketahui , selain dari amanah ini sangat berat dan sukar , saya telah mendapat ikrar dari sahabat saya dan sahabat kita semua , iaitu Al Fadhil ustaz Azman Syafawi dan saudara Sabki Yusuf al Baasuti untuk menjadi rakan ganding , mengemudi kepimpinan pemuda bersama seluruh saff EXCO DPPP yang dipilih dan dilantik serta tidak dikecualikan walau seorang pun dari perwakilan sekelian .

Marilah saudara , sehayun tangan selangkah kaki kita pacu perjuangan ini , kita redah segala cabaran dan kita serap segala tekanan .

… untuk maksud itu , pemuda mesti miliki sikap yang


· responsive terhadap isu yang dihadapi oleh rakyat dan Negara .
· optimis terhadap kemenangan Islam yang kita dokong ,
· sensitive terhadap keperluan jamaah dan tuntutan ummah

Pemuda PAS juga mesti menjadi lebih kuat dan tidak mengalah kepada kekuatan musuh .

Ramai orang tanya saya , sdr jadi ketua DPPP ni , boleh ker sdr nak lawan Khairy Jamaludin Ketua Pergerakan Pemuda UMNO?

… dengan tidak memandang rendah pada keupayaan musuh , suka saya tegaskan di sini bahawa agenda perjuangan kita jauh lebih besar dan tinggi dari sekadar untuk berdepan dengan Khairy .

Usahkan Khairy , bapa mertua dia pun kita lawan sebelum ini ! Saya nak beritahu perwakilan semua , percayalah , sekadar nak berdepan dengan pemuda UMNO ni , tak sempat pemuda pusat, boleh ke pemuda kawasan dulu !

Saudara ! Selagi mana Islam tidak menjadi asas perjuangan mereka dan selama mana Islam terus mendarah daging dan menjadi prinsip perjuangan kita , yakinlah ! kita akan mampu berdepan dengan mereka .

Kita berdepan dengan UMNO selama ini dan berjaya mengatasi mereka bukan dengan title juga tidak dengan material tetapi dengan

· aqidah perjuangan yang menunjang dalam jiwa kita ,
· Syakhsiyah yang mempamerkan indahnya akhlak & tingginya budi
· fikrah yang jelas lagi benar mengalahkan hujjah musuh .

Ingat bagaimana wasiat jihad Saidina Umar rha.


فإني آمرك وممن معك من الأجناد بتقوى الله على كل حال؛ فإن تقوى الله أفضل العدة على العدو، وأقوى المكيدة في الحرب، وآمرك ومن معك أن تكونوا أشد احتراساً من المعاصي منكم من عدوكم؛ فإن ذنوب الجيش أخوف عليهم من عدوهم، وإنما ينصر المسلمون بمعصية عدوهم لله، ولولا ذلك لم تكن بهم قوة؛ لأن عددنا ليس كعددهم، ولا عدتنا كعدتهم، فإن استوينا في المعصية كان لهم الفضل علينا في القوة. وإلا ننصر عليهم بفضلنا لن نغلبهم بقوتنا


Saudara Perwakilan yang dihormati sekelian .

Ketika menjawab persoalan yang diajukan kepada saya , bagaimana DPPP dengan kepimpinan yang baru ini akan menghadapi hari – hari mukanya ?

Saya menegaskan prinsip kepada pendekatan yang akan diambil ialah sebagaimana yang pernah disebut oleh Asy Syeikh Abu Hasan Ali An Nadawi :


الجمع بين القديم الصالح و بالجديد النافع

Integrasi antara warisan tradisi yang soleh dengan penemuan baru yang bermanafaat .


Kita akan terus menyambung kerja – kerja yang belum selesai malah mempertautkan legasi kepimpinan terdahulu yang baik dengan pendekatan dan penemuan - penemuan baru yang akan kita laksanakan .

Sememangnya menjadi tanggungjawab kepada setiap pemimpin untuk memperkasakan DPP dari masa ke semasa , dengan melakukan transformasi dan juga persegaran kepada seluruh elemen pendekatan dan aktiviti DPP .

Namun kecemerlangan pemimpin dan segala gagasan mereka yang terdahulu tetap menjadi sandaran untuk kita mencipta sejarah gemilang di zaman kita pula . Inilah yang diajar oleh al Imam Malik rhm .


