Search Islamic Directory
Keyword:

JOM UBAH!!!

JOM UBAH!!!

UBAH SEKARANG

UBAH SEKARANG

Guna Kalimah Allah secara tepat tanpa seleweng

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 2 Jan: Biarpun akhbar mingguan The Herald boleh menggunakan perkataan 'Allah' dalam penerbitan mereka, namun penggunaan kalimah tersebut perlu diguna secara tepat dengan maksud yang tidak menyeleweng dari kefahaman sebenar 'Allah' kepada umat Islam.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasaruddin Hassan berkata, beliau menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu namun diharap penggunaannya pada tujuan yang baik dan bukan untuk dipermainkan sewenangnya.

"Selagi mana kalimah Allah itu digunakan dengan tujuan yang baik, dengan benar menyatakan Allah itu satu, Allah itu Esa tanpa sebarang penyelewangan dan pengkhianatan terhadap maksud sebanar Allh, maka itu dibenarkan.

"Pendirian kami, siapun pihak hatta umat islam sendiri pun sekiranya hendak menggunakan kalimah Allah, hendaklah menggunakan dengan penuh hormat tanggungjawab bukan menggunakannya dalam maksud mempersenda, mempermain, mengambil mudah dengan kalimah tersebut", kata beliau ketika diminta mengulas perkara itu baru-baru ini.

Beliau juga tidak menolak kebimbangan sesetengah pihak bahawa kemungkinan penggunaan kalimah tersebut disalahguna.

Jika keadaan itu berlaku, beliau bimbang ianya akan mencetuskan kemarahan umat Islam seluruh dunia memandangkan ianya sangat sensitif.

"Ada pun yang kita bimbang ialah jika sekiranya penggunaan itu adalah penggunaan untuk mempersenda mempermainkan kalimah Allah dan meletakkan kalimah itu di merata tempat tanpa menghormati sensiviti umat Islam, dan itu adalah sesuatu yang perlu diambil perhatian", katanya lagi.

Beliau juga tidak membantah sekiranya Kementrian Dalam Negeri (KDN) mengemukakan rayuan membatalkan keputusan itu kerana merupakan hak KDN dan ada kewajarannya untuk menjaga penggunaan kalimah 'Allah' dari di seleweng dan salahguna.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur , Datuk Lau Bee Lan memutuskan bahawa larangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap penggunaan perkataan 'Allah' adalah tidak sah dan batal.

Berikutan itu, mahkamah membenarkan permohonan Gereja Katholik untuk mengetepikan larangan tersebut.

Menurutnya, akhbar mingguan The Herald boleh menggunakan perkataan 'Allah' dan menegaskan bahawa perkataan tersebut bukan hanya ekslusif untuk Islam sahaja.

Keputusan mahkamah mengetepikan larangan KDN itu, akan memboleh The Herald dan penerbitan bukan Islam yang lain, menggunakan perkataan 'Allah' sebagai terjemahan bagi perkataan 'Tuhan' dalam versi bahasa Melayu mereka.

KDN bagaimanapun akan memfailkan rayuan berhubung keputusan tersebut.

19 tahun PAS lulus KPI dengan cemerlang - Lim Kit Siang

Oleh Md Zuharman

KOTA BHARU, 16 Nov – Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyifatkan kejayaan PAS mentadbir Kelantan selama lima penggal berturut-turut adalah KPI cemerlang kerajaan PAS mengekalkan sokongan rakyat di negeri ini.

Kejayaan tersebut seharusnya menjadi landasan kepada Pakatan Rakyat (PR) menghadapi pilihan raya umum akan datang dalam usaha untuk menumbang kerajaan Umno – Barisan Nasional (BN) seterusnya menguasai Puterjaya.

Perjuangan ke arah itu mesti diperkasakan sepanjang masa demi menghapus ataupun melenyapkan sistem pemerintahan kerajaan Umno yang angkuh, sombong serta banyak menyusahkan rakyat.

Lim menyedari banyak kepincangan berlaku di dalam pentadbiran kerajaan Umno terutama berkaitan struktur menangani sesuatu isu yang mana rakyat ingin melihat kesannya dari sudut yang adil seperti fungsi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tegasnya, beliau tetap malah terus dengan pendirian bahawa penubuhan SPRM adalah semata-mata demi untuk menjaga kepentingan politik kerajaan Umno dan ianya jelas menyimpang dari prinsip asal penubuhannya.