لا يصلح آخر هذه الأمة إلا بما صلح به أولها

Tidak akan gemilang ummat akhir ini melainkan bersandar kepada pencapaian gemilang sebelumnya



Saudara ! DPPP kini telah berusia 56 tahun . Satu usia yang tiada siapa boleh mempersoalkan kematangannya , jauh sekali untuk menafikan pengalamannya berjuang di medan .

Satu usia yang cukup kaya dengan jasa dan baktinya , bukan sahaja kepada parti tetapi juga kepada rakyat dan Negara . Sebagai contoh :

1. Baru – baru ni , PASTI yang merupakan produk DPP telah menyambut Jubli Peraknya di Tawau Sabah kini mampu berbangga dengan 1640 buah sekolahnya di seluruh Negara .

Saya berharap Jabatan PASTI dengan produk barunya pula iaitu Kelas Fardhu Ain Harian KAFFAH akan terus membawa DPP gah berbakti kepada Negara .

2. Gagasan Kepimpinan Ulama’ , juga telah meraikan Jubli Peraknya baru – baru ini terus segar mendasari system kepimpinan parti sehingga hari ini . Secara langsung terus menobatkan peranan DPP sepanjang abad .

3. Jabatan AMAL sebagai sebuah badan beruniform milik DPP kini telah mencecah usia 18 tahun dengan keahlian berdaftar seramai 4100 dengan 2000 daripadanya adalah Amal Walad .

Insyaallah , saya telah dimaklumkan oleh Pengarahnya bahawa AMAL juga akan mengadakan satu Konvensyen AMAL peringkat Kebangsaan bagi melihat semula peluang dan ruang yang perlu di teroka lebih jauh oleh AMAL .

4. Akademi Kepimpinan Pemuda , produk terbaru DPP yang merupakan legasi mantan ketua DPPP Tuan Hj. Salahudin Ayyub . Baru berusia 2 tahun , masih bertatih dan berjalan jatuh .

Saya telah berjanji dengan Yb. Tuan Hj Salahudin Ayyub untuk memastikan AKP akan mampu berlari deras dan sekaligus berjaya menjuarai isu – isu kepimpinan dan apa yang lebih penting ialah melahirkan bakal – bakal pemimpin parti dan Negara yang berkaliber tinggi .

5. Kelab Penyokong Muda , juga antara produk DPP yang terlaris di pasaran . Bukan sahaja menambat hati rakan – rakan muda non muslim tetapi mula menarik perhatian dunia apabila PAS sebagai sebuah Gerakan Islam yang dulunya sering dimomokkan sebagai eksterim dan suka berkonfrantasi, kini mampu mengambil ruang di dalam hati non muslim .

Fenomena ini telah membuka medan baru dalam episode dakwah kita malah lebih mencabar kepada DPP . Tentu sahaja kita tidak bermaksud menjadikan Kelab Penyokong Muda sebagai alat memenuhi keperluan politik pilihanraya ,

…. sebaliknya kita berhasrat supaya Kelab Penyokong Muda mampu bergerak seiring , memahami dan mendokong cita – cita perjuangan Islam yang menjadi teras penglibatan kita di medan politik tanahair .

DPP masih mempunyai beberapa jabatan – jabatan lain yang berfungsi sebagai “back up striker” dan jentera pengukuhan dalaman DPP .

Saudara ! Apa yang telah kita miliki ini akan kita jaga sebaik mungkin disamping satu mekanisme akan diputuskan demi memastikan tunggakan tugas dan amanah perjuangan ini dapat ditunai dan dilangsaikan dengan baik dan cemerlang .

…. disamping kita akan memberikan komitmen tanpa tangguh untuk menjelaskan tanggungjawab semasa terhadap perjuangan yang kita dokong ini agar tiada tunggakkan baru.

Sdr Perwakilan sekelian !

Bukan sahaja di Semenanjung , pengukuhan organisasi DPP dan perluasan gerakkerja dakwah , insyaallah akan diperhebatkan ke Sabah, Sarawak dan Wilayah Labuan . Saya kira sessi ini adalah sessi yang akan turut memberikan lebih tumpuan kepada Sabah , Sarawak dan Labuan .

Kita mahu Sabah , Sarawak dan Labuan menjadi Semenanjung ke 2 dan Projek Semenanjung 2 ini akan kita kaji satu mekanisme khusus bagaimana kita akan menjayakannya .

Penutup

Ikhwah yang dihormati sekelian .

Sebelum saya mengundurkan diri , marilah kita berjanji untuk merapatkan lagi saff perjuangan kita , agar DPP terus utuh dan gah di persada politik tanahair , dalam masa yang sama kita berupaya untuk memainkan peranan penting di peringkat antarabangsa .

Saya tertarik dengan pesanan dan amanat Yb. Tn Hj. Salahudin Ayyub supaya jangan kita rosakkan pemuda dengan elemen – elemen perpecahan , sentiment sempit dan jumud , politik berpuak – puak dan jangan rosakkan dengan panggilan dan label – label yang dilemparkan oleh musuh kita , tetapi tampil dengan pemikiran yang segar , kuat dan kontemporari.

Saudara perwakilan sekelian ,

Kita pejuang bukan pemberontak . Kita pendakwah bukan penghukum . Responsive terhadap isu ummah tetapi tidak melatah terhadap provokasi pihak yang tidak bertanggungjawab .

Kita hulurkan tangan membimbing biarpun lidah tegas menentang dan menegur kezaliman serta kemungkaran .

Insyaalah prinsip – prinsip ini akan meletakkan pemuda PAS terus dihormati oleh kawan dan lawan di sepanjang masa .

Saudara perwakilan sekelian .

Insyaallah , 15 hb June ini , DPPP akan bermesyuarat buat kali yang pertama bagi sessi 09/11 untuk melengkapkan carta dan mengemaskini struktur organisasi DPPP . Kemungkinan besar akan berlaku beberapa perubahan dalam pembinaan carta dan struktur organisasi DPPP yang akan kita maklumkan kemudian .

Saya percaya , transformasi akan bermula dari pengukuhan organisasi dan selepasnya kita akan segera mengadakan bengkel pemerkasaan hala tuju DPPP bagi sessi ini .

Doakan agar kita berjaya melakukan suatu yang terbaik untuk Islam dan DPP sebagai wadah perjuangan kita . Sementara itu , saya berjanji akan mengerahkan seluruh jiwa raga ini selama ia masih berfungsi dan sememangnya ia telah di waqaf kan demi membangunkan cita – cita besar perjuangan ini .

Sesungguhnya kepimpinan ini satu amanah . Sedikit kita silap melangkah , kita berdepan dengan kemurkaan Allah swt . [ saya tidak gerun dengan kritikan musuh , sebalik apa yang merisaukan saya ialah kritikan Allah swt ] Marilah kita mengambil iktibar dari apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah saw: [ riwayat imam muslim ]


عن أبى ذرّ قال: قلت يا رسول الله ألا تستعملنى فضرب بيده على منكبي ثم قال: " يا أبا ذرإنك ضعيف وإنها أمانة وإنها يوم القيامة خزي وندامة إلا من أخذها بحقها وأدّى الذي عليه فيها.


dari Abi Zar telah berkata : Aku berkata kepada Rasulullah saw : Apakah engkau tidak memilih aku ? maka Rasulullah saw sampil menepuk kedua - dua bahuku kemudian berkata : Wahaia Abu Zar sesungguhnya engkau lemah sedang kepimpinan itu adalah amanah dan hari qiamat kelak adalah kehinaan dan penyesalan


Akhirnya , saya harap semua kita dapat bangun seketika sambil kita melaungkan kalimah takbir , tanda hormat mengiringi pengunduran penuh bergaya Mantan Ketua DPPP Tuan Hj. Salahudin Ayyub dan sebagai symbol restu buat beliau menyandang amanah baru sebagai Naib Presiden insyaallah .

Benarkah Kita Berjuang ... ?



Wahai orang yang beriman ! Apa yang telah berlaku kepada kamu ?

Apabila kamu diseru , agar turun ke medan untuk memperjuangkan agama Allah swt. tiba - tiba kamu memberatkan papan punggung kamu ke permukaan bumi [ malas ]

Kenapa jadi begitu ? adakah kerana kamu lebih sayang kepada kehidupan dunia berbanding kehidupan akhirat ?

Ketahuilah ! sesungguhnya kehidupan dunia yang kamu dambakan itu , berbanding akhirat yang telah dijanjikan oleh Allah swt. adalah sangat kecil nilainya disisi Allah swt .

Jika sekiranya kamu lengah untuk menunaikan amanah perjuangan , nescaya kamu akan diazab oleh Allah swt dengan azab yang sangat pedih .

Maksud Firman Allah swt dari surah at Taubah . Ayat : 38 - 39

Seseketika dalam mengharungi perjuangan ini , alangkah kita duduk sejenak untuk menganalisa atau bermuhasabah diri . Memandang jauh ke dalam jiwa dengan menyelaminya secara jujur dan telus terhadap diri sendiri . Lalu kita ajukan pada diri satu soalan , benarkah kita berjuang ?