“Sampai ke hari ini kes penyelewengan jutaan ringgit dalam Umno melibatkan orang-orang ternama dalam politik Umno hanya bisu. Siasat juga, tapi siasatan tinggal siasatan sampai bertahun-tahun,” katanya pada satu majlis ceramah umum, dekat sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, menyokong kenyataan Lim merujuk kepada beberapa isu seperti Perwaja, PKFZ yang hingga kini belum ada apa-apa tindakan terhadap mereka terbabit.

Lalu Abdul Hadi menegaskan kezaliman serta pembohongan dilakukan kerajaan Umno tidak boleh dimaafkan kecuali Umno bertaubat kerana perbuatan khianat dilakukan melibatkan hak rakyat.

“Kita mesti faham konsep ini, kalau sebut sahaja hak kerajaan, maknanya ia adalah hak rakyat,” katanya.

Mahkamah arah pilihan raya kecil di Kota Seputeh

KUALA LUMPUR, 16 Nov: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya kecil untuk Dun Kota Seputeh Kedah.

Arahan itu dibuat oleh hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin siang tadi.

Menurut hakim itu, Suruhanjaya Pilihan Raya telah melanggar sempadan kuasanya apabila menolak permohonan Speaker Dun Kedah agar diadakan pilihan raya semula di situ.

Menurut beliau, peguam plaintif (Speaker Dun Kedah) telah berjaya membuktikan bahawa Datuk Abu Hassan Sarif, Adun Kota Seputeh telah tidak hadir dua kali sidang berturut-turut tanpa kebenaran Speaker.

Ini bermakna, mahkamah bersetuju dengan keputusan Speaker Dun Kedah, yang memutuskan kerusi itu kosong berikutan kegagalan Abu Hasan (gambar) hadir dua kali berturut-turut ke sidangnya.

Speaker DUN, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail menghantar surat kepada SPR memaklumkan mengenai kegagalan Abu Hassan hadir sidang DUN pada 19 April dan 16 Ogos lalu.

Mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah, mana-mana ahli dewan yang tidak hadir pada sidang DUN selama dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, tempatnya hendaklah dikosongkan.

Kerusi itu dimenangi Abu Hasan dengan majorti 495 undi. Lawannnya, Ismail Wan Teh dari PAS menerima 7,665 undi.

Dalam sidang Dun Kedah baru-baru ini, Speaker menyifatkan Abu Hasan bukan lagi Adun Kedah yang sah.

Mengulas mengenainya, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata pegawai undang-undang SPR perlu meneliti secara terperinci desakan dibangkitkan Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail sebelum membuat sebarang keputusan.

Pada 18 Ogos lalu Abd Isa meminta SPR mengisytiharkan kerusi itu kosong atas alasan Abu Hasan tidak menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dua kali berturut-turut tahun ini.

Peguam bagi Speaker, Sulaiman Abdullah memberitahu mahkamah, Artikel 51 Undang Undang Tubuh Kerajaan Kedah menyebut bahawa “sekiranya mana-mana anggota Dewan Undangan Negeri tidak menghadiri dua sidang berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, kerusi mereka seharusnya dianggap kosong.”

Abu Hasan tidak hadir pada sidang 19 April dan kemudian pada 9 Ogos tanpa izin Speaker.

Sulaiman berkata, Abu Hasan tidak menafikan fakta itu.

“Apabila syarat-syarat ini dipenuhi, kemudian perjalanan undang-undang ialah Artikel 51, di mana kerusi itu dengan sendirinya menjadi kosong,” kata Abdullah yang juga bekas Presiden Majlis Peguam di mahkamah sebelum ini.

Namun, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Abu Hasan agar terus menghadiri sidang DUN negeri itu yang dijadualkan hari ini.

Katanya, walaupun Speaker menganggap wakil rakyat itu hilang kelayakan sebagai Adun, namun BN memegang prinsip apa yang diputuskan oleh SPR bahawa tiada berlaku kekosongan kerusi DUN Kota Seputeh dan Abu Hasan adalah wakil rakyat BN yang sah.

“Abu Hasan masih ahli Yang Berhormat secara sah dan Speaker (DUN) tidak boleh menghalang beliau dari menghadiri sidang dewan itu.