Berjuang yang dimaksudkan di sini ialah bekerja gigih dengan segala upaya dan daya malah mengambil segala ruang dan peluang untuk menjulang kalimah Allah swt sehingga ia mengatasi ideologi ciptaan manusia , meskipun terpaksa berhadapan dengan tribulasi dan implikasi yang mengancam kepentingan diri .

Atas alasan dan tujuan tersebut , kita menyertai jamaah Islam ini bagi memastikan aspirasi perjuangan suci itu dapat kita laksanakan secara lebih berkesan . Persoalannya , benarkah kita berjuang ?

Benarkah kita berjuang ? , kalau hanya mengisi borang dan mendaftar diri sebagai anggota jamaah Islam tetapi gagal untuk komited [ iltizam ] dengan segala aktiviti amal jamaei yang dianjurkan oleh jamaah . Kita hanya mampu mentarbiyah tetapi tidak boleh ditarbiyah . Mampu mengarah tetapi tidak boleh diarah . Mampu menegur tetapi tidak boleh ditegur .

Benarkah kita berjuang ? , dengan hanya semata - mata kerap menghadhiri ceramah - ceramah umum tetapi liat untuk hadir dan menekuni program - program khusus seperti usrah , liqa fikri , tamrin , mukhayyam dan pelbagai aktiviti spiritual seperti qiamulail , al mathurat dan zikrullah . Program ceramah dilihat lebih penting sebab kita dapat publisiti sedang usrah ni hanya dihadhiri oleh 10 orang , tidak glamour langsung !

Benarkah kita berjuang ? , apabila kita selalu sahaja gagal melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang telah digalaskan ke atas pundak kita sebagai pimpinan jamaah walau dimana peringkat posisi kepimpinan kita . Mesyuarat sering tidak hadhir dan kalau pun hadhir hanya dengan kepala kosong . Lebih malang , ada mesyuarat dalam mesyuarat dan ada mesyuarat selepas mesyuarat .

Benarkah kita berjuang ? , sedang banyak masa kita habiskan untuk bersahaja dan mengelamun dalam mengimpi kemenangan . Hanya pandai mengomel dan mengkritik kesalahan anggota jamaah yang lain tetapi kita sendiri hanya mampu berdiri di tepian gelanggang . Kerja kita tidak beres tetapi nak ambil kerja orang lain . Kalut tidak bertempat .

Benarkah kita berjuang ? , seringkali kita mengabaikan hak ukhuwwah atau persaudaraan Islam sesama anggota . Cepat berburuk sangka malah sedikit berbeza pendapat kita terus menyerang pemikiran dan peribadinya seolah - seolah ia adalah musuh tradisi perjuangan kita . Kita rasa hanya kita sahaja yang hebat , berilmu dan berpengalaman . Pintar berhujjah dan berdebat . Kita pandang sahabat pun hanya dengan sebelah mata , penuh rasa benci . Senyum dan bersalam hanya untuk bermuka - muka .

Benarkah kita berjuang ? , suka sangat kita dedahkan rahsia jamaah . Setiap bilah dan patah perkataan yang dibincang dalam mesyuarat kita tulis dalam blog atau web site . Kita jadikan ia bahan sensasi untuk melariskan web site kita jua dengan harapan orang kata kita berani menegakkan kebenaran dan berani melampirkan fakta . Hanya kita yang mahu mempertahankan Islam dan jamaahnya sedang orang lain adalah pengkhianat yang perlu ditumpaskan .

Benarkah kita berjuang ? , kerana wawasan dan sesuatu gagasan pemikiran itu dilahirkan oleh pemimpin atau anggota jamaah yang kita tidak suka , maka kita tolak mentah - mentah . Lebih malang kita kasar dalam menolak dan kita lancang dalam berbicara . Langsung kita tidak hiraukan adab ikhtilaf sebaliknya apa yang kita inginkan ialah bagaimana kita nak menang dan pandangan kita yang diterima pakai .

Benarkah kita berjuang ? , kita sanggup mencantas sahabat seperjuangan dengan cara yang tidak bermoral agar dia jatuh dan kita yang naik jadi pemimpin . Kita melobi habis kawasan dan negeri bagi memastikan kita atau calun pemimpin yang kita suka mencapai kemenangan . Soal mampu atau tidak , soleh atau tidak bukan lagi menjadi ukuran . Ukuran tepat ialah dia mesti dari team kita .