“SPR umum tiada kekosongan dan tidak ada pilihan raya kecil, jadi apa kuasa Speaker itu saya tak tahu,” katanya selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Gunung, Alor Setar.

Muhyiddin berkata, Abu Hasan harus menghadiri sidang DUN itu bagi mengetahui apa yang sedang berlaku kerana beliau masih seorang Adun sehinggalah mahkamah memutuskan kedudukannya kelak.

Abd Isa baru-baru ini berkata, beliau menyifatkan Abu Hasan bukan lagi Adun walaupun mahkamah belum membuat sebarang keputusan mengenai kedudukan wakil rakyat itu.

Beliau sebelum ini memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan SPR yang mengekalkan Abu Hasan sebagai Adun kawasan Kota Seputeh.

Semasa kempen Bagan Pinang baru-baru ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengajak penyokong PAS dan Pakatan Rakyat ke Kedah pula untuk pilihan raya kecil Kota Seputeh.

"Ada pemimpin Umno kata saya membazir apabila melantik ramai peguam untuk kendalikan kes ini. Saya kata, saya rela membazir dari membayar gaji Adun yang malas (tidak hadir sidang Dun)," kata Azizan.

Royalti jadi ehsan satu perbuatan khianat dan jahat

KUALA TERENGGANU, 9 Nov: Perbuatan mengubah pembayaran royalti minyak kepada wang ehsan yang dilakukan oleh kerajaan Umno dan Barisan Nasional kepada negeri Terengganu dan Kelantan adalah satu pengkhianatan yang jahat.

Penasihat Lajnah Guaman dan Undang-undang PAS Terengganu, Datuk Wan Mutalib Embong berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam yang dianjurkan oleh DUN Alor Limbat disebuah restoran dekat sini semalam.

"Sepertimana apa yang dilakukan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Najib di Parlimen dua hari lepas, dia (Najib) kata, kita dah buat keputusan supaya hasil minyak yang dapat di perairan Kelantan itu di beri kepada rakyat Kelantan, tetapi cara dia kata, seperti mana kita beri kepada Terengganu iaitulah melalui wang ehsan.

"Ini pengkhianatan dan jahat yang paling jahat!,"katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam yang dianjurkan oleh DUN Alor Limbat disebuah restoran dekat sini semalam lapor Buletinonline.

Menurutnya, Najib juga sehingga kini tidak mengotakan janjinya untuk memulangkan royalti minyak Terengganu, sewaktu berkempen dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu.

Katanya, pemberian royalti bukan hak peribadi Najib, namun soal pemberian royalti adalah undang-undang menurut Akta Pembangunan Petroleum 1973.

"Bukan soal bagi (beri royalti), bukan soal hak 'tok' dia, bukannya hak 'bapak’' dia, ini undang-undang, dalam undang-undang Akta Pembangunan Petroleum 1973,"tegasnya.

Menurutnya, akta tersebut memperuntukkan setiap penyerahan hasil minyak kepada kerajaan pusat mestilah dibalas dengan pemberian royalti sebanyak 5% dan perkataan 'lima peratus' itu ditulis dengan terang dan jelas.

Presiden PAS arah guna IT lawan persepsi buruk

SHAH ALAM, 8 Nov: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang meminta PAS menggunakan IT sepenuhnya untuk melawan segala tohmahan sehingga melahirkan persepsi buruk terhadap PAS.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan di majlis perasmian sambutan 10 Tahun Jabatan IT PAS Pusat.

"Kita memang tersekat untuk masuk dalam semua rumah rakyat negara ini, tetapi saya yakin ICT boleh melakukannya," kata Abdul Hadi dalam ucapannya itu.

Untuk melaksanakannya, beliau meminta kajian, penyelidikan dan inovasi dibuat untuk membolehkan perkara ini dilaksanakan.

"Kita mesti mendahului lawan kita dalam hal ini walaupun kita kekurangan jentera, petugas dan sebagainya," kata beliau.

Dalam ucapannya itu juga, Abdul Hadi menyelar pihak-pihak yang menggunakan IT sekarang untuk menyebarkan maklumat salah sehingga menimbulkan fitnah.

"Kena ingat, fitnah ini besar dosanya," katanya.

Turut hadir dalam majlis sambutan ini adalah Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali serta Ketua Penerangan, Ustaz Idris Ahmad.

Arahan Abdul Hadi ini diadakan sehari selepas seminar memperkasakan PAS yang banyak mendapat imput baru untuk memperkasakan parti Islam itu.

Saranan Abdul Hadi dilihat selaras dengan usaha Lajnah Penerangan PAS Pusat yang sedang berusaha menganjurkan Konvensyen Blogger PAS dalam masa terdekat.

Ianya mempunyai tujuan serupa iaitu membentuk kumpulan blogger PAS bagi menangkis fitnah di alam maya.

Selain itu ianya juga diharap mampu berdepan serangan 'cyber trooper' parti lawan.

Salahuddin harap Umno ada calon bebas politik wang

Abdul Aziz Mustafa
Thu | Sep 24, 09 | 10:29:29 am MYT

KUALA LUMPUR, 24 Sept: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berharap Umno berjaya mengemukakan calon yang bebas politik wang dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang 11 Oktober ini.

Beliau berharap Umno mempunyai calon yang bersih dari politik wang untuk memenuhi keinginan bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menekankan supaya Umno memilih calon yang bebas politik wang untuk pilihan raya itu.

"Sebelum ini, Dr Mahathir menyatakan bahawa 'Umno sudah jadi parti perasuah'. Mungkin hari ini Umno bukan lagi parti perasuah dan sebab itulah bekas Perdana Menteri menekankan supaya Umno tampil dengan calon bebas politik wang dalam pilihan raya Bagan Pinang.

"Mungkin juga Umno Bahagian Telok Kemang (di mana kawasan DUN Bagan Pinang berada) tidak pernah mengamalkan politik wang dan tokoh-tokoh Umno di bahagian itu bebas politik wang semuanya," kata Salahuddin yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS bagi pilihan raya kecil tersebut.

Mengenai persediaan PAS menghadapi pilihan raya itu, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, pihaknya akan megggerakkan seluruh kekuatan untuk mengajak rakyat di Bagan Pinang supaya bersama-sama dengan kehendak rakyat.

"Kita yakin rakyat di Bagan Pinang tidak mahu ketinggalan untuk bersama-sama dengan kehendak rakyat yang menolak Barisan Nasional (BN) dalam tujuh dari lapan pilihan raya kecil yang diadakan sejak pilihan raya umum 8 Mac tahun lepas.

"Malah di dalam kawasan Telok Kemang sendiri pun, tiga dari lima kawasan DUN di situ serta kerusi Parlimennya dimenangi oleh Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum yang lalu.

"Saya yakin sepenuhnya rakyat Bagan Pinang akan bersama-sama dengan kehendak rakyat hari ini yang menolak BN," kata beliau.

Dalam pilihan raya umum yang lalu, selain kerusi Parlimen Telok Kemang, kerusi-kerusi DUN Chuah, Lukut dan Port Dickson dalam kawasan Parlimen itu dimenangi oleh PR.

"Saya juga yakin, rakyat Bagan Pinang tidak sanggup menerima Umno yang pernah disebut sebagai parti perasuah oleh bekas Presidennya sendiri.

"Pandangan Dr Mahathir itu malah dikongsi oleh bekas Bendahari Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang berkata, punca rasa tidak puashati rakyat terhadap BN itu adalah persepsi bahawa mereka yang memegang kuasa adalah angkuh dan korup.

"Rakyat boleh melihat dengan terang dan nyata hakikat itu dan bukti terbaru dapat dilihat sendiri oleh mereka dalam dokumen kabinet mengenai Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) yang menunjukkan dengan jelas bahawa kabinet kerajaan Umno dan BN melakukan penyelewengan dan merestui rasuah," katanya.

Sebelum menekankan supaya BN meletakkan calon bebas politik wang, Dr Mahathir menolak pencalonan bekas Naib Presiden Umno yang juga Ketua Umno Bahagian Telok Kemang, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon BN dalam pilihan raya itu.

Beliau berkata, imej Umno akan terjejas jika bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dicalonkan kerana dianggap tidak serius dalam memerangi politik wang sekiranya masih meletakkan mereka yang sudah didapati bersalah dalam rasuah politik sebagai calon.

"Isa sudah didapati bersalah, kalau Umno letak dia juga bermakna bahawa Umno tak ambil berat tentang kes-kes macam ini," kata beliau.

Bagan Pinang mempunyai 13,664 orang pengundi dan 4,604 dari jumlah tersebut adalah pengundi pos. _
 

blogger templates | Make Money Online