Benarkah kita berjuang ? , wala' atau taat setia kita telah berbelah bahagi , bukan lagi kepada pimpinan jamaah tetapi di sana ada individu berpengaruh dan ia berada di luar jamaah yang sangat kita kagum karektornya . Sedang pimpinan kita sendiri dilihat kolot dan tidak hebat . Kita tidak berdiri teguh di belakang pimpinan kita sebaliknya kita teguh berdiri dan menyokong pemimpin dari luar jamaah kita sendiri .

Benarkah kita berjuang ? , hubungan kita hanya terhad kepada golongan dan team kita . Dakwah kita tidak melebar kepada semua golongan termasuklah non muslim . Kita hanya hebat dalam gelanggang kita sendiri . Kita orang PAS ceramah pasal PAS dalam markas PAS kepada orang PAS , habis tu bila Islam ni nak lePAS ?

Benarkah kita berjuang ? , peribadi kita tidak melambangkan inspirasi perjuangan . Kita malu sipu nak jelaskan dasar perjuangan kerana keterlaluan mahu menjaga hati . Suara Islam mahu diliberalkan atas alasan orang belum memahami Islam . Penampilan diri juga dinuetralkan agar tidak dianggap fundamental .

Benarkah kita berjuang ? , kita banyak ketawa dan hidup dalam kemewahan . Kita tidak mampu menyelami kesusahan dan kepayahan yang dihadapi oleh para murabitun jamaah yang ikhlas berjuang , jauh sekali untuk rakyat yang terhimpit . Gaya hidup hampir menyerupai musuh malah meluka perasaan anggota jamaah sendiri .

Benarkah kita berjuang ? , ibadah kita kurang . Hubungan kita dengan Allah swt jauh . Gagal solat berjamaah dan membaca al quran pada kekerapan yang lebih berbanding orang awam . Kehalusan budi dan ketulusan hati tidak kita dimiliki . Ucapan kita menampakkan kesombongan dan tindakan kita tidak berhemah . Suka pandang rendah pada orang lain jauh sekali mahu menghormati mereka .

Benarkah kita berjuang ? , kadang - kadang kita pun keliru mengenai konsep kepimpinan jamaah kita sendiri . Kita sebut kepimpinan ulama' tetapi kita tidak beradab dengan ulama' . maki hamun ulama' dan menista mereka menjadi kalimah yang meniti di bibir kita tanpa rasa bersalah apalagi berdosa .

Benarkah kita berjuang ? , kerana kita pun tidak jelas matlamat dan hala tuju perjuangan . jamaah kita ni gerakan Islam ke ? atau parti politik semata ? Slogan perjuangan pun gagal kita hayati . Matlamat kita , dustur kita , landasan kita , ikutan kita , cita - cita kita tidak mendarah daging dalam diri kita . malang , sering kita ni cakap lain tetapi tindakan kita lain pula .

Benarkah kita berjuang ? , banyak sungguh dosa kita . Makin berjuang makin tambah dosa . Dosa mengumpat , dosa mengutuk , dosa salah sangka , dosa mencantas , dosa memfitnah , dosa menipu , dosa tidak taat kepada pimpinan , dosa tidak tunai amanah perjuangan , dosa dedah rahsia jamaah , dosa khianat kepada sahabat seperjuangan , dosa hipokrit , dosa melukakan hati anggota jamaah , dosa dedahkan aib pimpinan dan anggota jamaah , dosa mata , dosa tangan , dosa kaki , dosa telinga , dosa mulut , dosa hati , dosa otak , dosa .... , dosa .... , dosa .....dan dosa .....

Ya Allah ! benarkah kita ni berjuang ? atau kita selama ini hanya bermain dan menambah beban dosa dalam perjuangan buat diri kita sendiri .

hayya bina nu'min saah ! ayuh kita kita bersimpuh seketika untuk kita merenung [ introspection ] jauh ke dalam jiwa kita . Terlebih dulu kita buangkan segala alasan membela diri , sikap menyalahkan orang lain dan rasa diri dipihak benar . Sebaliknya cari alasan untuk menyalahkan diri agar kita insaf , jangan bela diri supaya dirasa diri kita juga perlu dihukum dan kumpulkan rasa bersalah itu atas diri kita sendiri agar kita tidak angkuh untuk mengakui kesilapan sendiri .

Sahabat ku semua , marilah kita bermuhasabah agar kita dekat dengan Allah swt dan kita segera diberikan nusrahNya . Insyaallah , muhasabah ini akan memulihkan hubungan kita yang retak , perjuangan kita yang tergugat , dan kedudukan kita yang kian jauh dari Allah swt .

Masih banyak item untuk dipersoalkan pada diri kita dengan mulakan pertanyaan benarkah kita berjuang ? semoga kita diridhai oleh Allah swt .

Selamat berjuang sahabat ku !

Ceramah Pakatan Rakyat dihalang dengan tembakan gas

Oleh: Zulkifli Yahaya & Azman Ahmad



Sungai Petani, 23 Mac: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya sempat berucap beberapa patah perkataan, sebelum gas pemedih mata ditembak bertalu-talu ke majlis ceramah anjuran KeADILan yang diadakan di Padang Awam, Taman Ria Jaya kira-kira jam 9.20 malam tadi. Majlis ceramah yang mengundang Datuk Seri Anwar dan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Azizan Razak pada awalnya mendapat permit polis, tetapi dibatalkan di saat akhir. Azizan bagaimanapun belum hadir ke tempat ceramah sebelum majlis ceramah disuraikan secara kekerasan oleh pihak polis.

Polis mula melepaskan air kimia ketika Dato' Seri Anwar Ibrahim
baru memulakan ucapannya


DSAI sedang menyampai ucapannya sejurus sebelum
menerima 'hadiah' dari Polis


Polis mula menyuraikan himpunan ketika orangramai sedang
mendengan ceramah Dato' Seri anwar ibrahim



Orang ramai duduk diatas padang sambil mendengar ceramah
sebelum Polis 'menghadiahkan' semburan air kimia

Orangramai yang hadir bersama keluarga dan anak kecil terpaksa melarian diri apabila polis mula bertindak. Lebih 50 kali tembakan gas pemedih mata dilepaskan dan beberapa kali semburan air kimia Water Canon dihalakan kepada orang ramai. Tindakan Polis melepaskan puluhan gas pemedih mata telah turut merosakkan sebuah kereta orang awam dan menganggu beberapa buah kedai makan berhampiran lokasi ceramah tersebut.

Jalan utama melalui Taman Ria Jaya dan Kelab Cinta Sayang ditutup menyebabkan berlaku kesesakan teruk di sekitar taman perumahan berhampiran. Orang ramai yang tidak berpuas hati dengan tindakan rakus pihak polis, kelihatan berkumpul di merata tempat berhampiran tempat ceramah dan enggan berganjak walaupun diberi amaran berkali-kali oleh pihak polis.

Sementara itu, lebih 20 orang ditahan dan dibawa dengan sebuah trak ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Petani. Antara yang ditahan ialah Senator Zamri Yusoff, Hafiz Ali (Setiusaha KeADILan Kedah), Ismadi (pegawai khas MB Kedah), Gunasegaran (pembantu peribadi calon KeADILan Bukit Selambau), Janapala, Ibrahim Tan Sri Yaakob, Mohd Hafizal Mohamad, Mohd Shafiq Md Sofi dan Lee Hong Meng. Lee adalah aktivis KeADILan yang mengalami sakit buah pinggang dan perlu menjalani proses haemodialisis besok.

Seorang lagi yang belum dikenali dibawa dengan kenderaan lain kerana mengalami luka yang agak teruk di muka.

Disamping itu, kekerasan yang dilakukan Polis turut melibatkan para wartawan yang dilarang mengambil gambar pimpinan PKR yang datang untuk berunding dengan Pihak Polis selepas ’hadiah’ pertama setelah Ketua Umum PKR mengisytiharkan calon PKR untuk Pilihanraya Kecil N25 Bukit Selambau. Wartawan dihalau dan dilarang dari mengambil gambar pimpinan PKR yang datang untuk berunding seterusnya ditahan oleh Polis.

Tindakan polis mengenakan kekerasan secara tiba-tiba pada malam ini amat mengejutkan kerana sejak beberapa malam pihak Pakatan Rakyat mengadakan ceramah tidak terdapat sebarang gangguan, malahan mendapat kerjasama yang baik dari pihak polis. Ramai percaya tindakan pada malam ini adalah ‘arahan dari atas’.

'Arahan dari atas’ tersebut menyerlahkan lagi betapa takutnya mereka dengan sokongan yang diperolehi Pakat Rakyat dalam PRU12 dan sokongan masyarakat berbilang bangsa terhadap calon PKR berbanding calon BN dari parti MIC


Pimpinan PKR turun berbincang sebelum mereka ditahan


Sokongan rakyat menakutkan lawan sehingga Polis terpaksa
digunakan.
 

blogger templates | Make Money Online